Follow Saya Di Google Plus

Friday, June 28, 2013

Zarif pilih Maixara

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Zarif ketika diserang asma dan mendapat rawatan di Klinik As Syakirin U10.
Sejak penghujung tahun lalu, sampailah awal tahun ini Zarif terlalu sering diserang penyakit asma yang agak mencemaskan kami. Pernah sekali waktu kami balik kampung, batuk mula dikesan, nafasnya berbunyi kuat dan tidak lancar. Kejadian dekat nak maghrib ketika di kampung Lenggong sungguh mendebarkan.

Paling berdebar, sebab kami memang kena balik kerana esoknya aku perlu ke satu tugasan menemuramah seseorang. Lama dia duduk di wad kecemasan dekat Klinik Lenggong. Sampaikan pegawai klinik terpaksa berikan satu ubat paru-paru yang cukup kuat untuk dia. Mujurlah tak ditahan dalam wad. 

Mungkin juga sebab Zarif bukan warga Lenggong, kalau tidak mahu selamat ibu dan Zarif naik ambulans ke Hospital Grik. Dalam tempoh terdekat Zarif pasti diserang asma lagi. Seram bila nafas Zarif turun naik. Lebih seram bila nafasnya turun naik di tengah bulan. Sekali sedut gas itu bukan sedikit RMnya. Pastilah en Yem yang paling kasihan, kerana part itu dia yang perlu bereskan.

Dalam kekalutan mencari penawar untuk Zarif, aku tiba-tiba terfikir untuk memberikan suplemen Maixara. Bukan untuk Zarif, Mirza pun dapat juga habuannya. Cuma bila aku cuba pada Zarif nampak perubahan yang positif. 

Jerebu baru ini, sekali lagi menyeramkan hati. Bimbang Zarif diserang asma dengan kronik untuk sekali lagi. Tapi langkah awal telah dibuat, siap-siap beri Zarif dan Mirza sebiji Maixara sehari. Bagi ubat batuk lelah siap2 dan alhamdulillah, Zarif cuma letih sedikit-sedikit. Sejak amalkan Maixara memang dah nampak perubahan yang baik dekat asma Zarif. Aku pun amalkan sama makan suplemen ini. Kadang2 berkongsi juga dengan kawan2.

Oh sebenarnya mahu bercerita lagi panjang. Tapi esok perlu bangun seawal 5 pagi kerana ada tugasan menanti. Konvensyen Usahawan Mingguan Wanita di PWTC bakal menjadi sejarah untuk kami. Semoga segalanya berjalan lancar. Amin.

Syukur sudah ku temui solusinya.

PS: Rasa macam huru-hara sangat perkongsian aku malam ini. Maaf banyak2 minda tak berapa nak stabil malam ini. :)


 

Red carpet Datuk Lee Chong Wei

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani,

Sempat lagi tu merakam gambar berdua untuk kenangan, hihu..

Selasa malam Rabu, esok dah Rabu? Aduhai, penangan deadline semakin hampir. Khamis adalah hari deadline di meja Mingguan Wanita. Selalunya hari itu, aku tak kan set temujanji melainkan terpaksa atau yakin kerja dah boleh saip awal2.

Cerita deadline di meja wartawan memang takkan pernah habis. Sama juga dengan tekanan emosi yang menggila bila individu yang hendak ditemuramah tiba2 tak dapat ditemui; sama ada sakit secara tiba2 atau ditimpa hal yang mereka tak boleh nak elakkan. Pernah juga aku sendiri yang batalkan temujanji; andai ada meeting tergempar, artikel masih banyak belum ditaip dalam masa yang sama editor dah menjeling tajam atau aku sendiri yang jatuh sakit.

Semua hal itu berkemungkinan. Bagaimana kita berhadapan dengan stress itu adalah skill kesabaran dan ketabahan yang tak boleh dibeli dengan wang ringgit. Waktu mula2 jadi wartawan, memanglah amat nazak sekali tahap kestressannya. Terutama jika ia melibatkan artikel 'cover' (deal dengan artis dsb), VIP waima dekorasi rumah. Bukan senang hendak cari pengganti di saat akhir.

Syukur alhamdulillah, sepanjang berkhidmat di meja Mingguan Wanita belum pernah colum itu diisi dengan muka sendiri.. hehe (ini istilah kami kalau 'bahan' last minute cancel). Perlu kreatif dan inovatif serta cekap bertindak untuk mengatasi setiap permasalahan yang berlaku.

Teringat aku waktu nak menempatkan diri dalam majlis perkahwinan Datuk Lee Chong Wei tidak lama dulu. Bukan mudah ya, daripada kosong (tiada jemputan pun), sampailah akhirnya penganjur terpaksa mengalah menjemput kami dari meja Mingguan Wanita. Bantuan ketua wartawan, Kak Maswa membuatkan kerja-kerja menjadi mudah.

Majlis atlit negara ni bukan dibuat sekali dua. Bermacam2 majlis, mula2 tayang baju kawenlah, perkenalkan designerlah. Kalau dikira dekat enam majlis yang dia jemput repoter sebelum acara majlis perkahwinan besar-besarannya berlangsung. Waktu pergi salah satu press conferencenya itu, sempatlah kami berbual dengan wartawan akhbar Cina, sebenarnya macam2 cerita keluar dalam akhbar diaorang cuma kita tak faham nak baca je, sebab tu perkahwinan Datuk ni tak jadi isu sangat dalam akhbar Melayu.

Tapi dalam banyak2 perkahwinan artis yang pernah aku pergi. Majlis Datuk ini yang paling mencabar. Mungkin sebab selebritinya atlit sukan, dia punya cabaran nak dapatkan gambar pun dah macam gaya nak bersukan je. Punyalah payah. Berasak2 sampai ada kejadian kek pecah berderai sebab dilanggar oleh jurugambar yang berebut2 tu.

Tak boleh nak salahkan jurugambar juga. Mereka menjalankan tanggungjawab kerja sebenarnya. Kalaulah pihak penganjur berlembut sedikit dan beri ruang kepada jurugambar untuk ambil gambar rasanya kejadian 'scary movie' tu takkan berlaku. Dan paling sedih, kami tak dapat pun masuk ke dalam dewan. Cuma cover red carpet sahaja. Huhu.. sob3.

Dalam pada kesedihan tu, paling aku tak tahan melihat aksi jurugambar Halim Salleh (sekarang selamat dah jadi stringer kat NST) gigih mengejar2 isteri Datuk, Datin Wong Mew Choo yang berlari2 pecut sebaik saja keluar dari toilet. Hehehe.. (Halim, kak net senyum sendiri bila kenang aksi kamu yang terloncat2 itew).

Sungguh, itu kenangan yang cukup manis. Walaupun dari awal cabarannya begitu hebat sekali, namun di akhirnya ianya begitu menyeronokkan. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Ramai jugalah jurugambar MW yang buat coverage, antaranya Epol (gambar Epollah yang diguna untuk cover) dan Ayie. 

Friday, June 14, 2013

Bila lampu terpadam

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani,


Sudah tiga malam, rumah saya dan beberapa orang jiran terdekat mengalami gangguan bekalan elektrik. Waktu kejadian pun lebih kurang sahaja jamnya, antara 10 ke 11 malam. Sebenarnya sebelum ini, kira-kira bulan 5 dulu pernah 'blackout' dekat perumahan Taman Sri Puteri, Meru. Mula2 lampu terpadam. Tapi tv dan kipas 'on' macam biasa. Pelikkan.

Lampu kejap2 on-off, macam main ba ba cak. Selepas hari itu, bekalan elektrik sering terputus. Sampailah malam kelmarin, semalam dan hari ini ia jadi sekali lagi. Masuk hari semalam. Hati saya pun sudah tak boleh tahan. Panas satu badan. Cepat2 minta bantuan Cik Noh. Konon2 kalau tak selesai juga masalah nak naiklah bawa sampai ke telinga YB. (Macam bagus je kan?)

Sekali Cik Noh bagi nombor telefon pegawai tnb. Sebenarnya bukannya tak nak minta bantuan Careline tnb tu. Tapi dah berbuih mulut sama je jawapan diaorang. Penerangannya pun memeningkan kepala 'mokcik' yang orang kebanyakan ni.

Kata pasal apa benda kat lebar daun dah timpa wayar tianglah, pasal fius terbakar dan dan bergantilah, pasal kerosakan besar dekat area setia alamlah, pasal jalan rumah saya dekat dengan jalan sentosalah. Macam2lah sampai tak faham pun. Yang bestnya. Siap cakap malam kejadian diaorang terima banyak aduan. Nak tergelak pun ada, sebab careline tukan memang tempat terima aduan. Kalau tak de aduan tak carelah namanya. :)

Patutnyalah bila aduan yang sama oleh orang yang sama setiap malam pula tu, report tu dah di bawa ke pihak atasan untuk tindakan lanjut. Ini tak standard je jawapan dema ni. 'Bila kata nak buat aduan ke pihak atasanm boleh pula kata, Ya Cik dibenarkan berbuat demikian." Lagilah kelakar bunyinya.

Akhirnya, tak sempat pun nak buat aduan kat pihak atasan. Sebab pegawai tnb yang cekap tu dah turun padang pun. Takpelah kakak careline, kabel saya lagi besar. Siasatan dijalankan dan tepat jam 12.35 malam pak cik pegawai tnb ni maklumkan port yang support bekalan elektrik kawasan rumah saya tu dah kena curi satu. Patutnya ada dua. Bila dah cacat, dia dah tak boleh tampung dan tiap kali penggunaan elektrik meningkat contoh pasang aircond dsb, dia pun blackout. Maknanya ia bukanlah tentang fius atau kerosakan besar seperti yang dimaklumkan oleh kakak careline tu.

Berkongsi cerita yang satu ini bukan bermakna mahu menuding jari atau menyalahkan sesiapa. Sekadar meluahkan apa yang dirasa. Syukurlah kejadian yang sama telah berjaya di atasi. Barangkali selepas ini panggilan ke Careline hanyalah sekadar menjaga hati, sebabnya nombor pakcik tnb yang baik hati sudah ada di tangan. Tak perlu pening2 kerana sudah tahu saluran mana yang lebih mudah dan cepat. Tapi tak boleh sesuka hati ya, kerana perlu fahami juga tugasan orang lain. Jika sudah terlalu sukar dan tiada jalan penyelesaian barulah boleh minta bantuan pakcik tnb sekali lagi.

Tuesday, June 11, 2013

Cerita tugasan yang tertangguh

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,

Hotel De Palma Shah Alam menjadi saksi pertemuan kami, Antara rakan media yang ada sekali. Dari kiri: Kak Ruzian (Midi), kak Faridah (Nur), Kak Mashi (Nur- baju sama macam Sheikh Raed :), Kak Wa (Editor Midi) dan saya le tu.

Cerita malam ini mahu melangsaikan hutang 'stori-mori' yang tertangguh. Sebab apa tertangguh? Sebab mood menulis baru 'mari'. Lewat September tahun lalu, Sheikh Raed Solah, pejuang Palestin bertamu ke bumi bertuah Malaysia. Ketika itu, dirinya masih lagi menjadi tahanan Israel. Semacam satu keajaiban lelaki hebat itu boleh keluar dari Palestin dan mendapat pelepasan yang mudah dari Israel tanpa banyak halangan.

Itulah kerja tuhan. Jika Allah sudah mengkehendaki perkara itu terjadi maka ia akan terjadi juga. Sheikh Raed tidak bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi setiap penyampaiannya diluahkan dengan bahasa Arab yang indah. Bila diterjemahkan oleh CEO Aman Palestin Malaysia, Ustaz Awang Suffian Awang Piut semakin indah dan menusuk ke kalbu setiap bait kata-katanya.

Sungguh ada beberapa kata-kata indah itu yang menyentuh rasa hati yang paling dalam dan menerbitkan rembesan air mata yang tidak tertahan-tahan. Terutama apabila Sheikh Raed berkongsi cerita kekejaman Israel terhadap anak-anak, wanita Palestin, kubur-kubur orang Palestin dan apa sahaja yang berkaitan dengan Palestin.

Sampai hari ini saya masih boleh ingat tentang kata-katanya, isu Palestin bukan soal pembebasan Palestin semata-mata. Tapi ia adalah isu tentang apa yang telah dinyatakan di dalam al Quran agar kita umat Islam mempertahankan dan memperjuangkan apa yang berkaitan dengannya.

Sungguh dan insyaallah ia masih terkesan sampai hari ini. Selagi terdaya untuk mempertahankannya saya cuba sebaik mungkin. Sekurang2nya aku berjaya melupuskan keenakan Mc D daripada kotak ingatan saya dan anak-anak. Titik.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Artikel yang saya kongsikan ini pernah keluar dalam majalah Mingguan Wanita keluaran 1508, tak ingat pula tarikhnya..huhu. Dimuatkan dalam ruangan Bicara tokoh. Artikel yang ada ini belum diedit. Semoga perkongsian ini dapat membuka pintu hati kita untuk memperjuangkan pembebasan Palestin. Biarlah sumbangan kita tidak sebesar mana, tidak sampai ke Palestin untuk sama2 merasai derita mereka, semoga usaha yang tidak seberapa ini (untuk memberi kesedaran kepada pelayar ruangan maya ini) mendapat maanfaat yang besar.


Bicara tokoh

Oleh: Netty Ah Hiyer
Foto: Rosli Talib

H: (Ini untuk tajuk. Editor yang akan beri selalunya. Sejak dulu lagi 'benda' yang satu ini paling M aku nak fikirkan.)
 
Hadirnya pendakwah dan aktivitis Palestin, Syeikh Raed Solah Silaman Abu Shaqra Mahajna, 54 atau lebih dikenali dengan nama Raed Solah ke bumi Malaysia bagaikan satu rahmat yang besar buat penduduk Islam di negara ini. Beliau merupakan individu pertama yang menemui terowong yahudi di masjid Al-Aqsa malah sampai ke hari ini tidak pernah terhenti usahanya untuk melumpuhkan rancangan jahat Israel yang bercita-cita menguasai kiblat pertama umat Islam itu. Ikuti bicara tokoh pejuang Palestin ini mengenai kekejaman Israel, harapan pembebasan bumi penuh barakah itu malah pentingnya penyatuan umat Islam di seluruh dunia.

MW: Boleh kongsi secara ringkas pengalaman membesar di wilayah Umm Al-Fahm, Palestin 1948 (Palestin 1948 merujuk kepada negara haram Israel) dan penglibatan menjadi aktivis Palestin?

SRS: Saya dilahirkan pada tahun 1958 di sebuah tempat bernama Umm Al-Fahm di Palestin. Sewaktu kecil, ibu sentiasa menceritakan bagaimana syahidnya abang dan ibu saudara sehingga menimbul kesedihan di hati. Ketika remaja, berlaku pertembungan pemikiran yang akhirnya mendesak saya untuk membuat pilihan. Tidak banyak ulama ataupun sekolah yang dapat membantu untuk saya memahami jalan hidup ketika itu. Sehinggalah saya terjumpa sebuah kitab berjudul “Percubaan untuk memahami situasi semasa melalui al-Quran” dan kitab itulah yang telah membentuk keperibadian, pemahaman dan tingkahlaku saya.

Saya belajar kuliah bahasa Arab di Universiti Palestin di Bandar Al-Khalil. Dari semasa ke semasa saya mengunjungi Masjid Al-Aqsa dan daripada situlah saya mula membina hubungan dengannya. Saya juga melihat penderitaan dan kesukaran untuk mengunjungi Masjid Al-Aqsa. Di akhir pengajian, sekitar tahun 1980-an, buat pertama kali saya ditangkap dan dipenjarakan bersama 60 orang rakyat Palestin.

Selepas enam bulan dibebaskan dari penjara, saya menjadi pengarang Harakah Islamiah, Palestin 48 dan pada tahun 1989 saya dilantik menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Umm Al-Fahm selama tiga penggal. Pada tahun 1996, berlaku satu peristiwa yang telah mengubah haluan hidup saya apabila saya telah menemui terowong yang digali oleh Israel di bawah Baitulmaqdis.  Lalu saya membuat satu sidang akhbar dengan menghimpunkan media antarabangsa bagi mendedahkan perancangan jahat Israel terhadap Baitulmaqdis secara terperinci.

Selepas tahun 2000, saya berhenti dan bekerja sepenuh masa untuk menuntut dakwah dan isu umat Islam khususnya di seluruh Palestin. Sekali lagi saya ditangkap dan dipenjarakan selama 6 bulan dan seterusnya dua tahun. Pada tahun 2007, Israel melakukan percubaan untuk meruntuhkan Masjid Al Aqsa dan saya lakukan kempen untuk menentang usaha itu. Sejak itu, saya sering keluar masuk penjara berkali-kali sehingga Israel mengeluarkan perintah mahkamah yang melarang saya mendekati Baitulmaqdis sejarak 250 meter.

MW: Bagaimanakah keadaan orang Palestin di penjara Israel?

SRS: Permulaan pada kezaliman Israel ini adalah apabila mereka memasukkan penduduk-penduduk Palestin yang tidak bersalah ke penjara. Sekarang ini lebih setengah juta daripada penduduk Palestin berada dalam penjara Israel. Ada di antara tahanan itu yang syahid dalam penjara dan ada yang syahid ketika penyiasatan di dalam lokap. Ada juga yang syahid akibat penyakit berbahaya yang telah mereka hadapi.

Ada juga tahanan dari kalangan wanita hamil yang digari tangan dan kaki malah melahirkan anak dalam penjara dengan keadaan tangan dan kaki berikat tetapi dapat mentarbiah anaknya dalam penjara sehingga mereka besar. Begitu juga kanak-kanak Palestin yang tidak lebih 10 tahun umurnya dimasukkan ke penjara Israel. Tidak ada dalam mana-mana penjara di dunia yang memenjarakan kanak-kanak kecuali Israel.

Ada juga seorang bapa yang dipenjarakan seumur hidup dan hanya akan bertemu semula anaknya apabila anak itu  besar dan dimasukkan penjara. Itulah kezaliman Israel terhadap umat Islam Palestin. Namun, mereka tetap sabar dan kukuh di atas jalan pembebasan Palestin kerana mereka tahu kezaliman Israel akan hilang. Mereka juga merasakan mereka masuk ke dalam penjara Israel dengan penuh kemuliaan dan kebanggaan kerana mempertahankan bumi Palestin iaitu bumi suci umat Islam dan mereka yakin dengan apa yang mereka lakukan.

MW: Apakah kekejaman yang dilakukan Israel terhadap wanita dan kanak-kanak Palestin?

SRS: Ada satu peristiwa bagaimana Israel bertindak  kejam terhadap wanita Palestin. Apabila Israel mahu meruntuhkan satu jalan, ada wanita Palestin telah keluar menunjuk perasaan. Akibatnya tentera berkuda Israel telah merempuh barisan penunjuk perasaan itu dengan ganas sekali.

Ada satu peristiwa bagaimana wanita Palestin melayan anaknya dalam berhadapan tentera Israel. Anak wanita tadi telah pergi ke sekolah, tengahari dia telah pulang ke rumah dan meletakkan begnya. Ibunya bertanya kenapa pulang awal? Katanya mahu menyahut seruan menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dan dia pulang untuk meletakkan begnya. Kata ibu, jangan pergi kau seorang yang penakut. Anak itu berkeras mempertahankan dirinya seorang yang berani. Balas ibunya, kalau anaknya itu berani dia tidak akan pulang membawa begnya ke rumah tetapi meleparkan sahaja beg itu di tepi jalan dan terus menyelamatkan Masjid Al-Aqsa.

MW: Jelaskan kesan daripada penjajahan Israel terhadap bumi Palestin?

SRS: Akhir abad ke 15, di Eropah bermula satu perancangan untuk mendirikan sebuah negara yang tidak berakyat dan rakyat yang tidak bernegara. Itulah ikrar orang-orang Yahudi dan mereka berkeinginan untuk mengambil Palestin sebagai negara mereka. Maka mereka memulakan projek di Palestin dengan menghancurkan apa sahaja yang ada di atas muka bumi. Kemudian mereka mendakwa sesungguhnya mereka memasuki satu kawasan yang tidak berpenghuni.

Sekitar tahun 1940-an, mereka menghancurkan lebih kurang 500 bandar dan kampung di dalam Palestin dan membunuh sesiapa sahaja yang mereka mahukan dari kalangan orang Palestin. Yang berbaki tinggal beberapa orang sahaja. Itupun terbahagi kepada dua iaitu mereka yang syahid dan selebihnya menjadi pelarian di beberapa negara yang berhampiran dengan Palestin.

Statistik menyebut zionis yang merampas bumi Palestin berjaya menghancurkan kira-kira 1200 buah masjid dan selebihnya menghancurkan tempat peninggalan sejarah Islam yang ada di dalamnya. Selepas peristiwa 1940-an, berbakilah di dalamnya hanya puluhan masjid yang tersisa sampai hari ini. Pertubuhan Israel ini kemudiannya mengubah masjid-masjid menjadi kedai-kedai arak, pub dan kandang ternakan lembu dan kambing, Baru-baru ini juga pihak Israel mengumumkan akan diadakan pameran minuman keras selama dua hari di masjid Bir Al-Saba’.

MW: Bagaimana projek Israel ini memusnahkan bumi Palestin?

SRS: Menerusi projek Yahudi ini juga tentera dan kerajaan Israel telah membongkar kubur-kubur umat Islam malah membuang tulang-tulang orang yang sudah meninggal ke dalam laut. Lalu mereka menjadikan tapak kubur itu sebagai dewan-dewan, sekolah, jalan raya dan rumah. Mereka juga membangunkan 100 buah universiti di dalam Palestin, sayangnya ia dibina di atas jenazah umat Islam. Baru-baru ini kami berdemontrasi di bandar Yafa kerana Universiti Tel Aviv baru sahaja menambah bangunannya yang dibina di atas kubur Shaikh Muwannis. Campurtangan Britain dari tahun 1917 hingga 1949 juga membolehkan Isreal merampas tanah umat Islam Palestin dan akhirnya hanya 3 peratus sahaja tanah yang masih menjadi milik umat Islam Palestin.

Pertubuhan Israel ini menipu orang Islam dengan membina taman dan kebun yang cantik di bandar Tel Aviv. Tapi mereka mendirikannya di atas kubur orang Islam. Kalaulah ini tidak dinamakan kezaliman, apakah lagi yang layak untuk menamakannya. Mereka sebenarnya telah berbohong kepada dunia kerana peradaban apa yang membolehkan kita menganiaya orang yang sudah mati.

MW: Bagaimanakah rakyat Palestin terus bertahan menghadapi tekanan Israel?

SRS: Kesengaraan yang dialami oleh rakyat Palestin amat jelas. Israel mahu seluruh rakyat Palestin hidup dalam keadaan sengsara, tidak bertahan dan akhirnya keluar dari bumi Palestin tapi kami tetap bertahan dengan keadaan sekarang. Walaupun dalam perburuan kehidupan masih boleh diteruskan dan di sinilah kami membentuk strategi untuk terus kekal di bumi Palestin. Ini kerana kami cuma ada dua pilihan sama ada mampu untuk hidup bahagia ataupun mereka dikebumikan sebagai syuhada. Kedua-dua inilah yang membentuk mereka untuk terus hidup dengan sistem yang mereka ada sekarang.

Apabila Israel menghancurkan kampung-kampung, penduduknya akan membinanya semula. Ada sebuah perkampungan terpencil telah dihancurkan sehingga 40 kali dan insyaallah begitulah keadaan orang Palestin yang akan tetap berdiri teguh di atas segala tribulasi dan tentangan yang dilakukan oleh tentera zionis. Kita tidak akan pernah menyerah kalah.

Israel telah mencabut pokok kami bahkan mereka menggunakan pesawat untuk membakar kebuh-kebun kami, tujuannya untuk memisahkan kami dengan harta dan pemilikan kami. Ini tidak mungkin terjadi sebab kami akan pertahankan sampai titisan darah penghabisan. Setiap kezaliman Israel akan terus bertambah dari segi kuantiti dan kualiti. Mudah-mudahan Allah beri kemenangan kepada umat Islam dan kepada orang Palestin.

MW:  Apakah status terkini masjid al Aqsa dan benarkah dakwaan Israel, masjid Al-Aqsa itu dibina di atas kuil suci mereka Haikal Sulaiman?

SRS: Bermula dari kurun ke-18, perdana menteri Israel terdahulu, David Ben Gurion menyatakan ‘tidak ada nilai bagi Israel tanpa Baitulmaqdis dan tidak ada nilai Baitulmaqdis tanpa masjid Al-Aqsa. Itulah cita-cita mereka sejak berjaya menjajah Baitulmaqdis pada tahun 1967 iaitu mahu membina Haikal Sulaiman selepas mereka berjaya meruntuhkan masjid Al-Aqsa. Atas alasan itu, mereka bukan menggali satu terowong malah telah membina jaringan terowong yang besar. Pihak Unesco yang menziarahi terowong melaporkan Israel telah menggunakan cecair kimia untuk menggali terowong yang ada di bawah masjid Al-Aqsa. Tujuannya adalah untuk meruntuhkan keseluruhan masjid itu. Walaupun telah 40 tahun mereka menggali, mereka masih tidak menemui bukti hatta seketul batu tentang hakikat kewujudan haikal Israel di atas masjid Al Aqsa.

MW: Mengapa mereka masih terus menggali?

SRS: Ia sebagai satu wasilah atau satu cara untuk meruntuhkan masjid Al Aqsa dan inilah bukti ketamakan yahudi bukan setakat mahu menguasai Israel malah mahu meruntuhkan masjid Al-Aqsa dan membina haikal di atasnya. Mereka akan menggunakan apa-apa sahaja yang mereka ada termasuklah kekuatan tentera dan berusaha menyediakan suasana antarabangsa dan tempatan untuk menerima apa yang mereka lakukan.

MW: Mengapa mempertahankan masjid Al-Aqsa ini cukup penting kepada umat Islam di seluruh dunia?

SRS: Masjid Al-Aqsa ini adalah isu al-Quran. Ia perlu dipertahankan sebagaimana Allah menyifatkannya sebagai tanah yang barakah dan mesti dipertahankan. Ia bukanlah semata-mata isu untuk orang Palestin sahaja. Ia merupakan isu setiap umat Islam. Jika kita tidak membenarkan rumah kita diceroboh begitulah juga masjid Al-Aqsa sebagai rumah Allah yang perlu dipertahankan dari segala macam pencerobohan mahupun jenayah.

Walaupun Israel miliki segala kekuatan senjata yang paling canggih di dunia tapi akhirnya mereka akan kalah dan hancur musnah. Sejarah telah membuktikan, penjajah terdahulu iaitu British dan Qatar yang pernah menguasai bumi Palestin hilang dan lenyap. Akhirnya, ia akan kembali kepada yang berhak iaitu rakyat Palestin dan umat Islam yang berada di dalamnya.

MW: Sejauhmana impak kemenangan Presiden Mesir, Dr Muhammad Murshi kepada jalan pembebasan Palestin?

SRS: Menerusi projek Yahudi mereka mahukan pemimpin diktator yang jahat supaya mereka kekal di bumi Arab dan mengawal orang-orang Arab dengan bantuan sekaligus menghalang mereka memberi sokongan kepada rakyat Palestin. Apabila rakyat Mesir mendapat pemerintah yang sah di sisi undang-undang dan dipilih oleh rakyat maka pemerintah inilah yang memberi satu kelebihan dan kekuatan untuk menolong dan membantu menjayakan pembebasan Palestin malah membantu pembebasan Masjid Al Aqsa dari cengkaman Yahudi.

Ketika ini Dr Muhammad Murshi berhadapan bermacam masalah iaitu soal kefakiran, pengangguran rakyat, tekanan Amerika, berhadapan dengan tekanan tenteranya sendiri, perisikan yang sebelum ini menghalang kebebasan rakyat daripada terus bersuara malah terikat dengan perjanjian Kem David. Itulah yang mengekang Mesir dari melakukan banyak perkara. Namun, beliau bukanlah pemimpin mukjizat yang boleh melakukan perubahan keseluruhan dalam sekelip mata tapi kita yakin secara beransur-ansur beliau boleh melakukannya dengan kerjasama seluruh rakyat Mesir. Kita yakin beliau memiliki kepimpinan yang berwibawa, akhlahk yang baik, bijaksana dan berpandangan jauh.  Kepimpinannya     mampu memberi perubahan kepada Mesir dan seluruh rantau Arab. Dan ini memberi kesan positif kepada Gaza dan kepungan yang akan berlaku kepada Gaza pada masa hadapan.

MW: Apakah peranan umat Islam khususnya di Malaysia untuk membantu mengembalikan Palestin kepada yang berhak.

SRS: Melihat pembangunan yang dikecapi oleh Malaysia, saya berasa tenang malah kejayaan Malaysia boleh dijadikan satu pengalaman kepada negara Islam yang lain dalam berhadapan isu kefakiran dan kemunduran. Apabila umat Islam bersatu dan memiliki kekuatan yang sama ia akan memberi impak yang besar kepada kekuatan dan jalan pembebasan Palestin.

Menerusi projek tentera zionis dahulu langkah pertama yang mereka ambil adalah menjatuhkan Khalifah Uthmaniah yang ketika itu kerajaan Islamnya mempunyai kesatuan yang kukuh dan mereka melihat kesatuan ini sebagai kekuatan umat Islam. Apabila umat Islam telah berpecah belah dan hanya memikirkan isu Palestin untuk Palestin semata-mata ini akan menyebabkan kekuatan, kegarangan mahupun kehebatan umat Islam telah lenyap sekaligus memperlihatkan kejayaan agenda zionis di dalam negara umat Islam. Kesatuan umat Islam inilah kejayaan dan kegemilangan kita di dunia dan akhirat.


Selepas pertemuan di De Palma Shah Alam, Sheikh Raed melawat pula Grup Media Karangkraf pada keesokan harinya.

Wednesday, June 5, 2013

Ahlan Wa Sahlan Qaseh Zahirah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Masa ni umur Qaseh 10 bulan. Pipi pun masih gebu lagi. Sekarang ni dia dah lasak sikit. Tapi ibu tetap geram dengan pipi dia ni.
Saat entri ini ditulis, Qaseh Zahirah sudah setahun tiga bulan menjadi penyeri keluarga kami. Satu-satunya 'bunga' yang berkembang indah di antara dua 'kumbang' yang menyegat. Mirza dan Zarif pun masing-masing sudah berusia 7 dan 6 tahun.

Cepatnya masa berjalan. Bermakna dah hampir dua tahun blog ini dipendamkan dari dunia maya yang terus bergerak pantas. Dunia berblogging juga semakin laju dan jauh ke depan. Kalau dulu, orang berblogging untuk suka-suka atau tambah pendapatan, sekarang blog ini boleh jadi satu kerjaya yang serius. RM pun masuk berkepuk2.

Punyalah lama biarkan laman ni bersawang (rasanya dah keluar hutan belukar pun) sampai otakpun jadi beku dan kaki. Tak tahu hendak dicurahkan apa pada ruang yang serba luas ini. Blogspot itu sendiri pun sudah berbeza formatnya. Tak tahu hendak ditafsirkan senang atau mudah.

Sepanjang mengandungkan Qaseh, blog bukan lagi keutamaan. Setahun lepas dia dilahirkan, aku masih juga malas menulis untuk tujuan peribadi. Hidup terus berjalan, kerjaya penulisan di meja Mingguan Wanita juga terus bergerak pantas seperti biasa.

Sehinggalah semalam, ketika berwhatsup bersama teman, tiba-tiba terbuka cerita tentang blog peribadi. Belek punya belek terasa sayang pula biarkan laman percuma ini bersawang macam itu saja. Jom! kita buat pengisian semula.

Untuk ingatan peribadi, untuk tatapan anak-anakku kelak.

Qaseh sudah pandai berjalan. Dia anak yang cukup senang dijaga, Paling mudah kalau hendak dibandingkan dengan dua orang abang2nya. Kata orang tak baik membandingkan anak-anakkan. Tapi hakikat ini ada benarnya.

Waktu mengandungkan Qaseh, ragamnya juga sederhana. Barangkali terdidik dari kandungan lagi. Bila keluar Qaseh sudah terbiasa. Syukurlah, sebenarnya Qaseh warisi sifat en Yem yang kata mak Perak 'baik' sewaktu kecilnya. Awas! Jangan puji melambung. Baik2 ada makna tu!


Zarif dan Mirza bawa pergi jalan2 ke Kidzania. Hari itu aku assignment dengan Dutch Lady sebenarnya. Pelancaran 'kesan potensi anak melalui cap jari'. Memandangkan ada green light dari PR boleh bawa anak2, apa lagi melenjanlah budak berdua ni dalam tu sampai malam.

Mirza dah masuk alam persekolahan sebenar. Sekolah Meru II tempat barunya. Dekat dengan rumah mak di Kampung Budiman. Zarif pula aku tempatkan di Tadika Bustanul Ain, Kampung Budiman. Setiap hari, adik bongsu aku, Azwan a.k.a Anje akan ambil Zarif dan Mirza bila tamat sesi pembelajaran.

Mirza sejak bersekolah dia dah pandai berkira-kira. Hari2 menghitung waktu bila dia hendak tamatkan darjah enam, masuk tingkatan dan akhirnya ke universiti. Katanya mahu menjadi pilot. Tapi aku rasa dia tu terpengaruh dengan cerita dalam tv. Tak silap aku cerita 'Kapal Terbang Kertas' . Sebab bila dia berkongsi rasa, terselit satu dua dialog dari cerita tu. Huhu..

Memang sah Mirza warisi sifat aku masa kecil dulu, 'Kuat Berangan!'

Zarif sejak adanya Qaseh semakin menjadi2 tahap manjanya. Jangan ingat dia dah insaf ya. Sama je, makin teruk ada. Yang lucunya, kalau datang manja mengada tu keluar perkataan2 yang entah hapa2. 'Adidi... - 3x' di setiap kata-katanya. Haiyo Zarif, sebel ibu dengan kamu. Endingnya aku juga yang akan bertukar menjadi 'singa'. Hahaha...

 Cukuplah untuk pagi2 buta ni. Nampak sangat penulisan aku dah 'keras' dan kematu. Ya Allah, ku mohon keampunanMu. Setiap apa yang ada padaku adalah milikMu. Semoga kau memberiku ilham yang indah2 untuk aku meneruskan kerja2 penulisanku ini.





Related Posts with Thumbnails