Follow Saya Di Google Plus

Saturday, August 31, 2013

Penjenamaan Semula

Teks: Netty Ah Hiyer | nettyahhiyer@gmail.com
Foto: Pustaka Desktop Saya



Gambar ini biasa-biasa sahaja. Dengan teknologi yang dibangunkan dalam aplikasi camera 360, gambar ini tampak luar biasa dan menarik untuk dipandang lama-lama. Kelakar pun ada. :). Dalam gambar itu ada anak-anak saya, Mirza Yadiy dan Zarif Ziyad. Tiga lagi, anak-anak kakak ipar saya yang menetap di Lenggong, Perak. Pintu di belakang itu pun ada nostalgia tersendiri sebab sayalah yang mengecatnya.



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Asalnya blog ini dibangunkan untuk tujuan suka-suka. Pertama kali mengenal dunia blog langsung menerbitkan satu perasaan yang teramat cinta di dalam diri. Demi minat yang satu ini, saya (sebelum ini saya gunakan aku. Demi penjenamaan, ia telah dilembutkan menjadi saya) sanggup bermalam-malam, kadangkala berembun sampai pagi semata-mata mahu menyelongkar dan menggodek segala macam ilmu tentangnya (dunia blog). Kadangkala saya sampai merajuk dengan en suami (nama ini pun dijenamakan semula, dulu en Yem) kerana tidak mahu berkongsi ilmu yang dia miliki. Terutama tentang dunia IT yang sememangnya kepakaran itu sudah ada dalam genggamannya. Berkat bermalam-malam, bersakit minda dan perasaan akhirnya saya semakin mahir mengendalikan blog yang satu ini.

Laman ini bermula dengan template yang berwarna warni dan segala macam icon yang 'bling-bling'. Barangkali begitu teruja untuk memasukkan segala macam perkara di dalamnya. Saya menjadikan laman ini eksperimen untuk diri sendiri. Jumaat lalu, saya dipertemukan dengan kenalan lama yang kini merupakan pengasas kelas asas dan penulisan blog, Puan Masayu Ahmad.

Wanita hebat ini mengajar saya nilai sebenar sebuah blog. Tentang pengendalian blog yang berkesan bersesuaian dengan kepakaran dan kemahiran yang saya ada; betapa berharganya blog yang diibaratkan seperti lubuk emas dan idea pengkelasan label malah entri yang menarik. Satu persatu, Ayu bercerita tanpa jemu malah penuh sabar melayan bermacam persoalan yang saya ajukan.

Rupanya jendela dunia itu amat luas dan indah. Selepas perbincangan ringkas itu, Ayu mencabar saya agar berkongsi coretan tentang wartawan media cetak vs blogger. Katanya pasti menarik perkongsian itu nanti. Selitkan sekali pengalaman saya di dalamnya. Ya Ayu, memang banyak berubah perjalanan kerjaya seorang wartawan sejak kehadiran mereka.

Ayu juga mencabar saya mengubah blog ini agar menjadi lebih serius dan konsisten. Cabaran itu saya sahut dengan penuh tekad, tidak lagi mahu bermalas-malasan. Tapi bila saya punya waktu untuk menaip? Tugasan harian sahaja sudah mendesak saya menaip artikel yang berat dan sarat. Kembali ke rumah, ada pula tugasan lain yang menanti; mengemas, membasuh pinggan mangkuk, sesekali memasak untuk keluarga dan melayan tiga orang putera-puteri yang sedang membesar.

Sungguh saya tidak punyai waktu untuk 'mengemas rumah kedua' yang cukup saya cintai ini. Cuti hujung minggu juga sentiasa padat dengan aktiviti; tugasan ke event atau apa-apa sahaja tanggungjawab yang menuntut pengorbanan masa. Ketika entri ini ditulis juga saya berhadapan dengan bermacam-macam perkara yang memerlukan saya bangun-menaip semula-berjalan-melayan anak-menaip semula. Oh! Semuanya serba mengganggu. 

Kali ini saya sudah bertekad, perlu lebih bersungguh-sungguh kerana di sini juga bakal menjadi satu tanggungjawab yang serba mencabar. Saya perlu ada matlamat, pastinya ianya cukup indah andai saya bersabar dan terus bersabar. Dalam pada itu, saya bersyukur kerana mendapat bimbingan yang baik dari kenalan saya itu. Cabarannya menjadikan saya seorang yang berimpian besar. Semoga suatu hari nanti, saya mampu mengikut jejak langkahnya.

Oh, bagaimana mahu mengakhiri entri ini. Itu masalah saya dalam dunia berblogging. Tidak begitu pandai mengakhiri entri dengan kesimpulan mahupun ulasan yang 'membunuh'. Saya kira, ada juga di luar sana yang berhadapan dengan masalah seperti saya. Justeru, saya kongsikan serba sedikit tips memula dan mengakhiri sesebuah entri dari laman blog yang menarik ini.

Related Posts with Thumbnails