Follow Saya Di Google Plus

Thursday, November 28, 2013

Temui Hanis Zalikha Disember Ini, 2013

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Menyayangi,

Perhatikan sekeliling, banyakkan minum air masak dan ambil makanan tambahan dalam cuaca yang kurang segar ini.

Sudah dua hari hujan turun membasahi bumi Meru. Syukur Alhamdulillah, rintik air sejernih kristal itu melurutkan seketika debu-debu kotoran yang dibawa bersama oleh angin dari ribut Taufan Filipina. Meninggalkan kesan batuk, selsema dan sakit tekak yang berpanjangan kepada mereka yang kurang daya 'tepis' penyakit dalam tubuh. Pastinya, anak-anak kecil, orang-orang tua dan penghidap asma paling kronik sekali.

Anak kecil saya, Qaseh Zahirah sudah seminggu demam tidak kebah, begitu juga Zarif Ziyad, bunga-bunga asma sudah memberi tanda mahu bermula. Mujurlah MCS Maixara yang masih bersisa ada dalam peti ais saya. Dapatlah dia bertahan sedikit. Saya pun mula mengambil makanan tambahan vitamin C dan minum cuka madu untuk mengurangkan sakit tekak yang semakin terasa peritnya.

Mirza baru selesai diserang demam dua minggu sebelumnya. Tinggal abah dan emak yang masih lagi batuk-batuk dan demam. Adik-adik saya semua telah diuji dengan demam yang mengasyikkan. Mengapa asyik? Demam-baring di katil-insaf dengan kekhilafan diri. Bukankah itu satu nikmat yang mengasyikkan. (Sebabnya, saya terperasan adik bongsu saya, Azwan up-date status fb yang lebih kurang begini maksudnya 'insafi diri semasa demam')

Entahlah mengapa, setiap kali Mirza demam saya ajar dia ucap 'Alhamdulillah' dan amalkan membaca doa makan. Saya sendiri tak begitu pasti keberkesanannya. Cuma pada fikiran saya yang dangkal, zikir 'Segala puji bagi Allah tuhan semesta alam' itu mampu menguatkan hati-hati yang sedang sakit dan derita. Ia adalah zikir kekuatan yang cukup hebat kuasanya.

Apa kaitannya doa makan dengan demam? Sebab nak makan ubatkah? Atau saya memang poyo dalam hal yang bukan-bukan sebegini. Seperti anda sedia maklum, pada hemat saya yang tak berapa luas ini, demam itu bukankah sebahagian daripada serpihan api neraka yang Allah tempekkan sedikit pada hambaNya. Di penghujung doa makan membawa maksud "Dan jauhilah kami dari azab api neraka". Semoga dengan doa itu, Allah mengurangkan sedikit kepanasan tubuh dalam badan anak-anak saya. Amin.

Sesungguhnya taufan Filipina ini benar-benar menguji kekuatan hati. Dan malam ini sambil menjaga Zarif yang sekali lagi diserang demam, saya masih berkesempatan memasukkan entri baru di sini. Kasihan anakku sayang. Bersyukur kerana ada en suami yang sudi tidur-tidur ayam menjaga Zarif.

Cerita hari minggu

Hanis yang semakin mengecil dan saya yang semakin mengembang. Berlatar belakangkan bilik 'make up' KMK.

Mingguan Wanita keluaran akan datang, akan memuatkan kisah blogger dan artis terkenal tanahair. Siapa lagi kalau bukan Hanis Zalikha. Sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat mahu menemuramahnya. Cuma peluang untuk mengambilnya sebagai artis muka depan masih belum ada. Saya hanya menanti jawapan 'yess!' dari editor. Bila saya nampak namanya termasuk dalam senarai, cepat-cepat saya ambil kesempatan itu.

Anak muda ini bukan sahaja bijak berbicara malah tahu serba serbi tentang kecantikan peribadi. Dia tahu bagaimana mahu menjadikan pakaian yang dipakainya kelihatan cantik dan elegan. Cukup bijak beraksi di hadapan kamera, sampaikan jurugambar saya, Remy berat hati mahu hentikan bedikan flash. 

Barangkali juga saya kagum dengan ibunya, Puan Nani Rostam sampaikan saya pun jadi teringin bertemu anaknya. Seakan mahu tahu apakah yang membuatkan si tinggi lampai wajah seakan pelakon K-Pop ini begitu digilai ramai. 

Benar, Hanis bukan blogger biasa-biasa. Dia berilmu dan berbakat dalam bidangnya. Juga seorang yang pandai melukis. Eh, terlebih puji pula. Cukup-cukup dulu. Takut ada yang meluat pula nanti. Mahu tahu apa cerita Hanis, dapatkan Mingguan Wanita edisi pertengahan Disember ini ya. Ada cerita rahsia tentang pendakiannya menawan Gunung Kinabalu yang belum diketahui ramai.

Wednesday, November 27, 2013

Catatan Ringkas Saya, Asalkan Tidak Syok Sendiri

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya


Pemandangan menarik di Hentian Awan Besar yang sempat saya rakam gambarnya sekitar penghujung Oktober 2013.

Saya masih lagi di dalam kenderaan comel ini. Setia menanti makanan yang ditempah sampai ke tangan. Alunan lagu-lagu klasik menemankan halwa pendengaran saya yang semakin kesunyian. Ada satu dua penyanyi yang saya cam suaranya. Sememangnya suara Allahyarham Dato' Ahmad Jais ini unik dan tersendiri. Ada juga suara yang langsung tidak saya kenali. Tak mengapa, lupakan tentang lagu-lagu lama ini. Sekadar intro pembuka bicara.

Sebenarnya saat saya mula menaip, minda saya kosong. Kali ini, tiada gambaran tentang entri yang mahu saya coretkan di ruangan ini. Tidak seperti selalu. Sebelum anganan diluah dalam bentuk tulisan, saya sudah mula berimaginasi. Tentang apa yang mahu saya kongsi. Cerita apa yang mahu saya tulis dan bagaimana pengakhirannya nanti. Tapi dua tiga minggu lalu, minda saya tiba-tiba menjadi begitu 'stress' dan tidak tahu hendak mula dari mana.

Adakah ini bermakna momentum saya dalam penulisan juga sudah menurun. Akhirnya saya hanya membebel tidak tentu hala. Sayang bukan? Mujurlah ini bukan ruangan berbayar. Jika tidak sudah tentu saya akan jadi orang yang paling rugi kerana telah mendapat tapak jualan yang serba mahal namun disia-siakan.

Lalu saya sendiri jadi bebal kerana asyik tenggelam dalam dunia syok sendiri. Perasan orang suka pada tulisan kita, walhal orang jelik membacanya. Saya masih ingat minggu lalu saya sempat mengikuti kelas bersama idola saya dalam dunia penulisan di Karangkraf, Dato' Abd Jalil Ali.

Wartawan veteran ini kalau bercerita pasti ada unsur geli-geli dan cerita-cerita 'seksi' (khusus untuk mereka yang sudah berumahtangga. Boleh saja orang bujang pasang telinga, asalkan sanggup tahan muka yang merah merona). Namun, di sebalik cerita humor seksi itu terkandung panduan penulisan yang sarat pengajaran.

Antara panduan yang saya masih ingat adalah tentang tidak menulis syok sendiri. Sebelum menulis, perlu tahu audiens yang bakal membaca tulisan kita. Jika pembacanya wanita, bagaimana teks kita itu perlu digarap. Tapi pembaca di Malaysia ini mereka lebih gemar penulisan yang santai dan tidak memenatkan minda.

Penulisan yang terlalu kritis masih kurang mendapat tempat. Kalau ada pun audiensnya tidak ramai tetapi mereka ini eksklusif sifatnya. Sebab itulah, cabaran menjual buku-buku ilmiah lebih berliku berbanding majalah hiburan mahupun kewanitaan. Bagi menawan hati pembaca, terdapat buku-buku panduan, travelog mahupun motivasi menggunakan teknik penulisan santai. 

Dalam cerita santai penulis itu, ada panduan dan nasihat berguna. Kadangkala pembaca tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sedang dinasihati. Itulah teknik penulisan yang hebat sebenarnya! Menguasai minda bawah sedar pembaca lewat penulisan kita. Fuh! Bilalah saya boleh sampai ke tahap itu.



Tuesday, November 26, 2013

Bila Ct Madu Tersangkut Ke Zoo

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Nampak kerja-kerja alih suara ini macam senang, tapi berkali jugalah Cidot minta saya ulang semula. :)


Entri ini sudah tertangguh lama. Terperam dalam fail 'belog' yang memang saya sediakan khas untuk menyimpan material yang boleh saya gunakan apabila keputusan idea kelak. Ya, jika kita tidak sempat untuk menulis, jangan pula abaikan maklumat yang diperoleh di depan mata. Ambil dan simpan di tempat khas.

Jika ada telefon android atau tablet, simpan kemas-kemas dalam itu. Suatu hari nanti, ia pasti berguna. Kadangkala, ketika semangat berkobar-kobar mahu menulis, minda kita pula tidak dapat berfikir apatah lagi melontarkan idea yang mahu disampaikan. Masa inilah pentingnya maklumat yang kita simpan itu.

Gunakan di kala terdesak dan sesak. Tengok apa yang menarik pada gambar atau maklumat itu. Cuba ingat peristiwa apa yang terjadi yang melibatkan diri kita, di mana ia berlaku, bila dan bagaimana pengakhiran peristiwa itu. Kadangkala kita rasa cerita kita itu biasa-biasa sahaja.

Namun, anda sendiri pasti akan terkejut apabila orang lain merasakan ianya adalah satu cerita yang cukup luar biasa. Mengapa terjadi begitu? Pertama, tak semua orang boleh merasai apa yang kita rasa. Sebab itulah, kita perlu berkongsi pengalaman itu. Bukan untuk tujuan riak, tapi lebih pada pembelajaran.

Agar, mereka yang tidak pernah merasa pengalaman itu boleh mendapat pengajaran daripada perkongsian kita. Jika suatu hari nanti mereka berpeluang merasainya, sekurang-kurangnya mereka sudah ada idea apa yang perlu dibuat dan bagaimana berhadapan dengan situasi.

Pagi-pagi buta ini saya mahu berkongsi pengalaman menjadi juru alih suara untuk siri kartun yang bakal diterbitkan di RTM bulan Januari nanti. (Insyaallah). Kartun-kartun comel hasil karya adik sebilik saya waktu di UiTM ini cute-cute belaka. Saya sendiri terpesona dengan karektor comel yang dibangunkan dalam siri kartun Ke Zoo ini.

Watak saya dalam siri animasi itu menjadi beruang comel aka Ct Madu yang mahu ambil tahu semua perkara. Wah! Teruja bukan main saya. Ini impian saya waktu zaman kanak-kanak lagi. Suatu ketika, saya berchit chat dengan pelukis kartun yang manis ini, Cidot. Minta dia panggil saya jika ada peluang untuk saya 'menggedik' mengalih suara siri animasi.

Terasa impian waktu kanak-kanak sudah terlaksana. Bukan senang sebenarnya, lebih banyak gelak dari melontar suara. Kedudukan badan kena betul, emosi perlu tepat malah gaya percakapan juga perlu direka (jika perlu). Yang pasti hari itu saya seronok melakukannya! Semoga saya ada peluang untuk melakukannya sekali lagi.

Monday, November 25, 2013

Menyingkap Rahsia Cantik dan Cergas Pengasas Seri Maryam dan Aura Yusuf

Teks: Netty Ah Hiyer

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Salah satu rahsia usahawan berjaya adalah pandai membina jaringan perniagaan aka networking. Dalam dunia kewartawanan networking pun memainkan peranan yang cukup besar. Tanpanya, wartawan kekurangan sumber. Kekurangan sumber membuatkan wartawan sering berhadapan dengan kesesakan individu yang bersedia untuk ditemuramah.

Sebenarnya entri ini bukanlah mahu bercerita soal networking. Walaupun sebenarnya, cukup seronok bila bercerita mengenainya. Ramai yang mahu tahu rahsia membina networking. Bagaimana ia bermula? Mahu mengembangkannya adakah strategi unik diperlukan? Bermacam persoalan yang bermain di benak fikiran. 

Lewat Ramadan lalu, seorang kenalan yang juga 'makeup artis' merangkap pemilik butik busana muslimah dan pengantin, mencadangkan kepada saya tentang rakannya yang berhajat mahu ceritanya di siarkan di dalam majalah. Sebelum itu saya perlu tahu siapa dia, apa istimewa temannya itu sehingga boleh saya kongsikan kisahnya kepada pembaca majalah Mingguan Wanita.

Setelah tahu serba sedikit latar kerjayanya, saya menghubungi dan menetapkan janji temu. Syarikat miliknya tidak jauh dari premis KMK. Kata orang, sekangkang kera sahaja. Lima minit kemudian, saya sudahpun berada di pejabatnya. 

Wanita itu menanti saya dengan saratnya perut yang sedang menghitung hari kelahiran. Ramah sekali, Azian Ibrahim atau lebih senang saya memanggilnya Kak Yan bercerita tentang sejarah hidupnya, jatuh bangun dalam perniagaan, sampailah rahsia menjadi kaya dan berjaya. Usia Kak Yan lebih muda dari saya, namun rata-rata kakitangannya baik yang berusia mahupun lebih muda memanggilnya dengan nama itu. Langsung melekat sampai ke hari ini.



Kak Yan sememangnya meminati dunia kecantikan sejak dari anak dara. Sebab itulah ilmu cantik hanya di hujung jari sahaja. Kak Yan juga merupakan pemilik Yusuf Danial Resources merangkap pengasas produk kesihatan dan kecantikan khusus untuk ibu hamil, Jus Seri Maryam

"Kak Yan dah terbiasa minum kolagen, bila mengandung Kak Yan tak boleh amalkannya. Dalam hati memang mahu cantik dan sihat. Tapi di mana Kak Yan hendak cari produk kolagen yang selamat untuk ibu hamil. Susah sekali. Akhirnya Kak Yan buat keputusan bangunkan sendiri produk seumpama itu. Kolagen yang selamat untuk wanita hamil."

Amalan meminum Jus Seri Maryam terus menjadi rutin wajib. Tanpa sedar, ia bukan sahaja memelihara kecantikan kulit malah menjadikan dirinya seorang ibu hamil yang cergas dan aktif. Kerja-kerja pejabat yang memenatkan, menyudahkan tugasan di tengah-tengah malam (kerana Kak Yan ketika itu sedang sambung belajar), uruskan kakitangan, tiga orang anak malah suami sepatutnya membuatkan Kak Yan boleh pitam di tengah jalan.

"Alhamdulillah, amalan minum Jus Seri Maryam sesudu belah pagi dan sesudu belah malam, membuatkan Kak Yan cukup bertenaga. Dengan tanggungjawab yang ada Kak Yan perlu sihat sepenuhnya dalam masa yang sama bayi dalam kandungan pun perlu sihat dari segi mental dan fizikal."



"Bila Kak Yan mengantuk, Kak Yan sembur pula Spray Aura Yusuf. Sebenarnya Aura ini bukan sahaja untuk kesegaran tapi untuk seri muka. Tambah pula Kak Yan orang berniaga mestilah pelanggan nak tengok muka penjual pun berseri-seri. 

"Kalau rasa tak sihat dan rasa seram sejuk yang lain macam, niat dan selawat semburkan pula ke muka dan badan. Waktu 'baby' menangis malam-malam ternampak benda-benda pelik sebab hijab mereka terbuka, kita sembur spray Aura Yusuf ni dekat tapak tangan kita, baca selawat dan niat lalu sapukan ke muka 'baby'.  Insyaallah hilang dengan izinNya. Anak Kak Yan pun pernah digigit serangga, Kak Yan semburkan Aura Yusuf. Gatal berkurangan, sebab dalam Aura Yusuf ini ada menthol oil." Itulah serba sedikit cerita Kak Yan tentang kelebihan produk Jus Seri Maryam dan Aura Yusuf. 

Mahu tahu lebih lanjut kelebihan Aura Yusuf ini, singgah menimba ilmu di: http://sohodirectory.blogspot.com/2013/11/yusuf-danial-resources.html




Keterangan Jus Seri Maryam 

 


Keterangan Spray Aura Yusuf


Friday, November 22, 2013

Hatiku tertinggal di KK, Negeri Di Bawah Bayu

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Kaunter hadapan Sutera Harbour Resort Kota Kinabalu dipenuhi warga asing. Ada mat-minah salleh, warga Korea yang tak begitu K-pop malah wanita-wanita Hong Kong separuh baya. Maklum Azril, pengasas Surebest, sebuah syarikat yang menghasilkan produk kesihatan dan kecantikan itu, senario sebegini sudah biasa kelihatan.

"Biasanya orang Korea ni suka menempah sampai setahun. Nak menginap di sini pun saya dah tempah tiga bulan awal. Ini pun masih jadi 'lagu' ni," Luah Azril yang sedikit bimbang dengan status tempahan bilik penginapannya yang masih tergantung. 



Memandangkan lagi satu jam majlis besar syarikatnya bakal berlangsung, saya tidak mahu memberinya tekanan. Biar selesai dahulu urusannya, saya boleh bawa diri. Beberapa minit sebelum majlis berlangsung, Azril memaklumkan kunci bilik ada di tangan isterinya, Ella.
 
Hari itu, saya diundang pengasas syarikat Surebest Sdn Bhd ini untuk meraikan majlis pelancaran Neuron Booster sebuah produk kesihatan yang menggabungkan madu yemen dan spirulina hidup. Saya kira saya seorang sahaja wakil dari Semenanjung. Siapa sangka, kakak cantik bernama Hatini yang duduk bersebelahan saya tinggal di Saujana Utama, dekat sahaja dari kampung mak saya. Suaminya stokis Surebest, dia mewakili suaminya yang tak dapat hadir.

Petang itu, saya bukan sahaja memperoleh cerita pelancaran produk Neuron Booster tapi mengutip cerita wanita cemerlang, ibu tunggal malah personaliti lelaki, YB Masiung Banah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Sabah. 



Malam harinya, saya masih bersama wanita-wanita hebat yang terdiri daripada stokis dan pengedar Surebest. Singgah sebentar di rumah Datuk Joe dan merasai seketika gaya hidup orang-orang kaya yang humble di KK.

Memandangkan perjalanan ke KK tidak begitu panjang hanya dua hari satu malam, saya perlu menggunakan waktu yang ada dengan sepenuhnya. Selesai dengan Surebest, saya bertemu pula dengan sahabat lama en suami, Nizam. Seronok sungguh en suami meluang satu hari setengah yang ada dengan kawan sekampung merangkap satu sekolah rendah itu.



Bersebelahan pasar besar KK, ada deretan kedai makanan laut yang hanya dibuka pada sebelah malam. Cuma saya tidak galakkan anda makan di sini. Harganya agak mahal. Kata adik saya, jika mahu menikmati makanan laut sepuasnya dengan harga yang berbaloi, pergilah ke Sandakan. 

Memandangkan kami sudah sampai di situ, ambil jugalah udang saiz gergasi dimasak butter, ikan bakar yang enak rempah sosnya dan sotong. Mulanya mahu membeli lobster aka udang kara. Waktu saya tanya penjual tentang harganya, saya terkedu dan berfikir-fikir semula. Lebih baik saya makan lobster di Moon's Kitchen, rasanya lebih berbaloi. 



Di KK, saya juga sempat ke Pulau Manukan. Air lautnya sangat cantik, bersih dan mata saya boleh memandang jelas ikan-ikan kecil berenang-renang di pinggir pantai. Ramai juga yang membawa keluarga dan anak-anak kecil. Yang membawa kekasih hati pun ada juga. Ada tiga pulau berdekatan, iaitu Pulau Sapi dan Mamutik. 



Kata Nizam, Pulau Manukan antara yang terbesar berbanding dua lagi pulau berdekatannya. Memandangkan waktu kami terhad, hanya sebuah pulau dapat kami lawati. Itupun kami bertolak jam 10 pagi, dalam jam 1 barulah ada bot yang membawa kami pulang ke dataran. Kalau bawa anak-anak memang seronok, aktivitinya cuma mandi laut, bermain dengan ikan dan jika sukakan cabaran boleh bersnorkeling. 

Sebelum pulang, kami sempat bertemu abang Norman. Sebelum ini beliau pernah berkhidmat di meja Media Hiburan. Orang lama dalam industri hiburan ini sudah menjadi usahawan restoran yang berjaya di KK. Restoran makannya berkonsepkan makanan cina. Bukan sahaja dari segi makanan malah jadual restorannya juga sama. Selepas jam 2.15 petang restoran akan di tutup. Itulah konsep Restoran Puteri Hang Li Po.

Seronok mendengar cerita abang Norman ni sebenarnya. Dari kisah silam 'Hard Rock Cafe' yang sudah menjadi suraunya sampailah perjalanan penghijrahannya itu. 

Saya kira kebanyakan usahawan berjiwa besar mereka ada satu sifat yang sama iaitu tingginya pergantungan hidup kepada Allah. Jadi jika mahu menjadi orang hebat, prinsip sebegitu perlu menjadi pegangan. Amin.

Saya meninggalkan kisah Negeri Di Bawah Bayu ini dengan satu perasaan yang  cukup halus sekali. Ketika saya sampai di lapangan terbang KLIA, saya membelek inbox fb. "Flight kak netty pukul berapa, saya ke lapangan terbang jumpa kak Netty. Tapi saya tak turun dari kereta (kerana dia masih dalam pantang)".

Tulisan itu membuatkan saya sayu tiba-tiba. Sememangnya hari itu saya mahu berjumpa dengan sahabat sebilik saya di 105, Seroja 3, UiTM, tapi waktu saya amat terhad sekali. Dahlia Dahli yang comel, kak net tak dapat berjumpa kamu hari ini. Insyaallah tahun depan Kak Net ke KK lagi. Bawa bersama anak-anak menimati cantik dan damainya bumi KK ini. Biar mereka merasai perasaan yang sama dengan Kak Net apabila sudah jatuh cinta di tanah kelahiran kamu ini!



Sekitar hotel penginapan kami di Sutera Horbour Resort Kota Kinabalu yang memukau pandangan. Subhanallah!

Friday, November 8, 2013

Bantu Adik Muas

Teks dan foto: Netty Ah Hiyer 

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

-->

Muas tidak seperti remaja sebayanya. Tubuhnya kecil bagaikan kanak-kanak seusia 12 tahun. Kak Biha redha menjaga Muas yang disahkan barah otak tahap 4.

Ini artikel lama yang pernah tersiar dalam majalah Mingguan Wanita. Cuma saya terpanggil untuk berkongsi kisah duka kakak Noorbiha ini dengan pembaca laman blog saya. Moga ada yang sudi membantu kak Biha merawat anak lelakinya ini. No. akaunnya ada saya sertakan di akhir cerita.

_________________________________________________________________________________


Pelajar sekolah menengah itu kecil sahaja tubuhnya. Sekali imbas, susuk badan Muhamad Muas bagaikan pelajar sekolah seusia 12 tahun, sedangkan dia sudahpun memasuki tingkatan 5. Ibunya, Noorbiha Ahmad, 45 juga tertanya-tanya mengapa anak ketiganya itu tidak mahu membesar tubuhnya. Jauh berbeza daripada adik-beradik yang lain. Walhal anak sulungnya, Muhamad Muzammil, 20, Nursalsabila, 18 malah anak bongsunya, Muhamad Mustaqim, 15 mempunyai fizikal yang besar dan sempurna.

Walaupun bertubuh kecil, Muas sememangnya pelajar yang bijak. Pelajar aliran Sains ini sentiasa menunjukkan prestasi pelajaran yang cemerlang. Kata ibunya dari kalangan adik-beradik, dialah yang paling bijak dalam keluarga. Tahun lalu, Muas jauh berubah. Prestasinya jatuh merudum. Dia tidak lagi fokus malah sering mengalami sakit kepala.

“Bila dia mengadu pening, saya selalu ingatkan dia mengalami migrain. Bila pening dia akan tidur sahaja. Saya biarkan sahaja tak nak ganggu dia. Tapi sudah dua kali dia pengsan dan saya bawa ke hospital. Sampai di sana doktor maklumkan dia alami tekanan belajar.

“Selang beberapa bulan, dia alami sakit kepala yang teruk sampai dia hantuk kepala ke dinding. Sekali lagi saya bawa ke hospital dan doktor yang merawat hanya bekalkan ubat tahan sakit. Tak lama kemudian, dia mengadu yang matanya rabun. Saya pun bawa ke kedai cermin mata. Waktu buat pemeriksaan itulah, pekedai memaklumkan yang ada sesuatu pada mata kirinya,” cerita Noorbiha yang juga seorang ibu tunggal.

Kali ini, dia tidak mahu membawa anaknya ke hospital yang sama. Sebaliknya menjalani pemeriksaan ke hospital di Ampang. Di situ doktor menjalankan ujian untuk menguji saraf matanya. Kesan daripada ubat itu, Muas hanya merasai sakit pada mata kanan sedangkan mata kirinya tidak memberi apa-apa respon.

Muas ditahan di wad untuk menjalani ujian imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan hasil daripada ujian itu, doktor mengesahkan yang Muas mengalami mocopolaasisma atau ketumbuhan otak tahap 4. Saiz itu pula telah sebesar penumbuk dan berada betul-betul di pusat saraf.

Ketika itulah Muas dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. Tekanan darahnya juga menurun dan seluruh urat sarafnya telah tertutup. Hampir dua minggu berada di HKL dan doktor juga mengesahkan yang Muas telahpun mengalami buta pada mata sebelah kirinya.

“Sekarang Muas bergantung pada ubat yang dibekalkan oleh hospital. Sebiji pil bernilai RM500 dan dalam tempoh sebulan, dia memerlukan RM12 ribu untuk bekalan ubat-ubatannya. Saya tak tahulah nanti macam mana hendak cari duit kalau dia telah habis sekolah.

“Memandangkan dirinya yang tidak boleh menerima tekanan, Muas direhatkan selama setahun dari menduduki persekolahan. Kata doktor, dia tak boleh terhantuk atau tertekan. Kalau dia pening sedikitpun saya kena cepat-cepat bawa dia pergi hospital.

“Sebab itulah saya tak boleh bekerja sekarang. Kadangkala selang beberapa hari, doktor akan telefon minta saya bawa Muas ke hospital untuk ujian darah dan sebagainya. Di sebabkan itu juga saya tak boleh pergi ke mana-mana,” luahnya lagi.

Doktor maklumkan yang anak saya berkemungkinan akan menjalani pembedahan selepas hari raya. Tapi perlu tengok keadaan anaknya itu. Ketika ini, keadaan dirinya bagaikan anak kecil seusia 10 tahun, bimbang jika dirinya tidak mantap ia akan memberi impak kepada pembedahan dan mengganggu sistem saraf anaknya itu.

Sungguhpun, pembedahan itu hanya mempunyai peratusan 50-50, Noorbiha redha untuk menerima ketentuanNya. Sebagai ibu pastinya dia mengharapkan yang terbaik untuk anaknya. Ujian yang Allah berikan benar-benar menguji kekuatan dirinya sebagai seorang ibu.

“Saya redha dan sentiasa berfikiran terbuka. Kadangkala Allah mahu memberi kita pahala tapi tidak secara ‘direct’. Saya anggap ini ujian dariNya,” ungkapnya sebak.

Sh:

Setiap kali perlu menghantar Muas ke hospital, Noorbiha akan dihantar oleh bekas suaminya. Apabila pulang barulah dia perlu menaiki teksi. Bukan tidak boleh menaiki bas, bimbang Muas keletihan dan itu akan membuatkan anaknya lebih tertekan.

“Sekarang ini pun, Muas bukannya boleh mengingat dengan sempurna. Kadangkala dia lupa banyak perkara. Itu adalah kesan daripada penyakitnya itu. Dulu waktu mula-mula doktor maklumkan yang dia menghidap barah otak, dia langsung tak boleh terima. Dia tak mahu makan dan hanya menangis sampai tertidur.

“Doktor pun datang ke katilnya dan pujuk. Akhirnya, cikgunya datang dan memujuknya. Diapun boleh terima ujian Allah,” ceritanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Nanding, Hulu Langat.

“Muas juga hilang selera makan dan mengalami kesukaran untuk membuang air besar. Dulu dia seorang yang bijak matematik, sekarang ini dia semakin keliru dan tak dapat menyelesaikan persoalan matematik yang mudah. Ada ketikanya juga dia akan hilang ingatan,” sayu suara Noorbiha menceritakan simptom yang dialami anaknya.

Sememangnya ibu tunggal ini hanya bergantung kepada bantuan yang diberikan oleh pihak Kebajikan Masyarakat. Selebihnya, mengharapkan wang bulanan hasil jahitan yang tidak seberapa. Dengan penyakit anaknya itu, pastilah dia memerlukan lebih perbelanjaan untuk rawatan dan perjalanan ke hospital.

Ada ketikanya dia menjadi tertekan kerana memikirkan di mana hendak mencari wang setiap bulan. Namun, dia percaya Allah ada untuk orang-orang yang sabar. Atas dasar itulah, dia sentiasa menitipkan doa agar Allah memberi kemudahan untuknya menempuhi ujian untuk keluarganya itu.

Bagi anda yang mahu membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 12-092-02-272983-2 atas nama Noorbiha Binti Ahmad.

Korea Menggamitku, Berangan Keras Mahu ke Sana

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani, 


 Selamat pengantin baru Ani Nadila. Comel betul Ani hari itu. Naik seri sungguh pengantin yang seorang ini!


Lama entri ini bertangguh. Bermacam-macam hal terjadi kepada saya baru-baru ini. Ada ketikanya cukup sukar emosi itu mahu dikendalikan. Setiap orang pasti akan melalui keadaan semacam saya; otak jammed dengan bermacam masalah. Sekarang ini pun saya dalam dilema. 

Segalanya berlaku serentak, antara tugasan dan tanggungjawab menyelesaikan urusan persekolahan anak kedua. Bertenang, jalan penyelesaian mesti ada di hadapan mata. Alhamdulillah... alhamdulillah, saya ada adik-adik dan mak abah yang cukup menyokong. Mereka sudah memudahkan tugas saya. Semoga Allah memudahkan tugasan adik-adik, mak  dan abah saya. Amin Ya Allah.

Banyak betul yang terjadi dua ke tiga hari ini, 2hb baru ini saya ke Batu Pahat Johor dengan suami dan anak-anak meraikan hari bahagia pengapit saya dulu, Ani Nadila. Walaupun tiba dah lewat iaitu dekat jam 3 petang tapi saya bersyukur kerana Ani telah menemui suami idaman hati. Semoga Ani berbahagia bersama pasangannya.

Aci tak saya rangkumkan banyak cerita dalam satu entri. Kalau hendak cerita satu persatu, panjangnya berjela-jela. Sebab entri ini dah tertangguh lama, penyakit M pun datang menyerang. Ini salah satu bukti nyata kenapa penulis blog sama sekali dilarang meninggalkan lamannya bersawang.

Penyakit M akan datang menyerang. Walhal terlalu banyak idea bersarang dalam kepala setiap kali mengambil gambar untuk dimuatkan di dalam laman sendiri. Wabak M yang semakin menjadi-jadi akan memberi kesan parah dan melambatkan momentum penulisan.

Ingat! Jangan sesekali meninggalkan laman blog masing-masing lebih dari tiga hari. Kesannya cukup parah, lihat sahaja saya sebagai contoh. Daripada saya memberikan contoh melalut dan menuding ke arah orang lain, baiklah saya mengaku siap-siap. Ini pengajaran yang cukup berkesan sekali.

Qaseh tiada kena mengena dengan cerita kami berempat ke panggung wayang. Sebelum melayan Thor, kami layan dulu makanan Korea.


Baru-baru ini juga saya dan beberapa orang teman media berpeluang menjadi orang pertama yang menonton preview filem Thor: The Dark World. Walaupun tak berpeluang duduk di panggung eksklusif, sekadar di hall 9 bersama kumpulan yang lain, saya tetap bersyukur. 

Lama sebenarnya saya tidak menonton wayang. Paling akhir, cerita Transfomers: Dark of the Moon. Itupun, en suami yang belanja atas tiket wayang 3D. Sudahnya saya pening sendiri. Nampaknya saya lebih senang dengan layar biasa tanpa sentuhan teknologi 3D. Lebih relaks dan tidak memenatkan mata saya.

Sejak menonton filem itu saya tidak lagi menonton mana-mana wayang gambar. Tapi tak pula saya merasa kesal atau pilu tahap derita disebabkan tidak dapat menonton wayang. Kalau en suami mahu menonton filem terbaru dia akan pergi sendiri atau bersama teman-temannya. 

Entahlah sejak akhir-akhir ini, saya tidak pula terkejar-kejar untuk menonton filem-filem baru di pawagam. Mungkin sebab inilah saya sedikit ketinggalan dalam hal ehwal hiburan mahupun cerita-cerita tentang artis. Tanyalah pada rakan-rakan saya, bagaimana kelakarnya saya waktu mula-mula mengendalikan ruangan hiburan di meja Mingguan Wanita.

Suatu ketika dulu, waktu mula-mula dipindahkan dari meja Dewan Siswa ke Mingguan Wanita, saya sering mengadu nasib pada kakak-kakak senior yang lain. Betapa saya tidak suka malah mahu termuntah apabila diminta membuat tugasan melibatkan artis. 

Saya cukup sedih sampai mahu saja minta tukar ke majalah lain yang tidak perlu saya menemuramah artis. Ketika itu saya merasakan susahnya mengendalikan diri saya dalam satu kelompok manusia yang cukup glamour dan dikenali ramai. 

Saya masih ingat waktu mula-mula menemuramah sutradara terkenal Murali di Janda Baik. Waktu itu, beliau mengarah drama terbitan kak Ziela Jalil tak silap saya tajuknya, Teratak Kasih. Dia mengingatkan saya agar yakin pada diri sendiri kerana keyakinan dirilah yang dapat membantu saya untuk memahami dunia artis ini.

Dia juga seorang pengkaji al Quran dan tidak hairanlah drama arahannya sentiasa ada sentuhan qalbu yang dalam maksudnya. Saya pasti, abang Murali sendiri sudah melupakan perbualan kami itu. Lagipun, siapalah saya, hanya wartawan muda yang masih mentah yang tidak memahami dunia hiburan. 

Dan baru-baru ini, saya berkesempatan bertemu semula dengan kak Ziela Jalil. Kali ini berpeluang pula merakam gambarnya bersama anak kecilnya, Ibrahim. Sungguh, saya mengingatkan yang saya pernah menemuramahnya dulu di Janda Baik. Jaraknya cukup lama sekali. Tapi saya bersyukur kerana dapat dipertemukan dengan ibu tabah ini. 

Hari ini, saya sudah menerima kerjaya saya dengan baik. Saya redha dengan setiap apa yang berlaku dan saya percaya walau sukar sekalipun jalannya, pasti ada penyelesaian di penghujung setiap masalah itu. Pengalaman demi pengalaman yang dikutip selama bertahun-tahun ini, menjadikan saya lebih relaks dan tenang setiap kali berhadapan dengan masalah. (Tapi ada ketikanya kalut juga.. hehe). Saya sentiasa belajar dan sampai hari ini saya masih lagi belajar untuk menjadi seorang yang lebih baik. 

Dunia hiburan tidak lagi menjadi ketegangan buat diri saya. Saya percaya, hanya diri yang tenang dapat mengawal kekalutan dan ketegangan setiap kali berhadapan dengan dunia hiburan. Alhamdulillah, lorongnya semakin mudah. 

Ada juga beberapa rakan artis yang mudah didekati dan memberikan kerjasama yang baik setiap kali 'photoshoot'. Saya juga menyaksikan bagaimana jalan hijrah menjadikan seseorang artis itu lebih baik dan lebih terbuka serta profesional setiap kali berhadapan dengan permasalahan.

Kadangkala bila terbaca komen-komen negatif tentang seseorang artis di laman sosial, saya jadi cukup sedih dengan bangsa saya sendiri. Mengapa tidak mampu berfikiran seperti masyarakat negara maju. Yang boleh berfikiran tenang dan tidak kalut setiap kali berhadapan sesuatu masalah. 

Saya kira, perkara pokok yang kita kurang adalah kesabaran. Orang kita termasuk diri saya sendiri perlu belajar erti sabar yang sebenar-benarnya. Saya percaya, jalan sabar adalah laluan kejayaan dalam hidup seseorang. 

Kalau saya tidak sabar dengan kerjaya saya waktu mula-mula dipindahkan ke majalah paling sibuk deadlinenya di Karangkraf, sudah tentu saya tidak dapat melihat kemanisannya pada hari ini. (Ini untuk peringatan diri sendiri)

 Nampak bestkan makanan Korea ni. Namanya pun berbelit mahu memesannya. Kagum saya lihat kak Julie dan Nisa makan nasi guna penyepit. Hmm, saya anak Jawa yang lebih selesa guna tangan. Tapi takkan nak guna tangan makan nasi bergaul-gaul itu. Tentulah khidmat sudu lebih diperlukan.


Eh! Jauh pula saya menerawang. Sebenarnya mahu cerita tentang kisah di sebalik menonton wayang Thor di eCurve. Memandangkan hari itu saya sampai lebih awal, Nisa dan kak Julie bawa saya makan-makan di Bulgogi Brothers. Itu restoran makanan Korea. Kata kak Julie, sempena percutian mereka mahu ke Korea, mereka sudi membelanja saya untuk feeling-feeling Korea. 

Sejak itu saya terus jatuh suka untuk mencuba membuat masakan korea sendiri. Bermula dengan meminta resipi dari Nisa tentang cara-cara membuat kimchi, sampailah saya google sendiri cara-cara membuat kimchi jgae (sejenis stew orang Korea). Tak cukup dengan itu, saya buat pula kimchi jeon (lempeng korea) yang sudahnya digemari anak-anak. Sampai licin lempeng Korea yang saiznya sama besar dengan bekas pemanggang ajaib saya. 

Malamnya saya google lagi tentang makanan Korea. Oh! Saya sudah jatuh hati dengan makanan Korea. Bila disogok pula dengan berita dan gambar terkini Nisa dan Kak Julie yang ketika ini sudahpun ada di Korea, saya bertambah 'gila Korea'. Nampak tak betapa saya sukakan Korea. Berkali-kali saya menyebut namanya.

Saya perlu ke sana tahun hadapan. Itu janji saya. Harap dapat ditunaikan nanti. Insyallah. Tapi kalau ada yang mahu sponsor saya ke sana, alangkah bagusnya. Oh! Tiba-tiba saya feeling menjadi wartawan yang berangan ke Korea...

Saya mahu cerita panjang lagi tapi mata sudah hampir mahu terlelap. Tulisan saya tidak seseronok mana, tapi saya bekalkan juga dengan cerita bergambar yang saya himpunkan sejak bulan Oktober lalu. Harap suka!.

Related Posts with Thumbnails