Follow Saya Di Google Plus

Monday, January 20, 2014

Santai @ Universal Studio Singapore (USS) bersama Alfio Raldo

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Koleksi Fon Saya @ fb Nik Ramzi Nik Hassan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


 Barisan wartawan media cetak dan elektronik yang menyertai trip santai Alfio Raldo ke USS.


Barangkali cerita saya ini sudah basi untuk dikongsi. Selalunya, kalau sebut blogger, beritanya mestilah sensasi, terkini dan serba pantas. Tapi cerita saya selalu sahaja agak ketinggalan zaman. Sudah berkurun berlaku baru saya terhegeh-hegeh mahu kongsikan dalam blog ini.

Memandangkan ini blog peribadi saya, tak kisahlah orang nak cop cerita basi atau ketinggalan zaman.  Yang penting saya seronok berkongsi cerita dengan cara saya. Pastinya, setiap perkongsian ada cerita yang saya kira istimewa dan tersendiri. Mungkin juga bermanfaat untuk orang lain. Siapa tahukan?

Awal bulan Disember lalu, Leny dari Alfio Raldo menjemput saya menyertai trip percutian santai-santai ke USS bersama Alfio Raldo. Siapa yang tidak mahukan? Hilang akal andai saya menolak peluang keemasan ini. Kali ini bilangan wartawan yang turut serta lebih ramai berbanding trip ke Vietnam dahulu.

Cerita tentang trip ke USS ini turut saya muatkan dalam MW bilangan 1577, keluaran Februari ini. Insyaallah lagi dua minggu, adalah tu di pasaran. Tak lama pun kami ke sana. Dua hari 1 malam saja, tapi jadualnya sudah padat dengan pelbagai acara.

Sebaik menjejak tanah seberang, tidak sah jika tiada segmen 'mari berbelanja sampai lebam'. Ini trademark 'Leny' yang cukup memahami 'kami-kami' ini. Memandangkan matawang di sana lebih dua kali ganda duit Malaysia, tidaklah saya berbelanja sakan. Cuci-cuci mata sahaja. Tapi saya tak nafikan, waktu 'sale' menjelang hari Krismas itu barangan berjenama lebih murah sedikit harganya berbanding di negara kita. 

Tapi perlu bijak berbelanja. Mujurlah saya berjalan dengan wartawan majalah Nona, Ayien yang memang pandai bab-bab membeli belah barang 'branded' ini. Di tambah pula dengan kak Maizan dari majalah Keluarga yang juga sekepala dengan Ayien. Tak adalah saya macam rusa masuk kampung. 

Walhal saya ini, jenis asal sedap mataku memandang. Berjenama atau tidak, bukan soal utama. Sekurang-kurangnya dapatlah berjalan-jalan keliling Orchard Road Shopping Mall yang bukan sahaja di atas tanah, dalam tanah pun boleh tersergam indah kedai-kedainya. 

Sememangnya saya kagum dengan sesiapa sahaja baik pelancong Malaysia atau orang luar Singapura yang tiba-tiba boleh saja jadi baik bila masuk ke negara itu. Kalau memandu di Malaysia bagaikan 'lipas kudung' masuk sahaja sempadan Singapura pemanduan terus bertukar sopan dan santun.

Putung rokok pun elok sahaja dibuang di tempat yang sepatutnya. Bayangkanlah, kawasan pelacuran 'halal' di sana pun bersih dari sampah sarap. Tertanya-tanyakan? Macam mana saya boleh tahu... Syhhh... ini rahsia! Kalau tak, tak wartawanlah namanya!

Sesekali seram juga masuk ke Singapura ini. Bukan seram dengan jenayah atau apa, bimbang disaman pihak berkuasa. Sememangnya itu antara kebimbangan orang ramai yang ada di sana. Dendanya bukan sahaja mahal, tapi pelaksanaannya membuatkan ramai orang tidak sanggup mahu melalui seksaan disaman. 

Kenderaan pun bukannya boleh masuk sesuka hati. Hanya kenderaan jenis tertentu dan ada had tahun di atas jalan raya sahaja lulus melalui jalanrayanya. Kenderaan lebih dari 5 tahun, jangan berangan-anganlah mahu merayap-rayap di Kota Singa ini. Lori-lori yang masuk ke situ pun hanya yang tertentu sahaja. Ia menjalankan dua fungsi sekaligus. Siang mengangkut barang, selepas itu fungsinya bertukar mengangkut orang pula.

Sebelum menyaksikan Wonderful Show

Posing tak hengat depan Marina Bay Sand

Nampak sama macam gambar atas, tapi lain ya!

Sampai lentok-lentok yang dekat belakang tu.

Berbaris Cik Jah! Jangan tak berbaris.

Gambar yang cantik-cantik belaka ni, hasil tangkapan, abang Nik Ramzi Nik Hassan. Superbkan!

Petang itu sempat kami ke Marina Bay Sands (mahu menyaksikan Wonderful Show katanya). Di sana ada pertunjukan pancuran air dan pancaran laser yang cukup mengagumkan. Walaupun cuma 15 minit, tapi berbaloi untuk lepak-lepak di atas dataran kayu pusat membeli belah bertaraf antarabangsa yang menghadap lautan. Ada juga suara-suara teman di sebelah yang samar-samar menyebut, "Eh! Macam dekat New Yorklah." Feeling-feeling luar negara sangat!

Waktu menyaksikan 'Wonderful Show' ini jangan lupa, ambil tempat duduk depan-depan ya. Supaya terasa sampai ke muka percikan airnya dan bila tayangan pelari membawa obor, terasa bahang kehangatan obor itu. 

Akhirnya sampai juga kami ke USS pada hari kedua. Kiranya, seharian jugalah di sana. Memang tak cukup waktu hendak bermain semua permainan dicampur dengan bilangan pelancong yang agak ramai. Saya, kak Maizan, Leny dan dua orang lagi wakil dari Alfio Raldo hanya sempat bermain beberapa permainan yang 'selamat'. Konsep roller coaster saya tolak ke tepi. Cuma sekali sahaja tertipu dengan makhluk hijau di Far Away. 

Masing-masing membayangkan ia adalah persembahan magik. Sebaik sahaja sampai sahaja di barisan hadapan, barulah kami sedar itu adalah roller coaster. Apalagi menjeri-jerit sakanlah mak-mak orang ini. Taubat! Selepas itu langsung kami memilih saja permainan yang berkonsepkan simulator atau menyaksikan persembahan yang mampu merehatkan seketika minda yang 'stress'.

Memang tak rugi ke sana, walaupun tiketnya lebih kurang RM170 sekali masuk, ianya berbaloi. Tak rugi sebab permainannya bertaraf Hollywood. Netty! Memangpun bertaraf Hollywood, dah sah-sah sebahagian besar tenaga kerjanya pun diimport dari sana. Heh!

Okay, saya cadangkan beberapa permainan untuk orang-orang dewasa yang mahu menikmati 'mood' santai-santai saja. Maksudnya 'game' itu tak sampai membuatkan jantung anda bergegar kencang. Antaranya simulator transformer (saya Q sampai dua kali. Persembahan 3Dnya membuatkan saya berangan menjadi Megan Fox untuk 5-10 minit itu), persembahan stunt di water world (wajib tonton. Super best! Awas jangan salah memilih tempat duduk, atau anda basah lencun!), panggung wayang Shrek yang penuh misteri dan merasai pengembaraan di alam Madagascar (oh! ini sesuai untuk kanak-kanak 3 tahun dan ke atas). Ini antara yang sempat saya turut serta. Hm.. tak banyak 'game' rupanya saya main. Hehe..

Sebenarnya tidak begitu sukar untuk sampai ke USS ini. Ada train, bas yang efisien perkhidmatannya. Jika ada kewangan yang mengizinkan, bawalah keluarga ke tempat-tempat keseronokan begini. Jika saya yang sudah cukup tua ini pun teruja, anak-anak kecil apatah lagi. Barangkali disebabkan kita dari kecil sudah di dedahkan dengan cerita-cerita dan watak-watak kartun dari Hollywood ini membuatkan lain macam sahaja keterujaannya.

Bayangkan jika saya dedahkan anak-anak saya dengan kehebatan pahlawan-pahlawan dan pejuang-pejuang Islam mahupun kesedaran mencintai Rasulullah SAW ketika mereka masih kecil lagi. Apabila mereka dewasa kelak, pasti gelombang keterujaan itu akan sama (malah lebih lagi) bagaikan  menelusuri USS ini.


Thursday, January 9, 2014

Pertemuan di Studio Karangkraf

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani


Sebelah saya itu Syed Ali, pelakon dan juga peserta Fear Factor Selebriti Malaysia musim pertama.

Selepas melalui fasa kesibukan yang teramat pada sebelah pagi, saya menerima pula kedatangan para pelakon teater KOMSAS Gelanggang Tok Wali iaitu Syed Ali, Jack Hafiz (Hero Remaja), Aliff AF8 dan (oh! yang satu ini saya terlupa namanya. Saya update kemudian ya.) Menurut abang Joe, cikgu yang gigih memartabatkan pelajaran KOMSAS ke pentas teater ini, teater ini adalah kesinambungan daripada kejayaan teater seumpamanya yang pernah dipentaskan di Istana Budaya beberapa tahun lalu.

Kali ini, mereka akan dibawa ke Terengganu pada bulan Februari ini demi mempersembahkan seni budaya dan warisan Melayu ini kepada khalayak di sana. Akan ada pencak silat, nyanyian yang bukan sekadar memberi hiburan tetapi diselitkan unsur pendidikan kepada khalayak penonton. 

Sebenarnya ini kali kedua saya bertemu dengan Syed Ali. Sebelum ini saya pernah bertemunya di pelancaran kapal Dredger Inai Kenanga di Pelabuhan Klang. Waktu itu pelancaran besar-besaran sempena kapal pengorek pasir terbesar di Asia dan ketiga di dunia. Saya sendiri tertanya-tanya, mengapa sampai begitu ramai artis datang ke majlis pelancaran kapal korek? 

Bila melihat latar anak syarikat kapal itu, tahulah saya bahawa pemiliknya adalah Mohd Atlas yang juga penulis lirik lagu kumpulan Sofarz yang pernah diburu satu ketika dulu oleh krew Melodi. Beliau memiliki beberapa anak syarikat yang terlibat dalam industri hiburan tanahair. Sudah tentu-tentulah ada ramai artis memberi sokongan di situ. Ya tak?

Hari ini saya bertemu lagi Syed Ali. Suasana pertemuan kali ini lebih santai dan relaks. Tak adalah kami bergambar di tengah panas seperti sebelumnya. Selesai tugasan, saya ambil peluang merakam gambar kenangan dengannya. Jarang sebenarnya saya mahu bergambar dengan artis. Tapi artis yang satu ini, lakonannya pernah memberi satu kesan yang mendalam buat saya.

Tapi bila saya berkira-kira sendiri, ia bukan sekadar lakonan. Sebenarnya aktor yang satu ini (pada saya ya...) dia miliki wajah kasihan. Dan setiap kali memandangnya saya jadi kasihan. Barangkali wajahnya mengingatkan saya dengan adik kedua saya, Hasnol. Bukan saya kata, adik saya itu rupa pelakon. Nampak sangat kepoyoan saya. Cuma... itulah, saya jadi kasihan bila memandangnya dan barangkali kalau ada cerita-cerita watak kasihan berikan saja padanya. Pasti dia tak perlu berlakon lebih-lebih kerana pada wajahnya Allah sudah berikan seribu macam cerita duka.

Sampai hari ini juga saya masih ingat wataknya sebagai penagih dadah yang mahu insaf tetapi akhirnya kembali menagih disebabkan masyarakat setempat yang tidak mahu menyokong usahanya itu. Dalam cerita itu, Mawi pun berlakon sama. Wataknya sebagai polis, walaupun sekeras manapun Mawi cuba bertegas karektor humor tetap ada dalam lakonannya. :)

Sebenarnya, jalan cerita itu cukup dekat dengan saya. Sepanjang bergelar wartawan, sudah beberapa kali saya berpeluang menemuramah bekas penagih dadah. Ada yang sudah insaf sepenuhnya, ada juga yang masih berusaha mahu membuang jauh keinginan terhadap janis dadah. Ya, bukan mudah untuk seorang penagih melupakan jarum suntikan!

Jiwa mereka begitu sensitif. Tidak boleh mendengar orang bercakap belakang tentangnya, walaupun ia sekadar satu jelingan. Respond sebegitu membuatkan mereka patah hati dan mudah kembali ke jalan yang salah. Mereka amat memerlukan sokongan dan harapan positif yang tidak berbelah bagi daripada masyarakat setempat.

Salah seorang penagih tegar yang telah insaf memaklumkan mereka terpaksa bergantung kepada kumpulan sokongan agar kekal dalam aura positif. Kumpulan sokongan ini juga terdiri daripada penagih yang telah insaf. Andai diselami lagi hati mereka dalam-dalam pasti anda akan tahu apa sebenarnya yang terbuku di lubuk hati mereka.

Keinginan mahu cepat kaya dan tidak sabar berdepan dengan konsep menjemput rezeki membuatkan mereka sanggup melakukan apa saja. Termasuklah menjual tiub dadah yang pada fikiran mereka mendatangkan pendapatan lumayan. Ya, lumayan itu memang lumayan, tapi di akhirat kelak siapa yang mahu menjawab ketika ditanya di hadapan Allah.

Sebab itulah, hindari diri dari najis dadah!

Saturday, January 4, 2014

Ramadan bersama Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,




Aci tak saya masukkan gambar dahulu. Ceritanya saya sambung selepas kemudian. Layan gambar ini dahulu ya!

Interlude...

Seperti yang dijanjikan inilah kisah saya bersama keluarga angkasawan negara. Sebenarnya tidak susah hendak menetapkan temujanji dengan Datuk Dr Sheikh Muszaphar ini. Walhal saat saya bertanyakan tarikh untuk pengambaran, tempohnya agak suntuk. Alhamdulillah, barangkali rezeki saya dan laluannya lebih mudah.

Pengalaman bekerja dengan beliau ternyata memberi pengalaman yang cukup bermakna buat kami. Mujurlah jurugambar saya ketika itu, Mohd Izari Rosli yang saya panggil Ayie itu sudah pernah bekerja dengan beliau. Jadi tahu cara kerja beliau.

Seorang teman wartawan, sempat berpesan. "Kak Netty, Datuk ini jenis tak suka lambat-lambat. Semuanya mahu dilakukan serba cepat." Ternyata ingatan itu benar-benar mengganggu fikiran saya. Sebelum berangkat bermacam-macam doa saya bacakan moga berlembutlah sedikit Datuk yang kacak ini dengan urusan saya hari itu.

Benarlah seperti apa yang dikata. Segalanya perlu berjalan pantas. Syukur Ayie pandai mengambil posisi. Lancar sahaja bedikan kameranya hari itu. Lebih memudahkan kerja, saya mendapat khidmat penyelaras gaya, Art Director Shaida Ahmad a.k.a Shade. Alhamdulillah... alhamdulillah, saya ucapkan berkali-kali dalam hati. Tugasan saya selesai.

Cuma sedikit sayang kerana pakaian kanak-kanak yang dijahit khas oleh Kak Dalina dari Jellykids tak dapat dipakai oleh anak-anak Datuk. Harap kak Dalina masih sudi bekerjasama dengan saya lagi.

Entri malam ini serba ringkas. Sesuai dengan mood anak-anak yang sudah masuk sekolah dan rutin saya yang sudahpun masuk kelas online pada sebelah malam. Menimba ilmu di zaman serba canggih ini tidak lagi sesukar dulu. Cuma saya tak nafikan, sedikit sebanyak jadual dengan anak-anak sedikit terganggu. Barangkali inilah harga yang perlu saya bayar.

Syukur alhamdulillah, saya ada 'seseorang' yang cukup menyokong minat saya ini. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik buatnya agar dia dapat terus melindungi kami sekeluarga. Amin. Terfeeling pula pagi-pagi buta ini. Huhu...


Wednesday, January 1, 2014

Anak Dara Saya, Qaseh & Dorongan Entri Ini

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Abaikan persepahan di belakang itu. Fokus saja dengan teknik Qaseh bergaya manja!




Waktu ini dia hampir saja lari ke sana ke mari. Seronok barangkali bila ibu beri baju putih ini.


Sudah beberapa lama saya mahu update entri di blog ini. Setiap kali saya memasukkan tajuk, jari jemari saya pun mula terhenti. Saya percaya, mahu menaip di blog sebenarnya perlukan 'mood' dan suasana hati damai yang tinggi. Jika dua perkara itu sudah hilang, akhirnya jadi macam saya ini. Paksa diri pun tidak akan menjadi.

Sebenarnya, saya sudah siapkan beberapa keping gambar untuk entri saya yang seterusnya: cerita tentang Ammar yang syahid di bumi Turki, perjalanan saya ke Singapura bersama Alfio Raldo, tentang bagaimana akhirnya saya dapat menjejaki tingkat 50 Menara Felda di Jalan Stonor dan kisah para wartawan tegar Mingguan Wanita si baju hijau sampailah cerita Zarif yang lincah di hari pertama orientasi darjah 1. 

Akhirnya, gambar itu hanya pegun di dalam album kamera fon saya. Sedang saya berkira-kira mahu menyiapkan artikel untuk Mingguan Wanita, saya jatuh seronok pula bila menatap gambar anak dara saya bergaun putih. Menggoda-goda pusat pemikiran saya yang hampir mahu tertidur ini agar terus menaip dan menyediakan satu entri untuk si dara Qaseh.

Hm, ini macam entri berat sebelah saja kan? Kasihan Zarif dan Mirza, sudah terpinggir awal-awal. Mirza dan Zarif tetap istimewa di hati saya. Walau mereka pantang berjumpa, macam-macam benda mahu diadu. Mirza tak nak kawan dengan Zariflah, Zarif 'buat' abanglah. Hailah anak! Kadangkala ibu pula yang jadi singa betina, tak pasal-pasal. Mungkin Qaseh belum sampai ke tahap itu. 

Petang ini, Qaseh comel sekali. Baju putih itu buat Qaseh nampak cute dan manja. Dia memang begitu suka bergaya dan pandai mengambil hati. Jika saya senyap, dia akan memanggil 'Amma... amma... ' Panggilan Qaseh untuk saya, mesra dan tersendiri. Paling seronok bila dengar dia sebut nama ayahnya, 'Ayah...' tapi jangan biar dia menjerit lebih dari tiga harkat. Bunyinya akan berubah menjad 'Ayam'. Comelkan?

Qaseh ini ibarat 'booster' untuk saya menaip malam ini. Begitulah kalau mahu menulis, kita perlukan sesuatu yang mendorong diri untuk terus menulis. Ada ketikanya, wang menjadi sandaran. Jika tulisan kita itu mampu menjana wang, semakin laju dan bersemangatlah kita menaip. Jika tulisan kita itu menjadi punca bahagia di hati. Janganlah ada perasaan mahu berhenti. Teruslah membahagiakan diri seterusnya membahagiakan hati orang lain.

Saya menulis kerana terpaksa. Jika saya tidak menulis, tiadalah gaji untuk saya bulan itu. Lama kelamaan, keterpaksaan itu menjadi kebiasaan. Dan kebiasaan itu akhirnya menjadi satu keseronokan. Bagaimana mahu mencipta keseronokan dalam keterpaksaan? Ikhlas dan redha menerima qada dan qadar Allah.

Jika sudah ditulis inilah pekerjaan saya, akhirnya saya di sini. Walau bermacam usaha mahu lari, tapi apabila kita sudah menemui kemahiran dan tahu di manakah unik dalam diri yang Allah anugerahkan, maka usaha lari itu akan terhenti. Langsung belajarlah untuk berlapang dada dan berbaik sangka dengan Allah. 

Sungguh, setiap kali membuka laman facebook saya jadi gerun sendiri. Sana-sini memperkatakan tentang kenaikan harga barang, tarif elektrik yang bertambah, tol yang semakin meningkat. Sana sini cerita tentang peningkatan. Gaji pula naiknya tidak setaraf dengan naiknya harga barang. Saya tarik nafas dalam-dalam. Ada ketikanya terasa nafas sudah di paras-paras hidung, ada ketikanya saya berlapang dada. Lalu, apakah caranya untuk berhadapan kemelut yang cukup menduga ini?

Pasti ada jalan penyelesaian yang boleh saya cari untuk diri saya sendiri. Saya juga pernah berhadapan peritnya menanggung hutang yang perlu dilangsaikan, dalam masa yang sama wang masuknya tidak sebesar hutangnya. Akhirnya saya belajar dari setiap perkara dan ujian yang datang dalam hidup saya. Sebelum kerajaan war-warkan langkah penjimatan, saya sudah amalkan siap-siap.


Walaupun gambar ini blur tapi ibu suka.


Kembali kepada asas. 

Saya pernah menjadi orang yang gila 'gadget' sanggup membeli walaupun di luar kemampuan. Setelah ada, saya tidak lagi menukar-nukarnya. Walau orang lain bertanya-memujuk-mempromosi, saya kekal dengan apa seadanya.

Saya pernah membeli premium insurans untuk anak-anak. Selepas 7 tahun penuh setia, akhirnya saya berhenti. Saya mencari insurans yang tidak ada unsur riba di dalamnya. Memandangkan kewangan saya biasa-biasa, saya langsung berhenti. Saya bertawakal dan redha. Di hospital kerajaan juga ada baiknya, moga Allah benarkan saya temui kebaikan itu. (Saya tidak galakkan anda mengikutinya. Setiap orang ada pandangan masing-masing. Anda bebas memilih. Cuma inilah cara saya).

Bonus saya adalah untuk pelaburan. Sekarang ini jika mahu membuat pelaburan Unit Trust, jika tiada RM1000 tidak boleh mencarum. Nilai itu bukannya sedikit. Besar bagi saya, tidak tahulah pula bagi anda. Tidak perlu berangan-angan mahu membeli yang bukan-bukan. Buka akaun pelaburan siap-siap untuk anak-anak dan ada duit lebih nanti untuk diri sendiri. Tapi ura-uranya, ekonomi yang kurang stabil ini akan menurunkan nilai wang. Pelaburan emas lebih selamat, terjamin untuk jangka masa panjang. Siapa tahu, boleh kongsi dengan saya. 

Menderma ada juga rezeki untuk kita. Siapa percaya pada kuasa derma? En Suami kata saya ini kedekut orangnya. Mungkin, saya akui sedikit. Saya teringat pada satu peristiwa tentang kisah seorang remaja yang kemalangan akibat dilanggar lari. Waktu itu, saya membuat berita mengenainya. Kasihan sungguh dengan keluarga gadis itu. Hati saya tiba-tiba mahu memberikan sejumlah derma kepada keluarga gadis itu, sebagai meringankan beban mereka. Hati saya berkira-kira, hendak beri atau tidak? Sebabnya saya belum pernah menderma sebesar itu kepada orang lain. Akhirnya, saya berlari mengejar ibu gadis itu dan berikan juga wang dalam genggaman saya. Selepas kejadian itu, ada sesuatu terjadi kepada saya. Pling! Cerita selebihnya rahsia saya ya :)






Related Posts with Thumbnails