Follow Saya Di Google Plus

Thursday, November 3, 2011

5 bulan yang memenatkan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani


Ihsan: desktop en Yem


Sejak May sampailah Oktober aku pendamkan saja laman blog ini. Tiada hati untuk menulis apatah lagi mengadap benda ini. Aku mabuk! Sekarang setelah lima bulan 'si comel' dalam perut ni membesar, aku semakin kuat dan akan terus kuat.

Cerita hamil aku memang pelik, tisu tak lekang dari tangan. Simptom kerap meludah dah jadi perkara biasa. Bezanya dulu tisu kotak sekarang dah tukar tisu gulung. Kata kengkawan, sebab dah masuk tiga orang aku kena berjimat cermat. Hakikatnya taklah macam tu pun, sebab kali ini aku terlalu suka guna tisu gulung. Dan aku tahu mana nak cari tisu gulung murah yang selesa untuk aku gunakan setiap hari. Hmm, Rm3.90 saja harganya. Itupun en Yem kata suruh berjimat cermat lagi.

"Abang nak buat macam mana, ini pembawaan budak ya. Dia tak boleh sekat2 air liur tu dari tak meleleh," balas aku yang dah semakin pandai menjawab.

Alasan en Yem: aku guna 10 gulung untuk tiga hari. Cuba darab dengan 30 hari. Masak juga tu. Betul tu bang, tapi apa boleh buat...

(Jangan tiru aksi ini ya, tak bagus untuk hubungan suami isteri..hehehe)


Kalaulah boleh ditransfer pembawaan budak ni pada en Yem alangkah seronoknya. Itu anganan aku saja. Tapi Allah lebih tahu mana yang terbaik untuk hambanya. Jadi aku sorang yang tanggung 'pahala' ini. Sebabnya en Yem boleh memandu untuk aku dan bawa aku ke mana yang aku nak pergi tanpa pok pek pok pek...hehehe. Yezzz! aku suka itu.

Anak2 terutama Zarif semakin manja yang teramat2. Sampai tak kuasa aku nak melayan. Kalau hilang sabar naik juga tangan ke punggung, tak pun aku gigit si Zarif tu. Geram! Kadang2 buat tak tahu je, nanti dia diamlah. Dia tahu nak dapat adik dan bakal hilang kasih sayang aku. Sebab itulah dia meragam dan buat perangai. Layankan sajalah, nanti bila adik dia dah keluar, aku berani jamin dia akan lebih matang dan kurang manja.

Mirza pun dah anak teruna. Alhamdulillah dia dah boleh terima sekolah di situ. Cuma prestasi sekolahnya sama turun macam prestasi emaknya. Sepanjang aku mabuk, dia banyak tak ke sekolah. Samalah juga macam aku, tak dapat ke tempat kerja. Baru ni Mirza periksa. Walaupun dia lebih banyak bermain ipad dan tengok tv (aku tak dapat halang perangainya yang satu itu) Mirza masih boleh 'tangkap' apa yang dipelajarinya. Cuma agak tergelincir sedikit... apapun aku bersyukur.

Macam mana nak akhiri posting aku kali ini, punyalah banyak hendak dicerita sampai tak tahu nak berhenti. Hari ini biarlah aku cop diri aku syok sendiri. Esok lusa, kita cerita pula tentang kerja. Banyak yang boleh dikongsi sepanjang berhempas pulas di meja wartawan Mingguan Wanita tu.

Sunday, June 12, 2011

Sehari di PDK Gombak

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Perjalanan menuju ke PDK Gombak terasa

Sunday, May 29, 2011

Doa dari editor

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Editor MW yang bertudung putih itu, kak Nuri Supian. Gambar ni diambil waktu bertugas di Karnival Karangkraf 2011. Merah menyala baju kitaorang.

Walaupun hari itu hujan renyai2, Adam sampai berpeluh2 bila dikelilingi kakak-kakak wartawan...hehehe.

Sebenarnya dah lama hendak dikongsi bersama cerita ini, tapi dalam hati tertanya2. Bolehkah? Nanti apa pula akibatnya? Macam2 kemungkinan bermain2 di ruang minda. Jadi sebelum penulisan ini diteruskan sebaik-baiknya aku beri pemahaman dahulu pada anda semua.
  • Tujuannya: untuk dikongsi bersama semoga ia menjadi manfaat yang besar kepada semua.
  • Walau apapun: aku mohon perlindungan dari Allah semoga tidak timbul soal 'meninggi diri' dalam penulisan ini. Astagfirullah...
Suatu hari, Sekitar awal Januari tahun ini, kak Nuri minta aku cover satu event tentang perhimpunan al-Mathurat. Dalam hati aku,' Alamak! majlis agama, ada solat dhuha pulak, camane ni?' Pergi pula dengan wartawan I luv Islam...hm, lagilah rasa kerdil. Macam mana pun pergi sajalah...dah namanya kerja. Kena lunaskan juga.

Sepanjang majlis berlangsung, tak ada pun yang berlaku. Cuma pertemuan dengan Ustazah Nor, penganjur program itu menerbitkan satu perasaan yang cukup halus dalam diri aku. Tak tahu apa, cuma aku rasa sangat sayu. Setiap yang datang ke majlis itu dihadiahkan dengan (nak kata apa ya? Kitab ke buku... yang mengandungi doa2 yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Aku pun dapat juga satu dan satu lagi Ustazah Nor pesan beri pada kak Nuri.

Bila balik aku serahkan buku warna kuning itu dekat kak Nuri. Dia tahu tentang doa Al-Mathurat. Tapi aku tahu tentangnya selepas aku memasuki usia 32 tahun. Macam biasa, kak Nuri memang suka bercerita tentang pengalaman dirinya. Sebelum aku balik ke meja, dia sempat berkongsi ilmu.

Katanya, akak tak naklah nampak riak atau apa. Tapi sejak dari dulu amalan ini menjadi pegangan setiap kali lepas solat. Amalan beristighfar, membaca subhanallah, alhamdulillah, allahuakhbar dan Ya Aziz sebanyak 33 kali menjadi pegangan sampai saat ini. Alhamdulillah, walau ujian berat macam mana sekalipun, Allah permudahkan ia.

Aku kira, inilah ilmu paling bermakna yang kak Nuri kongsi dengan aku selain kisah 'aku sebatang pen'...hehehe...Dan perlahan-lahan aku membaca al-Mathurat dalam masa yang sama amalan kak Nuri turut menjadi ikutan (cuma aku tak sampai ke tahap 33 kali, lebih2 lagi bila terkejar2 dengan deadline...Moga Allah menerimanya...astagfirullah...amin...).

Walaupun aku masih haru-biru, semoga usaha aku untuk mengubah diri dan mencipta tabiat positif dalam diri ini dapat dicapai kelak. Masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki. Namun, apa yang aku perasan, aku lebih tenang dan menikmati, memikir, melihat malah menaakul setiap kejadian atau perkara yang berlaku dalam hidup aku setiap hari (dengan izinNya)...wallahualam (Allah jua yang Maha Mengetahui setiap sesuatu kejadian)

Saturday, May 28, 2011

Dua hari Mirza di Sunway Medical Center

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.


Waktu mula2 sampai di Sunway Medical Centre, Mirza langsung tak sedarkan diri.

Waktu ini doktor dah masukkan air dalam badan Mirza yang jumlah kesemuanya 3 botol.

Sorry, gambar kurang jelas. Ini amik dari kamera phone je. No bilik tu, 5321-2. Satu bilik untuk dua orang, sempatlah berkenalan dengan jiran sebelah, Chinese lady yang peramah dan dah biasa berkawan dengan orang Melayu. Anaknya mengalami masalah sama macam Mirza cirit-birit dan muntah2.

Mirza dah ok sikit. Masa ini dia kata balutan kat tangan dia tu 'ultraman bertukar'. Seb baik! Kalau tak sure minta buka macam anak orang sebelah. Budak2 mana nak pakai benda macam tu... kita yang tua ni pun rasa rimas.

Walaupun en Yem tak boleh tidur kat bilik ni tapi jam 5 pagi esoknya dia dah sampai ke bilik kami.

Punya seronoklah Mirza dok SMC, sampai tak nak balik. Mana taknya depan katil ada Astro, rehat sesaja sambil menunggu air masuk dalam badan dan lagi best boleh main ipod touch sesuka hati kan Mirza...

Inilah kakak jururawat yang tak jemu2 melayan kanak-kanak kecil di wad ini... sampai terkangkang2 Mirza..huish!

Aktiviti aku hari ini tak adalah sesibuk mana, cuma perlu mengambil baju di The Curve, KL untuk shooting cover sempena Hari Bapa. Pagi2 hari lagi dah berperang2 mulut dengan anak-anak. Ingatkan dah habis dah, rupanya terbawa2 sampai ke petang. Betul2 menduga Zarif ni. Sejak kebelakangan ini manjanya semakin menjadi2. Tak tahan betul dibuatnya. Aku plak garang semacam ngan anak2. Tak ada chemistry langsung... tapi bila aku buat2 merajuk pandai pulak Zarif lari balik kat aku... cuma yang pasti dia kata hari ini dia nak jadi budak nakal... hmmm...nakal sungguh. Ya Ampunnnn...

Balik dari ambil baju di Little Heaven, The Curve en Yem bawa kami singgah Alam Sentral. Memandangkan Mirza lena diulit mimpi, aku tunggu saja dalam kereta sambil melayan Zarif dengan ipod touchnya. Zarif ni kalau berdua je dengan aku baik budaknya. Boleh diharap pun ya... tapi jangan ramai2... mulalah manjanya datang... Tak tahu kenapa dengan handphone aku dari hari Jumaat lepas dia kong. Dahlah esok ada asignment cover tup2 phone pula problem. Walaupun dah diganti dengan bateri baru yang tak kurang mahal reganya itu, dia masih juga tak boleh di charge. Sudahnya terpaksalah aku load segala macam yang ada dalam phone ini sebelum dia sampai ke akhir tempoh hayatnya. Tapi nak kata aku serabut sangatpun tak adalah sangat... sebab seminggu dua ni memang aku mengalami tahap kestressan yang melampau. Alhamdulillah dapat dilalui dengan baik dengan izinNya.

Dalam pada mengupload gambar dari simpanan handphone tiba2 aku ternampak gambar2 waktu Mirza diwadkan di Sunway Medical Center pada bulan Ramadan tahun lalu, 2010. Aku ingat lagi, masa itu mak telefon sambil nangis2 beritahu yang Mirza muntah dan cirit-birit tak berhenti2. Masa ini Mirza belum sekolah lagi, umur dia pun baru 4 tahun. (Kenapa aku rasa Mirza yang dulu lebih mendengar kata berbanding sekarang bila dah masuk sekolah ya. Mungkin dia protes kat aku pun ya sebab dia memang tak suka ke sekolah itu).

Kami bawa dia ke Klinik An Nisa dekat belakang rumah mak, U10 Shah Alam. Doktor beri injection. Kalau sama saja lebih baik bawa ke hospital, itu pesan doktor sebelum kami keluar dari biliknya. Belum pun jauh kereta en Yem bergerak, Mirza muntah lagi. Dan sekali lagi di rumah dan tanpa ditahan2 dia cirit-birit lagi. Tak boleh jadi kena bawa juga ke hospital. Memandangkan Mirza ada plan insurans, kami pun gunakanlah. Nak kata berbaloi pun tak adalah sangat. Sebabnya en Yem tetap kena keluar duit beratus jugalah. Tak apalah, layankan sajalah.

Walaupun namanya hospital swasta, tapi peraturannya macam kerajaan. Sebabnya, bilik yang kongsi berdua ini cuma ibu sahaja yang boleh tidur diwad. So, en Yem kena balik. Sebarang barangan peribadi, macam laptop, kamera etc dilarang sama sekali dibawa ke dalam bilik wad. Hmm... tak apalah nak buat macam manakan? Layan je lah, lagipun itukan bulan puasa, dugaannya memang macam itupun. Yang penting Mirza sihat.

Dr Rose yang merawat Mirza beritahu darah dalam badan Mirza dah pekat sangat waktu kami admitkan dia tadi. Mujurlah kami bawa dia cepat, kalau tak macam2 boleh terjadi. Huh? terkedu kejap kami. Patutlah waktu letak atas katil tu kami panggil namanya langsung dia dah tak menyahut. Lepas masukkan air dalam 3 botol Mirza dah semakin sembuh. Tengok Tv bagai sampai tak nak baliklah dari hospital itu. Kalau tanya dia tak tahulah dia ingat lagi ke tidak. Aku plak siap paksa Miza cepat baik... sebabnya mak deadline esok... huhuhu... Alhamdulillah, Mirza cuma admit dua hari je. Kalau tak... terbarailah bahan aku minggu itu.

Bila kenang balik gambar2 lama ni rasa rindu pulak dengan suasana tu, walaupun nampak stress, tapi bila kita dah meninggalkannya terasa rindu pula untuk merasai saat2 genting macam itu. Itulah, bila kita dalam keadaan tertekan, memang segala macam perasaan sukar sangat nak digambarkan. Masa itulah kita akan berdoa dan terus berdoa. Sebaik sahaja tekanan itu terlepas dari bebanan fikiran, terasa terbang melayang2 bebas di udara. Tapi selagi kita bernama manusia, ujian akan terus dilalui. Bukankah Allah mahu menguji sejauh mana kasihnya kita kepadanya? Astaghfirullahalazim...

Friday, May 27, 2011

Tercapailah hajat en Yem makan lobster @ Moon's Kitchen

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Waktu ini kami makan masih manja2 gitew, seb baik depan orang, kalau tak siap kau kaki udang kara.
Sepinggan creamy yummy mussels yang dah habis. Mirza dan Zarif yang ala2 baik, padahal...

Sup tomato dan isi udang yang creamy n sweet sour.

Gambar sebelum kejadian...lobster yang bakal dihidang dengan fettucini.

Inilah 'Half Grilled Lobster Thermidor with Lemon Garlic Hollandaise and Argentinean Ribeye'

Half Lobster Thermidor with Spinach Fettucine Aglio e Olio Peperoncino. Terbolit lidah nak menyobut.

Satu lagi gambar sebelum kejadian ya...harap bersabar semua. Ambil tempat duduk masing2!


Ahad lepas, 22 Mei 2011 en Yem bawa kami 'dinner' di Moon's Kitchen, Jalan Pandan Indah, Kuala Lumpur. Yang bestnya, malam itu en Yem cukup teruja (sebenarnya dah dekat seminggu dua teruja pun...) sebab kami sekeluarga akan menikmati hidangan yang paling dia teringin sangat2 nak makan malah dah berbulan2 en Yem luahkan keteringinannya yang melampau itu. Hampir setiap hari (sebelum hari kejadian ya!) en Yem akan kata 'bestnya kalau dapat makan lobster (udang kara). Dulu, waktu remaja, lobster tu dah jadi makanan ruji dia...hahaha... apa taknya, tinggal di Felda Purun membolehkan en Yem menjala (betul ke istilah menjala ni...) udang kara dengan senang2 hati.

Lepas menetap di Perak dan berkahwin en Yem dah tak pernah nak merasa udang kara lagi. Uiks! Sedih plak cerita ni. Patutnya bila cerita bab makan penceritaannya kena bersemangat dan 'mengghairahkan'... betul tak?. Tapi itulah falsafah di sebalik pemergian kami anak beranak ke Moon's Kitchen ~ en Yem orang Pahang; en Yem terkenang sungai Pahang, en Yem rindukan zaman kanak2 sehingga membawa keinginan ke tahap melampau, mengidam makan udang kara selama bertahun2. Dahsat tul teori aku ni. Akhirnya setelah diucap berkali-kali tanpa aku sedari aku pun turut terpesona, setelah puas mencari dan menelaah, tercapai juga hajat en Yem menikmati udang kara yang cukup dirindui itu.

Tapi en Yem tak nak makan sendiri. Mungkin juga en Yem tahu yang aku pun sebenarnya tak pernah merasa apatah lagi melihat dengan mata kepala sendiri betapa enak dan besarnya udang kara itu, sebolehnya en Yem pujuk aku selama berhari2 agar aku bersetuju dengan cadangannya untuk dinner bersama lobster. Sebenarnya bukan aku gerun dengan lobster atau aku alah makan seafood, tapi aku alah bila keluar makan di restoran dengan anak2. Sesungguhnya Mirza dan Zarif amat menduga kesabaran apabila berada di meja makan kedai makan.

Terlalu banyak kenangan 'tak best' yang telah aku lalui sebelum ini. Anak2 akulah satu2nya kanak-kanak kecil yang berjaya menterbalikkan meja makan sampai bersepai gelas kaca di gerai kecil dekat Saujana Utama.(Seb baik toke kedai menolak bila kami mahu membayar ganti rugi, malu jangan cerita ya). Anak2ku jugalah yang telah meronta2 tanpa alasan yang kukuh sewaktu makan di sebuah restoran mamak di Taman Tun Dr Ismail sehingga melayang kasutnya lalu masuk ke dalam sebekas tray kari daging yang masih berasap-asap itu. (Aku malu tapi dah hampir terbiasa). Kenangan2 itu membuatkan aku amat berbelah bagi malah aku lebih rela menapau makanan untuk kami meratahnya sahaja di rumah. Ternyata mereka cukup bersopan dan disiplin sekali bila makan di meja makan rumah kami. Aku pun tak tahulah kenapa bila kami makan di luar, anak2ku boleh berubah laku. Adakah kerana dia mahu memberitahu pada orang ramai yang mak ayah diaorang ni rajin ya amat membawa mereka makan di luar atau sengaja mahu menguji kesabaran kami. Entahlah... (aku rasa aku patut rakamlah aksi diaorang ni...barulah bila besar dema ni sedor skit..ekekeke).

Setelah ditolak, campur dan bahagi, aku setuju jugalah dengan rancangan en Yem itu. Lagipun bukan aku kena keluar sesen duit pun. Cuma duduk dan bertahan dengan perangai anak2ku yang 'special' itu. Betullah pun, sampai di Moon' Kitchen dua beradik dah tak boleh duduk diam. Sampai aku tengok family Cina kat sebelah meja kami, sekejap2 pandang ke arah meja aku. Tak pe aku dah biasa dengan semua itu. So, tak de hal. Aku terus bersabar demi nak makan lobster yang didamba en Yem itu.

Dalam lima minit kami duduk di meja makan, isteri toke kedai, Lin datang menyapa. Tak lama lepas itu, kami dihidangkan salad. Oh... oh... dia sudah mula... Zarif nak main pisau yang tajam itu pulak... ah sudah, bertekak sekejap dengan Zarif. Dia merajuk yang bukan kecil2 ya... Mirza pun sama, aduh... menjerit sudah... darah aku sudah menyirap, en Yem jadi mangsa... huhuhu. Aku kata, lain kali kalau nak bawa aku menikmati makanan macam ni kita gi berdua je. Budak2 tinggal dengan nenek. Titik! Keraskan bunyinya... sabar...cerita tak habis lagi ni.

Tak lama lepas itu, Lin datang lagi bawa sup tak tahulah namanya, tapi rasa creamy dan masam2 tomato yang bersatu tu membuatkan sup ni rasa enak sekali. Zarif & Mirza tak layan sup ni, tapi aku dah habiskan satu mangkuk. Hmm... budak2 ni lidah Melayu, tak layan taste2 omputih ni...huhuhu. Tak lama lepas itu, Lin hidang pula 'Half Grilled Lobster Thermidor with Lemon Garlic Hollandaise and Argentinean Ribeye' (nama ni pun aku amik dari fb Moon's Kitchen) Nanti kome tengoklah sendiri camane rupanya dalam gambar. Yang ini memang 'mabelous' sampai aku bisik kat en Yem, ni kalau kat rumah nih dah lama kaki2 udang kara tu selamat dikerjakan. Malu kat orang punya pasal, kami makanlah macam ala2 orang kaya makan. Berhemah sungguh rasanya. Masa ini Zarif dan Mirza dah boleh makan udang kara, jadi tahap ke'hero'an diaorang pun dah berkurangan. Dapatlah aku makan dengan tenang. Alhamdulillah, so kata2 agar bawa aku sorang2 makan tu aku tarik balik ya... rasanya lepas ini dah boleh kot handle budak2 ni... cuma perlukan sedikit skill dan lebih3kan kesabaran. (Harap aku boleh bertahan ya!)

Pastu kami order jugalah french fries sebab budak2 ni tak berapa nak menikmati lauk-pauk itu. Lega aku bila budak2 tu senyap je meratap ff tu... oh terlupa sebelum itu kami dapat juga makan creamy mussel yang enak itu. Sambung semula ya, hidangan seterusnya payah benar lidah aku nak menyebutnya, kome bacalah sendiri ya: Half Lobster Thermidor with Spinach Fettucine Aglio e Olio Peperoncino. Kata Lin, isi udang itu dimasak dengan keju kemudian dibakar. Aku rasa sesudu, Fuh! Sedappppp...sangat2. Tapi masa ini perut kami dah betul2 kenyang dan tak larat nak masuk apa2 lagi dah. Bayanglah berapa banyak hidangan dah kami makan. Budak2 tu bukan makan sangat masakan macam ni pun (dah lebih dua kali aku cakap benda nikan...) Sudahnya kami tapau.

Dalam perjalanan balik itu, aku terfikir. Kalau bawa balik rumah, pasti esok pagi baru kami makan; panaskan dalam microwave... hmmmm...dah tak sedap. "Apa kata kita bagi mak dengan abah bang..". cadangan aku en Yem terima. en Yem pun drive ke arah rumah mak dan syukurlah mak masih belum tidur. Waktu aku beri kat emak, aku perhati mak terus buka dan makan lobster yang besar itu. Aku tahu mak suka sebab mak ni kalau yang dia tak suka mesti dia cam jual mahal sikit... Yang ni terus bawa ke dapur letak atas pinggan dan makan...yeay! Aku suka bila mak suka...

Alhamdulillah, tercapailah sudah hajat en Yem mahu makan lobster. Aku pun dapat tumpang sekali. Syukur kerana kami masih diberi rezeki dan nikmat untuk merasai makanan yang lazat itu. Tiba2 aku teringat kisah mengenai kajian yang dijalankan di Jepun tentang air yang dibacakan ayat suci al-Quran membentuk molekul seakan bintang/ berlian bercahaya berbanding air yang diperdengarkan dengan muzik heavy metal. Bayangkan jika air itu (yang bercahaya ya) diminum dan memasuki tubuh kita. Bukankah dalam tubuh kita pun 70 peratus adalah air. Bayangkan ya, setiap kali hendak minum, hendak masak nasi, hendak membasuh sayuran dan sebagainya dan kita menyebut 'bismillahhirrahmannirrahim'. Dan air itu akan melalui saluran darah kita, subhanallah...pasti bercahaya2 tubuh kita. Islam dan sains itu amat saling berkait. Keimanan dan kefahaman juga menjadi semakin kukuh dengan adanya bukti saintifik sebegini. Dan akhirnya, pengkaji Jepun itupun memeluk agama Islam. Subhanallah...

Sesuatu yang menarik tentang Moon's Kitchen.
  • Kedai makan ini sebenarnya biasa2 je, kalau orang tak tahu ingat kedai makan biasa sebab kelilingnya gerai jual nasi campur, roti canai dsb...yalah lauk pauk Malaysia.
  • Tapi yang bestnya, makanan di sini dihidang dengan gaya yang tersendiri; ada yang dalam pinggan sizzling tapi makanan western dll. Persembahan hidangannya memang taraf lima bintang.
  • Dan yang paling penting sekali, rasa makanannya tersangatlah bertaraf lima bintang. Terima kasih Chef Bob sebab berjaya menyajikan kami dengan makanan yang sedap sekali.
  • Harga untuk hidangan lobster + air cincau special + ff yang yummy itu juga cukup berbaloi. Lebih2 lagi bila diukur dengan saiz lobster yang mencecah ke 1.5 kilogram (RMnya jauh dari jangkaan awal kami...alhamdulillah, semoga murah rezeki).
  • Bonus lain adalah, kebersihan Moon's Kitchen ni tip top.
  • Rupanya kedai makan Lin ni dah beroperasi lebih 10 tahun.
Kami doakan semoga Lin & Chef Bob berjaya memenuhi impiannya untuk membuka sebuah restoran kelak. Pasti, restorannya akan menerima sebilangan besar pelanggan setia yang tak mahu melepaskan peluang untuk menjamu selera di Moon's Kitchen.

Monday, May 23, 2011

Harum subur di hati (ini tajuk en Yem beri... hehehe)

Dari kiri; aku, kak Julie, kak Nuri dan kak Rose, antara yang turun padang pada hari itu.

Kak Nuri tekun mengeluarkan tanah dari polybag

Sempat lagi berposing... dengan pokok pun jadi tau...

Inilah pokok Mingguan Wanita itu. Kalau tak silap aku ini sejenis pokok herba tapi aku dah lupa namanya, kenalah rujuk balik dengan Lan dari Laman Impiana...huhuhu...

Ini team Rasa. Dari kiri; kak Seda, kak Yati dan Nani yang masing2 tak nak lepaskan momen indah bergambar dengan pokok, sempena Kempen Hijaukan Bumi Karangkraf.. :)


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,

Malam ini hendak mulakan dengan cerita apa ya. Banyak sebenarnya, memandangkan terlalu banyak perkara bertanggu tiba2 semuanya seakan mahu diceritakan selambak di dalam satu entri. Baiklah mulakan dahulu dengan Kempen Hijaukan Bumi di Kumpulan Karangkraf. Penyanyi peewitt! Abang Amy Search Rocks forever telah dijemput sebagai duta yang akan menjadi lead menanam pokok di perkarangan bangunan baru Kumpulan Media Karangkraf.

Kempen itu bermula pada bulan April yang lalu. Setiap magazine diberikan anak pokok, begitu juga dengan editor mempunyai pokok mereka sendiri. Sebelum sesi serangan menanan pokok bermula, Kak Ema, Grup Editor Impiana dah beri penerangan ringkas cara2 menanam pokok. Macam mana nak keluarkan tanah dari polybag. Kasi goyang2 sikit biar mudah untuk dikeluarkan. Tapi entah macam mana tanah kami boleh terbelah dua... hehehe..

Selesai acara menanam pokok Mingguan Wanita, kitaorang tolong (tengok sebenarnya!) kak Nuri menanam pokok bunga rayanya. Sempat jugalah berposing segaya dua. Cuma tak berkesempatan nak amik gambar dengan abang Amy. Hari itu Amy datang dengan keluarganya, kira meriah jugalah.

Itu cerita bulan April lalu. Dah dua bulan berlalu. Hari ini walaupun aku tak keluar untuk tugasan luar, tapi perlu interview seorang pengusaha produk kecantikan yang merupakan seorang lelaki. Wah! Lelaki pun boleh buat produk kecantikan. Lama jugalah kami berborak, saling bertukar pendapat dan saling bantu membantu. Demikianlah tugas aku hari2. Bantu membantu, seronok kerja itu. Yang tak seronoknya bila berhadapan dengan cabaran mencari orang yang hendak di interview. Boleh pecah kepala dibuatnya. Kena berdoa banyak2 di samping usaha yang 'luar biasa'.

Belah petang sebelum aku balik, kak Maswa kongsi ceria yang cukup membina dan mengujakan. Mana tidaknya, kalau ia melibatkan RM! RM! pasti mata yang layu pun boleh jadi celik secelik-celiknya...hehehe

Kata Kak Maswa yang baru balik dari Johor, dia berkesempatan menemuramah seorang penulis novel yang berjaya. Sebab apa dia dikatakan berjaya, sebab melalui hasil penulisan dan duit royalti itulah dia mampu membeli banglonya yang bernilai hampir RM400 ribu. Wah! Dahsat...hanya dengan menulis ya... bukan itu sahaja kereta dan aset2 yang lain pun hasil daripada berkarya. Adakah cerita ini sebenarnya sedang menyuntik semangat dalam diri aku secara diam2... insyaallah.. Dan yang paling kagum, kakak ini dahulunya hanyalah seorang pekerja kilang sahaja.

Kesimpulannya, siapa kata nasib seseorang itu tidak boleh berubah. Cuma kalau boleh tahu macam mana susah payah novelis itu menempuhi cabaran di alam penulisan, pastinya lebih best lagi... tentu kisah hidupnya boleh dijadikan sempadan dan panduan untuk meraih kejayaan sekaligus memberi inspirasi buat aku yang masih terkial2 mencari arah ini...

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri” (Ar-Ra’d: 11)

Saturday, May 21, 2011

Jiwa Nur Amina Dalam Diri Tiz Zaqyah



Oleh: Netty Ah Hiyer
Foto: Ahmad Shahir Othman
Solekan: Dinie Awalluddin
Kredit: http://www.mingguanwanita.com.my/md/


Fenomena Nur Kasih yang pernah menggetarkan jiwa hampir 19 juta penonton setia drama bersiri tersebut kembali menemui peminat setianya di layar perak. Kali ini getarannya lebih hebat dengan impak lakonan yang cukup berkesan di samping jalan cerita yang penuh debaran. Pastinya jiwa Nur Amina, isteri solehah untuk Adam lebih hebat diuji Yang Esa. Bagaimana perasaan Nur Amina, begitu jugalah ‘rasa’ yang ada dalam jiwa Tiz Zaqyah.

Seakan Nur Amina begitu akrab dengan dirinya. Rintihan hati dan lantunan emosi Nur Amina itu mengalir perlahan menghiasi gerak tubuh dan riak wajah Tiz Zaqyah seusai tayangan filem Nur Kasih The Movie. Sekali gus memukau jiwa puluhan wartawan yang hampir memenuhi setiap ruang tempat duduk panggung pada malam itu.

“Saya menangis dan tangisan itu masih belum berakhir,” ringkas bicara Tiz saat ditanya agar jujur dengan perasaannya sendiri selepas tayangan filem Nur Kasih. Waktu itu, tayangannya sudah pun berlalu lebih dari dua jam.

“Sebenarnya saya cukup rindu dengan karakter yang dibangunkan dari drama bersiri Nur Kasih. Pengembangan karakter yang dihasilkan menerusi kekuatan skrip telah menjadikan jalan ceritanya lebih mantap.

“Waktu berlakon, saya tidak begitu merasai keindahannya. Apabila ia telah diadun dengan muzik dan setiap plot disusun cantik, ia telah menjadi satu karya yang indah. Sebagaimana gementarnya saya melakonkan watak Nur Amina begitu juga lah gementarnya saya dengan penerimaan peminat kelak,” akui Tiz jujur.

Sememangnya pelakon berkulit putih ini meletakkan sepenuh tumpuan terhadap lako nan sulungnya di layar perak. Menurutnya setiap babak dilakonkan dengan bersungguh-sungguh tanpa berlebih-lebihan. Gerak laku dalam lakonan sehabis baik dijayakan secara semula jadi.

“Saya merasakan buat masa ini, Nur Kasih adalah sebuah filem pengorbanan paling agung di Malaysia. Ia bukan sahaja mendapat sambutan di negara ini malah negara Singapura turut menyaksikannya. Saya juga seperti krew-krew yang lain mengharapkan yang terbaik untuk filem,” tuturnya meluahkan pandangan peribadi.

Terbang ke Timur Tengah
Menerusi filem ini, dirinya perlu terbang sekali lagi ke negara Timur Tengah bagi menjayakan beberapa babak pasangan suami isteri yang berduka selepas ditimpa musibah. Hampir 14 hari Tiz perlu berkejar-kejar dengan jadual penggambaran yang cukup padat dan ketat.

“Ini kali kedua saya pergi ke Timur Tengah untuk Nur Kasih. Syukurlah kali ini saya lebih bersedia untuk berhadapan dengan apa-apa juga perkara yang berkemungkinan berlaku. Saya lebih bersemangat dan paras adrenalin saya melonjak-lonjak setiap kali mahu melakonkan watak Nur Amina.

“Cuaca dan juga makanan jauh beza dari negara kita. Fiz pula awal-awal lagi sudah bawa sambal ikan bilis dari Malaysia. Jadi perjalanan nya lebih selesa memandangkan kami telah pun bersedia.

“Tak dinafikan kami juga berhadapan dengan masalah komunikasi dengan orang-orang dari sana. Misalnya apa yang kami inginkan lain pula jadinya, tapi perkara itu dapat ditangani dengan baik.

“Kami berjaya menjalinkan kerjasama yang baik dengan semangat berpasukan yang tidak pernah kenal erti putus asa. Lagipun inilah satu-satunya peluang, sekali seumur hidup,” terangnya yang mengakui turut mengalami kulit kering sepanjang menjalani penggambaran di Timur Tengah.

Sememangnya pengarahnya Khabir Bhatia tidak bercadang untuk menjadikannya sebuah filem bersiri. Inspirasi daripada sokongan peminat setia drama bersiri Nur Kasih menyebabkan ia diterjemahkan ke dalam bentuk filem.

Gosip Calarkan Watak Nur Amina
Sirna kecemerlangan seni lakon wanita genit ini sememangnya begitu pantas tercipta. Dalam tempoh tidak sampai dua tahun, nama Tiz Zaqyah terus meniti di bibir para peminatnya.

Imej sopan yang ditonjolkan dalam lakonannya itu telah membuatkan Tiz disayangi oleh hampir segenap peminat drama bersiri ini. Belum puas peminatnya menyatakan kasih dan cintanya mereka pada pelakon watak Nur Amina ini, diri nya dilanda pelbagai gosip yang sedikit sebanyak mencalarkan keindahan keperibadian watak itu.

“Perjalanan seni saya bergerak dengan cepat dan saya melihat ia satu perkara yang bagus untuk diri saya. Apabila saya diberi rezeki dan kepercayaan untuk menjayakan watak yang besar, saya akan melakonkan watak saya dengan sepenuh perasaan. Saya melakonkannya meng ikut skrip dan watak yang diingin kan oleh pengarah. Sebolehnya saya akan memberi kerja sama dan menyelesakan diri dengan para pelakon yang akan bergandingan dengan saya.

“Namun, inilah diri saya, apabila berhadapan dengan keadaan yang kurang menyenangkan saya lebih selesa menyimpannya sendiri. Sebenarnya saya mahu peminat melihat bukan kepada personal saya sebaliknya lakonan saya.

“Saya seorang pelakon dan saya melakonkan watak itu mengikut arahan bukannya untuk menjadi bahan yang akan dipersendakan,” luahnya yang sentiasa berfi kiran positif dalam kerjayanya itu.

Suara Syahdu
Menerusi promosi Nur Kasih The Movie peminat turut dipersembahkan dengan kesyahduan suara Tiz Zaqyah yang bergandingan dengan penyanyi tersohor Yasin. Nyanyiannya itu turut dimuat kan dalam sound track filem berkenaan.

“Sebenarnya waktu diminta untuk menyanyi dengan Yasin, saya jadi gementar. Lebih-lebih lagi, lirik ini ditulis oleh isterinya dan digubah oleh penggubah yang sudah ada nama. Saya mula terfikir bagaimana nanti harus saya lantunkan suara saya agar sama alirannya dengan nyanyian Yasin.

“Jauh di sudut hati saya cukup berbesar hati apabila diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu ini. Apatah lagi, liriknya benar-benar menusuk ke jiwa. Sungguhpun saya minat menyanyi, tapi saya tahu kemampuan diri saya. Pastinya saya tidak pernah beranggapan untuk bertukar bidang menjadi penyanyi.

Hendak beraksi di atas pentas pun sudah gementar. Biarlah lakonan menjadi tumpuan saya. Lagipun masih banyak lagi kepuasan yang belum saya capai dalam bidang ini,” akhirinya sambil memaklumkan rakaman lagunya itu telah mengambil masa selama empat hari.

PS: Bukan movie je ada marathon, aku pun bermarathon gak waktu menyudahkan cerita Tiz ini. Balik dari assignment menemuramah usahawan produk kecantikan Kak Athirah, aku langsung menaip empat story sampailah penamatnya jam 8 lebih. Pastinya yang terakhir itulah yang terindah. Alhamdulillah.

Wednesday, May 11, 2011

Pagi yang indah bersantai dengan Pak Hamid Gurkha dan Makcik Timah

Pak Hamid dan cucu2 dari belah anak sulung.

Herba cerek2 yang belum kering, hijau warnanya. Yang dah kering tu akan Pak Hamid ketuk perlahan2 biar sampai lerai dari kulitnya. Isinya itulah yang kemudiannya dimakan untuk mengubati penyakit kencing manis dan darah tinggi. Insyaallah...ini kerja waktu lapang Pak Hamid. Nampaknya kerja2 menenangkan inilah yang membuatkan Pak Hamid masih sihat sampai hari ini.

Makcik Timah dan Pak Hamid pasangan sporting yang sudi melayan aku pada pagi itu. Semoga Allah membalas kebaikan dan kemurahan hati Pak Hamid dan Makcik Timah.

Pak Hamid ketuk, Makcik Timah hulurkan mangkuk. Saling bekerjasama dan memahami pasangan merupakan rahsia yang sempat dikorek tentang kerukunan rumahtangga mereka berdua.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Entri ini dah berhari2 dirancang di dalam kepala, tapi disebabkan tahap kesihatan emosi yang tidak memberangsangkah ia telah tertangguh hampir seminggu lamanya. Pagi Sabtu ini aku paksa diri, apapun terjadi perlu siapkan juga entri ini.

'Picanto Ex merahku meluncur laju membelah Lebuhraya Klang-Shah Alam. Menyusuri jalan raya yang tidak begitu sesak di pagi hari Rabu agak menyelesakan terutama buat pemandu yang masih lagi menampal pelekat P macam aku ini :) Perjalanan diteruskan sampai ke Taman Sri Andalas, Klang keretaku membelok dan melaju ke Taman Perumahan yang awalnya aku sangka namanya Sri Damai. Mujur ada abang Malek, perunding pelaburan yang tip top itu. Kata abang Malek, di Taman Sri Andalas hanya ada Jalan Sri Damak bukan Sri Damai. Memang betullah telahannya itu. Elok saja aku memberhentikan kereta di hadapan rumah bernombor xx (tak boleh dedahkan ya demi keselesaan tuan tanah) hehehe.. aku nampak Pak Hamid sedang tekun membaca suratkhabar di pondok kayu dekat depan rumahnya.

Selepas bertanya khabar dan memaklumkan tujuan kedatangan, isteri Pak Hamid, Makcik Fatimah keluar menyapa kami. 'Garang juga makcik Timah ni, seram siot!' Hati aku terdetik. Aku cepat2 berdoa pada Ilahi mohon dipermudahkan segala urusan. Ternyata pasangan suami-isteri ini tidak seperti yang aku fikirkan. Mereka cukup baik hati; siap bagi sarapan nasi lemak dan kuih yang sedap untuk aku :) Tak lama lepas itu, cucu Pak Hamid balik. Lagilah meriah dibuatnya. Mereka pun cukup seronok berposing bagai. Tak sabar nak masuk majalah katanya.

Rahsia2 cinta Pak Hamid dan Makcik Timah berjaya sudah dikorek, di gali nanti mudahlah aku menaipnya bila balik ke pejabat. (Cerita Pak Hamid ini akan dipaparkan dalam majalah Mingguan Wanita keluaran 1348, cover Tini dan anak dalam ruangan Cinta Orang Popular). Memandangkan hari itu tak ada 'fotografer', akulah yang mengambil setiap gambar2 pada hari itu. Apa lagi, terderalah seketika Pak Hamid dengan Makcik Timah. Mula2 aku suruh bergambar berdua di pondok kayu, lepas itu hidang menghidang, tak cukup lagi aku suruh Pak Hamid ke taman mini dekat rumahnya. Berposing segaya dua di situ. Alhamdulillah, Pak Hamid sporting. Seronok tak terkata.

Bila aku nak melangkah balik, Pak Hamid cerita lagi. Tak jadi aku melangkah, masuk semula ke rumah dua tingkat yang telahpun diubahsuai itu. Mujur datang seorang, bolehlah berlama2 di sini. Kali ini Pak Hamid cerita tentang tanaman herba pokok cerek-cerek yang ada di taman mininya. Kata Makcik Timah, lepas menyapu sampah bukan sahaja di depan rumah malah menyapu daun2 di sepanjang jalan rumah jiran-jirannya, Pak Hamid akan petik biji cerek-cerek lalu menjemurnya. Biji cerek-cerek yang dah kering akan Pak Hamid ketul perlahan-lahan biar sampai terpecah kulit dari isinya. Isinya itulah nanti yang akan dikumpulkan dan dimakan pada waktu malam.

Bijinya pahit, jadi kena makan dengan buah pisang atau telan terus dengan air kosong. Jangan cuba2 hendak mengunyahnya gitu2, sebiji sahaja sudah pahit ya amat. Makannya pula bukan sebiji dua, tapi dekat 10 biji. Barulah mujarab untuk penyakit kencing manis atau darah tinggi. Kata Makcik Timah, penangan cerek-cerek ini menyebabkan orang dari Sarawak pun sanggup mengejar Pak Hamid sampai ke rumah. Dan... yang paling bestnya, sebelum balik Pak Hamid sempat bekalkan sebekas biji cerek-cerek untuk diberikan kepada ibuku yang dikasihi. (Sebabnya Mak Cik Sulbiah itu pun ada darah tinggi...ngeee).

Dekat dua jam bertamu di rumah Pak Hamid, tibalah masanya untuk aku mengundur diri. Sebelum melangkah pulang, Pak Hamid siap2 bagi direction kat aku, minta aku ikut jalan yang dia bagi betul2. Sebelum pergi ke rumah Pak Hamid, geng MW udah berpesan pesan, 'Net jangan lupa bergambar dengan Hamid Gurkha," Nah! Aku betul2 ambil gambar dengan Pak Hamid...sejarah tu..(sebenarnya banyak juga orang2 besar yang ditemui..tapi ntah kenapa tak tergerak hati plak nak bergambar bersama...huhuhu, sayang jugakan) 'mungkin nak jumpa banyak kali lagilah tu' - aku cuba tenteramkan hati yang tak berapa pandai nak mengambil peluang ni.

Saturday, April 23, 2011

30 tahun Mingguan Wanita

Dari kiri: Wan Szaza (dialah orangnya yang wat masuk RM dalam akaun MW), Oda (kalau nak wat fesyen show, idea2 dekorasi dan yang berkaitan dengannya Odalah orang yang tepat untuk kami cari, aku, Nisa dan Intan (wartawan di meja MW)

Nieda (grafik MW) sebagai penolak troli kek, Eton pula pengiring yang akan memastikan kek itu tak jatuh tergolek waktu sesi tolak menolak...yang lain pose cantik jer...hehehe..namapun meraikan MW (opss terlebih sudah statement ni..) depan kitaorang semua ini Hazami sedang menyanyilah lagu Happy Birthday to MW!

Selesai majlis kami beramai2 pose dengan penyanyi Hazami. Yang kak Nuri peluk tu, Penerbit Eksekutif KMK, Puan Firdaus Hussamuddin.


Mingguan Wanita dah 30 tahun!

Baru2 ni team MW sambut hari ulangtahunnya di Holiday Villa, Subang. Kami sambut beramai2 dengan pembaca dan penulis tetap yang tidak pernah jemu menyumbangkan artikel mereka dalam majalah. Banyak hadiah pembaca kami dapat hari itu. Ada yang dapat tudung mahal, pencuci muka, kupon ke spa, tiket minum petang d hotel lima bintang dan banyak lagilah... mana nak dapat semua tu.. yang penting percuma pulak tu..

Antara penulis yang hadir, Dr Tuah, Dr Azhar, Eddy Rosyadie, Dr Muhammad Jantan, Cik B dan Dr Rusmini Maris. Mereka ini antara penyumbang yang besar dalam majalah Mingguan Wanita. Saban minggu banyak sekali maklumat berguna yang akan mereka sampaikan dalam ruangan masing-masing. Ruangan mereka itu dikendalikan oleh Ketua Wartawan MW, Almaswa Che Ros. Mereka pun macam wartawan gak, setiap minggu perlu memenuhi deadline yang kami tetapkan.

Kalau MW kena wat kerja advance, mereka pun sama gak... kiranya hebatlah penulis2 nih... bukan senang nak terkejar2 sama menulis bahan berita macam kami ni..wah angkat bakul sudahhh...Dan yang paling seronok, tak lama lepas event 30 tahun MW dan selesainya majlis MW bersama Slimworld, Wawa (wartawan yang kelola colum Catatan Perjalanan) itupun selamat melahirkan anak ketiganya. Nampaknya kami dah tambah sorang lagi anak sedara perempuan, amin...

Kata kak Nuri majlis yang kita buat tu softlaunced je..nanti akan ada yang betul2 sambutan semeriah2 alam pada bulan Januari tahun depan... hm...sekarang ini pun deadline bumper raya dah semakin menghampiri... wah! cam tak menang tangan...

Moga aku terus diberikan kekuatan olehNya... amin...

Thursday, April 7, 2011

Di sebalik kisah makcik Saidah



Ruangan: Kisah Masyarakat
Majalah: Mingguan Wanita
Cover: Misha Omar

Hampir sebulan entri ini pegun di ruangan draf. Lama membiarkannya di situ, tanpa sedar yang laman sesawang aku ni dah bersawang rupanya. Benar, lama sebenarnya aku tak update apa2 di sini. Alasan aku masih klise lagi; tak de mood. Kadangkala bila kita dah melalui pengalaman demi pengalaman yang sungguh luar biasa membuatkan kita jadi sukar sekali untuk menceritakannya dalam bentuk penulisan seperti ini.

Alhamdulillah...

Kali ini aku mahu bercerita tentang ruangan kisah masyarakat. Cerita tentang makcik Saidah yang mempunyai 12 orang anak. Kisah lanjut yang serba luar biasa ini boleh dibaca dalam MIngguan Wanita yang cover Misha Omar itu. Rasanya dah tak ada lagi di pasaran, tapi masih boleh mencarinya di Pesta Buku Kuala Lumpur yang sedang berlangsung di PWTC bermula hari ini.

Kita selongkar belakang tabir tentang pembikinan cerita makcik Saidah ya. Makcik ini sebenarnya kakak cleaner dekat bangunan baru Kumpulan Media Karangkraf (KMK). Tak berapa lama dulu, ketua wartawan kami Almaswa Haji Che Ros minta aku temuramah makcik Saidah atau lebih mesra kitaorang panggil kak Ida. Katanya anaknya 12 dan suaminya dah kena potong kakinya.

Barangkali rezeki makcik ini dan kebetulan minggu depan aku perlu mengisi ruangan Kisah Masyarakat, cepatlah aku mengatur temujanji dengannya. Aku pergi dengan jurugambar kami Asril Aswandi. Ternyata Asril dapat mengambil shot2 menarik yang memang menyayat hati sesiapa yang melihatnya.

Ruangan itu agak terhad jadi tak banyak gambar yang cantik2 yang dapat dikongsikan dengan pembaca. Insyaallah, nanti aku kepilkan cerita makcik Saidah dengan gambar makcik itu sekali. Makcik Saidah ini gigih orangnya. Baru beberapa bulan kerja di KMK dia dah jadi ketua cleaner kat situ. Paling best, makcik Saidah panggil aku 'Manjer'. Berbunga2 hati aku bila makcik Saidah panggil gitu. Tapi lepas dia dah hafal nama aku gelaran itupun dah hilang...sob3...

Yang paling best lagi, cerita aku itu rupanya mendapat perhatian daripada pihak sekolah anak-anaknya. Hasilnya mereka menerima bantuan persekolahan dan makcik Saidah pun dapatlha serba sedikit bantuan dari beberapa pihak.

Alhamdulillah...

Ada lagi yang best... mak cik Saidah sekarang ini dah jadi informer untuk aku dapatkan cerita-cerita orang susah untuk aku muatkan dalam majalah kelak.

Alhamdulillah...

Kalau ada sesiapa yang nak berkongsi cerita & kalau sesuai untuk dimuatkan dalam majalah Mingguan Wanita jangan segan2 untuk mengemelkan nama dan nombor untuk dihubungi ke emel saya ya, netty@karangkraf.com.my

Alhamdulillah... berjaya akhirnya aku menyiapkan satu cerita menarik untuk blog kali ini. Sampai kita berjumpa lagi ya...

Wednesday, March 16, 2011

Makan2 di Glory Beach Resort

Malam itu konsep aku ngan nisa - merah... seb baik tak pakai tudung color hitam, kalau tak... dah macam kumpulan Borialah pulak. Muka Nisa yang licin itu dibersihkan dengan pencuci yang ada serbuk emas katanya. Tapi mahal sangatlah Nisa, tak mampu untuk ku memilikinya... huhuhu...


Nampak je Ijam merakam keindahan alam dengan kameranya itu. Kami pun terhegeh2 mendekati Ijam sambil mengayatnya dengan kata2 paling manis sekali. Dan... inilah hasilnya!

Jauhnya pergi makan...sebenarnya bukanlah acara makan2 pun. Aku cover event yang ditaja oleh sebuah syarikat pinggan mangkuk. Malam itu ramai stokis dan pengedar berjaya telah diraikan. Ada yang dapat kereta, motosikal, peti sejuk, televisyen malah loket emas. Salah seorang pengedarnya telah tersenarai yang terbaik. Rupanya kakak ini dah menang selama 3 tahun berturut2 hebatkan?

Stokis terbaiknya pula sempat aku temui selepas majlis. Dia bergandingan dengan suami. Bak kata pasangan suami isteri ini mereka bergerak seiringan. Malam itu pak cik dan mak cik ini menang dua buah kereta dan telah membuat jualan lebih RM300 ribu. Katanya dalam bulan April nanti dia akan menang hadiah lagi, tapi untuk jualan produk lain pula. Pak cik dan Mak cik ini berniaga di Temerloh. Seronok gak dapat bertemu dengan orang2 berjaya ini. Boleh korek rahsia kejayaan mereka dan jadikan inspirasi yang baik untuk dikongsi bersama ramai orang. Mak cik dan pak cik ini juga menjalankan perniagaan travel & tour yang membawa bakal jemaah haji dan umrah.

Walaupun, malam itu mata dah tak larat nak angkat, tapi masing2 masih terus memberi komitmen kerja yang baik. Event tu habis ngam2 jam 11.30 malam. Campur tolak temuramah dan merakam gambar pemenang untuk dimuatkan dalam majalah, lebih kurang 12 lebih jugalah kami balik ke apartment.

Di Glory Beach Resort, tempat menginapnya dalam bentuk apartment. Ada yang dua bilik dan ada juga yang tiga bilik. Harganya pun berpatutan. Kami dapat tiga bilik, memang luaslah boleh guling2 lagi. Tapi disebabkan bekerja tak adalah nak berguling2 sangat dalam apartment itu...hehehe. Sebaik saja sampai sana, kami sempat makan bekalan perkelahan yang sepatutnya dimakan lebih awal.

Sorrylah Eton, hari itu kak Net memandu dari rumah ke ofis. Dengan tahap pemanduan yang ala2 P eton terpaksa menunggu lama. Dekat sejam jugalah. Kasihan sungguh dengan Eton hari itu... ampun... ampun. Nanti bila debaran memandu dah hilang pasti kak Net boleh memecut dengan lebih laju ya...


PS: Akan datang, cerita pula trip percutian di Kuantan ya...Kan dah kata tahun ini merupakan tahun melawat Malaysia untuk diriku sendiri :)


Monday, March 14, 2011

Singgah bertamu di Pekan Kuah, Langkawi

Merakam kenangan di ruangan kokpit feri yang aku naiki tengahari itu. Lelaki di sebelah itu bukan kapten feri tapi pembantu jurumudi feri ini.

Melepaskan lelah selepas seharian berkejaran dalam taman. Sementara menunggu untuk dibawa menaiki bot penumpang tidak jauh dari jeti Langkawi, aku ambil kesempatan melepakkan diri di lobi My Hotel.

Jurugambar aku hari itu, Asmawal Arshad. Namanya hampir sama dengan salah seorang penulis MW, Almaswa Haji Che Ros

Waktu ini aku dah ambil seat di dalam bot..chewah! Macamlah ramai sangat...cuma tujuh orang pun..

Bukan senang nak ambil gambar ini..sebabnya waktu gambar ini dirakam, bot sedang bergerak menjauhi jeti Langkawi.

Gambar ini dirakam di ruang paling atas dan luar dari tempat duduk penumpang di dalam feri. Suka sangat tengok gambar ini...cantik pemandangan latarnya. Tuan punya badanpun comel juga, jangan berani2 ya, ini abang bomba yang punya...hehehe...

Pertengahan Februari lalu, aku ditemani Zaiton (yang wajahnya ada iras2 Linda Jasmin itu) dan jurugambar, Asmawal berkesempatan menjengah Pekan Kuah, Langkawi. Sayangnya masa cukup cemburukan kami, waktu yang ada amat terhad untuk memungkinkan kami mengenali lebih 'mesra' Pulau Langkawi yang cukup terkenal di serata dunia dengan kisah lagenda sumpahan Mahsuri itu.

Segalanya tersedia atas tiket tajaan. Bermula dari pengangkutan feri ke pulau itu sampailah lokasi penginapan kami untuk malam harinya. Satu-satunya pengusaha feri bumiputera, di Pulau Langkawi, Ku Azhar Ku Abdul Razak sudi menjemput kami dan membawa kami berjalan merata2 pulau; dari Pekan Kuah sampailah ke Chenang. Sebelum ini aku pernah menemuramahnya untuk ruangan personaliti lelaki sekitar tahun 2007. Ku merupakan salah seorang penaja peraduan Kumpul dan Menang MW untuk tahun 2010. Antara hadiah istimewanya adalah tiket pengangkutan dengan My Ferry dan penginapan eksklusif di My Hotel yang diperoleh dengan hanya mengumpulkan keratan cover Mingguan Wanita dari tarikh yang ditetapkan oleh pihak editorial. Mudah bukan? Yang penting, hadiah bercuti itu percuma sahaja.

Kata isteri Ku Azhar, Tun Sarimah tak sah kalau tak bawa penulis MW untuk merasai sendiri pengalaman menginap di hotelnya dan menikmati perjalanan ke Pekan Kuah dengan perkhidmatan ferinya itu. Pelawaannya itu, kami sambut dengan lapang dada (Sebab itulah awal tadi aku katakan yang lokasi penginapan dan pengangkutan kami free..hehehe).

Waktu dalam feri kami di bawa ke bahagian kokpit. Seronok, sebab itulah pertama kali aku dapat sampai ke bahagian itu. Sempatlah merakam sekeping dua gambar di ruangan itu. (Bergambar saja kerjanya). Kemudian, kami dibawa ke My Hotel (milik Ku Azhar dan dikendalikan oleh isterinya, Tun Sarimah). Selesai kerja2 menemuramah, langsung kami di bawa menaiki bot mengelilingi sebahagian pulau. Kata Ku, harga botnya yang comel itu sahaja sudah mencecah jutaan ringgit. Wah! Aku terpana...

Kira-kira jam 6 petang, kami dibawa ke Pulau Bagan Nyior. Di situlah aku bertemu dengan Pak Jaafar atau lebih mesra dengan gelaran Pak Chu Pat. Kisah Pak Chu ini aku abadikan dalam ruangan Kisah Masyarakat majalah Mingguan Wanita cover Lisdawaty dan anak2nya. Pak Chu usahawan pulau yang gigih. Menurut Kak Tun, mereka pun dah lama tak menjenguk keluarga Pak Chu kerana kesibukan kerja. Tapi bila keluarga ini datang ke situ, masyarakat kampung di situ menyambut mereka dengan ramah. Sememangnya Ku yang aku kenali itu dia agak mesra rakyat sikit + selamba brutal (eh ini bukan bermakna ganas tau) tapi sikap prihatinnya itu membuatkan orang kampung sukakan keluarga ini. Sempatlah kami makan roti canai kuah ketam. Mana nak jumpa kat tempat lain. Sedappp sekali...mesti aku rindu dengan keenakannya kelak.

Malam harinya, kami bergegas pula menemuramah seorang Datin yang aktif dengan kerja kemasyarakatan dan usaha mengajar kraftangan di Pulau Langkawi. Baik hati dan mesra sekali orangnya. Sekali lagi kami dijamu dengan makanan. Hm, orang Langkawi ini memang suka menjamu tetamunya dengan makanan kot..hehehe. Sepanjang kami di situ kenyang memanjang..Syukur, alhamdulillah.

Sebelum balik, esoknya Ku bawa kami ke sebuah gerai menjual hasil laut. Macam2 ada, semuanya fresh dari laut. Paling aku seronok sangat, aku dapat jumpa ikan bilis hitam yang mak aku suka. Apa lagi, terus aku rembat sampai sekilo tak termasuk harta rampasan perang yang lainnya. Berbaloi betul..dahlah dapat harga diskaun harga kak Tun, pastu sampai hari ini ikan bilis hitam itu masih ada lagi..itupun dah bahagi dua dengan mak. Itu belum cerita memborong coklat-coklatan lagi. Huhuhu...

Sebenarnya, banyak lagi cerita di Pulau Langkawi yang tak sempat kami jejaki. Antaranya, kenalan Ku yang mengusahakan import dan eksport ikan, pengusaha ikan bilis dan macam2 lagi kisah masyarakat yang boleh dijadikan kisah menarik untuk menjadi tatapan dan inspirasi pembaca Mingguan Wanita. Insyaallah jika ada kesempatan Pekan Kuah itu akan aku jejaki semula. Yang pastinya tahun 2011, merupakan tahun aku jalan-jalan cari pasal opss makan :)

PS: Akan datang, aku khabarkan kisah di Glory Beach Resort, Port Dickson pula ya...

Related Posts with Thumbnails