Follow Saya Di Google Plus

Monday, November 24, 2014

Masih Ada Harapan #MH370

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera iPhoneku

Dengan Nama Allah Yang Mana Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Perkongsian Intan Maizura Othaman MH370 dalam majalah Keluarga keluaran November 2014


Anda masih boleh mengikuti cerita Intan & harapannya pada MH470 dengan mencari majalah backdated di Kedai Buku Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.




Hilangnya MH370 terus menjadi tanda tanya. Sebagaimana waris-waris mangsa MH370 yang sentiasa mencari jawapan ke mana destinasi akhir MH370, begitulah harapan rakyat Malaysia yang sentiasa mengharapkan kepulangan kapal terbang boeng ini kembali ke landasan permulaan penerbangannya.

Cerita Intan Maizura ini cukup dekat dengan saya rupanya. Tanpa saya sedari, dan mengapa saya tidak sedari bahawa Intan ini pernah saya temuramah sebelum ini. Sekitar tahun 2013, saya bersama jurugambar ketika itu, Mohd Jazlan Nangar datang ke rumah Intan dan suaminya, Rain di Subang Jaya.

Kami rakam gambar rumah mereka untuk dimuatkan dalam ruangan dekorasi di majalah Mingguan Wanita. Selesai shooting, panjang kami berbual. Tentang kisah anak-anak kapal MAS, tentang Karangkraf dan bermacam lagi.

Pasangan ini cukup mesra orangnya. Suami Intan, Rain cukup romantis orangnya. Hampir setiap hiasan dalaman rumah mereka ada kisah cinta antara mereka berdua. Dari soal potret di dinding sampailah fridge magnet yang melekat di peti ais. Segalanya ada cerita di sebaliknya.

Waktu itu, Intan juga menjual pakaian kanak-kanak. Tertarik dengan pakaian itu, saya membeli sehelai untuk Qaseh Zahirah. Waktu itu, Zahirah nak masuk satu tahun. Cadangnya saya mahu membeli lagi pakaian daripada Intan. Tapi asyik tertangguh-tangguh mahu bertemunya.

Waktu, Intan postkan kisah ketabahannya di facebook, malah ketika media arus perdana bermain tentang emosi ibu yang sarat mengandung dan kehilangan suami dalam pesawat MH370, saya masih belum menyedari itulah Intan yang pernah saya temui sekitar tahun lalu. 

Sehinggalah saya diminta membuat artikel mengenai isteri mangsa MH370 yang baru sahaja melahirkan anak keduanya, baru saya menyedari tentang nombor telefon yang tertera di telefon bimbit saya. 

Ketika saya mendail nombor itu keluar nama 'Intan Baju Budak' dan alangkah terkejutnya saya kerana selama ini tidak menyedari bahawa Intan itulah yang pernah saya temui sebelum ini. Dan waktu tugasan ke rumahnya tidak lama dulu, saya dapat berbual dari hati ke hati dengannya. Serba sedikit saya kongsikan dalam artikel di majalah Keluarga ini.

Semoga harapan masih ada untuk MH370 kembali ke pangkuan Malaysia! Intan Maizura Othaman, semoga dikau kembali tersenyum ceria.

Thursday, November 20, 2014

Istimewanya Akademi Bekerja Di Rumah


Teks: Netty Ah Hiyer

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Gapai kebebasan dalam dunia pengkaryaan menerusi ABDR.

Apa itu Akademi Bekerja Di Rumah:


Dari kacamata pengasas Akademi Bekerja Di Rumah, Puan Masayu Ahmad.


Bermula sebagai suri bekerja dari rumah, penghujung 2008. Sebelum ini pernah bekerja di luar rumah kemudian menukar status bekerja di rumah. Ketika itu, tak banyak sumber dan buku sebagai panduan. Membuatkan saya memulakan blog pertama, masayuahmad.blogspot dan catatan harian di naufalsayang.blogspot. Ia catatan awal bekerja dari rumah dan mula berkongsi tentang panduan bekerja dari rumah.

Penulisan adalah fokus utama dan sudah tentu pencarian bahan penulisan sangat berkaitan dengan bisnes dari rumah, bisnes skala kecil juga motivasi wanita. Ini tema utama dalam buku, ebook dan manuskrip yang saya hasilkan.


Dua sumber utama pendapatan adalah pendapatan aktif dan pendapatan pasif. Segalanya bermula dari blog. Sejak itu juga blog saya selalu disinggah pembaca dari kalangan suri rumah, suri berkerjaya juga sesiapa yang mencari peluang bekerja dari rumah.


Mulakan dengan apa yang ada:


Saya selalu berkongsi konsep mulakan dengan apa yang ada atau menggunakan modal minima. Mulakan dengan secara sambilan sebelum mengambil keputusan bekerja sepenuh masa. Atas usaha inilah saya kumpulkan majlumat, bahan dan kisah wanita yang sudah berjaya, wanita bergelar suri rumah, wanita yang sudah pun bersatus usahawan dari rumah.


Kelas kami bersiaran secara online, dua kelas berikut:

1. Kelas asas blog dan penulisan.

Memberi pendedahan dan panduan membina blog yang disukai pembaca, membina networking dan pengaruh penulisan blog serta penjenamaan dalam carian google. Mahu miliki follower tegar? Tiada yang mustahil kerana setiap individu itu unik dan tersendiri. Kami gilap potensi anda. Usah bimbang tentang penulisan, kami ada untuk menunjukkan cara penulisan blog berkualiti dan berkesan.


2. Kelas asas blog dan fanpage (khusus untuk bisnes)


Khusus buat mereka yang 'zero' tentang urusniaga online. Langkah awal untuk anda membina kedai online dan latihan urus niaga. Pelajari teknik urusniaga berkesan dari pakar pemasaran yang ada dalam akademi. Pelajari juga teknik membina rangkaian bisnes sendiri.

Apalagi yang istimewa dalam kelas ini?

Info tambahan kelas asas blog dan penulisan.



a. Menulis cara santai, tetapi masih lagi mengekalkan Bahasa Melayu formal. Ini salah satu cara menarik minat pembaca suka dan datang lagi ke blog.

b. Bina tapak awal memperkenalkan diri kepada pembaca/bakal pelanggan.

c. Belajar menulis dan latihan menulis untuk dapatkan momentum. 

d. Teknik tulisan yang mempengaruhi pembaca datang dan datang lagi.

e. Bergabung dengan lebih rami blogger-lebih 120 blog dalam akademi, untuk membantu aliran trafik ke blog.

f. Ramai yang mahu bermula tetapi tidak tahu cara, menulis boleh dilatih jika tahu teknik yang betul.

g. Mengetahui teknik yang betul, apa yang kita suka tulis dan cara konsisten untuk terus aktif menulis di blog.

h. Sudah ada blog, tetapi sudah tidak ada idea untuk meneruskan usaha berblog.

Jika kalian berada dalam salah satu kategori di atas, boleh sertai kami dalam kelas asas blog dan penulisan. Analisa dahulu sebelum masuk kelas. Boleh pm atau mesej inbox apabila sudah bersedia.


Info tambahan kelas asas blog dan fan page (mula bisnes)


a. Kelas ini khusus bagi suri rumah yang benar-benar zero tentang urus niaga secara online.

b. Mahu mula tetapi tidak tahu cara.

c. Mahu mula tetapi tidak ada produk. Kami menyediakan beberapa produk pilihan, produk sunnah, buku, pakej ebook, ruang periklanan. Juga peluang sebagai pembantu kelas di akademi bekerja di rumah.

d. Kelas ini sesuai untuk belajar menjana pendapatan awal RM10, kemudian tingkatkan lagi, RM20, RM50, RM100 begitulah seterusnya (ini adlaah tertakluk kepada usaha yang konsisten daripada peserta.

e. Kelas ini juga sesuai untuk suri yang sibuk, surirumah sepenuh masa, suri bekerjayaa yang mahu buat secara sambilan. Ini adalah langkah awal, kami sediakan berdasarkan permintaan demi permintaan.

f. Apabila sudah pandai, boleh belajar lagi dengan otai-otai pemasaran yang lain. juga bina jaringan bisnes secara online.

g. Apa yang kita belajar di dalam kelas ini. Analisa dahulu untuk kenalpasti apa produk yang sesuai/minat/pengalaman. Belajar buat blog kedai online, belajar menulis konsisten, belajar buat borang tempahan, jenis-jenis entri, belajar buat pan page, belajar buat pautan, belajar buat pautan antara blog untuk aliran trafik.

h. Untuk mula, kita analisa dahulu, pm saya sekarang atau mesej di inbox. Pendaftaran adalah setiap hari.

Ini pula pakej mula bisnes online


Tak punya masa ikuti kelas Online mahupun Offline. Anda masih boleh miliki BLOG dan FANPAGE untuk memulakan perniagaan atau perkhidmatan online.


Guru online ABDR akan bangunkan perniagaan atau perkhidmatan online anda. Kemudian, perniagaan dan perkhidmatan online anda akan diiklankan di http://sohodirectory.blogspot.com selama 1 tahun. 


BONUS!


Anda akan miliki 2 ebook untuk bacaan dan rujukan;

1) Ebook bernilai RM50 boleh pilih satu antara 3 di bawah:

-ebook Belajar Asas Blog

-ebook Mula Bisnes Butik Online/Offline

-ebook 101 Idea Home Based Bisnes


2. DAN Ebook bernilai RM25

-ebook Superwahm Supermom

Untuk makluman, SOHO DIRECTORY diiklankan oleh lebih 900 buah blog yang terhasil dari akademi bekerja di rumah. Ini bermakna iklan anda boleh dapatkan trafik pengunjung dari 900 buah blog ini di bawah Akademi Bekerja Di Rumah.


Tuesday, November 18, 2014

Seni Dalam Penulisan Berjiwa

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: http://www.dreamstime.com

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


http://netty-ahhiyer.blogspot.com
Seni dalam penulisan berjiwa itu samalah dengan meletakkan emosi dalam penulisan kita.


Bagaimana mahu menzahirkan seni dalam penulisan berjiwa? Dalam penulisan pun perlu ada jiwakah? Maksud mudah di sini adalah penulis perlu bijak meletakkan emosi mahupun bermain emosi dalam sesebuah karya yang dihasilkan. 

Mengapa emosi penting? Ia membantu pembaca menghayati, memahami malah merasai 'subjek' yang sedang anda kongsikan bersama mereka. 'Subjek' boleh jadi kisah tentang seseorang mahupun situasi mengenai seseorang.

Bagaimana melahirkan seni dalam sebuah penulisan berjiwa? Aa... aa,,, jangan pening-pening kepala? Menulis itukan perlu tenang, relaks dan selesa. Tak perlu tergopoh-gapah. Penulisan yang baik tidak dibina dalam sehari. Saya pernah katakan sebelum ini bukan? Dalam entri 5 Sebab gagal Menulis Dengan Baik saya berikan tips bagaimana mahu menulis bak pakar.

Kali ini saya kongsikan pula pengalaman peribadi bagaimana saya menulis artikel-artikel kewanitaan mahupun kisah masyarakat selama mencurah karya di meja Mingguan Wanita mahupun majalah Keluarga. Fahamkan betul-betul dan hadam lumat-lumat ya. 

1. Baca karya-karya penulis hebat.

Saya akui, saya ini sedikit kurang rajin bila sampai bab membaca karya-karya terutama novel-novel. Tetapi saya berani akui bahawa dengan membaca karya-karya penulis hebat inilah lahirnya idea untuk menulis dengan berjiwa. 

Antara karya hebat dari Indonesia yang pernah singgah di hati saya adalah Andrea Hirata dan Habiburrahman El Shirazy. Dua nama besar ini amat mempengaruhi penghasilan penulisan yang berjiwa. Andrea dengan unsur humornya manakala Pak Habiburrahman sarat dengan karya yang membangunkan jiwa. 

Anda juga boleh memilih karya hebat manakah yang anda gemari dengan hati dan emosi anda. Jika gemar membaca buku-buku jenis 'self help' a.k.a motivasi, boleh saja anda hayati dan fahami gaya dan rentak penulisannya. 

2. Meniru idea tidak salah asal jangan hilang identiti

Andaikan anda terlalu sukar mahu mencari perkataan. Boleh saja ambil idea penulisan orang lain untuk dijadikan panduan. Tetapi olahannya adalah dengan gaya bahasa anda sendiri. Jika anda tiru bulat-bulat dan tidak diubah langsung perkataannya itu sudah dikira plagiat atau penculik karya orang lain.

Seperti yang saya tegaskan, setiap orang ada identiti dalam penulisannya. Ada yang bersifat keras dan tegas, ada pula yang lembut dalam menyampaikan kata-kata, ada juga yang sukakan perumpamaan dalam mencurahkan idea mereka. Itu terpulang pada minat dan gaya penulisan anda. 

Jangan cuba menjadi orang lain. Jadilah diri sendiri semasa berkarya. Kelak, bila sudah mahir anda akan memperoleh momentum dalam penulisan dan tidak lagi bimbang untuk menulis karya-karya yang berat. 

3. Masuk ke dunia mereka

Cuba letakkan diri anda dalam situasi yang mahu anda kongsikan. Misalnya mahu bercerita tentang anak kecil anda yang enggan makan hidangan yang anda sediakan. Tentu bosan andai memulakan entri yang stereotaip. Mengapa tidak mulakan dengan 'gambaran letihnya anda mahu memujuk si kecil itu makan'.

Penulisan yang baik dan menarik minat pembaca untuk meneruskan pembacaan adalah dengan terhasilnya 'intro' yang menyengat.

Contoh:
Isi cerita: Anak kecil tidak mahu makan, anda keletihan, pinggan plastik warna hijau ditolak ke tepi, anda pujuk anak, anak menolak, nama anak Haris, bib putih ada kartun lembu, sayuran hijau dan bubur nasi.

Intro 'seni dalam penulisan berjiwa:

Haris meronta lagi. Pinggan plastik warna hijau ditolak ke tepi, tanda protes tidak mahu makan sayuran hijau dan bubur nasi yang saya sediakan. Kali ini saya tidak mahu mengalah, biar berperang emosi keletihan mahupun baju dibasahi keringat. Misi menyuapkan Haris perlu diteruskan. 

Intro di atas mengundang keinginan pembaca mahu mengetahui dengan lebih lanjut, apakah anda berjaya melaksanakan misi menyuap anak kecil bernama Haris? Bagaimana nanti anda akan melakukan misi anda itu? Tanda tanya sebegini bagus untuk penulisan anda. 

Sentiasa wujudkan tanda tanya pada pembaca. Bila mereka mula tertanya-tanya, bermakna mereka mahukan tips daripada anda. Jadi, sampaikanlah tips itu. Jangan pula lokek berkongsi ilmu. Dalam menzahirkan seni dalam penulisan berjiwa, anda juga perlu bijak bermain dengan emosi pembaca.

Cukup dahulu entri tentang seni dalam penulisan berjiwa. Insyaallah, akan saya kongsikan juga tentang panduan penulisan yang lain dalam entri akan datang. Semoga anda beroleh manfaat menerusi perkongsian ini dan berjaya melahirkan karya mahupun penulisan berjiwa. 

Chaiyok!

Sunday, November 16, 2014

5 Sebab Gagal Menulis Dengan Baik

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsung NX300ku


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Menulislah dengan sepenuh jiwa, semoga khalayak pembaca mendapat manfaatnya. Tersenyum ceria bagaikan anak sulung saya ini, Mirza Yadiy... eh... eh!

Suka saya berkongsi topik 'Gagal Menulis Dengan Baik' kerana saya juga pernah mengalaminya. Terutama apabila saya berada dalam keadaan huru-hara dan kelam kabut yang teramat. Perkongsian ini berdasarkan pengamalan peribadi yang mungkin boleh dijadikan panduan untuk anda yang sedang berusaha menjadi penulis yang 'berjiwa'.

1. Anda gagal bersihkan hati daripada prejudis diri sendiri

Baik mahu menulis cerita peribadi, artikel mahupun cerpen anda perlu membuang jauh prasangka-prasangka buruk yang berlegar-legar di dalam minda. Misalnya, aku tak pandai menulis, macam mana nanti kalau aku tulis tapi akhirnya di tong sampahkan. 

Abaikan semua kata-kata jahat dalam hati itu. Sebaliknya, sentiasa bersangka positif dan percayalah setiap orang itu boleh menulis. Sampaikan sahaja apa yang mahu anda tuliskan itu dengan hati yang tulus ikhlas. Anda adalah kekuatan diri anda. Jika anda sendiri sudah menemui siapa diri anda, penulisan akan menjadi mudah dan lancar. 

2. Gagal menulis seperti yang pembaca mahu a.k.a syok sendiri

Penulis yang baik adalah penulis yang memahami khalayak pembacanya. Jika anda menulis untuk blog peribadi, ceritalah sahaja tentang diri anda dengan gaya penulisan anda. Jangan cuba-cuba mahu meniru orang lain. 

Percaya atau tidak, menulis dengan gaya bahasa, tatabahasa yang betul akan menonjolkan kelebihan dan kematangan anda dalam penulisan. Penulis yang matang, adalah penulis yang boleh berfikir dengan baik dan sentiasa mendorong pembacanya ke arah sikap positif. 

Oleh itu, sentiasalah berfikir dengan positif terlebih dahulu. Apa yang saya maksudkan dengan syok sendiri. Anda menulis tanpa memikirkan apa kehendak pembaca. Contohnya anda sedang menerangkan cerita tentang 'Panduan memasak hidangan asam pedas ikan parang' tetapi anda hanya bercerita tentang bahan-bahan masakan tetapi tidak pula dikongsikan cara memasak  asam pedas tersebut.

3. Anda rasa bagus dan lupa diri

Perlu difahami, setiap idea, ilham mahupun kata-kata yang sedang dikongsikan dalam penulisan semuanya adalah hak Yang Maha Menciptakan diri kita ini. Oleh sebab itu, janganlah ada riak atau sombong dalam penulisan anda.

Kerana nanti akhirnya, semua akan dikembalikan kepadaNya. Kita ini hanyalah khalifah yang menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan melalui perjanjian yang telah kita termeterai denganNya semasa di dalam perut ibu kita lagi.

Oleh itu, sebelum mula menulis, sentiasa bermohon padanya diberikan ilham yang baik-baik. Kelancaran kata-kata sehingga tidak mengguris hati sesiapa dan yang paling penting sekali mulakan setiap perkara dengan memohon pengampunan dan rahmat dariNya.

4. Kenapa gagal menulis? Sebab anda sendiri tidak tenang

Sebelum menulis, pastikan diri anda dalam keadaan tenang. Bukannya dalam keadaan marah yang meluap-luap atau sedang dilanda keserabutan fikiran. Bukannya tulisan itu tidak boleh disiapkan, tetapi nanti akhirnya anda akan gagal menulis dengan baik. Ia samalah kaedahnya dengan memasak. Memasak perlukan ketenangan untuk menghasilkan masakan yang digemari anak-anak, suami malah keluarga mentua.

Cuba sebaiknya letakkan diri anda dalam keadaan gelombang alpha, yang mana anda boleh bawa diri anda jauh ke alam penulisan walaupun ketika itu ada gangguan di sekeliling anda. Untuk mencapai tahap ini anda perlu belajar-praktis-praktis-praktis dan akhirnya pengalaman itu akan membentuk kemahiran yang diinginkan.

5. Tiada catatan nota boleh sebabkan anda gagal menulis dengan baik

Malah wartawan yang bertahun-tahun menulis sekalipun masih malah wajib sebenarnya mempunyai buku nota di sampingnya. Dalam dunia kewartawanan, buku nota adalah nyawa yang paling berharga. Hilang buku nota boleh menyebabkan diri mereka meroyan bagaikan anak kecil kehilangan ibu. Hmm... perumpamaan ini agak keterlaluan sedikit.

Catatlah apa sahaja yang mahu anda tulis dan luahkan semula semasa menekan papan kekunci. Catatkan tarikh, nama-nama penting supaya anda tidak lupa dengan data yang anda peroleh pada hari itu. 

Inilah serba sedikit maklumat yang saya harapkan berguna untuk anda yang rajin melayari blog saya ini. Paling penting sekali, mahu jadi penulis yang baik adalah 'menulislah dan teruslah menulis. Lebih baik anda mula sekarang daripada tiada langsung. Semoga panduan berdasarkan pengalaman diri ini mampu merungkaikan persoalan mengapa kita gagal menulis dengan baik.

Tuesday, September 30, 2014

Bau Anak Syurga Itu

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsung NX300ku

Dengan Nama Alah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Qaseh Zahirah saya.


Sebetulnya saya diburu waktu. Entah mengapa dalam tempoh yang singkat ini begitu banyak perkara mahu saya lakukan. Minda bawah sedar saya seolah-olah memaksa diri saya untuk bertindak di luar batasan. Terus bergerak dan jangan sekali-kali menoleh kebelakang.

Namun, tanpa sedar tindakan saya itu rupa-rupanya sudah mengabaikan 'amanah' Allah yang perlu saya pelihara dengan sebaik-baiknya. Dari sehari ke sehari, ada saja yang membuatkan anak-anak kecil ini merajuk dengan ibunya yang sibuk entah apa-apa ini.

Merajuk tidak mahu kawanlah. Mengungkit dengan kata-kata 'ibu gemuklah'. Dan yang paling tragis bila Zarif tidak lagi mahu mendekati saya setiap kali saya pulang dari tempat kerja. Ironinya saya biarkan saja emosi luka mereka. Konon buat-buat tak faham, dengan harapan mereka akan pulih kemudian hari.

Saya tahu itu satu tindakan yang paling silap yang telah saya lakukan. Anak-anak ini menyimpan marah yang panjang. Tapi mereka juga perlu meluahkan marah. Biarkan ia terluah semoga ia tidak menjadi nanah. Cuma kalau melampau sangat memang 'hanger' menyinggah ke mana-mana. Oh! saya juga manusia biasa...

Ahad lepas waktu bawa Zarif dan Qaseh meronda-ronda Setia City Mall saya terperasan sesuatu. Zarif berjalan tak seperti selalu. Sekejap-sekejap kakinya diherotkan ke tepi. Itu belum aksi muka yang memelikkan. Waktu melepaskannya ke sekolah pada hari Isnin. Dia lakukan aksi yang sama. 

Sudah kenapa dengan Zarif? Saya adukan hal itu pada mak. Mak pesan balik nanti bawa dia pergi berurut. 'Dia sakit belakang dah lama, dah lama mak suruh bawa pergi berurut. Tak bawa-bawa juga. Balik nanti pergi rumah wak."

Saya angguk setuju. Dan hari itu saya menghitung waktu mahu membawa dia sesegera mungkin. Syukur sampai di rumah wak tak ramai orang yang mahu berurut. Selepas seorang pesakit, Zarif masuk ke bilik urut dan wak urut Zarif satu persatu. Mula dari kaki sampailah ke dahi. 

Rupanya Zarif bukan sakit biasa. Syukurlah cepat saya membawanya. Alhamdulillah, hari ini aksi herot-herot yang dia selalu buat tak lagi kelihatan. Degilnya pun makin berkurang. Rupanya selama beberapa hari itu yang dia asyik merentan-rentan, dia itu dalam kesakitan. Saya saja yang buat-buat tak faham. 

Dan malam ini sebelum menidurkan anak-anak saya cium Qaseh berkali-kali. Sungguh enak baunya. Anak-anak kecil yang tiada dosa ini memang berbau harum mewangi. Ya, ibunyalah yang mencorakkannya. Kasihan anak-anak saya. Dapat ibu yang sibuk luar biasa dan entah apa-apa ini. Syukur alhamdulillah, saya ada emak dan adik-adik yang baik hati dan sentiasa ada di sisi saya. Semoga emak dan adik-adik saya serta suami saya dimurahkan rezeki olehNya. Amin Ya Allah.


Thursday, September 25, 2014

Seronoknya Belajar Matematik! #giveaway


Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Iphoneku yang berjasa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Pengasas, Karen Kwan dan Dr Tay Choo Chuan bergambar bersama tenaga pengajar MathBrain




Saya dan rakan wartawan dari majalah Pa & Ma, Azma yang manis.


Saat paling mendebarkan, bila para wartawan diminta menjawab 12 soalan 'ganas' berkaitan dengan nombor.


Ruang kelas yang selesa.

Okay, saya mengaku. Tajuk dekat atas tu macam tak boleh percaya. Lebih-lebih lagi, bila seorang wartawan sejati macam saya ini yang menuturkannya. Eceh! Satu rahsia yang ramai wajib tahu, wartawan memang tak suka dan tak sukalah dengan subjek Matematik.

Kalau ada pun, tak ramai jumlahnya. Kami-kami ini cuma handal dalam bab-bab kira diskaun waktu jualan murah. Itu memang kepakaran yang tiba-tiba berkembang semasa menghadiri majlis pelancaran yang rata-ratanya diadakan di pusat membeli belah.

Hari ini, editor saya Kak Mashi minta saya 'cover event' 'MathBrain' kendalian Math Monkey Malaysia. Silibus ini dicipta di Hong Kong. Ia berkembang dan akhirnya di bawa ke Malaysia. Hari itu, barisan meja dan kerusi di Waroeng Iga dekat The Strand di susun bagaikan dalam kelas. 

Para wartawan mengambil tempat duduk dan sesi pengenalan pun bermula. Saat MC memperkenalkan para panel, saya dan teman di sebelah bagaikan cacing kepanasan. Apalah maknanya 'Seronok belajar Matematik ni.' Bak kata saya pada rakan wartawan yang lain. Hari itu, 'Algebra' akan menjadi 'Algabra'.

Tapi, bila mendengar penerangan daripada panel Karen Kwan (Pengasas MathBrain) dan Associate Professor Dr Tay Choo Chuan (Universiti Teknikal Malaysia, Melaka), persepsi saya berubah. Ternyata, Matematik itu memang menyeronokkan. Terutama pada kanak-kanak yang sedang berkembang otaknya. Dari umur 3 tahun mereka sudah berkembang sepenuhnya 'eksplorasi bahasa' dalam minda mereka. Bagaimana pula dengan otak kanan? Dalam MathBrain, mereka mengkaji tentang lima konsep perkembangan otak kanak-kanak terutama dalam matematik.

Ia bukan sekadar nombor tetapi melihat nombor dalam bentuk yang berbeza. Mencari jawapan pada setiap persoalan dengan pelbagai cara. Bukan satu kaedah semata-mata, Asalkan jawapannya sama, apa kaedah yang digunakan sekalipun, ianya tetap betul. Matematik itu ada alasannya, mengapa ia begini, mengapa ia begitu. Inilah yang tidak diajar di dalam kelas semasa di sekolah. 

Matematik itu hanya satu konsep semata-mata. Mungkin sebab itu, sukar untuk pelajar-pelajar 'sastera' seperti saya ini menangkap rasional di sebalik satu-satu persoalan. Apapun, saya percaya Matematik itu tetap memerlukan latihan berterusan. Samalah halnya dengan membentuk kemahiran menulis. Ia memerlukan latih tubi yang tidak henti-henti. Rangsang otak kiri dan paksa otak berfikir luar dari kebiasaan. 

Apa pun saya akui dari dulu sampailah sekarang ini, persoalan yang sering bermain di minda pastinya berkaitan tentang 'Penyelesaian Masalah'. Seringkali saya berfikir, 

  • bagaimana orang-orang hebat ini mencipta kejayaan
  • bagaimana mereka menyelesaikan masalah harian mereka
  • bagaimana masalah, menjadi peluang.
  • bagaimana mereka mampu menjadi kaya dan berjaya

Kadangkala jawapannya ada di depan mata, tapi saya sendiri gagal menemuinya. Uniknya, menerusi subjek, kaedah dan teknik MathBrain, mereka berupaya melahirkan kanak-kanak yang pandai menyelesaikan masalah baik dalam dunia matematik mahupun kehidupan seharian. 

Saya bukanlah mahu promosikan MathBrain ini kepada ibu bapa, tetapi jika ada yang berminat mahu tahu selepas membaca catatan ringkas saya ini. Anda boleh layari Math Monkey Malaysia.

Saya juga akan kongsikan artikel tentang 'Seronoknya Belajar Matematik' dengan lebih terperinci di ruangan Psikologi majalah Keluarga keluaran Disember nanti. Tunggu!

PS: Saya ada  1voucher percuma untuk 1 sesi kelas MathBrain bernilai RM300. Saya buka pada ibu bapa yang berminat. Anda cuma perlu kongsikan pendapat tentang 'Seronoknya Belajar Matematik' di blog anda dan backlink blog saya. Pendapat paling best akan saya pilih untuk menerima hadiah ini.

Syarat:
  • Terbuka pada ibu bapa yang ada anak berumur 4 hingga 12 tahun sahaja. 
  • 1 voucher untuk seorang anak
  • Kongsikan pendapat/pengalaman di blog anda tentang 'Seronoknya Belajar Matematik'.
  • Backlink blog saya 
  • Tinggalkan jejak di ruangan komen pada entri ini.
  • Giveaway berakhir 31 November 2014
  • Voucher hanya sah di Pusat MathBrain Kota Damansara.
 Mudahkan. Selamat mencuba!


Belajar Asas Bina Blog dan Penulisan di:

http://netty-ahhiyer.blogspot.com/p/kelas-belajar-asas-blog-sertai-kami-di.html

Beli produk kecantikan NourAin Skincare dengan saya: 

https://www.facebook.com/kedaikaknetty

Jadi Rakan Niaga Akademi Bekerja Dari Rumah:

http://netty-ahhiyer.blogspot.com/p/blog-page_10.html



Thursday, September 11, 2014

Jangan Berhenti Berlari, Kejar Impianmu

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsungku NX300

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Zarif (baju merah), Mirza (tengah) dan Qaseh.

Nampak tak sel-sel otak anak-anak saya sedang berhubung!

Ya, jangan pernah berhenti berlari dalam mengejar impian. Setiap orang mesti ada impian. Dari kecil orang dewasa suka bertanya, 'Bila besar hendak jadi apa?' Malah saya sendiri suka desak anak-anak dengan soalan-soalan melemaskan itu.

Masih terlalu awal rasanya mahu fikir besar nanti mahu jadi apa? Dan waktu itu yang terlintas cuma kerjaya guru, doktor, askar. Sekarang cuba tanya anak-anak kita. Jawapannya tentu berbeza. Mirza sendiri dek terlalu sukakan rancangan comot-comot dan kapten Boleh, dia memasang impian mahu menjadi saintis. Dari kecil dia gemar merekacipta kertas menjadi kapal dan sebagainya. 

Zarif pula minat sekali dengan berniaga. Malam tadi, emak maklumkan dia berjaya menjual lebihan sepit-sepit rambut yang nenek beli untuk hadiah tetamu cilik yang datang beraya pada Hari Raya lalu. Cuma, pesan nenek jual harga 40 sen. Zarif yang lurus dan pemurah itu menjual dengan harga 10 sen saja. Duit jualan juga tak kelihatan. Sebabnya awal-awal lagi dia sudah habiskan pula di kedai Cik Ipah. Ya, itulah Zarif pandai cari dan habiskan duit. 

Cerita Qaseh lebih istimewa. Cuma saya masih berkira-kira mahu luluskan atau tidak impian si kecil saya itu. Waktu lepak santai dengan Qaseh, abah soal satu-satu cucu perempuannya. "Bila besar mahu jadi apa? Jadi cikgu ke?" "Jadi model." Jawab Qaseh terus pose manja depan atuk. Atuk sengih lebar. Menampakkan tiga batang gigi atuk yang masih utuh.

Itulah hakikatnya, impian dicipta sejak kita masih kecil lagi. Saya dulu suka benar berangan-angan mahu baca berita. Konon mahu jadi pengacara. Akhirnya saya sendiri dipertemukan dengan salah seorang idola dalam dunia kewartawanan penyiaran selepas berpuluh tahun menanam impian itu. Baca kisah saya dan Nurfarahin Jamsari di sini.

Waktu tingkatan lima, emak belikan saya mesin taip. Masa itu saya mahu menyiapkan tugasan kerja folio yang diwajibkan untuk pelajar tingkatan lima. Saya masih ingat bagaimana saya menangis tidak henti-henti kerana kertas kerja yang saya usahakan itu terkoyak dan tidak kemas. Menangis sungguh-sungguh sampai pasrah dan tidak mahu hantar tugasan. Apabila markah dikeluarkan, kerja folio saya itu mendapat markah yang tinggi kerana memenuhi ekspektasi dan tidak lari dari kehendak soalan.

Mesin taip itu kemudiannya terbiar begitu sahaja. Sesekali bila saya kebosanan, saya akan mula mengarang puisi. Tulis sahaja apa yang terlintas. Ada juga cerpen satu muka ke dua, saya ketuk-ketuk tetapi tidak sanggup mahu diterbitkan. Lagipun waktu itu saya terlalu dangkal dalam bab-bab penerbitan ini. 

Surat khabar di rumah saya pun sebulan sekali belum tentu ada. Waktu itu, duit untuk beli makanan dan keperluan dapur lebih mendesak lagi. Saya bukannya lahir-lahir di atas dulang emas. Semuanya perlukan kegigihan dan ketabahan dan survival. Sesekali, ibu rajin juga membeli majalah. Saya masih ingat, adik saya ketika itu, cukup rajin membeli majalah Media Hiburan. Nampaklah juga nama-nama Intan Zabidin, Emma Hussin, tak sangka akhirnya saya satu pejabat dengan kak Intan.

Oh, mesin taip itu. Ia terus berguna kepada saya. Sampailah saya belajar di UiTM, saya masih menggunakannya untuk membuat tugasan yang diberikan pensyarah. Cuma bila terlalu terdesak mahu menghantar tugasan, saya pinjam sahaja mesin taip elektrik teman sebilik.

Dulu saya bukannya pelajar yang pandai matematik. Tapi subjek Bahasa Melayu dan Inggeris saya bolehlah tahan. (Tak boleh angkat bakul lebih-lebih). Sampai saya terfikir, apalah nak jadi dengan masa depan saya. Asyik gagal matematik sahaja. Bagi membolehkan saya pandai Matematik, cikgu Rosmawati minta saya mengambil dan menghantar bukunya ke biliknya setiap kali kelasnya mahu bermula. Berkat membantu guru ketika itu barangkali, saya lulus juga subjek Matematik waktu SPM. Tapi cukup-cukup makan.

Saya sendiri tak menyangka akan ada di bidang penulisan ini. Cuma dulu saya suka berangan-angan pergi ke luar negara, bercinta dengan Mat Salleh. Kononlah! Syukur Alhamdulillah, Allah benarkan juga saya menjejaki beberapa tempat di luar Malaysia. Berjalan ke sana ke mari. 

Namun, saya percaya setiap kejadian itu telah Allah tetapkan aturannya. Begitu juga dengan apa yang kita impikan. Usahakanlah dengan sedaya upaya, semoga Allah mendengar rintihan hati kita ini. Seperti juga ketika ini, walau sudah bergelar wartawan, masih ada lagi impian besar yang mahu saya laksanakan. 

Saya tahu jalannya tidak mudah. Berliku-liku, kadangkala gembira lebih banyak pedihnya. Jangan sesekali mengalah. Semoga saya terus konsisten dan kuat. Oh mahu cerita panjang lagi. Tapi mata dah mengantuk dan saya sudah melalut-lalut. Esok sajalah saya sambung kisah bagaimana desakan emak membawa saya ke bidang ini.

PS: Cerita ini amat berterabur.. endingnya pun ke laut.. layan sajalah ya.. :)



Sunday, September 7, 2014

Hatiku Bersamamu Intan #hatikubersamamuintan

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsungku NX300

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,

Hari lahir Zarif yang sama tarikh dengan Acik Intan.

Tujuh tahun lalu, ketika saya berperang dengan emosi berpantang selepas melahirkan anak kedua, sahabat saya Intan Jastina sentiasa ada memberikan kata-kata semangat. Dia sentiasa ceria dan dialah juga sumber rujukan saya setiap kali saya 'frust' tak boleh terima masakan pantang yang emak sediakan.

Perkara yang paling saya tidak selesa adalah melalui tempoh berpantang yang memerlukan saya berparam, berpilis malah menelan hidangan yang sama dan 'zuhud' selama 60 hari. Waktu anak pertama, saya terima sahaja. Setiap pagi cuma minum secawan kopi dan dua ketiga keping biskut kering. Tengaharinya makan separas senduk nasi sahaja dengan lauk ikan bilis dengan sedikit kicap. 

Sesekali, mak sediakan sup sayur atau orang jawa panggil 'sayur bening'. Sekali dua saya makan ikan keli yang dipancing anak-anak kecil di kampung saya. Itu pun mak yang minta mereka cari, buat merawat luka pembedahan. Biar cepat sembuh luka dalaman. Sekali lagi... waktu itu saya terima saja.

Masuk anak kedua, saya terlebih cerewet. Entah menggedik apa, saya tak sanggup makan lauk pantang yang emak sediakan. Sebenarnya itu alasan saja, yang sebenar-benarnya saya kasihan dengan emak. Usia emak pun bukan muda, kena bangun seawal pagi mahu masakkan lauk pantang saya. Bila sudah terhidang, saya pula buat-buat merungut konon 'bosan' dengan lauk pantang itu. Selepas dua minggu saya pulang ke rumah sendiri.

Waktu itu, mana ada wifi apatah lagi facebook. Jadi majalahlah sumber rujukan saya. Itupun majalah yang saya kirim daripada en suami. Beli saja di Karangkraf lebih menjimatkan. Tapi tak semua masakan berpantang ada dalam keluaran terkini majalah. Hendak tak hendak, kenalah cari sumber asal rujukannya. Waktu itu, Intanlah penulis di majalah Pa & Ma yang mengendalikan ruangan ibu dan anak malah resipi berpantang. Dia juga cukup gigih dengan penyusuan ibu. 

Setiap kali saya dilanda masalah memikirkan resipi berpantang atau perihal Zarif yang masih merah itu, dialah yang akan saya hubungi. Saya juga tidak jemu-jemu mengganggunya dengan rungutan masakan berpantang yang tidak enak itu. Barangkali bosan atau mungkin Intan kasihan, akhirnya dia mencarikan menu-menu masakan berpantang dan membuat fotokopi untuk saya. Seronok sungguh saya ketika itu. Dari lauk-pauk yang sama, saya boleh bereksperimen dengan bermacam lauk berpantang berdasarkan resipi yang Intan berikan. 

Intan baik hati orangnya. Begitu juga arwah suaminya. Setiap kali mereka singgah beraya di kampung Lenggong pasti kesemua anak buah kami yang ramai itu akan mendapat duit raya. Malam ini ingatan untuknya terus menerjah perasaan saya. Sepanjang mengandungkan Mirza, Zarif malah Qaseh, Intan sentiasa ada di sisi kami. Ketika saya memerlukan 'breast pump' disebabkan Qaseh di tahan di wad kanak-kanak akibat demam kuning. Intan sedia meminjamkan 'breast pump' miliknya. Saya masih ingat dengan jelas arwah Ameen laju berjalan sambil menjinjit 'breast pump' yang amat saya perlukan ketika itu. Bukan sekadar memberikan pinjam begitu sahaja. Lengkap pula penerangannya. Ya, dia dan arwah Ameen sentiasa ada di hati kami.

Awal tahun lalu, Intan sertai kelas penulisan blog bersama saya. Katanya, Ameen yang minta dia menulis di blog. Cuma kesibukan kerjaya dan menguruskan anak-anak intan tidak sempat menulis di laman penyusuannya. Tidak tahu kelak, Intan akan kembali menulis atau tidak. Sesungguhnya, Allah itu sebaik-baik perancang.

Esok Intan akan melalui proses kelahiran secara pembedahan. Malam ini, hati saya terlalu sayu terkenangkan dia. Suaminya, Ameen baru tiga hari menemui Allah Yang Maha Esa. Tidak tahu bagaimana dapat saya gambarkan kekuatan diri Intan ketika ini. Sememangnya Intan kuat orangnya. Saya sendiri tidak pasti dapat menjadi sekuat dia atau sebaliknya jika diujiNya sedemikian rupa. Sesungguhnya Allah menguji orang-orang yang mampu melalui ujianNya itu. 

Intan sama tarikh lahir dengan Zarif, 10 November. Setiap kali terpandang Zarif, akan terbayang muka Intan. Zarif pun walaupun kuat menangis tapi dia juga mewarisi sifat budak yang tabah. Sejak dia tinggal dengan neneknya, dia jadi budak yang cekal hatinya. Pandai membawa diri di rumah nenek. Walaupun nakalnya jangan cerita, tapi dialah yang rajin mengemas rumah nenek. Kadangkala membasuh pinggan nenek. Semoga Zarif sekuat acik Intan. 

Doa saya sentiasa mengiringi Intan, anak-anaknya dan keluarganya. Moga perjalanan Intan dipermudahkan dan Allah menggantikan kesedihan Intan dengan 'hadiah' yang lebih baik lagi. Amin.

PS: Kalau Intan terbaca coretan ini, Intan perlu tahu yang kami sayangkan Intan. Dan mahu Intan kembali ceria. Kalau Intan perlukan apa-apa, kak Net dan Abang Yem sentiasa ada.

Tuesday, August 26, 2014

Sayonara MW, Annyeonghaseyo Seri Dewi & Keluarga

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Samsung NX300ku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Tumpang glamour  'Tok Ti' sat!

Lebih dua minggu blog penulisan ini tidak terusik. Kesibukan pertukaran majalah membuatkan mood untuk menulis sedikit terganggu. Walaupun saya berpeluang pulang awal sedikit dari kebiasaan, namun tugasan mencari 'bahan' artikel masih lagi sama.

Tugasan seorang wartawan sememangnya begitu. Walau di campak ke mana sekalipun, mereka masih dan tetap akan menulis. Jadi tiada yang sukar sebenarnya. Tetapi sedikit sebanyak pertukaran majalah memberi sedikit tekanan. Seolah-olah menjadi wartawan kadet yang masih tercari-cari konsep dan fokus majalah saya sekarang ini, iaitu Seri Dewi & Keluarga.

Seminggu saya kepeningan mengadaptasi apa yang perlu. Selepas itu, saya kembali mengikut rentak. Bulan ini bermacam kejadian berlaku, sedikit sebanyak menurunkan mood mahu menulis. Untuk entri ini saja saya terpaksa buka dan tutup semula laptop. Kenapa? Tiba-tiba saya kekeringan idea.

Menulis juga amat berkait rapat dengan emosi, kejiwaan malah 'mood' penulis. Andai kelaut emosinya, maka tak bergeraklah blognya. Begitulah sebaliknya. Ini atas dasar pengalaman. Haish! Merepek apakah aku di malam-malam hening begini?

Mujur sudah siapkan tajuk awal-awal, jadi saya tahu untuk entri ini cerita apa yang mahu dikongsi. Ini cerita pertukaran saya ke majalah bulanan. Ramai teman fb ucap tahniah, alhamdulillah, walaupun bukan kenaikan pangkat tapi ini simbol keindahan dalam diri sendiri.

Hampir 10 tahun bersama MW jatuh bangun, sedih gembira di majalah yang dihasilkan secara mingguan menjadikan saya kadangkala semput seketika. Itu belum masuk cerita 'assignment' terutama 'cover' yang dicancel last minute. Pening kepalanya boleh membawa sampai tidak tidur malam berhari-hari.

Ibarat makan tak kenyang, minum bergelen-gelen pun masih juga haus, mandi berbaldi-baldi tetap juga tak rasa basah. Begitu teruklah perumpamaannya apabila deadline semakin hampir tapi 'individu' yang mahu dimuatkan cerita dalam majalah tidak ditemui lagi. Namun, pengalaman itulah yang menjadikan saya hari ini. Alhamdulillah, dapatlah juga saya berguru dengan Kak Nuri Supian yang kaya dengan idea segar dan evergreen itu. Semoga MW terus sukses.

Indahnya Perancangan Allah

Hendak kata jauh berbeza di majalah bulanan, tak juga. Sama sahaja, cuma saya kira lebih relaks untuk mengembalikan penulisan yang lebih baik dan berkualiti. Satu lagi, ianya perkara baru dan pasti semangat untuk menulis lebih berbeza. Sememangnya dalam hidup ini memerlukan perkara-perkara baru yang perlu kita lalui. Untuk tujuan pengalaman hidup sekaligus menjadi panduan untuk kita melangkah dengan lebih baik dan yakin.

Perancangan Allah itu ternyata cukup indah. Sebenarnya bukan sekali dua saya cuba mohon bertukar majalah, dari dua tahun lepas saya cuba mencari kelainan dalam diri. Barangkali, Allah belum beri dan saya pun ketika itu sekadar mencuba tidaklah meletakkan pengharapan yang tinggi.

Tahun ini saya mencuba lagi, cuma laluannya seakan lebih mudah. Sekali lagi saya tidak meletakkan pengharapan yang tinggi. Andai ada rezeki, dapatlah saya mencuba majalah bulanan. Waktu itu, saya mohon bertukar ke majalah Rasa (masak memasak you!) Macam tak berapa nak sesuai sangatlah. Tapi semua itu bisa di atur. 

Sememangnya, Allah tidak memberi apa yang kita minta, tapi dia memberi apa yang kita perlu. Begitulah halnya dalam pertukaran majalah ini. Dia memberikan apa yang saya perlu. Ternyata apa yang ada di majalah Seri Dewi & Keluarga tidak jauh beza. Ada cerita kisah masyarakat, ruangan VIP, orang susah menjadi senang lenang (berkat usaha tak berpenghujung) dan info-info berkaitan kekeluargaan, anak-anak dan sebagainya.

Yeay! Tidak tahu bagaimana mahu saya nyatakan kesyukuran itu. Walaupun hati gembira, tetap 'struggle' untuk meneruskan perjuangan menjadi orang media di zaman IT ini. Wow! bukan mudah sebenarnya mahu meneruskan survival ini. Namun, formula yang seringkali bermain-main di fikiran sedikitpun tidak luntur dari kotak ingatan saya. Saya bersyukur kerana dikurniakan suami yang sentiasa memberi idea bernas dan 'best' tentang survival ini. 

Yang mana, saya juga begitu mengharapkan sokongan teman-teman yang saya kenali. Tegurlah saya andai saya tersasar jauh dari landasan. Andai penulisan atau perkongsian di majalah baru ini tidak mencapai standard yang anda mahukan, maklumkan pada saya. Pasti akan diperbaiki sehingga ramai yang tidak lena tidur malam selepas membaca tulisan saya itu. Chewah! Berangan tak ingat Netty Ah Hiyer ini.

Saya juga mengharapkan agar pembaca blog saya ini sudi berkongsi cerita, bahan berita atau apa saja maklumat dengan saya. Emelkan ke nettyahhiyer@gmail.com.

Mana tahu, cerita yang anda rasakan biasa-biasa itu sebenarnya cukup luar biasa di mata orang lain. Tapi janganlah sudah emelkan kepada saya, lalu dikongsi pula di facebook sendiri. Mahu kongsi gambar berselfie dengan saya tak mengapa. Bukan apa, nanti hilanglah sifat eksklusif berita itu. Hmmmm, boleh 'follow'? 

Oh! Entri saya pagi-pagi sepie ni entah apa-apa mengarutnya. Lebih dua minggu tidak menulis di blog, idea penulisan saya jadi tidak tentu arah. Di pertengahan sampailah ke akhiran saya sudah langgar semua garis panduan. Ok, jangan tiru gaya saya kali ini. 

Entri ini adalah pemanasan kembali selepas sekian lama menyepi.


Belajar Asas Bina Blog dan Penulisan di:

http://netty-ahhiyer.blogspot.com/p/kelas-belajar-asas-blog-sertai-kami-di.html

Beli produk kecantikan NourAin Skincare dengan saya: 

https://www.facebook.com/kedaikaknetty

Jadi Rakan Niaga Akademi Bekerja Dari Rumah:

http://netty-ahhiyer.blogspot.com/p/blog-page_10.html


Monday, July 21, 2014

Ramadan & Gaza - Penghuni Syurga, Damailah Engkau Di Sana.

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Koleksi Dari FB 
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Dalam banyak-banyak gambar kekejaman Israel Zionis, gambar yang satu ini cukup meruntun hati saya. Bermalam-malam kesayuan hati terus menjelma. 'Pergilah kamu wahai penghuni syurga.' Barangkali inilah ucapan Dr Mads Gilbert, doktor sukarelawan yang berminggu-minggu menabur bakti di bumi Gaza. Tidakkah Zionis ini melihat sebegitu ramai kanak-kanak dibunuh dengan kejam. Anak-anak ini tidak bersalah! Wanita malah ibu-ibu tidak berdosa! Mereka tidak bersenjata. Kegilaan apakah yang merasuk mereka sehingga membunuh anak kecil dan wanita yang tidak bersenjata!

Minggu ini saya kehilangan idea. Tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara ini. Sejak dua minggu lalu, saya sibuk sekali melayan facebook. Air mata tidak jua mahu berhenti setiap kali menatap wajah anak-anak Syurga di Gaza yang telah kembali menemui Yang Maha Agung dalam keadaan menyayat hati.

Para syuhada terdiri dari anak-anak kecil dan ibu-ibu tabah di bumi Gaza, Palestin cukup meruntun hati saya. Memasuki hari ke-14 peperangan semakin menyeksa batin dan setiap detik urat nadi saya. Andai saya punya kuasa, sudah saya humban ke lubang lumpur dua manusia iblis, Benjamin Setanhantu dan Barrack Obama. Sememangnya saya cukup emosi apabila membicarakan soal kekejaman tentera Israel Zionis laknatullah di bumi Gaza.

Bermacam website saya like demi mendapatkan cerita terkini tentangnya. Sungguh, peristiwa ini satu persatu rupanya telah memakan deria rasa saya sepanjang bulan Ramadan ini. Paling membuatkan saya pelik dengan diri sendiri. Saya tidak teruja langsung mahu membeli kuih raya di pejabat. Dan ini bukan tradisi saya. 

Setiap tahun saya cukup teruja untuk membeli kuih raya, mencari baju raya anak. Tapi tahun ini entahlah semuanya serba sederhana. Barangkali terkesan dengan segala macam perkara yang berlaku di sekeliling saya. Dan tragedi MH17 sekali lagi mengundang hiba di hati. Semoga ahli keluarga krew, anak kapal dan penumpang MH17 diberi ketabahan mengharungi ujian yang amat hebat ini.

Tadi saya terdengar dalam berita, mangsa nahas yang beragama Islam dikatakan tergolong dalam kalangan orang-orang yang syahid. Amin. Cukup bahagia dan bertuah mereka sebenarnya. Saya di sini entah apalah nasib penghujung hidup saya nanti. 

Ramadan ini sememangnya penuh dengan keberkatan. Bulan yang cukup istimewa di hati saya untuk tahun ini. Tahun ini, hari lahir saya jatuh pada bulan Ramadan. Dan pada hari itu, kira-kira jam 5 lebih pada sebelah petang, matahari berada tepat di atas Kaabah. Sekaligus menjadi penanda aras kepada umat Islam untuk menentukan arah kiblat yang tepat. 

Alhamdulillah, nikmat mana lagi yang mahu saya dustakan. 

Ramadan kali ini juga begitu istimewa sekali. Sepanjang Syaaban lalu, saya cuba fokus untuk belajar menjadi lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Lalu, apabila Ramadan bermula saya mahu terus fokus. Berusaha segigih mungkin untuk tidak meninggalkan solat walau satu waktu. 

Sungguh bukan mudah mahu dikongsi rasa hati ini. Namun, demi kebaikan saya sedia menerima apa juga yang bakal mendatang. Maklumlah sekarang ini zaman orang troll mentroll orang. Zaman 'aku saja yang perfect'. Oh!...

Syukur alhamdulillah, barangkali berkat doa yang saya temui di facebook membuatkan apa yang saya rencanakan telah Allah makbulkan. Setiap inci langkah dan tindakan tidak pernah sekalipun saya terlepas dari mengingatiNya. Saya bermula dengan doa ini.

"Ya Allah, jadikan aku dan keturunanku orang-orang yang mendirikan solat."

Doa ini tidak pernah sekalipun lekang dari bibir. Sungguh bukan mudah sebenarnya mahu melaksanakan semua ini andai bukan dengan keizinanNya. Ya Allah, selama 37 tahun, inilah nikmat Ramadan terindah yang pernah dikecapi. Dan doa ini juga tidak pernah lekang dari bibir.

"Ya Allah sesungguhnya engkau Maha Pemaaf dan Maha Mulia. Engkau sukakan kemaafan maka maafkanlah aku."

Dan kata-kata semudah ini cukup menggetarkan hati. Adakah kemaafan ini akan Allah terima? Tapi sebelum itu, saya mahu memohon beribu kemaafan kepada sesiapa juga insan yang mengenali diri saya yang kerdil ini.

Saya sambung kembali tentang teori mengapa Ramadan ini cukup istimewa buat saya. Selalunya, Ramadan adalah waktu paling sibuk buat wartawan di meja Mingguan Wanita. Bulan puasa kami biasanya cukup hectic dengan bermacam tugasan yang menanti.

Tahun ini, Allah beri keringanan kepada saya. Tidak tahu dari mana dan bagaimana, artikel-artikel saya ada yang sudah saya lakukan sebelum ini dan menjadi bahan stok yang dapat saya gunakan sepanjang Ramadan. Ada juga teman-teman yang menggantikan artikel kerana sebelum ini saya sudah menyudahkan untuk mereka. Lalu, sepanjang Ramadan ini saya diberi keringanan untuk lebih fokus dengan matlamat yang saya doakan sebelum ini. Ternyata Allah menjadikan segalanya serba mudah untuk saya. Ramadan ini sememangnya bulan keajaiban untuk emosi saya sendiri. 

Semoga malam ini, ada berita yang baik untuk saudara-saudaraku di Gaza. Ada juga berita kemudahan untuk rakyat Malaysia berhadapan tragedi MH17. Segalanya saling berkaitan dan begitu menyesakkan.

Ya Allah bantu kami merungkaikan kekusutan ini. Bantu tentera mujahidin mencapai kemenangan. Kalahkan tentera zionis Ya Allah Ya Rabb.

Thursday, July 10, 2014

Antara Nana & Farah, Keduanya Miliki Misi Yang Sama.

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Webpage Mingguan Wanita dan kamera iphoneku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,




Beberapa hari menjelang Ramadan, saya berkesempatan mengadakan satu sesi fotografi dengan penyanyi Yang Paling Comel, siapa lagi kalau bukan Siti Nordiana dan pengacara yang lantang kala membicarakan soal penindasan rakyat Palestin, Farah Deeba.

Memandangkan kesuntukan waktu deadline dan juga jadual artis yang padat, fotografi terpaksa dilakukan berasingan. Saya bertemu Nana (Siti Nordiana) dahulu. Beberapa tahun lalu, saya pernah menggandingkannya dengan isteri arwah Achik Spin, Tasha. Waktu itu Nana nampak sedikit berisi.

Kali ini Nana datang dengan wajah yang lebih berseri dan langsing. Segera saya tanyakan Nana rahsia langsingnya. Katanya dia mengamalkan satu produk dan alhamdulillah menjadi untuknya. Nana sempat kongsi rahsia langsing dengan cepat.

Rupanya tak perlu makan dan seksa diri bagai. Cuma amalkan pengambilan air yang mencukupi. Kata Nan untuk berat badan macam saya, disamping makan makanan tambahan untuk langsing perlu juga minum air sebanyak 3 liter. 

Selepas separuh hari bersama Nana, saya meneruskan misi pengambaran dengan Farrah Deeba pada keesokan harinya. Dia datang sendirian. Mudah sebenarnya bekerja dengan dua selebriti ini. Menepati masa dan tidak banyak kerenah.

Dalam sesi temubual bersama Farrah saya cukup terkesan saat dia berkongsi cerita tentang anak kecilnya, Muhammad. Sungguh bijak dan pemikir orangnya. Dalam usia yang masih kecil itu, dia sudah pandai bertanyakan soalan yang boleh membuatkan orang dewasa garu kepala mahu menjawabnya.

Syukurlah Muhammad beribukan Farrah yang bijak memberi penjelasan untuk anak kecilnya itu. Cerita Farrah sambil dia menyuapkan anak kecilnya dia akan bercerita tentang kisah Rasulullah SAW, atau tentang pejuang Islam. 

Pernah satu ketika Muhammad bertanya kepadanya tentang 'Di mana Allah? Kenapa dia tidak dapat melihat Allah?" 

Lalu Farrah menghembus di telinga Muhammad. Katanya, kamu dapat rasa bukan? Muhammad mengangguk. Itulah Allah, kita tidak dapat melihat tapi kita dapat merasai kehadiranNya. Subhanallah, cerita ini membuatkan saya yang sudah dewasa tersedar dari lena yang panjang. 

Jika mahu tahu lanjut kisah Nana dan Farrah boleh dapatkan Mingguan Wanita yang sekarang ada di pasaran. Rupa-rupanya mempunyai persamaan dalam perjuangan yang mereka pertahankan itu. Apakah ia, carilah jawapannya dalam majalah yang ada wajah mereka ini.

Malam ini ceritanya pendek saja. Dengan kisah-kisah rakyat Palestin yang teruk dibedil, benar-benar mengganggu mood dan emosi saya mahu menulis.

Jadi malam ini sekadar perkongsian 'geli-geli'. Harap tiada yang geli geleman membaca entri kali ini. Ampun maaf daripada tuan kedaun ya.

Friday, July 4, 2014

Panduan Malam Pertama Suami Isteri

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Koleksi peribadi sendiri

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Terpaksalah guna gambar diri sendiri. Kalau ambil orang punya nanti masalah copyright pulakan? Terima sajalah gambar pengantin lama ini. Hehe..

Bulan lalu saya ada menghubungi ustaz Mohd Fikri Che Hussein. Boleh layari blog ustaz yang banyak infonya, http://alamghiri.blogspot.com/. Minta beliau menjawab beberapa persoalan tentang 'Panduan Malam Pertama Pengantin Baru'. Agak panas topik yang mahu saya kupas dalam ruangan Psikologi Perkahwinan untuk bulan Julai lalu.

Tetapi ada beberapa perkara yang kurang sesuai untuk saya siarkan dalam majalah. Penerbitan majalah ini sebenarnya ada garis panduan yang perlu penulis patuhi. Cuma di alam maya ini, ianya lebih mudah dan meluas. Sebab itulah, majalah sifatnya lebih ampuh dan mempunyai kredibiliti. Jika bukan penulis menjadi 'gatekeeper' siapa lagi yang akan melakukannya. Tak faham? Tak mengapa, masih belum terlambat untuk belajar.

Ada juga info-info menarik yang tak dapat saya siarkan sepenuhnya kerana perlu ditapis bagi memuatkan ruangan satu muka surat setengah yang diberikan oleh editor. Memandangkan infonya amat menarik, saya kongsikan teks lengkapnya di blog saya ini.

Soal jawab bersama Ustaz Fikri.

Apakah panduan yang perlu diamalka oleh suami isteri untuk menghadapi malam pertama. Mohon ustaz terangkan dengan terperinci.

Islam mempunyai adab yang terkandung di dalamnya nilai-nilai akhlak dan moral yang begitu luhur, selain itu ia juga mengandungi kebaikan dari segi mental dan kesihatan fizikal. Terdapat begitu banyak petunjuk di dalam al-Quran dan hadis yang membicarakan adab ‘malam pertama’ di antara hubungan suami isteri. Antara garis panduan yang perlu diamalkan oleh suami isteri mengikut sunnah adalah seperti berikut:

Pertama

Pengantin lelaki mendoakan kebaikan kepada isterinya sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila salah seorang dari kamu mengahwini wanita atau membeli seorang budak maka peganglah ubun-ubunnya lalu bacalah ‘basmalah’ serta doakanlah dengan doa keberkatan dengan mengucapkan: “Ya Allah, aku memohon kebaikannya dan kebaikan tabiat yang dibawanya. Dan aku berlindung dari keburukannya dan keburukan tabiat yang dibawanya.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh Abu Dawud (no. 2160), Ibnu Majah (no. 1918) dan al-Hakim (II/185)] 

Kedua

Hendaklah pengantin lelaki mengerjakan solat sunat dua rakaat bersama isterinya Sekalipun ia tiada sandaran dari sunnah, tetapi ia adalah amalan para sahabat dan salaf sebagaimana sebuah hadis dari Abu Sa’id maula Abu Usaid bahawa dia berkata: “Aku berkahwin ketika aku masih seorang remaja. Ketika itu aku mengundang beberapa orang Sahabat Nabi, di antaranya ‘Abdullah bin Mas’ud, Abu Dzar dan Hudzaifah radhiyallaahu ‘anhum. Lalu tibalah waktu solat, Abu Dzar bergegas untuk mengimami solat. 

Tetapi mereka berkata: ‘Kamulah (Abu Sa’id) yang berhak!’

Ia (Abu Dzar) berkata: ‘Apakah benar demikian?’ ‘Benar!’ jawab mereka. Aku pun maju mengimami mereka solat. Ketika itu aku masih seorang remaja. Selanjutnya mereka mengajariku, ‘Jika isterimu nanti datang menemuimu, hendaklah kalian berdua solat dua rakaat. Lalu mintalah kepada Allah kebaikan isterimu itu dan mintalah perlindungan kepadaNya dari keburukannya. Selanjutnya terserah kamu berdua...!” [Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf dan ‘Abdurrazzaq dalam al-Musannaf] 

Ketiga

Melayani penuh kelembutan dan kemesraan walaupun dengan hanya memberikan segelas air minuman. Layanan sebegini berdasarkan hadis Asma’ binti Yazid binti al-Sakan radhiyallaahu ‘anha, dia berkata: 

“Saya menghias ‘Aisyah untuk Rasulullah SAW. Setelah itu saya menemuinya dan saya panggil Baginda supaya menghadiahkan sesuatu kepada ‘Aisyah. Baginda pun datang lalu duduk di sebelah ‘Aisyah. Ketika itu Rasulullah SAW diberi segelas susu. Setelah Baginda minum, gelas itu Baginda berikan pula kepada ‘Aisyah. Tetapi ‘Aisyah menundukkan kepalanya dan malu-malu.” ‘Asma binti Yazid berkata: “Aku menegur ‘Aisyah dan berkata kepadanya, “Ambillah gelas itu dari tangan Rasulullah SAW!” Akhirnya ‘Aisyah pun mengambil gelas itu dan meminum sedikit.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh Ahmad]

Keempat

Berdoa sebelum suami menggauli isterinya. Sebelum menggauli isterinya itu, hendaklah suami membacakan doa ini, بِسْمِ اللهِ، اَللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا.

“Dengan nama Allah, Ya Allah jauhkanlah aku dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari anak yang akan Engkau kurniakan kepada kami.” Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah menetapkan lahirnya seorang anak dari hubungan antara keduanya, nescaya syaitan tidak akan membahayakannya selama-lamanya.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi, al-Darimi, Ibn Majah, al-Nasaii dan Musnad Ahmad]

Kelima

Suami boleh menggauli isterinya dengan pelbagai cara dan posisi asalkan pada kemaluannya. Allah Taala berfirman: 

“Isteri-Isterimu adalah ladang bagimu, maka datangilah ladangmu itu dari mana sahaja dengan cara yang kamu sukai. Dan utamakanlah (yang baik) untuk dirimu. Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa kamu (kelak) akan menemui-Nya. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang beriman.” [Surah al-Baqarah : 223] 

Dan berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Boleh sahaja menggaulinya dari arah hadapan atau dari belakang asalkan pada kemaluannya.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh al-Thahawi dalam Syarah Ma’anil Atsar dan al-Baihaqi]

Keenam

Tidak tergesa-gesa. Apabila suami telah melepaskan hajatnya, janganlah dia tergesa-gesa bangkit dan sewajarnya dia pastikan sehingga isterinya melepaskan hajatnya juga. Sebab dengan cara seperti itu terbukti dapat meneruskan lagi keharmonian dan kasih sayang antara keduanya.

Ketujuh

Perlu berwuduk semula jika ingin menggauli isteri buat kali kedua. Apabila suami mampu dan ingin mengulangi semula untuk menggauli isterinya, maka hendaklah dia berwuduk terlebih dahulu. 

Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang di antara kamu telah menggauli isterinya kemudian dia ingin mengulanginya lagi, maka hendaklah dia berwuduk terlebih dahulu.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh Muslim dan Imam Ahmad] 

Adapun yang lebih utama adalah dengan mandi terlebih dahulu. Hal ini berdasarkan hadis dari Abu Rafi' r.a. bahawasanya Nabi SAW pernah menggiliri isteri-isterinya dalam satu malam. Baginda mandi di rumah fulanah dan rumah fulanah. Abu Rafi' berkata, “Wahai Rasulullah, mengapa tidak dengan sekali mandi sahaja?” Baginda menjawab, “Ini lebih bersih, lebih baik dan lebih suci.” [Hadis hasan: Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan al-Nasaii]

Kelapan

Pada bila-bila masa sahaja suami boleh menggauli isterinya. Seorang suami dibolehkan mencampuri isterinya pada bila-bila masa sahaja yang dia ingini, sama ada pada waktu pagi, siang atau malam. Bahkan, apabila seorang suami melihat wanita lain yang menarik perhatiannya, hendaklah dia mendatangi isterinya. 

Hal ini berdasarkan riwayat bahawasanya Rasulullah SAW melihat wanita yang menarik perhatian Baginda, lantas Baginda mendatangi isterinya iaitu Zainab r.a. yang sedang menguli roti. Lalu Baginda melepaskan hajatnya dengan isterinya. 

Kemudian Baginda bersabda,”Sesungguhnya wanita itu menghadap dalam rupa syaitan dan membelakangi dalam rupa syaitan (tarikan hawa nafsu). Maka, apabila seseorang dari kalian melihat seorang wanita (yang mempesonakannya), hendaklah dia mendatangi isterinya. Kerana yang demikian itu dapat menolak (kejahatan) yang ada di dalam hatinya.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh Muslim, al-Tirmizi, Abu Dawud, al-Baihaqi dan Imam Ahmad]

Kesembilan

Haram menyetubuhi isteri pada duburnya dan haram menyetubuhi isteri ketika ia sedang haid atau nifas. 

Larangan perbuatan ini berdasarkan firman Allah Taala, “Dan mereka bertanyakan kepadamu (Muhammad) tentang haid. Katakanlah, ‘Itu adalah sesuatu yang kotor.’ Kerana itu jauhilah isteri pada waktu haid dan janganlah kamu dekati sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, campurilah mereka sesuai dengan (ketentuan) yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang bertaubat dan mensucikan diri.” [Surah al-Baqarah : 222] 

Dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang menggauli isterinya yang sedang haid atau menggauli pada duburnya atau mendatangi pawang, maka dia telah kafir terhadap ajaran yang telah diturunkan kepada Muhammad SAW.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi, Ahmad, al-Baihaqi dan al-Nasaii] Malah dalam sebuah hadis lain Nabi SAW bersabda, “Dilaknat orang yang menyetubuhi isterinya pada duburnya.” [Hadis hasan: Diriwayatkan oleh Ibnu Adi dan dikuatkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ahmad]

Kesepuluh

Suami yang menggauli isterinya yang haid dikenakan kifarat. Hal ini berdasarkan hadis Ibnu ‘Abbas r.a. dari Nabi SAW tentang orang yang menggauli isterinya yang sedang haid. 

Lalu Nabi SAW bersabda, “Hendaklah dia bersedekah dengan satu dinar atau setengah dinar.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Nasaii, al-Tirmizi, Ibn Majah, Imam Ahmad dan al-Hakim] 

Masalah yang kerap terjadi kini semakin membingungkan, maka sebaiknya pihak suami boleh bersedekah dengan kadar tersebut iaitu 1 dinar = 4.25gram emas yang nilaiannya adalah RM137.27/gram bagi bulan Mei 2014 iaitu bersamaan RM583.40 bagi harga sedinar atau RM291.70 bagi nilaian setengah dinar emas.

Kesebelas

Boleh sahaja suami bercumbu dengan isterinya ketika haid. Apabila seseorang suami ingin bercumbu dengan isterinya yang sedang haid, dia boleh bercumbu dengannya di mana sahaja tubuh isterinya kecuali pada bahagian kemaluannya. 

Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW, "Lakukanlah di mana saja kecuali nikah (bersetubuh).” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Dawud]

Kedua belas

Hendaklah membersihkan kemaluan dan berwuduk terlebih dahulu untuk makan atau tidur Apabila suami atau isteri ingin makan atau tidur setelah bersetubuh, hendaklah mereka mencuci kemaluannya dan berwuduk terlebih dahulu serta mencuci kedua tangannya. 

Hal ini berdasarkan hadis dari ‘Aisyah r.anha bahawa Rasulullah bersabda, “Apabila Baginda hendak tidur dalam keadaan berjunub, maka Baginda berwuduk seperti wuduk untuk solat terlebih dahulu. Begitu juga apabila Baginda hendak makan atau minum dalam keadaan berjunub, maka Baginda terlebih dahulu mencuci kedua tangannya kemudian barulah makan dan minum.” [Diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Nasaii, Ibn Majah dan Imam Ahmad]

Ketiga belas

Jadikan malam pertama yang terbaik dan penuh keselesaan. Sebaiknya elakkan diri kedua pasangan dalam keadaan terlalu lapar atau dalam keadaan sangat kenyang kerana dapat membahayakan kesihatan. Suhu cuaca juga sebaiknya dalam keadaan yang selesa tidak terlalu panas atau terlalu sejuk, manakala udara pula perlu segar membangkitkan suasana yang romantik dengan penuh aroma keharuman dan membangkitkan rasa kasih sayang.

Keempat belas

Pasangan suami isteri dibolehkan mandi bersama dalam satu tempat dan suami isteri juga dibolehkan saling melihat aurat masing-masing. Ini berpandukan kepada riwayat dari ‘Aisyah yang mengatakan bahawa ‘Aisyah tidak pernah melihat aurat Rasulullah SAW adalah riwayat yang batil, kerana di dalam sanadnya ada seorang pendusta. Malah Nabi SAW sering mandi bersama para isteri Baginda seperti ‘Aisyah dan juga Maimunah r.anhuma.

Kelima belas

Menjaga rahsia pasangan. Perlu diketahui bahawa adalah haram hukumnya menyebarkan rahsia rumah tangga dan hubungan suami isteri kepada orang lain. Kadangkala ‘kejahilan’ sesetengah pihak dalam hal ini membuatkan kisah rahsia rumah tangga diceritakan kepada orang lain dengan perasaan bangga. Perbuatan sebegini perlu dihindari kerana ia adalah satu hal yang dilarang. 

Malah Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya manusia yang paling hina kedudukannya pada hari Kiamat adalah laki-laki yang bersetubuh dengan isterinya dan wanita yang bersetubuh dengan suaminya kemudian ia menyebarkan rahsia pasangannya.” [Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad]

Apakah batas perhiasan yang tidak dibolehkan oleh seorang isteri untuk suami di malam pengantin?

Dalam bab berhias diri si isteri kepada suaminya pada malam pengantin, maka ia sebenarnya tidak terbatas. Ini kerana kedua mereka tidak ada lagi batasan aurat dan mereka adalah halal sepenuhnya. Suami isteri yang bergaul pada malam tersebut dikira mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah Taala dan tidak juga terhad hanya pada malam Jumaat sebagaimana tanggapan sesetengah masyarakat kita. Setiap perkara yang halal itu akan diberi pahala yang besar sebagaimana perbuatan zina yang haram tanpa perkahwinan yang sah itu dikenakan dosa besar. Ini disebabkan persoalan perkahwinan ini adalah satu anjuran yang amat digalakkan kepada kaum muslimin bagi meramaikan umat Nabi Muhammad SAW.

Mengapa suami digalakkan berlemah lembut pada isteri ketika menggaulinya?

Suami sememangnya perlu bersikap lemah lembut kepada si isteri sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam satu sabdanya, “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.” [Diriwayatkan oleh Abu Dawud]  

Tentunya akhlak yang terbaik adalah kepada orang yang sering didampinginya iaitu isterinya, bukan hanya kepada rakan sahaja atau kenalan yang rapat sahaja dia berakhlak tetapi dengan isteri bersikap sebaliknya. Hanya sewaktu ingin menggauli isterinya sahaja bersikap baik dan menunjukkan tingkah laku lemah lembut dan sebagainya. Sepatutnya, jadilah seperti Rasulullah SAW yang bersabda dalam sebuah hadis, “Sebaik-baik orang di antara kamu adalah yang paling baik kepada isterinya dan aku adalah orang yang berbuat baik kepada isteriku.” [Diriwayatkan oleh Ibn Majah]

Apakah kebaikan di sebalik garis panduan ini?

Kebaikan yang didapati dari garis panduan di atas adalah merupakan saranan yang dianjurkan oleh Islam kepada penganutnya. Ini kerana setiap panduan ini dibahaskan di dalam kitab Fiqh sejak zaman permulaan Islam bagi memudahkan urusan kekeluargaan, kemasyarakatan dan seterusnya sebagai satu peraturan kenegaraan yang harmoni dan stabil. 

Jadi tindakan yang diambil dari malam pertama hingga ke hari kematian suami atau isteri tersebut adalah satu peraturan yang disusun secara sistematik berpandukan wahyu, ia bukan sekadar pandangan logik atau satu ramalan sahaja sebagaimana golongan yang lain.

Perkara yang perlu dilakukan oleh suami isteri selepas malam pertama

Selepas selesainya malam pertama, antara anjuran sunnah yang telah disebutkan di atas dan wajar diulang kembali sebagai peringatan ialah mengambil wuduk atau mandi junub sebelum tidur. Namun, waktu mandi boleh dilakukan ketika sebelum tidur atau setelah tidur. Namun apabila dalam mengakhirkan mandi maka disunatkan terlebih dahulu agar berwuduk sebelum tidur. 

Hal ini berdasarkan hadis Abdullah bin Qais r.a, dia berkata, “Aku pernah bertanya kepada ‘Aisyah r.anha, “Apakah yang dilakukan oleh Nabi SAW ketika berjunub? Apakah Baginda mandi sebelum tidur atau mandi selepas tidur?” ‘Aisyah menjawab, “Semua itu pernah dilakukan oleh Rasulullah. Kadang kala Baginda mandi lebih dahulu kemudian tidur dan kadang-kadang Baginda hanya berwuduk kemudian tidur.” [Diriwayatkan oleh Imam Ahmad]

Pentingnya bergurau senda suami isteri

Semua orang mengetahui bahawa hidup ini tidak pernah sunyi dari masalah. Cubaan dan cabaran yang dilalui manusia dalam hidup sering membuatnya berasa terpinggir sehingga sukar untuk mengatasinya. Oleh itu manusia sangat memerlukan sesuatu yang dapat memberi kehidupan dan semangat untuk bekerja agar hilang segala rasa bosan dan jemu dalam menghadapi kehidupan seharian. 

Bagi tujuan itu, Islam membenarkan adanya gurau senda dalam rangka untuk melahirkan suasana yang penuh kegembiraan dan kasih mesra antara suami isteri. Gurau senda ini penting bagi melahirkan rasa yang harmoni dan menambahkan kasih sayang antara kedua pasangan tersebut. 

Bahkan Rasulullah SAW sendiri dalam kehidupan Baginda sering sahaja bergurau senda dengan isterinya terutama ‘Aisyah yang dirakamkan menerusi hadis-hadis Baginda SAW seperti kisah berlumba lari, kisah mengangkat ‘Aisyah untuk menonton persembahan tarian tombak Habsyah dan sebagainya. Maka semua gurau senda yang dilakukan oleh pasangan suami isteri itu boleh meneguhkan rumahtangga yang sentiasa bahagia. Segala kelangsungan hubungan rumahtangga dengan gurau senda dan mencipta iklim yang menyenangkan penuh dengan senyum dan hilai tawa itu akan lebih menceriakan kehidupan sebenarnya.

Mengapa pentingnya mengamalkan panduan malam pertama mengikut cara Islam ini?

Kepentingan yang boleh diambil dari panduan malam pertama mengikut cara Islam ini sedikit sebanyak memperlihatkan betapa agungnya kesempurnaan syariat Islam dalam mengatur semua sisi kehidupan ini. Sehingga pada setiap gerak hamba ada nilai ibadah yang boleh diperoleh pahalanya. 

Oleh sebab itu tidak ada yang sia-sia dalam mengikuti aturan Ilahi dan meneladani sunnah Nabi.
Semuanya memiliki makna serta mengandungi kemaslahatan dan kebaikan kerana ia datang dari Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Tinggi IlmuNya. Maka dari itu syariat yang Allah turunkan selaras dengan fitrah hamba-Nya sebagai manusia, sebagaimana disyariatkan dalam perkahwinan.

Kesempurnaan syariat Islam ini jelas menunjukkan betapa besarnya perhatian Allah terhadap para hambaNya melebihi perhatian hamba terhadap dirinya sendiri. Oleh itu, setiap hamba perlu berada di atas jalan fitrah tersebut berpaksikan agama Allah agar diri mereka senantiasa di atas jalan yang lurus. Firman Allah, “(Tetaplah di atas fitrah) yang Allah telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.” [Surah al-Rum: 30].

wallahu a’lam.

Semoga bermanfaat
 
Belajar Asas Bina Blog dan Penulisan di:
http://netty-ahhiyer.blogspot.com/p/kelas-belajar-asas-blog-sertai-kami-di.html
Beli produk kecantikan NourAin Skincare dengan saya: 
https://www.facebook.com/kedaikaknetty
Jadi Rakan Niaga Akademi Bekerja Dari Rumah:
http://netty-ahhiyer.blogspot.com/p/blog-page_10.html
 


Related Posts with Thumbnails