Follow Saya Di Google Plus

Monday, September 30, 2013

Teladan Karipap Berderai

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


 'Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?'  Surah Ar Rahman, ayat 36. Subhanallah, pohon-pohon subur membesar di kebun abah. Anak-anak, amanah tuhan yang perlu dijaga. Doa emak, sumber kekuatan jiwa yang sukar dicari ganti. Aku mohon ampunan kepada Allah Yang Maha Agung.



Dua malam penulisan saya tergendala. Nikmat penglihatan Allah tarik sedikit dari saya. Alhamdulillah. Allah mahu memberitahu saya tentang 'sesuatu'. Cuma saya belum ketemu hikmah itu. 

Beberapa hari lalu, saya pernah berjanji mahu berkongsi cerita pembikinan karipap yang tidak menjadi. Itu kisah di penghujung Syawal. Tentang makanan yang perlu ibu bapa bawa ke tadika Bustanul Ain sempena sambutan Aidilfitri.

Setiap pelajar perlu bawa bahagian masing-masing. Ada bihun goreng, nugget, puding dan bahagian saya pula, karipap. Nampak senang, demi Zarif saya berjanji mahu masakkan sendiri.

Malam itu selepas pulang dari kerja, saya siap-siap belikan bahan mentah membuat karipap; kentang, tepung, serbuk kari, bawang dan lain-lainnya. 

Sampai saja di rumah, saya sinsing lengan baju terus mengupas kentang. Penat punya pasal, saya minta bantuan Zarif. Dia akur dan sudahkan kerja-kerja mengupas sampai selesai. Saya pula potong kentang kecil-kecil menjadi dadu. Rendam potongan kentang dalam mangkuk siap-siap.

Tapi ada kesilapan telah berlaku. Qaseh merengek-rengek minta ditidurkan. Satu masalah saya dari dulu sampai sekarang, kalau sudah tidurkan Qaseh pastilah saya akan hanyut sama. Saya kira dilema ini ramai ibu-ibu menghadapinya. Dan malam itu saya telah tertidur bersama-sama Qaseh sampai ke pagi. Nanti! Cerita ini tak berakhir di sini. 

Pagi itu, jam loceng yang sudah saya 'auto setting'kan ke jam 4.30 pagi sayup-sayup kedengaran. Oh! Macam mana ni, perjumpaan Zarif bermula jam 8 pagi. Saya pula satu apa pun tak buat lagi. Kelam kabutlah saya pagi itu. Oh, lebih malang saya sudah lupa pesanan mak tentang cara-cara membuat doh karipap. 

Saya berkira-kira sendiri. Barangkali, beginilah caranya; panaskan minyak dan tuang ke dalam tepung yang berserakan di dalam mangkuk. Saya uli laju-laju. Kenapa tepung dan minyak ini tak mahu bersatu? Fikiran saya yang dangkal mula berbicara, sepanik otak saya yang mahu semuanya siap segera. 

'Mungkin kekurangan minyak menyebabkan tepung tidak menjadi'. Otak saya semakin ligat berkira-kira. Saya siram minyak lagi. Tepung masih tidak bersatu apatah lagi sebati.

Oh! Saya mengeluh, antara geram dan sayu. Geram kenapa saya tuang semua tepung ke dalam mangkuk dan sayu kerana adunan tidak menjadi. Kasihannya Zarif. Cepat-cepat saya buka internet-google-search engine-mengapa tepung karipap tidak menjadi

Saya sudah tahu sebabnya. Tapi sayang sekali, semua sudah terlambat. Walau cuba dibaiki tepungnya tetap berderai akibat minyak berlebihan. Demi Zarif, saya siapkan juga. Esoknya saya tawakal saja. Sudah tidak tahu macam mana hendak diperbetulkan semula. Pulang ke rumah mak, saya minta adik lelaki bongsu saya merasa. 

"Kenapa tepung karipap ni rasa pelik? Intinya pun sama. Tak pandai betul orang ni buat karipap?" Oh! Pedih betul sindiran itu. 

Sebenarnya ini bukan cerita membuka pekung di dada. Tapi ini kisah yang sarat dengan pengajaran. Pertama, mengapalah saya tidak gunakan saja teknologi yang ada di hadapan mata awal-awal. Kalau saya siap-siap google kaedah membuat karipap awal-awal, tentu saya tidak perlu membazir sebegitu rupa.

Dalam menghasilkan sebuah penulisan yang baik dan berkesan juga begitu. Perlu ada teknik dan panduan yang betul. Ia perlu dihasilkan satu persatu, langkah demi langkah. Barulah cerita yang mahu disampaikan cantik tersusun. 

Sekarang ini begitu banyak ilmu tersedia di dalam laman maya. Ramai di kalangan penulis profesional, novelis, penulis buku motivasi hatta wartawan sekalipun sudi berkongsi ilmu mereka di dalam blog peribadi mahupun syarikat yang diwakilinya. Ilmu penulisan yang dikongsi bersama itu itu perlu diteliti dan diperhalusi oleh penulis agar isi cerita yang mahu disampaikan mencapai standard apa yang pembaca mahu. 
  
Bagaimana mahu memperoleh penulisan yang memenuhi kehendak pembaca? Akan saya kongsikan dalam entri akan datang. Tunggu ya.


Nostalgia televisyen hitam-putih

Memandangkan saya sudah ketinggalan dua hari, saya rangkumkan saja kisah teladan yang mahu saya kongsikan hari ini. Cerita kedua ini tentang membina kehidupan yang lebih gemilang. Memori kehidupan sukar waktu zaman kanak-kanak terus menjadi ingatan yang membangkitkan semangat juang dalam diri saya sampai hari ini.

Biarpun begitu kehidupan keluarga kami mulai berubah pada tahun 1990 iaitu selepas kelahiran adik bongsu saya, Azwan. Sebelum itu, hendak makan ayam pun sukar, sejak adik saya lahir rezeki kami semakin murah dan bertambah. Alhamdulillah.

Masa itulah saya mula merasa minum air sejuk dari peti ais dan menonton televisyen di rumah sendiri. Dulu kami ada televisyen hitam-putih yang ada pintu berkunci. Kalau mahu menontonnya, kami perlu tolak pintunya ke tepi. 

Selepas televisyen itu rosak, abah tak mampu hendak perbaiki dan sejak itu kalau hendak menonton tv kami sekeluarga perlu ke rumah nenek sebelah abah. Apabila adik bongsu saya mencecah usia 3 tahun, mak nekad bekerja di kilang kayu. 

Hampir setahun mak kerja di situ. Saya pula perlu jaga adik yang masih kecil. lagipun, ketika itu saya baru saja selesai peperiksaan SPM dan abah tak benarkan saya bekerja. Bimbang saya enggan teruskan persekolah bila dah seronok pegang duit. 

Beberapa bulan selepas itu, saya terima tawaran ke tingkatan 6 di Sekolah Tinggi Klang. Tinggallah adik saya di rumah nenek dan kadangkala dijaga oleh makcik saya, Cik Sareah. Waktu zaman saya kecil dulu, kerjaya pengasuh belum begitu terkenal di kampung saya. Sebab itulah, adik saya merata-rata tempat pengasuhannya.

Selepas beberapa bulan, mak saya bertukar tempat kerja. Masih di kilang kayu. Kerjanya kasar dan bebannya bagaikan kudrat lelaki. Memandangkan mak saya pandai dalam bab-bab PR, abah pun dapatlah kerja di situ sebagai tukang kebun. Sebelum ini abah bekerja mengait kelapa sawit sahaja. 

Apabila dua-dua sudah bekerja, ekonomi keluarga kami semakin baik. Walaupun menjadi tukang kebun, abah saya ada kemahiran bertukang yang cukup berseni sekali. Di kampung saya, khidmat abah cukup disenangi. Ramai yang beratur mahu mendapatkan kerja tangan berseni abah. Pernah satu ketika saya berkongsi cerita dengan ketua wartawan saya tentang pandainya abah mengurangkan kos membuat sebiji rumah. Tapi kos itu untuk rumah yang dia buat sendiri tanpa ada perkongsian dengan pekerja lain. Dan sampai hari ini pun, abah saya masih setia dengan minat dan hobinya yang satu itu.

Samalah halnya dengan kita. Andai melakukan sesuatu dengan sepenuh jiwa dan minat yang mendalam, usaha dan inisiatif kita itu pasti akan bertahan lama. Walau diuji badai dan taufan, ia tidak sesekali mematahkan semangat juang dalam diri.

Begitupun, semangat berblogging tidak hadir dalam diri setiap orang. Namun, semangat dan minat itu masih boleh dipupuk, disuburkan dengan adanya panduan yang betul. Lebih menyenangkan, minat itu kemudiannya menghasilkan pendapatan sampingan yang menguntungkan ekonomi keluarga.

Sebagai seorang wanita yang bekerjaya dalam masa sama mempunyai tiga orang anak-anak yang sedang membesar, kewangan dan masa adalah dua perkara yang begitu mendesak. Bagaimana saya mahu mencari pendapatan sampingan tanpa mengabaikan kerja-kerja rutin yang perlu diselesaikan.

Percayakah anda tatkala berhadapan dengan inflasi ini pendapatan masih boleh dijana dengan baik? Bagaimana caranya? Sudah tentulah kelas asas blog dan penulisan ada jawapannya.

Modul pembelajaran diasaskan oleh kenalan saya, Puan Masayu Ahmad. Ia membantu saya mendapatkan apa yang saya mahu. Ya, pendapatan sampingan. 

Tiada masa untuk menulis? Allah memberi kita 24 jam untuk kita melaksanakan urusan harian setiap hari. Pasti, dalam tempoh itu akan ada masa untuk saya isi dengan penulisan. 

Ada yang kata, untunglah saya penulis sememangnya boleh menulis dengan baik. Mengapa perlu berprasangka begitu. Anda juga sebenarnya boleh menulis dengan baik. Carilah mentor untuk merealisasikannya.

Semoga Allah memberi kekuatan itu kepada saya agar saya dapat berkongsi ilmu penulisan yang bersumberkan ilham dariNya.

Mahu tahu modul pembelajaran kelas asas blog dan penulisan? Hubungi facebook saya. Jangan malu-malu. Malu bertanya, sesat jalan.




Friday, September 27, 2013

Berkat Air Tangan Ibu

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya



Awalnya mahu cerita tentang pembikinan karipap yang tidak menjadi. Di pertengahan entri, saya jadi lupa diri. Ini juga sebahagian dari proses pembelajaran. Jangan tiru saya. Ini gambar syok sendiri!

Gambar pembikinan karipap tidak menjadi ini sudah lama tersimpan dalam kamera 360 telefon saya. Lama dibiarkan pegun tak terusik. Ada cerita lucu dan haru dengan kenangan itu (akan saya kongsikan dalam entri esok hari. Kiranya gambar di atas teaser untuk pembaca). Sejujurnya saya bukanlah ibu yang sempurna. Dalam membesarkan anak-anak, saya cukup bertuah kerana mempunyai seorang mak yang sanggup berkorban apa saja untuk saya dan anak-anaknya yang lain.

Sekali pandang, wajah mak saya, Puan Sulbiah Sarijo kelihatan sedikit garang. Namun, hatinya baik dan pemurah. Dia seorang yang 'defensive' terhadap anak-anaknya atau sesiapa sahaja yang dekat di hatinya. Kadangkala saya tidak berapa setuju dengan cara mak. Kerana ada ketikanya saya juga berbuat silap. Sebolehnya mak akan melindungi kesilapan itu. Dalam sesetengah kes, saya rasa selamat. Dalam sesetengah kes pula saya rasa bersalah.

Barangkali sikap mak yang terlalu mempertahankan saya itu membuatkan saya sedikit manja dan kadangkala 'take things for granted'. Dan kerana sikap mempertahankan ibu itu jugalah yang membuatkan saya mampu bertahan dalam kerjaya yang penuh pancaroba ini.

Saya masih ingat setiap inci kasih sayang abah dan mak. Bagaimana sukarnya keluarga kami ketika saya mahu memasuki darjah dua. Sakit abah cuma mak yang tahu. Kesusahan hidup membuatkan mak berhadapan masalah kewangan untuk membiayai wang persekolahan saya. Demi sebuah ilmu, mak sanggup meminjam wang adiknya untuk membayar yuran dan membeli buku sekolah saya.

Ketika saya dalam darjah tiga, mak terpaksa mengayuh basikal sejauh 6 kilometer semata-mata mahu membawa saya ke sekolah. Pernah satu ketika, mak melintasi simpang empat dan akibat gagal mengawal basikal, kami berdua telah jatuh tergolek tidak jauh selepas melepasi simpang itu. Habis bertaburan buah tembikai dan barang dapur yang baru mak beli di kedai. Tapi mak tak pernah patah semangat, dia kuat dan tabah orangnya. 

Abah saya pula, orangnya lembut dan tinggi kesabarannya. Keluarga abah besar, adik-beradiknya ramai dan keadaan itu membuatkan kehidupan keluarga arwah nenek sebelah abah sarat kesusahan. Disebabkan hal itu jugalah, abah terpaksa beralah dan tidak pergi ke sekolah. Membesarlah abah menjadi remaja yang tidak pandai membaca. 

Sampai hari ini, kalau abah tengok suratkhabar, abah cuma boleh tafsir gambar sahaja. Membesar dalam suasana demikian, membuatkan abah tidak begitu memahami kepentingan pendidikan untuk anak-anaknya. Tapi ada sesuatu yang membuatkan saya senang dengan sikap abah; abah tak pernah memaksa anak-anaknya. Dia memberi kami pilihan untuk menjadi apa yang kami inginkan. 

Dan disebabkan kesedaran pentingnya 'memandaikan anak' ada dalam diri mak, dia sanggup berbuat apa saja demi pelajaran saya. Tapi mak cuma dapat memberikan sesuatu mengikut kemampuan kewangan abah pada ketika itu. 

Pernah juga saya tidak dapat membeli sebuah buku matematik akibat kesempitan wang. Dan di dalam kelas, cuma saya seorang yang tiada buku matematik itu. Tapi saya tak pernah sekali menyalahkan mak mahupun abah disebabkan kesusahan yang saya alami. Saya bersyukur kerana akhirnya ketiadaan buku itulah membuatkan saya mampu membina impian dalam dunia penulisan.

Disebabkan kemiskinan kami pada ketika itu jugalah membuatkan mak mendatangi saya dengan satu pesanan yang masih saya ingat sampai hari ini.

"Ada orang kata abah kau tak sekolah. Tak pandai membaca. Anak-anaknya pun akan jadi sama macam dia. Kakak (ini panggilan manja mak untuk saya) kena buktikan kata-kata orang itu salah. Belajar sungguh-sungguh sampai berjaya."

Sememangnya sebagai anak sulung saya sentiasa mencari 'sesuatu' dalam diri. Apa saya mahu jadi bila besar nanti. Itulah yang sering bermain-main dalam kepala. Alhamdulillah, walaupun belum sampai di tahap membanggakan, sekurang-kurangnya saya berjaya keluar dari kepompong 'keturunan tidak pandai membaca' itu.

Andai kita miskin, tidak bermakna kita akan miskin selamanya. Tidak pandai matematik juga bukan pengakhiran dalam hidup kita. Bangun teman-teman! Jangan matikan hati hanya kerana mendengar sindiran orang lain. Jiwa orang Islam perlu kuat dibangunkan dengan nur dan hikmah.

Takdir Ilahi

Suatu ketika dahulu, saya juga pernah bersikap lemah sebegitu. Apabila dikritik langsung hilang semangat juang dalam diri. Seorang penulis yang baik, perlu ada kekuatan dalaman yang ampuh dan tidak makan sindiran. Tapi jangan pula terlalu yakin sampai tidak mahu mendengar pandangan orang lain.

Kadangkala, pandangan orang luar hatta kakak tukang sapu sekalipun amat bernas untuk digunapakai. Percayalah tiada satupun perkara yang berlaku dalam hidup kita tanpa ada sebab dan musabab. Setiap sesuatu telah digerakkan oleh Yang Maha Pencipta. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Katakan saya mampu membeli buku matematik dahulu, pasti laluan saya ke bidang penulisan jauh dan panjang.

Tapi Allah lorongkan segalanya dengan cukup mudah sekali. Samalah halnya bagaimana saya boleh bermula sebagai pelajar komunikasi massa dan akhirnya bergelar wartawan. 

Abah saya pernah menjadi tukang urut. Satu ketika, dia telah merawat pesakit yang jauh berada di Shah Alam. Waktu itu saya anggap jauh kerana kami tiada kenderaan. Untuk sampai ke Shah Alam, perlu ada orang yang membawa abah ke sana.  Biasanya abah hanya pulang bila sudah jauh malam.

Dengan keizinan Allah, pesakit yang abah rawat itu sembuh dari derita yang ditanggung bertahun-tahun lamanya. Peristiwa itu berlalu dan beberapa tahun selepas itu, saya menghantar permohonan ke UiTM dengan memilih jurusan utama, diploma pentadbiran awam dan pilihan kedua, diploma komunikasi massa. 

Tak lama selepas itu, saya menerima panggilan dari seseorang di UiTM. Wanita itu, bertanya tentang latar abah. Ternyata abah adalah orang yang dicari-carinya selama ini. Tak lama kemudian, dia memaklumkan tentang permohonan saya ke UiTM. Katanya, mengapa saya memilih jurusan diploma sedangkan kelayakan saya ketika itu membolehkan saya menyambung pengajian ijazah sarjana muda dalam komunikasi masaa.

Lalu, dia meminta izin untuk menukar permohonan saya dan menyerahkan kepada rezeki sama ada saya diterima masuk ke institusi itu atau sebaliknya. Dan selepas beberapa ketika berbual, tahulah saya bahawa wanita itu adalah pesakit yang pernah abah saya tolong ketika kunjungannya ke Shah Alam.

Saya percaya, Allah telah melorongkan hati wanita itu untuk menghubungi saya. Inilah takdir yang telah Allah tentukan untuk saya. Pasti ada sebabnya mengapa saya berada di laluan ini. Fitrah saya di sini, dalam dunia penulisan ini. 

Tapi perlu diingat, mahir menulis tidak terbentuk sehari dua. Ia memerlukan latihan demi latihan. Menilai kembali entri saya waktu mula-mula mengisi ruang blog ini, membuatkan saya senyum sendiri. Saya bercerita ikut suka dan sedap hati sendiri. Sama sekali tidak berusaha memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi yang telah dicipta indah dan penuh seni. Walhal, lenggoknya masih juga cantik jika saya menggunakan bahasa Melayu yang betul. Masih boleh berkelakar, bersantai dan menggembirakan hati pembaca. Mungkin ketika itu saya belum yakin diri.

Dilantik menjadi sebahagian pasukan Wahm Sahm Soho cukup mengujakan sekali. Tiba-tiba saya jadi bersemangat mahu kongsi panduan penulisan kepada bakal-bakal penulis. Mahu tahu bagaimana menghasilkan penulisan blog berkesan dan bertahan? Miliki gaya penulisan tersendiri dengan kisah-kisah menyentuh jiwa pembacanya? Insyaallah, saya sudi berkongsi ilmu penulisan seberapa banyak yang saya mampu. Dengan keizinanNya.

Bagaimana caranya?
Cari saya dalam 'Kelas Asas Penulisan dan Blog' yang diasaskan oleh Puan Masayu Ahmad. Mahu tahu lanjut? Jerit sahaja di laman facebook saya, Netty Ah Hiyer. Dengan rendah hati, saya akan membalasnya.

"Sekali lagi saya ungkapkan tiada kejayaan yang mustahil dalam hidup kita. Kita adalah apa yang kita fikirkan. Bermula hari ini, fikirkan perkara yang baik-baik dan positif sahaja."

Thursday, September 26, 2013

Betulkan Niat, Insyaallah Kaya Dunia Akhirat

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,



Mahu tahu promosi terbaru tentang produk Kao? Layari facebook/Kaolaurier


Eh! Ada Fara fauzana. Dia buat apa di meja kerja saya. Bawa 'pad' pula tu? Itu cuma gimik saja. Fara Fauzana tak datang pun Karangkraf, apatah lagi membawa tuala wanita. Suka suki, Mak Jemah buat andaian ya!

Yang sebenar-benarnya, itu adalah sampel tuala wanita yang diedarkan oleh syarikat antarabangsa Kao (Malaysia) Sdn Bhd kepada karyawan KMK. Dalamnya ada sampel 'pad' dan 'panty liner'. Seronoknya jadi orang media ini, kalau ada apa-apa perkara baru kami pasti dapat tahu dahulu.

Sekarang ini saya lihat, syarikat-syarikat besar begini sudah ada strategi pemasaran mereka yang tersendiri. Tidak semata-mata menjual produk kepada pelanggan tetapi memperkenalkan dan berkongsi kebaikan produk kepada pelanggan. Bagaimana caranya? 

Salah satunya adalah dengan apa yang mereka lakukan di atas. Memberikan sampel percuma kepada pelanggan. Pelanggan seronok memakai, mereka akan cari produk itu di kedai langsung jadi pelanggan setia. Cara itu lebih berkesan kerana dekat di hati para pelanggannya.

Begitulah halnya kalau kita mahu menjadi usahawan, jangan keterlaluan mengejar keuntungan. Perlu ada matlamat perniagaan yang jelas dan nilai dalam sesebuah perniagaan itu. Mengapa mereka berniaga? Mahu kaya cepatkah? Mahu untung berganda-gandakah? Atau semata-mata seronok berkongsi kebaikan produk dengan pelanggan?

Selama hampir lapan tahun menjadi wartawan di meja Mingguan Wanita, pekerjaan yang paling saya suka adalah menemuramah para usahawan baik lelaki mahupun wanita. Oh! Bukan kerana saya suka setiap kali pulang akan membawa produk yang macam-macam. Bukan itu ya. Baiklah saya mengaku, waktu mula-mula jadi wartawan dulu, mendapat freebies adalah satu perkara yang cukup menyeronokkan sekali. 

Sekarang ini pun seronok juga, cuma tidaklah seghairah dulu. Saya anggap hadiah yang diberikan itu sebagai satu cara seseorang menghargai cara kerja saya. Saya tidak suka mengganggapnya rasuah. Kerana jika fikir begitu, begitulah jadinya. Ini pandangan personal saya ya.

Saya tahu soal pemberian hadiah ini terlalu sensitif untuk dibicarakan. Titik!

Mengapa saya amat gemar menemuramah para usahawan? Kerana setiap daripada mereka mempunyai rahsia kejayaan yang secara tak langsung membangkitkan inspirasi dalam diri saya. Kisah susah senang mereka berniaga, membuatkan saya bersyukur dan menghargai diri sendiri. Paling saya suka bila usahawan tidak lokek berkongsi cerita cemerlang dalam perniagaan. 

Macam-macam ilmu saya peroleh dan setiap input itu saya simpan kemas dalam hati. Tapi satu perkara yang sering membuatkan saya hampir mati akal apabila ada peniaga memberitahu tentang 'sebelum berjaya saya akan membuat penyelidikan dahulu'

Sungguh kata-kata itu sentiasa bermain-main dalam minda saya yang terhad ini. Mengapa perlu ada penyelidikan? Bagaimana mereka membuat penyelidikan? Pentingkah penyelidikan untuk berjaya? Apa kaedah yang mereka gunakan? Kalau saya bernasib baik, adalah usahawan yang sudi berkongsi cerita mengenainya.

Tak lama dulu saya pernah menemuramah kak Mona Din, usahawan fesyen yang kaya raya. Antara tips penyelidikan yang dia pernah kongsi bersama adalah mencari ilham rekaan pakaian sampai jauh malam. Baik di internet mahupun di majalah. Lalu, petua-petua yang telah dihimpun lama itupun saya aplikasikan dalam diri. 

Ya, internet adalah gedung ilmu yang cukup luas sekali. Dalamnya ada pelbagai cara, teknik dan apa sahaja perkara yang mahu saya cari. En Suami juga selalu mengingatkan, tak perlu keluar berkepuk-kepuk duit untuk pergi kursus sana-sini. Di internet sahaja ilmunya bersepah-sepah. Rajin tak rajin sahaja mencarinya.

Sememangnya en Suami cukup suka mencabar saya. Dalam dunia berblogging mahupun segala macam perkara berkaitan dengan internet, jarang sekali dia mahu berkongsi ilmu. Walhal di Karangkraf orang menyangjungnya sebagai sifu. Sudahnya, saya explore sendiri.

Daripada tidak tahu langsung tentang blogspot, kini saya sudah ada beberapa orang anak murid tak rasmi (boleh rujuk di pautan Rakan Blogger). Semua ilmu ini perlu digali dan dicari dalam ruangan enjin pencari google. Kata kuncinya, rajin tak rajin saja. Kalau rajin, perkara-perkara yang mustahil pun boleh jadi tak mustahil. 

Selesai urusan penyelidikan, usahawan perlu memasarkan produknya. Bagaimana mahu memasarkan produk? Strategi pemasaran juga antara kelemahan yang ada pada usahawan Melayu. Sebab itulah kursus Dr Azizan Osman boleh cecah sehingga ratusan ribu. Kerana beliau seorang pakar dalam dunia pemasaran. Ilmu pemasarannya antara yang terbaik di negara kita. 

Usahawan sanggup membayar puluhan ribu semata-mata mahu berkongsi ilmu pemasaran yang ada padanya. Itu pakar pemasaran yang sudah ada nama dan bila saya sebut semua orang kenal. Ada juga sifu pemasaran internet yang hebat-hebat dan tak lokek ilmu. Mahu tahu siapa? carilah dalam carian google. Kata mahu jadi usahawan internet, kenalah rajin.

Mengapa pemasaran internet ini cukup penting sekali? Kerana sekarang ini semuanya serba di hujung jari. Pusing keliling, dunia android mahupun tablet sudah menguasai ruang lingkup hidup kita. Kata mudahnya, semua orang gila gadget. Hatta, pakcik yang umur 60 tahun pun tak sabar mahu buka akaun facebook. Itu belum lagi cerita soal twitter, we chat, whatsapp dan sebagainya. Mahu terbelit otak memikirkan.  Namun, itulah realitinya. 

Dunia di hujung jari cukup memudahkan usahawan mahupun pembeli berkomunikasi. Cuma kepercayaan itulah yang sukar untuk dicari. Andai tidak memegang amanah yang betul, mudahlah penipuan berlaku. Sebab itulah perlunya berbalik kepada niat dalam berniaga. Carilah niat yang betul dan dengan tujuan mencari redha Allah. Hanya dengan rahmat dan redhaNya inilah yang membolehkan kita hidup bahagia malah kaya dunia dan akhirat. Insyaallah.


Wednesday, September 25, 2013

Hati Dekatlah Ke Syurga Ilahi

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani, 

Ziarah mahabbah grup Rumah Ngaji ke meja Mingguan Wanita. Puan Marhaini Yusuf, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Ummah Ikhlas memberi penerangan mengenai misi membentuk generasi cintakan Al Quran.


"Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada Al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya."
Maksud Surah Al-Isra' ayat 82

Baru sebentar, meja kerja Mingguan Wanita menerima kunjungan mesra dari grup Rumah Ngaji (Al Quran Landasan Kehidupan). Grup apa itu? Waktu saya kecil-kecil dulu, hendak belajar mengaji perlu berjalan kaki ke rumah nenek. Jaraknya tidak jauh pun, selang tiga buah rumah sahaja dari rumah mak. Tapi zaman itu, hutannya masih tebal. Pokok-pokok getah besar merimbun, barisan pohonnya memanjang di sepanjang laluan mengaji. Ia memberi efek seram yang teramat buat saya yang ketika itu sudahpun masuk darjah tiga. (Kenangan darjah tiga melekat kuat dalam ingatan saya. Sebab zaman itu banyak kenangan suka dan duka).

Dulu, emaklah yang akan temankan saya ke rumah ngaji alias rumah nenek. Berjalan kaki sambil bawa lampu suluh. Lama kelamaan mak lepaskan saya keluar malam berdua dengan adik, Yanto. Hendak tak hendak, kami terpaksa melalui jalan kebun getah itu. 

Setiap kali melintasi laluan ala-ala misteri nusantara itu kami akan deras mengaji. Membaca apa saja doa ringkas yang terlintas di kepala. Sampai depan rumah mak, barulah suara kami mendatar. Kadangkala kami lumba lari, tengok siapa sampai rumah dulu. Kalau basikal tak rosak, kami naiklah sama-sama.

Sebelum mengaji di rumah nenek, saya belajar mengaji di rumah arwah mbah Brahim. Arwah bukan sahaja handalan dalam bidang agama tapi tukang urut yang disegani dan kelebihannya diiktiraf Hospital Ampuan Rahimah. (Sebabnya ada beberapa pesakit yang tidak sembuh dirawat di hospital itu akan datang ke rumahnya untuk berurut. Kisah bomoh handalan arwah mbah Brahim ini juga pernah dimuatkan dalam majalah Mastika).

Istimewanya mengaji di rumah mbah Brahim, kami bukan sekadar di ajar mengenal kalimah Allah. Tapi dididik dengan disiplin solat. Sebelum maghrib, kami berkumpul di rumah mbah Brahim. Jumlah kami besar, lebih 20 orang bilangannya. Selepas azan maghrib berkumandang, kami yang lengkap berwudhu siap-siap beratur dalam saf dan solat beramai-ramai. 

Di rumah nenek pun saya belajar juga tentang bacaan solat. Tapi waktu itu, solat saya sekadar melengkapkan tuntutan mengelak dibebeli nenek. Arwah nenek saya memang cukup pantang jika ada anak cucunya yang malas solat. Dia pasti akan terjerit-memaksa kami-kami yang culas. Allah.

Hari ini pun, bacaan solat saya terlalu jauh dari kesempurnaan. Masih belum mencukupi dan banyak yang perlu diperbaiki. Saya kira, ada di kalangan kita juga begitu. Masih lagi tercari-cari dalam diri, tertanya-tanya dalam hati, tepatkah bacaan solatku ini? Betulkah tajwid Al Fatihah ku ini? Walhal Al Fatihah itu amat utama sekali kerana Allah menjawab setiap bacaan Al Fatihah yang dipersembahkan di dalam solat lima waktu yang kita kerjakan. 

Kadangkala saya juga terleka, fikiran menerawang jauh terkenang bermacam-macam perkara yang tidak sepatutnya ketika di dalam solat. Mengapa begitu? Saya pernah terbaca ia ada kaitan dengan kefahaman kita memahami maksud bacaan solat itu. Faham maksud setiap surah dan bacaan yang dibaca boleh membantu kita fokus dan khusyuk di dalam solat. 

Atas dasar ini jugalah grup Rumah Ngaji itu hadir dengan solusi yang lebih jelas. Antaranya membantu meningkatkan kualiti bacaan Al Quran kita. Ia bermula di Kumpulan Media Karangkraf dengan memberi panduan kaedah mudah mengaji kepada sesiapa sahaja yang mahu membetulkan bacaan al Quran malah lancar tajwidnya secara percuma.

Untuk permulaan, grup Rumah Ngaji ini memberikan panduan dan membetulkan bacaan Fatihah menerusi klinik Al Fatihah kepada kakitangan KMK. Kelas bermula hari Jumaat ini dari jam 11 pagi. Tiga orang ustaz bertauliah akan mengendalikan klinik tersebut; ustaz Amirul Safwan, ustaz Hasrul dan ustaz Naim. 
 
Sememangnya saya tidak sabar mahu turut serta. Walaupun hari Jumaat ini saya ada tugasan pengambaran kulit muka depan majalah, saya berdoa semoga Allah memberi peluang untuk saya menghadiri dan dinilai bacaan Al Fatihah saya di dalam klinik tersebut. Amin.

Tuesday, September 24, 2013

Pesona Dunia Fesyen

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Hebat Cik Non

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Sampai terbaring-baring Ahmad Jay. Terima kasih Cik Non sudi kongsi gambar. Dialah yang gigih menangkap gambar ini bila saya kata mahu kongsi cerita dalam blog.

Semalam aktiviti saya cukup padat. Seharian menguruskan tugasan pengambaran fesyen. Sebelah pagi, saya bersama makeup artis Cik Non dan Anne Karim serta dua orang model saya, Ekim dan Farieza hanya shooting di studio sahaja. 

Sebelum itu sudah serah siap-siap contoh 'lighting' yang diinginkan pada jurufoto saya hari itu, Ahmad Jay. Petangnya saya masih bersama Cik Non, Anne Karim dan Ekim. Tempat seorang lagi model saya gantikan pula dengan Athirah. Cuma lokasinya saja saya ubah ke luar studio. Pusing keliling Karangkraf saja.

Sekian lama meninggalkan dunia fesyen membuatkan saya kembali canggung. Kali terakhir saya pernah mengendalikan ruangan itu semasa Karangkraf masih di bangunan lama. Kalau ada tugasan melibatkan fesyen sekalipun saya akan bertukar-tukar 'bahan' dengan Zaiton. 

Bila dia sudah ditukarkan ke majalah bulanan, saya perlu survive sendiri. Dulu hendak masuk studio pun segan. Sebab dah ramai muka-muka baru di dalam itu, baik modelnya mahupun makeup artisnya. Ada juga orang lama tapi sekerat dua saja yang saya kenal. Nampak sangat saya dah tahap geng veteran.

Bila kak Nuri minta saya kelolakan ruangan fesyen, saya akur sahaja. Tak mengapalah, boleh belajar semula. Memang wajib belajar semula! Dunia fesyen sentiasa bergerak pantas. Hari ini fesyennya kain kembang, esok kainnya sudah terbang-terbang. Kalau tak kembali belajar, kain dan baju pun boleh terbalik di pakaikan di badan model.

Apabila kak Nuri memutuskan untuk menyuntik elemen segar pada ruangan fesyen, saya terkulat-kulat sendiri. Apalah sebenarnya yang kak Nuri nak ini. Fikir saya dalam-dalam. Sudahlah hendak berfesyen pun tidak pandai. Kadangkala beg kerja saya pun paperbag saja, inikan pula hendak mengendali ruangan sebegitu.

Pernah juga makcik saya berbual dengan kawan-kawannya. Sempat pula bergossip tentang saya dengan mereka.

"Wah! mesti wartawan majalah fesyen ini bergaya orangnya." Kata kawan-kawan makcik saya bila tengok nama saya pada ruangan itu.

"Haha... kena jumpa orangnya depan-depan. Mesti tak percaya." Sungguh, betullah kata makcik saya itu. Kalau kawan-kawan dia jumpa saya depan-depan mesti mereka tak sangka dengan penampilan saya; macam makcik-makcik!

Walau apapun, berfesyen itu sebenarnya subjektif. Kadangkala kita berpakaian biasa-biasa sahaja, tapi jika pandai 'mix n match' ia akan kelihatan cantik. Ada orang yang dianugerahkan bakat bergaya dan miliki aura dalam berpakaian. Senang cerita ada pesonanya tersendiri. Ada orang tak begitu, mereka perlukan panduan untuk bergaya. Sebab itulah ruangan fesyen dalam majalah mahupun media elektronik tak pernah surut mendapat permintaan pembaca mahupun penonton. Kerana ada individu semacam itu. Dan saya juga termasuk dalam kategori yang memerlukan panduan.

Mencari ilham fesyen yang lebih segar dan sesuai untuk keperluan majalah Mingguan Wanita juga bukan mudah sebenarnya. Oh, berkali-kali saya diingatkan kak Nuri agar menjadikan ruangan itu memberi lebih berkesan kepada pembaca dengan gambar yang segar dan 'hidup'. Mampukah aku? Kita tengok sajalah nanti.

Untuk merealisasikan impian itu, saya sebenarnya memerlukan sokongan jurugambar, jurusolek, model malah pereka grafik untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Jika kerjasama terjalin erat, pastilah hasilnya memuaskan. 

Bak kata model saya Ekim dan Athirah, bukan mudah menjadi model. Model yang baik perlu tahan sabar, tahan panas (bila terpaksa shooting di tengah rembang), bijak menggayakan sesuatu pakaian dan bagi model muslimah pula perlu bijak menggayakan tudung. Begitulah juga wartawan, perlu bersabar, tahan telinga, kuat hatinya dan tahu bagaimana hendak kawal diri berhadapan dengan persekitarannya. Mahu berjaya bukannya boleh dapat sehari dua. Ia memakan masa, sama seperti berlian. Ia perlu melalui proses tekanan demi tekanan untuk bersinar indah.

Sesetengah majalah mereka mempunyai 'stylish' yang berfungsi mencantikkan gaya baik dalam pemilihan pakaian, aksesori mahupun solekan. Ada sesetengahnya tiada dan perlu survive sendiri. 

Sebab itulah kerjaya saya ini seronok, kerana saya boleh jadi apa saja. Berfesyen boleh, menjadi tukang masak boleh, jadi usahawan boleh cuma satu saja yang tidak boleh, jadi tukang kira. Jangan cuba-cuba minta wartawan mengira akaun. Itu cari nahas namanya. Kalau tidak melingkup penyata itu, bukan wartawan sejatilah namanya.

Kuasa Minda, Kuasai Penulisan

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Pustaka Desktop Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Sewaktu membuat liputan berita di majlis pelancaran kapal Dredger Inai Kenanga di Pantai Acheh, Pulau Indah dekat Pelabuhan Kelang. Si manis bertudung ungu di sebelah saya, wartawan majalah Seri Dewi & Keluarga, Zaiton Abdul Manaf.

Pernahkah anda mengalami keadaan sukar untuk berkongsi cerita, walhal ketika itu anda perlu juga menaip sesuatu di ruangan blog milik anda? Atau ketika idea datang mencurah-curah, segala macam cerita mahu dikongsi bersama, menaip dan terus menaip akhirnya ada sedikit penyesalan kerana tidak semua cerita dapat disampaikan sebagaimana yang dirancang awal. Kembali menaip hasilnya tidak seperti yang dibayangkan.

Pasti kecewa jika minda tersekat begitu bukan? Saya juga pernah mengalaminya. Paling membuatkan saya lelah ketika menaip artikel apabila tidak mendapat maklumat yang secukupnya oleh individu yang ditemuramah; sama ada dia segan atau memang jenis tak banyak cakap.

Ada juga ketikanya saya menemuramah seseorang yang terlalu ramah sehingga pelbagai cerita menarik tentang dirinya dikongsikan bersama. Keadaan ini juga boleh membuatkan minda saya yang terhad ini tersangkut-sangkut kala menaip. Sebabnya, terlalu banyak perkara mahu dikongsi sudahnya tidak tahu hendak mula dari mana.

Apa yang boleh dibuat jika jadi perkara sebegini. Kita kongsi pengalaman ya. Jika ada yang mahu kongsi tip peribadi juga saya alu-alukan.

1. Rehatkan minda: Bertenang jangan terus menaip, sebaliknya tenang-tenangkan diri dulu. Cari informasi tambahan sama ada di internet. Jika perlu, hubungi semula individu tersebut untuk menguatkan isi cerita. Cari rujukan lain misalnya individu terdekat dengan subjek.

2. Ilham ada di mana-mana: Waima ketika sedang menatap muka teman di hadapan sekalipun boleh menjadi sumber inspirasi untuk anda memulakan penulisan. Melayari dari satu blog ke satu blog juga mampu memberi manfaat berguna kepada penulis.

3. Cari cerita utama tentang subjek yang boleh diketengahkan. Pastikan ianya mampu menarik tumpuan pembaca. Semakin sedih dan tragis kisah seseorang, semakin ia meruntun hati pembaca. Misalnya, siapa dirinya sebelum menjadi seorang yang berjaya. Apakah pengalaman lalu yang membuatkan dirinya bangkit menjadi seperti sekarang. (Semua itu ada kaitan dengan motivasi dan inspirasi).

4.Tajamkan imaginasi anda. Lebih bermanfaat jika ia ditulis untuk penulisan majalah. Kalau tulis berita terlebih imaginasi, nanti boleh jadi lain ceritanya. Imaginasi ini penting untuk anda memulakan intro yang 'kick' dan 'power' serta jalan cerita atau artikel yang mampu menarik minat pembaca untuk meneruskan pembacaan mereka. Setelah mendapat info daripada individu yang ditemuramah, cubalah bayangkan diri anda adalah individu itu. Insyaallah, jalan cerita akan dapat disampaikan dengan mudah.

5. Saya sendiri tidak tahu mengapa saya lebih gemar mengarang artikel bermula dengan kisah 'subjek' dari alam kanak-anak lagi. Tapi lama kelamaan saya faham itulah 'identiti' saya. Untuk menghasilkan penulisan yang baik, penulis perlu ada identiti dalam penulisan mereka. Carilah identiti itu, insyaallah anda akan menemuinya andai sabar dan mengkaji penulisan sendiri.

Itulah serba sedikit tips penulisan artikel dalam majalah yang boleh saya kongsi. Dan itulah juga teknik yang saya praktikkan bila tersangkut menaip dengan agak lama. Semoga ia dapat memberi manfaat pada semua. Sebenarnya teknik ini juga boleh diaplikasikan dalam penulisan blog. Cubalah!

Saturday, September 21, 2013

Sesat di Utan Batu, Pencarian Landmark Agung

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Sekitar FHM 2013. Ini baru sebahagian. Ada beberapa keping gambar hasil makanan dengan rekaan yang cukup menarik dan unik. Ada yang dibuat dari coklat dan ada pula dari jenis pastri. Cuma mata dah terlalu layu di pagi hari ini.

Baru-baru ini saya menerima kiriman emel yang dimajukan oleh Kak Siti Arfah Abdul (Kak Pah), penolong editor Mingguan Wanita tentang satu tugasan ke Food & Hotel Malaysia (FHM) 2013 yang diadakan di Hall 6, KLCC Convention Centre. Di situ ada ramai pemain-pemain handalan dalam dunia perhotelan bukan sahaja dari Malaysia malah di peringkat antarabangsa. Turut diadakan pameran makanan, minuman, hotel, restoran, kemudahan dan peralatan hotel, perkhidmatan dan segala yang berkaitan dengan teknologi perhotelan. Buat kali ke-12, Malaysian menganjurkan pameran seumpama ini.

Sayangnya, inilah kali pertama saya datang ke majlis sebegini. Itupun disebabkan niat hati mahu menemuramah Pengurus Pemasaran MLA bagi Asia Tenggara dan China, Rose Yong. Mujurlah Kak Pah ada sekali. Mudahlah untuk saya berbual-mesra dengan kenalan lamanya ini. Sedang kami mengambil gambar Pn. Rose, gerai pameran MLA didatangi Pengurus Pemasaran MLA (Australia), Andrew Cox. 

Seronok tidak terhingga dirinya bila mengetahui kami akan menemuramah rakannya itu. Bermacam-macam cerita dikongsi bersama sampailah kami menjemputnya datang ke premis KMK. Andrew yang ramah bicara, senang hati dengan pelawaan itu dan berjanji akan melaksanakannya juga suatu hari nanti.

Sebenarnya, sebelum sampai ke lokasi Kak Pah sempat berkongsi pelbagai cerita. Dari kisah perjalanan haji, nekadnya belajar memandu, kisah anak-anak sampailah cerita Kak Pah melancong ke Jakarta tidak lama dulu. Apa yang menarik tentang cerita-cerita Kak Pah? 'Landmark' kata kunci di sini. Bagaimana cerita 'landmark' boleh timbul dalam perbualan kami.

Cerita Kak Pah sewaktu dia ke Jakarta dahulu, Kak Pah ditemani seorang sahabat lama yang sudah biasa dengan jalan-jalan di kota penuh macet itu. Suatu hari mereka keluar berdua mahu membeli belah di Jati Negara. Selesai urusan, mereka pulang dengan menaiki 'tut-tut'. Memandangkan 'hasil tangkapan' hari itu cukup banyak, mereka perlu menyewa dua 'tut-tut'.

Faham sajalah, jalanraya di Jakarta, sesak dan padat. Ditakdirkan selepas beberapa ketika, Kak Pah terpisah dari kenderaan temannya. Kak Pah yang langsung tidak tahu jalan pulang terpaksa pulang sendirian.

'Mahu ke mana mbak?' Tanya supir yang mengendali tut-tut.

'Puter-puter saja pak. Saya baru sampai sini. Mahu lihat-lihat kota Jakarta." Jawab Kak Pah tenang. Tidak mahu menampakkan yang dia tidak tahu jalan. Bimbang ditipu pak supir yang tidak diketahui tulus atau tidak hati budinya.

Yang Kak Pah tahu rumah temannya ada di Utan Batu. Tapi, kawasan itu luas. Ibaratnya, mencari rumah di Shah Alam. Tapi Shah Alam di mana? Dan Kak Pah tidak tahu alamat rumah temannya itu.

Selepas setengah jam, supir pun hampir lelah. Kepala kak Pah ligat meninjau-ninjau jalan mahu cari 'landmark' ke kawasan perkampungan rumah temannya di Utan Batu. 

'Gi mana ni mbak? Sudah setengah jam. Mahu ke mana sih?' Pak supir kegelisahan. Kak Pah gelisah sama (tapi dalam hati saja) sementara mulut kak Pah yakin mengarah. 

'Puter-puter saja pak. Terus puter-puter." Kak Pah tak mahu mengalah dengan situasi sukar yang dialami. Tiba-tiba kak Pah terpandang deretan klinik gigi yang banyak di jalan yang dilalui. Ya, Kak Pah yakin inilah laluan ke rumah temannya di Hutan Batu. Otak Kak Pah berfikir ligat mengimbas kembali kenangan waktu pertama kali menjejakkan kaki ke tempat itu. Landmark klinik gigi yang bersusun itulah petunjuknya.

Binggo! Tidak jauh, Kak Pah nampak temannya menunggu di tepi jalan dengan wajah kerisauan. 

"Kak Pah, sesat ke mana tadi?" Segera temannya meluru dan mendakap Kak Pah erat.

"Aku puter-puter dengan tut-tut. Dah pergi bayarkan bil puter-puter itu." Kata Kak Pah selamba. 

Itu sedikit tentang kisah Kak Pah yang sarat dengan pelajaran. Nombor satu, mahu jadi orang terbilang, jika mahu berjaya perlu tahu meletakkan tanda aras dalam diri. Maksudnya, bijak dalam setiap tindakan. Iktibar kedua dari kisah Kak Pah, ketika tersesat di negara orang, jangan nampakkan sangat yang kita tidak tahu tentang apa-apa pun. Nanti mudah orang ambil kesempatan untuk menipu. Ketiga dan paling penting, kenal 'landmark' setiap kali sampai di satu-satu tempat. Jika tersesat, mudah untuk mencari jalan pulang.

Samalah dengan kehidupan kita ini, perlu ada 'landmark' atau matlamat jika mahu berjaya. Mahu jadi penulis yang hebat perlu mencari mentor yang sesuai dengan bidangnya. Jangan semberono memilih tok guru. Andai tersesat, sukar sekali mahu kembali ke pangkal jalan. Bergurulah dengan yang pakar. Andai tersesat, ada guru yang mampu menarik kembali ke laluan sebenar.

Wednesday, September 18, 2013

Kembalikan Keseronokan Itu

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Pustaka Desktop Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Langit cerah nan membiru. Semoga Allah izinkan saya meminjam kata-kata indah milikNya. Ilham hadirlah kau bak langit yang terbentang luas ini, hati kembalilah tenang seperti selalu. Minda teruslah fokus dan kembalilah berimaginasi seperti sebelum-sebelumnya. Imaginasi yang hebat juga begitu penting untuk seorang penulis. Jika tulus imaginasinya, ia menghadirkan energi yang cukup luar biasa sekali.


Berat sungguh dada ini ketika jari jemari menekan kekunci. jemari terus mengetuk tanpa emosi. Sejak petang tadi, saya bagaikan diserang 'sesuatu' yang cukup ditakuti oleh setiap penulis. Dan sampai ke saat ini, ia terus mengganggu saya. Kelancaran tugasan sedikit sebanyak terganggu kerana masalah yang satu ini. Ya, saya sedang dilanda 'writer's block'. 

Petang tadi ketika berbual dengan Editor Pengurusan Kanan MW, Kak Nuri saya luahkan apa yang saya rasa. Barangkali sudah 'berkarat'. Kak Nuri sengih semacam sebab perkara yang sama juga pernah dialaminya. Bila terlalu tepu, fikiran bercabang-cabang melayang, tidak mahu fokus pada apa yang ingin disampaikan, hati terasa sarat dengan segala macam keterpaksaan. Oh! Sungguh saya tak suka bila mengalami keadaan semacam ini.

Kerana penulisan adalah kerjaya saya. Mata pencarian saya. Itu adalah fitrah yang telah Allah tuliskan dalam loh mahfuz dan perlu saya hadapi dengan hati yang tabah (semangat ini saya peroleh ketika menemuramah Dato Jamelah. Mahu tahu siapa beliau? Boleh baca entri di sini.) Namun, mengapa saya mengalami virus sebegini. Teruklah kalau virus ini terus menyerang dan tidak mahu menjauh pergi.

Sememangnya Kak Nuri adalah guru saya dalam dunia penulisan. Dari kisah sebatang pen sampailah ke cerita artikel dibuang dalam tong sampah, memberi teladan yang mendalam buat penulis baru seperti saya. Kak Nuri bukan sekadar mengajar penulisan yang baik, ia lebih dari itu. 

"Menulislah dari hati. Sebelum jemari mengetuk kekunci, niatkan dahulu. Mohon pada Allah semoga penulisan yang bakal terhasil memberi manfaat kepada orang ramai, dengan sendirinya keikhlasan akan terlahir,"- pesanan kak Nuri saya ingat sampai bila-bila.

Bagaimana saya mahu hilangkan virus 'writer's block' ini? Sungguh ianya sarat menyesakkan dada. Pesan kak Nuri lagi, 'Kembalikanlah keseronokan itu'. Lepaskan semua tekanan dan membacalah. Carilah apa-apa sahaja bahan rujukan, majalah atau apa sahaja. Kalau tidak dibaca pun, belek-beleklah setiap lembarannya. Pasti akan ditemui 'sesuatu' di situ. Walaupun majalah yang dibaca itu langsung tiada kaitan dengan artikel yang sedang dikarang.

Jika tidak jalan dengan cara itu, bangun dan carilah ilham di mana-mana tempat sekalipun. Cara kak Nuri mencari ilham sebenarnya agak kelakar. Bila terlalu tersangkut, Kak nuri akan cari ilham di dalam tandas. Selalunya ia berjaya pada kak Nuri cuma cara itu tak berapa menjadi dekat saya.

Yang paling penting sebenarnya, keseronokan itu kita sendirilah yang menentukannya. Jika diri sendiri tidak berusaha mengubahnya menjadi seronok, maka tiadalah ia memberikan apa-apa hasil walau macam mana keras pun memasang angan-angan. 

Dan hari ini kak Nuri mengingat saya kembali dengan falsafah Kaizen. Sungguh, telah lama saya lupakan. 'Beranilah untuk berubah'. Bagaimana? Kembalikan mood dalam penulisan dengan membuat sesuatu yang baru dan segar. Cubalah belajar 'dress up', sememangnya ia menjadikan diri kita orang baru. Benarlah penampilan itu juga mempengaruhi mood dalam penulisan.

Mencipta soalan juga boleh membantu. Soalnya bagaimana? Jangan bertanya soalan yang sama kepada orang yang berbeza. Carilah 'sesuatu' tentang individu itu. Pasti ada cerita inspirasi yang boleh dimanfaatkan kepada orang ramai. Jika betul cara kita melorongkan soalan, indahlah hasil kerja kita. 

Oh, sampai ke penghujung tulisan ini pun saya masih merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan entri ini. Seperti tiada jiwa yang mengiringi setiap kata-kata. Ya Allah, bantu saya untuk kembali ke track. Saya perlu segera mencari motivasi atau saya yang akan jadi 'roti basi'.

Baiklah, saya mahu cuba teknik yang satu ini dahulu. Jika berjaya, saya akan kongsikan di ruangan ini kelak. Titik.

PS: Sukar sekali mahu meluahkan entri kali ini. Susahnya seperti menggigit tulang ayam di bahagian peha. (mood: tengah malam perut pun mula berkeroncong). Nampak sangatkan sekarang ini betapa tunggang langgangnya saya. Petang tadi pun, Intan sempat melihat kekalutan saya.

Monday, September 16, 2013

Rahsia Kebun Abah

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Cendawan kukur ini tumbuh melata atas pokok getah yang telah abah tebang. Sengaja abah tak buang pohonnya sebab mahu beri ruang makanan 'kegemaran' ramai ini tumbuh subur di permukaannya.

Belakang rumah abah ada kebun adik-beradik. Memandangkan masing-masing ada yang tinggal jauh, abah minta izin 'tuan tanah' kerjakan tanah kebun itu. Tahun lalu, abah dan mak usahakan ternakan ayam kampung. Abah bina rumah ayam, cari buluh, beli kayu sampailah siap reban yang saiznya sama luas dengan dapur rumah mak.

Macam-macam dugaan abah tempuh. Keluar modal yang tak kurang besarnya beli anak-anak ayam kampung, belum pun sempat dijual, separuh anak-anak ayam mati kena angin sampar. Itu belum lagi kira peruntukan makanan ayam, cerita monyet curi telur mahupun cubaan anjing pecah masuk reban dek tergoda dengan keenakan daging ayam kampung. Walau bermacam dugaan, abah tak putus asa. 

Sekarang ini abah bela lagi ayam, cuma jumlahnya biasa-biasa saja. Cukup-cukup untuk makan keluarga. Dalam masa yang sama, abah tanam pokok pisang, serai, nenas dan macam-macam lagi. Buah pisang yang abah tanam itupun dah banyak yang menjadi, tapi abah tak mahu jual beria-ia. Cuma sesekali, adalah jiran tetangga yang datang membeli.

Bukannya tak boleh mendatangkan hasil, tapi abah orang kampung yang 'simple' hidupnya. Kadangkala tak sampai hati, akhirnya semua jadi kebajikan saja. Walaupun tanaman itu tak menjadikan abah kaya raya dengan wang ringgit, abah tetap istiqomah ke kebun dan tengok ayam kampung yang dia usahakan.

Dalam masa yang sama, abah buat rumah untuk mak cik yang tinggal di Jalan Jambu. Selesai bertukang, abah tengok lagi kebun. Buang daun-daun pisang yang mulai menguning, memesin rumput yang kelihatan panjang dan siram pokok-pokok yang masih kecil. Mak pun, kalau tak menjaga Qaseh, dialah yang paling kuat membantu.

Lepas setahun abah menjaga kebun tanpa jemu, banyak sekali tanaman yang menjadi. Sekarang ini pun ada macam-macam hasil dekat belakang kebun abah. Cuti Malaysia baru ini, saya ikut mak mencari cendawan kukur. 

Bawa budak Mirza sebagai subjek foto untuk saya 'frame'kan dalam entri kali ini. Sambil itu ajar dia cara memetik cendawan kukur. Penat juga membebel-bebel dekat Mirza yang kelam kabut mengumpul sampai jatuh satu persatu cendawan yang kecil-kecil itu.

Tak berhenti mulut saya berpesan,  minta Mirza buat kemas-kemas kerana semua ini boleh menjadi duit. Mirza sudah besar rupanya, dengan selamba dia kenakan saya "Ibu ini asyik duit, duit, duit". Saya tergelak besar. Tak sangka akan ditembak sedas begitu. 

Jalan-jalan di kebun belakang rumah abah membolehkan saya mengabadikan peluh keringat mak-abah dalam entri kali ini. Alhamdulillah, rezeki Allah tidak putus-putus untuk mak dan abah yang tidak pernah mengenal erti putus asa ini.




Buah ribena ini dah ranum dan boleh dibuat jus atau jem. Betul-betul sebelah rumah mak dan abah.
 


Ini bukan buah mempelam tapi kuinin. Rasanya manis-manis pahit yang walla.



Kebun pisang seluas mata memandang.



Dulu, jarang benar hendak jumpa cendawan kukur dekat kawasan rumah saya ini. Alhamdulillah, rezeki mak abah dengan cendawan memang tak pernah putus. Kawan-kawan pun boleh tumpang merasa.



Buah nenas ini belum ranum lagi. Siapa yang mengidam nenas muda, bolehlah singgah ke rumah kami.



Ada beberapa tandan pisang yang tergantung di pokok. Mak minta saya ambil beberapa keping lagi, tapi tak pandai pula saya hendak membediknya.



Pokok serai ini tak banyak mana pun. Adalah dua tiga pokok.



Sebenarnya idea entri ini bermula dari gambar bunga kantan dari wall fb kawan saya, kak Eizan Ariffin. Kak Izan, inilah pokok bunga kantan yang saya kata 'bersepah' tu.



Daun sirih ini banyak kegunaannya. Lagi bermanfaat bila ada majlis pertunangan atau kelahiran bayi. Asalnya kecil saja pokoknya. Mak bela main-main, tak sangka daunnya dah merimbun sampai ke bumbung reban ayam.



Pokok pandan ini Cik Sareah punya. Disebabkan pokoknya gemuk membesar, tangan saya meronta-ronta mahu menekan butang 'capture' pada kamera telefon.



Mak yang minta saya ambil gambar ini ya. Katanya, biar kawan-kawan nampak cara dia memetik cendawan. (mood: senyum sendiri).



Mirza dan nenek di kebun pisang.



"Kutip kemas-kemas ya Mirza. Jangan sampai ditabur-tabur duit yang bersepah dekat pokok tu," ibu berangan lagi.

 

Petang hari, abang Arip memancing dekat parit sebelah rumah mak. Dapat seekor ikan keli yang tak kurang besarnya. Mirza buat muka terkejut pula.



Zarif cuba bermain 'ba ba cak' dengan ikan keli. Hmm... geramnya ibu!



 Monyet ini suka makan telur ayam mak. Suatu hari abah pasang perangkap dan mengena. Siapa mahu ambil dia sila angkat tangan. Walaupun duduk dalam sangkar, kadangkala mak beri juga dia makan telur ayam kampung. Kan saya dah kata, mak abah saya 'kebajikan' orangnya.


Related Posts with Thumbnails