Follow Saya Di Google Plus

Tuesday, October 29, 2013

Bongkar Rahsia Masakan Minang Asli Di Janda Baik

Teks: Netty Ah Hiyer | nettyahhiyer@gmail.com
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.

Antara hidangan masakan Minang asli yang ada di Janda Baik. Sup tulangnya memang terbaik! Terlalu syok makan sampai terlupa mahu merakam gambarnya.



Pertemuan di atur tanpa sengaja. Lewat Selasa lalu, saya mencari respondan untuk ditemuramah dalam ruangan Isu Khas. Kebetulan, teman seUiTM dulu, Zureen Marni lapang untuk ditemuramah. Selesai tugasan, Zureen mempelawa adakah saya mahu ke gerai Minang Sri Selera Masakan Padang milik ibu mentuanya di Janda Baik.

Kebetulan, saya memang tercari-cari 'bahan' untuk mengisi ruangan resipi. Serba sedikit Zureen menerangkan tentang juadah yang dijual di situ. Kata Zureen, masakan ibu mentuanya itu seratus peratus asli masakan minang. Menarik! Fikir saya dalam hati.

"Tapi kak gerai mak mentua saya taklah besar mana. Gerai kampung tepi jalan saja." sambung Zureen merendah diri dalam balasan messangernya. 

Tak mengapalah Zureen, bukannya nak kena ada restoran besar baru boleh masuk majalah. Janji masakan yang dihidang di gerai itu ada 'nilai berita' dan istimewa. Bagaimana mahu memahamkan maksud 'nilai berita' itu? Dalam konteks gerai mak mentua Zureen ini "Gerai masakan Minang Asli" itu adalah nilai berita yang boleh diambil kira. Ini tips untuk penulis baru; mengesan dan menghidu nilai sesebuah berita.

Lalu, petang Khamis 24 Oktober saya bersama Khairunnisa, wartawan majalah Midi dan jurugambar saya, Safuan membelah lebuhraya, meredah hutan belantara, mendaki bukit bukau (mendakilah sangat!) mencari gerai tepi jalan Selera Minang yang dikhabarkan Zureen hidangan asli orang Minang.

Sesekali membuat tugasan di tanah tinggi, suasananya cukup mengasyikkan sekali. Nyaman, tenang dan jauh dari kebingitan kota. Ianya gerai comel di tepi jalan namun ada ada pesona tersendiri. Udaranya segar, pemandangannya juga sejuk mata memandang.

Meja tepi kolam mak mentua Zureen jadi tumpuan utama kami, selesai menikmati keenakan pisang abu dengan cicah sambal minang yang walla itu, kami berpindah ke meja depan untuk  photoshoot.


Zureen beri saya map ini, saya pun kongsikan di sini. Maaf ya kalau kurang jelas. Cendol pulut itu, ayah mentua Zureen buat sendiri. Sedap! Paling seronok makan di sini bila sambil makan boleh menikmati pemandangan hutan menghijau yang kurang terusik dek pembangunan.



Tak lama kemudian, kami angkat beg dan pindah pula ke meja berdekatan Safuan bagi memudahkan kami menemuramah mak mentua Zureen. Mahu tahu rahsia masakan Minang. Apakah yang istimewa mengenainya.

"Masakan Minang ini tidak menggunakan rempah segera. Semuanya makcik buat sendiri. Kari pun buat sendiri. Paling terkenal di sini sup tulangnya. Sampaikan R&R di hentian Genting Sempah itupun pernah offer makcik meniaga di sana. Tapi makcik setia di sini." ujar mak mentua Zureen yang lebih dikenali para pelanggannya dengan gelaran Kak Mie. 

Mahu tahu rahsia lagi? Kak Mie ini sudah berniaga lebih 30 tahun dan sup tulangnya itulah yang paling digilai. Dicampur pula dengan sambal Minang yang dihasilkan dengan cara tersendiri. Enaknya lain macam. Kata Kak Mie lagi, masyarakat Minang ini sememangnya gemar membuat rempah ratus mereka sendiri dan tiada penggunaan gula dalam bahan masakannya. 

Tiba-tiba saya jadi terharu, bila kak Mie sudi kongsi resipi masakan Minang untuk pembaca Mingguan Wanita. Tunggu!

Mahu tahu lagi ada apa dengan masakan Minang ini? Pastinya setiap hidangan pedas-pedas belaka. Jangan bimbang, pedas-pedas masakan kak Mie, habislah dua pinggan Safuan menambah. Ahaks! Jangan marah kak Net ya Safuan. PS: "Wankan orang UK!"

Ah, selesai menemuramah dan makan, barulah kami tersedar. Rupa-rupanya dekat empat meja kami telah berpindah randah. Sudahnya kami gelak sesama sendiri. Kelakar dengan gelagat entah apa-apa kami ini. 


 Nampak tak gua batu di belakang saya. Ada cerita 'buluh betong' di dalamnya.  Yang bertudung merah itulah Zureen, junior saya waktu di UiTM. Seronoknya dia sudahpun berpencen awal.



Selesai mengambil gambar makanan dan tuan punya kedai, kami singgah sebentar ke rumah penginapan milik seorang wanita kacukan Cina yang kaya hasil seni ukirannya. Ayah mentua Zureen turut menyumbang hasil seni di rumah banglo dua tingkat itu. Ada gabungan elemen kayu dan batu. Saya maklumkan pada tuan rumah mahu pinjam kawasan kediamanya untuk pengambaran fesyen kelak.

"Rumah ini belum siap sepenuhnya. Ini pun saya tertipu. Ada peniaga jual buluh betong, dekat RM40 sebatang. Bila sampai, ianya bukan yang asli." Luahnya sambil menunjukkan deretan 'buluh betong tipu-tipu' yang disusun rapi dalam gua batu di hadapan rumahnya.

Bagi saya pula, walaupun rumahnya itu belum siap sepenuhnya. Ia ada elemen rustik yang amat menarik jika digabungkan dengan latar dan mode fesyen. Selesai lawatan sambil melihat rumah itu, kami singgah semula ke gerai Zureen. 



Bukan main lagi Safuan tu berpeace sakan. Mentang-mentanglah orang UK! Air yang tenang di belakang kami itulah kolam air panas dekat Bukit Tinggi. Suhunya mencecah 40 darjah celcius.


Masih tidak boleh pulang kerana mak mentuanya mahu kami minum petang dahulu. Alhamdulillah, rezeki Allah beri untuk kami hari itu. Kami tidak terus pulang kerana mahu melihat kawasan kolam air panas yang ada di Bukit Tinggi. Walaupun tiada dalam agenda, sengaja kami ke sana kerana mahu lihat apakah yang menariknya di situ. Mana tahu boleh menjadi satu lagi lokasi pengambaran untuk kolum fesyen nanti.

Sememangnya kolam air panas itu besar dan telah diubahsuai sebahagiannya untuk memudahkan pengunjung mandi di situ. Di belakangnya pula sedang dibangunkan sebuah hotel.

"Sekarang ini free lagi. Nanti bila hotel sudah siap, mahu masuk saja kena bayar RM50," cerita pengunjung lelaki berbangsa Cina separuh usia yang ditemani isteri di sebelahnya.  

Hari minggunya, saya ke Janda Baik lagi. Kali ini saya bawa anak-anak mandi sungai kecil dekat dengan rumah Zureen dan bawa suami menikmati hidangan sup tulang yang menggunakan rempah buatan tangan Kak Mie itu.





Monday, October 28, 2013

Ujian 44 Entri

Teks: Netty Ah Hiyer | nettyahhiyer@gmail.com
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Anak-anak juga boleh menjadi sumber inspirasi untuk menulis dalam entri ini. Ops! abang Mirza tiada dalam gambar. Barangkali sedang leka bermain ipadnya.


Lama saya tidak menulis di ruangan blog ini. Saya sengaja biarkan untuk melihat sejauhmana ia memberi impak kepada jumlah pengunjung blog saya. Mahu menguji adakah benar teori 44 entri itu dan perkaitannya dengan aliran trafik. Ternyata, teori itu amat bersangkut paut sekali. 

Saya melihat dengan jelas aliran trafik yang perlahan dan kurang menarik angkanya apabila saya kurang konsisten apatah lagi istiqamah dalam kerja yang saya lakukan ini. Sebab itulah di dalam kelas online, guru saya, Masayu Ahmad sentiasa menekankan peri pentingnya menyudahkan 44 entri secara konsisten. Ada sebab dan musabab yang manfaatnya akan dirasai oleh pelajar itu sendiri.

Teori tentang konsep saling membantu dalam meningkatkan aliran trafik ini juga turut saya perhatikan rentaknya. Jika kita bergerak secara individu, kekuatan itu tidak seperti kita bergerak bersama berjemaah. Sekali lagi, itulah yang ditekankan oleh guru saya. Hari-hari beliau berteriak di dalam grup akademik online ini tentang manfaat berganding bahu bersama 130 buah blog yang bertapak di dalam kelas ini.

Saya kira, manfaat itu juga sedang saya alami ketika ini. Apabila saya posting sendiri-sendiri entri saya ini, pengunjungnya tidak selaju posting yang dibantu oleh jemaah yang lain. Aliran trafik kisah 'Lenggong Kami Datang' juga sedang bergerak memotong barisan entri 'Berani Gagal'. Mengapa? kerana ada bantuan hebahan dari sifu untuk entri 'Lenggong Kami Datang'. Barangkali ada yang tertanya-tanya mengapa pentingnya gabungan blog ini. Selain tujuan jana wang, apa lagi yang kami harapkan.

Trek cantik sebegini sebenarnya sedang dibina di dalam kelas online penulisan ini. Dan yang paling unik sekali, di dalam gabungan ini terdapat banyak blog dari kalangan individu yang mahir dan pakar dalam bidangnya. Gabungan ini jugalah yang banyak membantu saya mendapatkan maklumat terbaik untuk kerja harian saya. 

Dalam dunia serba pantas dan sentiasa mahukan info yang segar, saya amat memerlukan perkara-perkara seperti ini. Supaya, saya sentiasa memperoleh info terkini jika mahu tahu tentang sesuatu perkara; dunia penjagaan anak-anak, menghias kediaman, fesyen terkini dan hatta cerita semasa sekalipun. Setiap penulis kelas online ini cukup unik dan tersendiri. 

Oh! mengapa ya pagi-pagi buta begini saya mengulas tentang kelas online? Banyak sekali perkara yang terjadi kebelakangan ini. Tapi mood saya pagi ini mahu mengulas kelas pula. Barangkali saya mula melihat bagaimana hebatnya kuasa penulisan dalam menjana pendapatan tetap mahupun sampingan. Baik untuk penulis bebas mahupun yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan.

Modalnya hanya idea dan sebuah komputer riba atau meja hatta tablet mahupun android. Cuma saya lebih senang dengan cik 'lappy kecik' saya ini. Walau tiada cerita untuk dikarang, bila sudah mengadapnya bermacam-macam perkara meluncur laju di hujung jari.

Berbekalkan modal itu serta kemahiran menulis yang diasah perlahan demi perlahan, bertahun-tahun lamanya akhirnya ia mampu memberikan satu hasil yang memberangsangkan. Dalam keadaan ekonomi yang 'biasa-biasa' sekarang ini, baiklah kita mencari satu pekerjaan yang kurang modalnya, namun untungnya nampak di depan mata. Anda boleh bermula dengan menulis cerpen dahulu. Menulis blog juga ada manfaatnya. Cuma perlu belajar untuk ketahui apakah manfaat itu.

Banyak penerbit akhbar mahupun majalah menyediakan ruang untuk penulisan cerpen. Penulisan rencana juga begitu dialu-alukan. Cuma untuk menjadi penulis rencana yang mahir perlu belajar dan hadiri kelas. Pembacaan dari bahan bacaan yang berkualiti juga amat penting sekali. Supaya rencana yang dihasilkan tidak longgar isinya.

Lebih menarik, jika ia disertai dengan sumber sebagai bahan bukti kukuh yang meningkatkan kredibiliti dalam penulisan. Mahu menghasilkan penulisan yang ada kredibiliti bukan sekadar menulis kosong di atas kertas. Anda juga perlu belajar menjadi seorang penulis yang miliki ciri-ciri itu.

Bagaimana caranya; sumber haruslah sahih. Berita atau rencana tidak mempunya unsur penipuan. Jujurlah ketika menulis. Tapi ada ketikanya, penulis memang menulis dengan jujur. Cuma sumber pula yang menipu. Dalam kes sebegini, penulis perlu miliki 'six sense' atau deria keenam untuk membolehkan dirinya mengesan sumber itu palsu atau sengaja menggunakan penulis untuk mengisi kepentingan peribadi. Dalam hal ini, pengalaman banyak mengajar penulis mendapatkan deria keenam itu. Jika bukti sudah ada di depan mata, janganlah pula diteruskan hubungan sebegitu. Padahnya penulis juga yang akan rasa nanti. 

Mahu menjadi penulis yang mahir, anda sebenarnya memerlukan seorang mentor. Saya pernah cerita tentang pentingnya miliki mentor sebelum ini. Betapa pengaruh mentor itu kepada diri seorang penulis. Dalam bab berniaga juga begitu. Seseorang memerlukan mentor untuk terus berjaya dan meniru acuan mentornya itu.

Dalam industri MLM, mentor amat penting sekali. Mentor mencipta formula kejayaan dan hasilnya dikongsi bersama anak-anak buah yang lain. Jangan pula tersalah pilih mentor, kelak merana badan. Dah alang-alang saya tersebut cerita MLM biarlah saya tegaskan di sini ramai yang kurang faham tentang konsep MLM itu. Banyak yang beranggapan negatif malah ada yang mengaitkannya dengan skim piramid. MLM adalah perniagaan yang sah dan ada produk jualan. Usahawan MLM bukanlah usahawan yang mengaut keuntungan di atas derita orang lain. Berbeza dengan skim piramid yang sama sekali dilarang perniagaannya di negara ini.

Eh... eh... jangan pula nanti kata saya berniaga MLM? Bukan begitu, sejak menulis di meja Mingguan Wanita saya sering bertemu usahawan MLM dan serba sedikit saya faham bagaimana konsep perniagaan itu. Barangkali ada yang tertipu itu kerana mereka kurang menyelidik jenis dan konsep perniagaan yang ditawarkan. Cari yang benar-benar sesuai barulah boleh offer diri. 

Kelas online penulisan blog ini juga begitu. Jika kurang pasti bertanyalah sampai anda benar-benar faham mengenainya. Semoga penjelasan ringkas saya ini memberi kebaikan untuk semua.

Wednesday, October 23, 2013

Berani Gagal?

Teks: Netty Ah Hiyer | nettyahhiyer@gmail.com
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Fikiran yang tenang akan menghasilkan energi yang positif. Gelombang positif yang dipancarkan laju mengalir ke seluruh tubuh bak sebuah rumah yang tenang dan teratur susunan dan hiasannya.

Perlukah keberanian untuk menjadi gagal? Bukan semua orang mampu menerima kegagalan dalam hidupnya. Ada yang menangis pagi-petang-siang-malam akibat tidak dapat menerima kegagalan yang dialami. Baik di alam percintaan, mahupun dunia kerjaya. Hakikatnya, orang yang berani gagal adalah orang yang paling berjaya dalam hidupnya.

Thomas Alva Edison sendiri gagal sebanyak 10083 kali dalam menghasilkan penciptaan mentol lampu yang sempurna. Begitu juga pencipta-pencipta inovasi terdahulu seperti Alexander Graham Bell dan sebagainya. Itu contoh yang jauh dari kita. Contoh yang paling dekat adalah diri kita sendiri. Berapa kali kita gagal melaksanakan misi apa yang dirancang dalam hidup kita? Adakah kita mengalah dengan kegagalan itu?

Mengalah bererti kalah. Meneruskan usaha membawa maksud kejayaan yang lebih besar lagi sedang menanti kita. Dalam majalah Mingguan Wanita bilangan 1564, saya ada menghuraikan nota ringkas tentang 'Cemerlang Dalam Kepayahan'. Kupasan ringkas itu boleh ditemui dalam kolum baru Mingguan Wanita yang diberi nama Soal Hati.

Apa yang perlu dilakukan ketika gagal dan bagaimana mencapai kecemerlangan di saat diri dalam keadaan gagal, semua itu ada dinyatakan di dalamnya. Semoga tulisan itu bermanfaat untuk semua.

Saya juga pernah melalui kegagalan demi kegagalan, penolakan demi penolakan sepanjang bergelumang dalam kerjaya kewartawanan ini. Di saat akhir temujanji yang diatur dibatalkan dan sebagainya. Tapi semua itu mematangkan diri untuk menjadi seorang wanita besi dan tegar jiwanya. Tiada apa yang mustahil dalam hidup kita.

Saya cukup percaya tentang kita adalah apa yang kita fikirkan. Dan itulah yang terjadi kepada diri saya ketika ini. Di saat saya menjadi cukup lemah dan tidak berdaya untuk meneruskan sesuatu usaha, akan ada kekuatan yang Allah berikan tanpa disangka-sangka. Kerana di dalam otak saya yang terhad ini sentiasa memikirkan setiap sesuatu yang terjadi itu telah tertulis di loh mahfuz dan bagaimana kita berhadapan dengan suratan takdir itulah yang amat payah untuk diharungi.

Kadangkala kita berfikir, kita telah merancang begitu begini, kenapa ia tidak menjadi begitu begini? Menyalahkan orang sekeliling yang tidak memahami perancangan kita adalah paling mudah dilakukan. Walhal ada yang lebih besar di sebalik kegagalan itu. Kerana Allah tahu yang kita belum bersedia untuk menerimanya. Dan Dia sedang merencanakan sesuatu yang lebih baik untuk kita di masa hadapan.

Jadi jangan putus asa. Lalui kegagalan itu dengan muhasabah diri dan senang hati. Fikirkan saja yang baik-baik. Dan yang paling penting, jangan sampai diri sendiri dibuli oleh diri sendiri. Eh! Pelikkan bunyinya. Maksudnya di sini, kalau kita kecewa dengan kegagal kita yang sedikit itu, bagaimana kita mahu berhadapan kekecewaan akibat kegagalan yang lebih besar kelak. Kalau ujian sekecil ini pun sudah mengalah, bagaimana Allah mahu beri kita sesuatu yang lebih besar? Jadi jangan sampai kita terpedaya dengan ujian hati yang tidak seberapa itu. Teruslah menjadi kuat wahai Netty!

Pagi-pagi buta begini tiba-tiba timbul mood mahu memotivasikan diri sendiri. Hehe... sudahnya inilah hasil bentuk penulisannya. Sebahagian besar dari penulisan ini adalah nota hati untuk diri saya sendiri. Semoga ia juga bermanfaat untuk semua. Amin

Friday, October 18, 2013

Lenggong Kami Datang

Teks: Netty Ah Hiyer | nettyahhiyer@gmail.com
Foto: Kamera Fon Saya


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Dalam gambar ini; ada daun gelenggang, misai kucing dan kedai minum old school yang semuanya ada di kampung mentua saya di Lenggong.


Lampu sudah terpadam, cuma sesekali terdengar deruman motor dan kereta yang melalui lebuhraya berdepan rumah ibu mentua saya. Itulah muzik yang menemani saya setiap kali pulang ke kampung di Sira Putih, Lenggong. Unggas malah kelkatu seronok menyerang cahaya kecil yang terang di desktop kelabu saya. Saya juga seronok ditemani muzik dan unggas itu. Sekurang-kurangnya pagi-pagi buta ini saya tidak bersendirian.

Di kampung suami kaya dengan khazanah alam. Dari hutan belukar yang masih tebal menghijau, gunung-ganang mengelilingi sekeliling kampung, gua-gua tua yang penuh misteri dan pelbagai cerita terhimpun segar di penempatan paling lama di Malaysia ini. Unesco sendiri sudah mengiktiraf tempat ini sebagai tapak warisan sejarah dunia.

Sememangnya kali pertama menjejaki Lenggong, hati saya sudah dipagut suka. Bukan sahaja tergila-gilakan suami yang manis senyuman itu, tapi saya juga tergila-gilakan tempat lahir lelaki berjiwa penyayang ini. Dia tidak dibesarkan di sini. Barangkali juga, dia tidak ada teman-teman di Lenggong.

Walau tiada teman, setiap kali pulang kami masih boleh 'enjoy' di pekan cowboy Lenggong dengan begitu senang hati. 

Saya suka ke pasar taninya pada setiap pagi. Di situ ramai orang-orang tua yang berniaga. Sesekali akan terpandang mereka bersama teman-teman di kedai kopi. Cukup santai dan penuh relaks. Tidak perlu terkejar-kejar mencari rezeki seperti di tempat kerja saya, Shah Alam, Selangor.

Saya juga suka ke kedai cina menjual air markisa yang cukup enak rasanya. Kata en suami, tauke Cina yang berjualan di situ sudah berniaga sejak zaman dia masih bersekolah rendah lagi. Dan kedainya juga tidak berubah. Masih antik dan klasik.

Kedai barangan lama di pekan Lenggong juga satu kemestian untuk saya singgahi. Sampaikan tauke Cina di kedai itu pun sudak cam muka saya. Saya suka membeli pinggan lama bunga merah, cawan kopitiam pun saya cari juga. Satu set sudah saya hadiahkan untuk mak di Meru. Abah cukup suka minum kopi panas dalam cawan kopitiam itu, lebih umph! katanya.

Saya pernah juga berjalan memasuki sebuah gua di dalam kampung Gelok. Tempatnya tidak jauh dari masjid kubur, Kampung Gelok. Kata Tok Ketua di Lenggong, itu antara kampung tertua di Malaysia. Di sebabkan ramainya orang asing datang membuat kajian, kawasan gua itu sudah dibangunkan serba sedikit. Ada laluan kayu yang boleh direntasi dan dikhabarkan memanjang sehingga mampu sampai ke pekan Lenggong. Betul atau tidak saya sendiri kurang arif, kerana waktu saya melaluinya dahulu ia baru separuh dibina. 

Menikmati keindahan panorama semulajadi di Lenggong cukup menenangkan jiwa. Pulang ke kampung halaman juga terapi minda buat diri saya. Bukan sekadar menikmati alam semulajadi yang menenangkan malah bertemu mak dan ayah mentua yang ada di kampung. 

Banyak lagi yang mahu saya kongsikan. Betapa terujanya saya apabila berkongsi cerita tentang Lenggong yang kini semakin saya rindui. Kerana, saya ketika posting ini dimuatkan dalam blog, saya sudahpun jauh di Kampung Budiman nan permai.

PS: Oh! Entri ini sudah tertangguh lama. Faktor cuti dan kelembapan internet antara puncanya.


Thursday, October 10, 2013

Ini Entri Entah Apa-apa

Teks: Netty Ah Hiyer | nettyahhiyer@gmail.com
Foto: Carian Google

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,



Entri kali ini saya tulis di awal pagi dengan mata yang hampir terpadam. Mengenangkan saya perlu juga mengisi ruangan ini dengan 'cerita' baru saya gagahkan mata. Letak batang mancis di tengah-tengah mata dan terus menaip dengan laju. (Percaya atau tidak, terpulang).

Ini semua gara-gara melayan lakonan pelakon hindustan kegemaran sejak dari zaman belajar UiTM lagi. Saya masih ingat penangan awal, Shah Rukh Khan dalam hidup saya cukup membuatkan saya tergila-gila hampir separuh jiwa melayang terkenangkannya. Bersama-sama teman satu dorm di bilik 105, Seroja 3, kami memasang CD Dil To Pagal Hai. Lupa seketika tugasan belajar yang memeningkan kepala.

Sejak itu, saya terus jatuh cinta. Mencari CD lakonannya di Mydin Klang. Tak cukup dengan CD saya beli pula kaset supaya saya boleh layan perasaan sambil membaca buku baik di rumah mahupun di asrama. (Saya kira, buku yang membaca saya). 

Walaupun sudah beranak tiga, saya masih suka dengan lakonannya yang romantis dan memukau perasaan itu. Saya juga membaca setiap cerita-cerita tentang dirinya. Bagaimana Shah Rukh menjejak kekasihnya semata-mata untuk menyatakan cinta. Dan akhirnya, dirinya diterima oleh keluarga kekasihnya yang kini menjadi isteri, Gauri.

Barangkali susah senang mengorat isteri itulah yang menjadikan babak romantis Shah Rukh dan pasangan pelakon wanita sentiasa menjadi. Penulis juga begitu, perlu melalui susah senangnya hidup barulah dia dapat melahirkan penulisan yang menyentuh hati.

Sayangnya semakin saya dimamah usia, CD-CD lakonan Shah Rukh yang berlambak itupun turut sama dimamah waktu. Sebahagian besar habis dikerjakan anak-anak yang ketika itu sedang membesar. Tak mengapalah bukan rezeki saya. Lagipun saya percaya setiap sesuatu yang hilang, andai kita redha Allah akan menggantikan kita dengan sesuatu yang lebih baik lagi.

Wednesday, October 9, 2013

Menulis Dari Hati

Teks: Netty Ah Hiyer | nettyahhiyer@gmail.com
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Tak cukup meja dapur, meja merah ini pun anak-anak jadikan port makan-makan. Alahai!


Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah... Mengapa saya ucapkan berkali-kali perkataan 'Segala Puji Bagi Allah Tuhan Semesta Alam' ini? Ya, saya bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan kepada saya. Selama saya bernafas di muka bumi ini, betapa saya telah mensia-siakan waktu yang ada.

Seharusnya saya bersyukur kerana dikurniakan tubuh badan yang sihat, akal yang waras, minda yang mampu berkata-kata dalam bentuk penulisan malah peluang untuk bernafas pada ketika ini. Saya juga bersyukur kerana di kelilingi insan yang sentiasa memudahkan urusan saya, mak abah, adik-adik, suami, anak-anak, ketua-ketua yang memahami, teman-teman yang sudi membantu hatta tikus-tikus yang tidak lagi mengganggu kediaman saya.

Dalam sehari berapa kali kita bersyukur. Adakah dalam solat lima waktu, solat sunat (jika ada kekuatan untuk melakukannya) atau dalam bacaan doa harian kita. Cukupkah semua itu? Belum lagi wahai Netty. Banyak lagi yang perlu dipelajari dalam memahami maksud bersyukur.

Hm, puitis terlebih malam ini. Itu tazkirah untuk diri sendiri dan juga siapa sahaja yang sudi membaca blog ini. Kerana konsep bersyukur itu cukup unik sekali. Bersyukur tidak menjadikan kita lemah sebaliknya semakin kuat membina kekuatan spiritual dalaman. Energinya cukup besar sehingga kita sendiri tidak sedar gelombang kesyukuran itu (andai berjaya dirasai dalam diri) ia mampu sampai kepada orang yang dekat dengan kita. 

Beberapa hari lalu, saya berkesempatan berbual-bual dengan beberapa orang kenalan yang mahu tahu lebih lanjut tentang kelas asas blog dan penulisan. Antara yang menarik perhatian apabila mereka berkongsi rasa tentang 'tiada masa untuk menulis'. 

Sungguh saya tak nafikan, itulah yang kadangkala saya alami. Memanglah kerjaya saya sebagai penulis, tetapi apa yang saya tulis adalah perkongsian saya tentang orang lain. Saya tidak menulis tentang apa yang saya mahu atau apa yang saya ingin membebel ikut suka. Tapi di ruangan yang tidak terbatas ini saya boleh menulis tentang apa saja. Hatta soal saya tidak dapat menetapkan temujanji dengan si polan-si polan pun boleh saya khabarkan di ruangan ini.

Tapi perlukah begitu? Saya kira jika ia memberi manfaat kepada orang lain, tidak salah berkongsi rasa hati. Menulis itu sebenarnya memerlukan 'passion', minat yang mendalam dan keinginan untuk mengubah diri sendiri. Pertama kali saya masuk ke kelas asas blog bersama Masayu Ahmad, saya jadi tersentap. Berkali-kali beliau maklumkan betapa tepunya saya. Oh!

Saya muhasabah diri, mencari kelemahan dan mengumpul kekuatan di sebalik maksud kata-kata 'saya sudah tepu' itu. Hampir sebulan saya gigihkan diri belajar untuk keluar dari kepompong keselesaan. Jalannya masih jauh dan dalam pada saya mencipta alasan tiada masa untuk menulis itu, akhirnya Allah beri kekuatan kepada saya untuk menulis dan terus menulis untuk entri di blog ini. Walaupun tidak setiap malam, sekurang-kurangnya selepas dua malam pasti saya update perkongsian yang baru.

Mengapa perlu rajin menulis entri? Ini juga sebenarnya sebahagian daripada latihan membina asas penulisan yang baik. Konsepnya samalah mengasah pisau yang tumpul, semakin kerap diasah semakin tajamlah ia. Besi pisau tidak akan berkurang, malah semakin tajam dan pantas digunakan untuk memotong cili besar. (Sebabnya, sukar hendak memotong cili besar menggunakan pisau tumpul. Tak percaya, cubalah!).

Bagaimana mahu mencari idea menulis entri? Tentu sukar jika tidak biasa. Sebab itu perlu jadikan menulis satu kebiasaan. Prosesnya akan menjadi mudah. Bagaimana jika sudah berusaha, idea tetap tidak mahu keluar? Maka, bermulalah menulis perkara yang anda suka. Jika suka melihat bunga, ceritalah tentang koleksi bunga anda. Jika gemarkan kucing, berkongsilah rasa hati keletah kucing anda. Masih tidak juga keluar idea itu? Baiklah, ceritalah tentang diri anda. Namun, bukan semua orang mampu menulis tentang dirinya. Baik keburukan mahupun kelebihan, mereka tidak berdaya. Jadi tiada paksaan dalam penulisan.

Menghasilkan penulisan yang berkesan juga ada tipnya. Pertama, menulislah dari hati. Tapi perlu berhati-hati, terlebih emosi boleh membuatkan perkongsian menjadi bosan. Macam entri kali ini, saya kira sedikit membosankan. Semacam sedikit ilmiah dan lari dari ruang lingkup gaya penulisan harian saya. Uhuk3... (jangan tiru ekpresi ini. Tidak bagus untuk gaya penulisan berkualiti ya!).

Penulisan yang baik apabila mampu mencipta konsistensi dari awal sampai akhir. Yang mana, pembaca seronok mahu meneruskan pembacaannya bermula dari intro atau pengenalan sampailah ke bahagian penutup. Jika boleh menggabung dan menyimpulkan dengan baik intro dan isi, penceritaan akan jadi lebih bermakna. Tapi, tidak semua orang mampu melakukannya. 

Saya pernah terbaca sebuah cerpen yang ditulis oleh penulis tersohor Ummuhani Abu Hasan berkenaan seorang ibu yang dahagakan kasih anak-anak yang hebat kerjayanya. Beliau  menggunakan medium facebook untuk meluahkan emosi rindunya itu. Namun, tiada seorang pun daripada anak-anaknya tahu bahawa wanita misteri yang berchit chat dengan mereka adalah ibu kandung sendiri. Pembaca juga tidak mengetahuinya, sampailah di penghujung cerita barulah penulis membuka rahsia. Klimaks penceritaannya cukup menarik sekali.

Saya berharap suatu hari nanti saya juga mampu menulis dan diberikan ilham seperti itu. Indah dan mengasyikkan kala berkongsi rasa hati. Amin.

Mahu menguasai ilmu penulisan perlukan latihan. Jadi berlatihlah menulis di dalam blog dahulu. Tiada siapa yang akan menghalang anda atau menentukan gaya penulisan anda. Andalah tuan tanahnya dan andalah yang menentukannya. Teruslah menulis perkara yang baik-baik agar tulisan itu mampu memberi manfaat kepada generasi di masa hadapan. 

Penulis juga membawa satu tanggungjawab sosial yang besar kepada masyarakat. Dan inilah yang telah diajar kepada saya sejak dari sekolah jurnalism lagi. Mana lagi kalau bukan UiTM Di Hatiku! Opss... maaf kawan-kawan USM.

Sunday, October 6, 2013

Desakan Mencari Kerja

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Teman-teman wartawan dari majalah Mingguan Wanita, dari kiri; saya, Intan Rohaizat, Julie Roshana Akma dan Nisa (kini wartawan majalah Midi). Dan ada muka Miza, terselit di situ. :)

Mahu cerita tentang apa ya malam ini? Selain cerita deadline dan tugasan temuramah yang menanti apa lagi yang menarik tentang kerjaya kewartawanan ini. Sejujurnya, kewartawanan bukanlah pekerjaan pertama yang terlintas di fikiran saya. 

Dulu, waktu zaman sekolah rendah, cikgu atau mak abah akan bertanyakan soalan mahu jadi apa bila dewasa. Memandangkan ketika itu, ruang lingkup saya hanyalah berdepan dengan guru mahupun jururawat hatta doktor yang selalu kita jumpa setiap kali demam, sudah pastilah kerjaya guru atau jururawat malah doktor yang terkeluar dari bibir saya.

Semakin meningkat dewasa, saya mula mengubah impian mahu menyertai unit beruniform dek minatnya melihat ketampanan abang-abang askar kala berpakaian. Sampaikan waktu saya tingkatan lima, saya pernah menyertai pasukan kadet bomba sekolah. 

Dan yang paling sadis sekali, sayalah satu-satunya senior yang ikut serta dalam kelab itu. Mengapa saya kata sadis? Kerana ia tak bertahan lama. selepas mengikuti beberapa kelas, saya tarik diri.

Sempatlah saya menimba ilmu tentang teknik ikatan tali dan cara api merebak. Terpadamlah impian saya mahu sertai badan beruniform yang pernah saya gilai sebelum ini. 

Semasa menyambung pengajian Komunikasi Media di Universiti Teknologi Mara pada tahun 1997, saya masih lagi tidak jelas dengan hala tuju hidup saya. Orang kata belajar dan dapatkan skor terbaik, itulah yang saya usahakan. Saya tahu, mak dan ayah bukanlah orang senang. Jadi saya tak boleh bermalas-malasan. Perlu gigih agar tidak kena tendang dari kolej. Ketika itu saya menghuni kolej seroja 3 bilik 105. 

Banyak betul kenangan di bilik itu. Seronok kalau di kongsi dalam blog ini, tapi biarlah saya cerita satu-persatu. Kalau sekaligus bercerita bimbang panjang berjela sampai esok lusa belum tentu sampai penyudahnya.

Ya, sampailah saya tamat belajar saya masih belum jelas dengan hala tuju kerjaya saya. Pengajian berakhir, saya langsung mencuba mengikuti siri demi siri temuduga bersama teman saya kala itu, Ita (Kini, beliau editor di majalah Rapi). 

Saya tak boleh lupa kenangan temuduga menjadi wartawan di Pustaka Wira. Memandangkan gajinya tak besar dan jauh pula di Gombak, mak minta saya fikir dua kali terima atau menolak sahaja tawaran mereka. Akhirnya saya dan Ita, menolak pekerjaan wartawan di syarikat itu.

Sebenarnya sebaik sahaja tamat pengajian, mak sudah mulai bising-bising memaksa saya mencari kerja. Langsung tak beri peluang saya bernafas. Waktu itu saya merasakan mak adalah ibu paling kejam di muka bumi ini. Misi mencari kerja itu juga membuatkan Ita tidur di rumah saya selama beberapa minggu. 

Sebenarnya kami terlalu gigih ketika itu. Barangkali semangat saya dirangsang oleh Ita yang terlalu aktif orangnya ditambah pula dengan desakan mak yang bingit bermain di telinga saya.

Kami berjalan merata Shah Alam dan Kuala Lumpur. Pernah juga kami mahu buat kerja gila. Ketika berlegar di Plaza Shah Alam, pernah kami terfikir mahu terjah sahaja pejabat-pejabat di situ sambil membawa resume yang telah lengkap kami sediakan malah beberapa tempat lagi yang saya sendiri pun sudah kurang mengingatinya. Tapi niat kami dihalang, kerana itu pejabat kerajaan dan ada prosedur pengambilan pekerja yang mereka amalkan.

Setelah beberapa ketika, kami gagal dalam cubaan mencari kerja. Akhirnya, memaksa Ita pulang ke kampung. Saya di sini meneruskan misi mencari pekerjaan sendiri. Setiap pagi, saya dengar betapa nyaringnya suara mak minta saya segera bangun dan pergi sahaja ke kilang-kilang berdekatan dengan rumah saya. Mohon apa saja jenis pekerjaan hatta operator pengeluaran asalkan namanya pekerjaan. 

Oh! Saya sungguh tertekan ketika itu. Tekanannya sungguh hebat malah lebih dahsyat daripada menjawab kertas peperiksaan di dewan kuliah.

Selang beberapa hari, Ita menghubungi minta saya temankan dia menghadiri temuduga menjadi guru di Melaka. Pujukan itu membawa saya ke rumahnya di Gemencheh, Negeri Sembilan. Kini, saya pula perlu tinggal di rumahnya selepas gagal mencari kerja di Selangor. Ya, semuanya demi misi mencari pekerjaan. 

 Pemandangan di Lebuhraya Utara Selatan. Apa signifikannya dengan cerita saya? ia gambaran perjalanan menuju impian yang masih panjang. Namun, destinasinya jelas di depan mata.

Sungguh saya tidak bersedia untuk ke tempat temuduga menjadi guru. Sikitpun tidak terbayang yang saya layak menjadi guru. Namun, saya ikutkan saja. Memandangkan lokasi temuduga di Melaka, kami menumpang tidur di rumah Pak Long Ita di Melaka. 

Tapi ada rahsia besar yang Ita tidak ceritakan kepada ayahnya. (Saya berdoa pakcik Anua tidak membaca catatan ini). Ita juga sama seperti saya, didesak ayahnya agar ikut sahaja temuduga guru itu. Dia tidak mahu menghampakan keinginan ayahnya dan ikut saja kata orang tua. Sebaik kereta ayahnya sampai di perkarangan lokasi temuduga, hampalah ayahnya kerana tarikh temuduga bukanlah pada hari itu. Tapi ia telah berlangsung sejak semalam.

"Net, aku tahu tarikh temuduga tu semalam. Tapi aku tak beritahupun ayah aku." Kata Ita membuka rahsia besar yang disimpannya sejak semalam.

"Oooo..." panjang muncung saya, sama panjangnya dengan masa depan kami yang belum tentu lagi itu. 

Akhirnya, saya pun pulanglah ke rumah di Kampung Budiman, Meru. Ita tinggal di rumah ibu dan ayahnya. Seksaan kembali bermula. Seperti biasa mak minta saya mencari kerja. Bertemankan adik kedua, kami membonceng motosikal meredah kilang-kilang. Akhirnya, sampailah motosikal yang kami pandu ke kilang Dexter iaitu kilang getah pembuat sarung tangan.

Saya tidak menggunakan ijazah yang baru diperoleh. Sebaliknya borang kerja itu saya isi dengan keputusan SPM yang pernah saya ambil lewat lima tahun lalu. 

"Kenapa tak sambung belajar? You punya keputusan manyak baik." Ucap penemuduga wanita berbangsa Cina itu.

"Saya tak ada duit sambung belajar. Mak saya susah, saya tolong makcik kerja kedai makan." Saya bohong sunat demi pekerjaan yang mak saya idamkan.

Dan hari itu, saya telah ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu makmal di kilang tersebut dengan gaji RM750. Tapi penemuduga itu minta saya bawakan sijil asal peperiksaan SPM yang sudah berkurun itu. 

Saya pulang dengan perasaan gembira. Rupanya di rumah juga ada berita gembira. Mak maklumkan syarikat Karangkraf telah menghubungi dan minta saya lapor diri segera sebagai wartawan mereka. Syukur Alhamdulillah, saya dapat dua pekerjaan. Pastilah saya pilih pekerjaan yang berpenat lelah saya mempelajari ilmunya ketika di universiti dahulu. Syukur juga kerana saya tidak perlu bohong sunat terlalu lama kepada penemuduga itu.

Dalam masa yang sama, Ita juga diterima di syarikat yang sama. Buat permulaan, saya menumpang di rumah pakciknya yang tinggal di flat kecil di Subang. Walaupun kediaman itu, kecil namun saya gembira dapat menumpang di situ.Bahagia kerana ada anak kecil bernama Farah yang cukup comel gelagatnya. Apa khabar agaknya, Farah sekarang ini? Pasti sudah anak dara, entah-entah sudah menjadi tunangan orang. 

Hari ini saya bersyukur kerana punyai mak yang bising mulutnya. Jika dia tidak membebel setiap hari, mendesak saya mencari pekerjaan pasti saya masih tidak ke mana-mana. Ya, sebenarnya kami begitu hilang akal dalam misi mencari pekerjaan ketika itu. Banyak juga perkara yang tidak masuk akal hampir kami lakukan demi mendapatkan sebuah pekerjaan.

Selain kerja keras dan usaha yang tidak pernah jemu. Doa yang mak himpunkan setiap hari juga membantu. Sebabnya, setiap kali mahu mencari kerja, saya mesti minta mak doakan kejayaan saya.

Sampailah hari ini, saya tidak pernah putus-putus minta mak doakan apa juga perkara yang mahu saya usahakan. Semoga mak dilindungi Allah dan dipermudahkan kehidupannya di dunia mahupun akhirat. Amin.

Wednesday, October 2, 2013

Tulis Cerpen Ikut Citarasa Pembaca.

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Bunga rumput dari kebun abah. Konon mahu bereksperimen shot ala back light. Sayangnya kurang menjadi. Akhirnya jadi hiasan di laman blog ini saja.

Sejujurnya saya terlalu lelah. Ada beberapa tugasan menanti dan sebahagian besarnya telah tertangguh lama. Sememangnya kerja di bahagian editorial Mingguan Wanita, tidak pernah surut dan berkurangan. Deadline berganti deadline, keluaran mingguan silih berganti. Ada ketikanya saya jadi bosan dengan kerja yang bertimbun. Mengapa tidak mahu surut-surut! Rungut saya dalam-dalam. Fuh! Buang jauh-jauh emosi negatif sebegitu. Buang jauh-jauh dari dalam hati saya. Rungutan, kekesalan malah ingatan ke arah sesuatu perkara yang negatif itu sahaja sudah meletakkan diri kita dalam golongan orang yang rugi.

Bukankah dalam bacaan solat, selalu kita lafazkan memohon pada Ilahi, 'tunjukkan aku ke jalan yang lurus ya Allah yakni jalan orang-orang terdahulu yang engkau redhai'. Jalan orang-orang terdahulu yang Allah redhai adalah jalan orang-orang yang bertakwa. Yang melihat setiap perjalanan hidupnya penuh dengan hikmah, yang sentiasa mensyukuri setiap pemberianNya, yang membasahkan lidahnya dengan menyebut nama-nama indah milik Allah. Allahu rabbi...

Jadi, tugasan yang banyak itu, yang kononnya tidak mahu surut-surut itu adalah ujian keimanan buat diri saya. Kebelakangan ini juga, saya menerima banyak emel-emel daripada para penulis cerpen terutamanya, bertanyakan tentang perkembangan cerpen yang mereka kirimkan. Ada yang sempat saya balas, ada juga yang masih tertangguh di dalam outlook saya.

Bukan saya tidak mahu melihatnya, maaf ya semua yang terbabit. Tapi ada ketikanya saya sedang berperang dengan deadline. Sesetengah daripada penulis cerpen di Mingguan Wanita, ada yang sudah punya nama dan prolifik dalam penulisan cerpen mereka. Antaranya, Maria Kajiwa, Nurrassyi, Fadhilah Maarif (sekadar menyebut beberapa nama yang terlintas dalam kepala). Mereka juga menulis untuk majalah lain dan suratkhabar. Ada juga penulis-penulis baru yang mahu turut serta namun mempunyai kualiti penulisan cerpen yang baik.

Lewat bulan lalu, saya menerima sebuah cerpen dari penulis yang teramat-amat muda. Baru berusia 11 tahun dan belum pernah menulis di mana-mana akhbar mahupun majalah. Namun, penulisannya cukup indah sampai saya sendiri jadi peminat gaya bahasanya. Penulis-penulis baru sebenarnya perlu banyak membaca. Pelajari bagaimana penulis cerpen 'otai' ini mengadun cerita sehingga enak jalan ceritanya dan lunak gaya bahasanya. 

Tak perlu terlalu mendayu-dayu sampai jadi melankolik. Perlu diingat, sekarang ini zaman teknologi, zaman serba pantas. Semua orang mahu cepat. Mahu kaya cepat, mahu makan cepat-cepat, kalau boleh masuk tandas pun mahu cepat-cepat juga. Tapi tidaklah bermakna saya minta membuat cerpen yang tergesa-gesa sampai hilang indah bahasanya. 

Tidak begitu, tapi menulislah sebuah cerpen yang sarat pengajaran dengan penyampaian yang santai dan sederhana malah terus kepada maksud. Bukannya sarat dengan dialog yang 'biasa-biasa' sahaja isinya. Maksud biasa-biasa ini misalnya, 

"Awak dah tak sayangkan saya lagikah?" Munah bertanya kepada suami yang sedang leka membaca surat khabar.

"Kenapa awak tanya macam itu. Tentulah abang sayangkan awak, sampai bila-bila." Balas suaminya.

Bukankah lebih menarik jika diubah menjadi,

"Abang, makcik Kiah dan pak Ahmad dari muda sampai tua sentiasa romantik. Agak-agak kita macam itu tak nanti?" duga Munah menebak kasih suami yang begitu leka melayani suratkhabar berbanding dirinya.

"Selagi Allah izinkan, Munah selalu ada dalam hati abang," jawab suami Munah langsung menutup helaian suratkhabar yang sejak tadi menemani dirinya.

Nah! pasti penulisan sebegini meninggalkan kesan di hati pembaca. Mengapa? Kerana di dalam perbualan itu ada adegan. Adegan inilah yang menzahirkan tindakan dan dialog. Penulis cerpen perlu bijak mengatur dialog dan tindakan sekaligus. Malah penerima anugerah nobel kesusasteraan tahun 1954, Ernest Hemingway turut mempraktikkan kaedah yang sama. (Rujukan: indonovel.com)

Kesederhanaan dalam penggunaan ayat menjadikan cerpen bertambah dekat di hati pembaca. Tidak perlu memberikan bahasa-bahasa bombastik sehingga memeningkan pembaca mahu memahaminya. Secara tak langsung, ia juga boleh menyebabkan mood pembacaan terganggu. 

Bayangkan sedang enak membaca dan menjiwai jalan cerita, tiba-tiba mood terganggu kerana perlu menyemak kamus untuk beberapa kali. Pastilah pembaca akan menjadi bosan dan tidak mahu meneruskan pembacaan. Bukankah anda sebenarnya telah kehilangan seorang peminat di situ. Jadi, berhati-hatilah semasa menulis. Jangan syok sendiri!

Hal ini kerap terjadi kepada penulis baru. Mereka merasakan telah menghasilkan sebuah karya agung. Walhal pembaca merasakan ia adalah biasa-biasa sahaja. Apa yang dikatakan menulis syok sendiri? Apabila anda menulis, tanpa mengambil kira perasaan audiens anda. 

Hasilkanlah cerpen mengikut apa yang audiens mahu. Bagaimana mahu tahu apa yang audiens mahu? Sebab itulah anda perlu membaca karya cerpen dari penulis hebat. Dari situlah, anda boleh belajar dan memahami apakah yang audiens mahukan. 

Pembaca mahu membaca cerpen yang boleh membuatkan mereka turut merasakan diri berada di dalam penulisan itu. Sambil membaca mereka boleh berimaginasi. Jika kisah sedih, mereka sama-sama bersedih, turut merasai kepedihan yang dialami oleh watak.

Pasti mereka tidak akan berhenti sehinggalah pembacaan selesai. Jadi menulislah dengan mata hati, menulislah dengan jiwa. Hadirkan emosi dan garapkan ia bak air yang mengalir.


Related Posts with Thumbnails