Follow Saya Di Google Plus

Monday, April 28, 2014

Eksperimenkan Diri Dengan SNE

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsung NX300ku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Disiplin makan buah: Ambil sebelum makan nasi atau makanan berat. Buah ini sifatnya berasid. Bila ambil selepas makan, asid yang dibebaskan oleh buah akan menjadi racun dalam badan. Sebab itulah kita kerap alami masalah angin atau sakit-sakit badan. Analogi paling mudah untuk orang kebanyakan macam saya memahami konsep makan buah sebelum makan nasi.

Hari ini saya ke Port Dickson bertemu dengan Datin Salmah SNE. Orangnya ramah sekali, sepanjang berada di rumahnya bermacam-macam cerita dan input saya dengar tentang SNE. Suatu ketika dahulu saya pernah berniaga SNE tapi hanya sekerat jalan.

Saya tahu kebaikan buah sea buckthorn ini, bagaimana ia mampu menyembuhkan dan memberi kelegaan kepada pengamalnya. Saya juga pernah bercerita tentangnya lewat entri terdahulu. Tentang bibir pecah anak saya, darah tinggi ibu saya dan sebagainya.

Barangkali harganya yang agar mahal membuatkan saya berhenti dari mengambilnya. Namun, bagi mereka yang sedang dalam keadaan sakit, mahal bukan lagi soal utama. Baru ini saya sempat menemuramah jiran saya Kak Na. Anaknya mengalami masalah jantung. Untuk beberapa ketika, dia memberikan SNE sebagai makanan tambahan anaknya itu. Waktu pemeriksaan, doktor mengesahkan berlaku penyembuhan sedikit pada masalah jantung anaknya. Cuma pembedahan masih perlu dilakukan untuk membantu masalah saluran pernafasan anaknya itu.

Begitu juga dengan jiran saya Kak Su yang berhadapan masalah barah rahim. Selepas mengamalkannya doktor maklumkan kanser yang dialami semakin mengecil. Baru-baru ini pula rakan foto saya minta saya belikan SNE. Sebab dia tahu yang saya pernah menjadi dealer SNE. Kebetulan saya mahu menemuramah kak Seha di SNE Center Meru. 

Saya pun belikan jugalah memandangkan katanya doktor yang mengesyorkan sedemikian. Baru-baru ini saya perasan sesuatu dengan rakan saya itu. Cuma saya belum berkesempatan bertemu dengannya untuk bertanya lanjut tentang perkembangan kesihatannya.

Entah kebelakangan ini saya seringkali mengalami masalah pitam. Pantang baring walaupun seketika, saya akan mengalami pitam atau pening sebaik sahaja saya bangun atau berdiri. bermacam-macam simptom kecil barangkali tanda penyakit telah saya alami. Mungkin minda saya kata ok! Tapi tubuh saya telah memberi signal yang saya tidak ok! 

Kebetulannya waktu mahu pulang tadi, kak Salmah berikan saya sepapan SNE. Saya makan malam ini dan mahu lihat bagaimana kesannya dalam masa beberapa hari ini. Mungkin saya perlu kembali mengambilnya.

PS: Ini memang entri syok sendiri!

Sunday, April 27, 2014

Istimewanya Kenduri Di Rumah Orang Jawa

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsung NX300ku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Serunding kelapa ini saya dapat waktu kenduri cukur jambul cucu Wak Jaah.


Tengahari tadi saya menghantar emak ke kenduri kahwin anak kakak sepupu saya, Kak Ip. Cantik pengantin hari ini sedondon bersongket biru laut. Saya pun tak lama di situ, selepas makan dan lepak seketika di situ, bersalam dengan sepupu dan wak-wak yang lain, saya pun pulang.

Dalam pada hendak beredar itulah rombongan pengantin sampai. Berhentilah kami seketika melihat pengantin berarak dengan diiringi paluan kompang dan gendang. Kalau cuma datang dan makan kenduri itu, namanya 'Kondangan'. Tapi andai membantu tuan rumah dalam majlis kenduri, dipanggil 'rewang'.

Satu yang saya suka ke majlis kahwin orang Jawa ini, ada sesetengah tuan rumah akan menyediakan lauk 'ikan bilis masak taucu'. Tak semua tempat akan sediakan juadah sebegini. Tapi kalau kenduri sebelah Wak Salleh ini, lauk sebegitu menjadi juadah wajib. Yang paling bestnya, itulah lauk kegemaran saya. Sebenarnya, apa saja yang berasaskan taucu menjadi kegemaran saya. Kenapa? Sebab lauk ini mengembalikan ingatan waktu zaman kanak-kanak saya dahulu.

Kan saya pernah cerita keluarga saya bukannya orang senang. Jadi sebotol taucu itu ibarat makanan jimat wang yang boleh membangkitkan selera dan mengenyangkan kami sekeluarga. Murah pun murah, sedap pula bila ditambah dalam masakan. Dulu mak saya suka masak taucu dengan telur. 

Lama betul tak rasa lauk yang satu itu. Teringinnya! Mak pula dah jarang masak taucu sekarang. 

Kembali ke alam nyata. Sampai sahaja di rumah, mak minta anak-anak hantarkan 'hadiah kiriman' pada Wak Yah. Tradisi orang Jawa, andai orang yang dijemput tidak dapat datang dan memberikan sampul 'kiriman' maka tuan rumah di majlis kenduri itu akan membekalkan hadiah. Jumlahnya sama seperti tetamu yang membawakan sampul 'kiriman'nya itu. 

Dalam 2.30 petang, saya ke rumah Wak Jaah pula. Anak perempuannya, Wati adakan majlis Cukur Jambul bayinya yang bongsu. Sebenarnya dah lama betul saya tak ikut majlis seumpama itu. Hari ini, ambil keputusan ikut mak ke majlis tahlil itu. 

Kata Wak Jaah, "Tadi orang lelaki dah bertahlil, jadi orang perempuan berselawat sajalah hari ini."

Maka, kumpulan wanita tadipun membaca berzanji. Di pertengahannya, kami bangun berselawat dan cukur jambul dua orang bayi pun dimulakan di kalangan ahli yang lebih berusia dalam kumpulan marhaban itu. 

Selesai acara, tuan rumah menjemput kami menikmati juadah yang disediakan di bawah khemah. Kalau dahulu, orang Jawa akan sediakan nasi ambeng untuk mereka bahagi-bahagikan kepada tetamu. Nasi ambeng yang dibahagikan ini kemudiannya akan dimasukkan ke dalam 'takar' 'takir' (daun pisang yang dilipat menjadi seakan sampan). Bekalan itulah mereka namakan 'berkat'. 

Berkat sekarang mereka sudah sediakan siap-siap dalam plastik merah. Dalamnya wajib ada nasi, lauk pauk yang disediakan oleh tuan rumah. Sekurang-kurangnya dua jenis; daging, ayam, sayur-sayuran goreng. Tradisi 'berkat' ini kata abah konsepnya begini. Orang dahulu kalau ada majlis kenduri kendara di kejiranannya, mereka akan meninggalkan rumah dan bertumpu di rumah yang membuat kenduri. Katakan majlis berlangsung dua hari. Dua harilah mereka akan ada di rumah itu bermula dari jam 8 pagi sampailah ke petang atau majlis berakhir.

Usaha membantu tuan rumah itu adakalanya membuatkan mereka (orang yang rewang inilah) tidak sempat memasak di rumah. Sebab itulah tuan rumah memberikan berkat supaya dapat dinikmati bersama ahli keluarga mereka yang membantu dan sebagai hadiah tanda terima kasih dari tuan rumah. Sayangnya, saya ini tak pernah sekalipun menepati sampai seawal jam 8 pagi. Biasanya, jam 10 barulah terhegeh-hegeh muncul di kalangan orang rewang. (Tak sesuai betul saya inikan? Bab yang satu ini jangan tiru saya ya. Parah!)


Kacang soya Kacang tolo ditumis bersama suhun. Ini lauk orang Jawa yang istimewa dan susah hendak jumpa di zaman ini.

Selesai majlis kenduri di rumah Wak Jaah saya pulang ke rumah. Tapi saya cukup teruja bila buka berkat yang saya terima. Sebabnya ada lauk yang dah lama saya tak jumpa. Kacang soya kacang tolo (black eye peas) ditumis bersama suhun. Ini pun makanan nostalgia buat saya. Ia mengingatkan kembali zaman kanak-kanak. Waktu saya lasak bermain rondez dan terjun parit (aktiviti gila-gila ini kena rahsiakan dari emak).

Dan paling seronok sekali ada bungkusan serunding kelapa yang enak. Serunding kelapa ini biasanya dimakan ketika menikmati nasi ambeng. Kalau buat sendiri di rumah, mak suka masak bersama daging. Dulu mak pernah masak serunding campur daging landak. Enaknya jangan cerita. Manis sungguh rasa dagingnya. Dan saya juga pernah rasa daging rusa masak 'ungkep'. Macam mana saya boleh rasa? Hm, yang ini kena rahsiakan. Bahaya kalau cerita dalam blog ini. Jangan tanya kenapa, sebab saya tahu anda pun tahu jawapannya. Sigh!


Info

* Menurut Wikipedia Berzanji atau Barzanji ialah suatu doa-doa, puji-pujian dan penceritaan riwayat Nabi Muhammad s.a.w. yang dilafazkan dengan suatu irama atau nada yang biasa dibacakan ketika majlis aqiqah, khatan, perkahwinan dan Maulidur Rasul. Isi berzanji menceritakan tentang kehidupan Nabi Muhammad, yang disebutkan secara berturutan mengenai salasilah keturunannya, zaman kanak-kanak, remaja, pemuda sehingga diangkat menjadi rasul. Di dalamnya juga mengisahkan sifat-sifat mulia yang dimiliki Nabi Muhammad, serta pelbagai peristiwa untuk dijadikan teladan umat manusia.

Saturday, April 26, 2014

Penangan Header, Bukan Sekadar Menawan Perlu Maksud Berpadanan

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Koleksi header saya


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Ini contoh header saya sebelum ini. Hasil sentuhan emas jiakreatifelt.com

Entri kali ini khusus untuk blogger yang suka 'header' yang comel-comel. Tahun lalu saya pernah mendapat khidmat tangan emas Najiah Shaharain. Saya minta dia 'design' header ringkas dengan doodle (kartun comel) yang ala wartawan. 

Bosan dengan 'design' yang lama, baru-baru ini saya minta Jia, buatkan satu lagi header yang berbeza. Kali ini masukkan sekali muka saya dan gambar-gambar saya di mana-mana. Dah macam ter'over' pun ada ni.

Cepat betul Jia ini buat kerja. Tak sampai seminggu pun, lebih kurang 3 ke 4 hari, dia sudahpun menyiapkan header yang saya mahukan. Bukan itu sahaja, harga yang ditawarkan juga berbaloi-baloi. 

Memandangkan saya seronok sangat dengan header yang baru ini, saya juga mahu berkongsi link blog bisnes Jia yang berbakat itu. Sudi-sudikan melayari jiakreatifelt.com Anda pasti seronok melihat contoh-contoh blog yang mendapat sentuhannya.

Berurusan dengan Jia pun mudah saya. Cepat sahaja dia membalas setiap pm saya di ruangan inbox facebooknya.

Kenapa header itu penting? Bagi saya ia ibarat halaman rumah kita. (Walaupun hakikatnya halaman rumah saya 'Ya Tuhan!') Perlu menyambut kedatangan tetamu dengan penuh ramah dan mesra. Sekali pengunjung menjengok, hatinya tenang dan selesa.

Ia juga gambaran personaliti seseorang. Kita boleh tahu bagaimana seseorang blogger itu melalui header di halaman laman web miliknya. Ada header yang ringkas, sarat dengan karektor dan tak kurang yang lebih senang menggunakan perkataan sahaja.


Bagi yang mahir membuat header sendiri, alangkah bertuah dirinya. Bagi yang kurang yakin boleh upah seseorang (macam yang saya buat) dan ada juga laman web yang menyediakan header percuma untuk blogger. Yang penting rajin mencari maklumat itu. Cuma kalau namanya percuma, pilihannya lebih terhad dan mungkin sama seperti orang lain. Tidak eksklusif dan tersendiri.

Yang paling utama tentang header, ia adalah rangkuman kata-kata mahupun imej yang menggambarkan keseluruhan blog, idea malah penulisan anda. Setiap perkataan perlu jelas dan tepat. Sebab itulah, pentingnya belajar di dalam kelas online. Ada guru yang akan memberikan panduan bagaimana untuk anda menentukan hala tuju blog kita itu.

Baiklah, saya tak mahu membebel panjang. Malam ini ada misi lain yang perlu dilunaskan.  

Info:

* header = lebih kurang kepala bloglah maksudnya. Hehe... 

* Ini pula maksud header saya saya ambil dari laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu, DBP = Bahagian di hadapan bingkai mesej yang mengandungi maklumat untuk menghalakan mesej ke matlamatnya.

Semoga entri ringkas ini memberi manfaat untuk semua. Selamat Malam!


Friday, April 25, 2014

Sindrom Anak Kedua, Sayang Anakku Zarif

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsung NX300ku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Budak gigi rongak ini, memang macam inilah... makan bersepah! Hehehe..

Kata orang anak kedua degil sifatnya. Kalau dihimpun perangai adik-beradik yang lain, perangai anak kedua paling susah hendak dikendalikan. Saya kata, "Betullah tu." Pengalaman bersama Zarif banyak yang memeningkan kepala. Itu fikir saya waktu dalam keadaan marah. Bab juara gaduh, Zariflah juga. 

Pernah satu ketika, bila tiba hari cuti saya sanggup hantar dia ke rumah mak semara-mata tak tahan dengan karenahnya yang kuat meragam, manja tak bertempat dan mengamuk tak tentu hala. Kalau saya tengok kembali video Zarif waktu kecil (yang saya rakam), saya mengucap sendiri. Nakal sungguh anak saya yang satu ini.

Seperti selalu, saya akan ambil anak-anak di rumah mak dahulu barulah saya pulang ke rumah. Hari ini saya sengaja tak masuk rumah bersama en suami. Saya menyorok di luar rumah. Anak-anak seperti selalu akan mengejar kepulangan kami dan berkongsi bermacam-macam cerita yang mereka lalui hari itu. 

Dekat lima minit saya menyorok di balik pintu. Saya dengar anak-anak leka bercerita dengan ayahnya. Tiba-tiba saya dengar suara Zarif, 

"Ayah ibu mana?" En suami terus melayan cerita Mirza dan Qaseh. 

Saya dengar pintu terkuak. Saya menyorok lagi dalam bagi anak-anak tak nampak. Pintu di tutup perlahan. Sekali lagi saya dengar suara yang sama.

"Ayah ibu tak balik ke?" Tak lama pintu dibuka sekali lagi. Zarif melangkah keluar, mencari saya dengan hati yang resah. 'Hah!' Saya sergah 'baby' comel saya itu. 

"Zarif! Zarif sorang je yang tanya ibu balik ke tak? Seronoknya, Zarif memang sayang ibu sangatkan?" Tanya saya sambil memeluknya. 

Macam selalu, Zarif budak yang tinggi egonya. Dia marah dan terus merajuk. (Saya tahu dia sebenarnya malu bila kelemahannya saya ketahui... hehehe)

Punyalah bersepah buku-buku di PBAKL 2014, akhirnya buku bola ini juga yang saya beli untuk anak-anak. Hm.. untuk Mirza sebenarnya.

Sepinggan nasi berlaukkan telur dadar

Hari ini saya ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Kesempatan menyerahkan hadiah untuk pembeli majalah Mingguan Wanita di kaunter 'redeem' saya gunakan seketika untuk mencari buku anak-anak.

Berjalan-jalan di tingkat 4, saya terjumpa buku-buku comel yang sesuai dengan anak-anak yang minat sungguh dengan cerita berkaitan bola. Saya tahu buku itu memang untuk Mirza. Sebabnya, Zarif walaupun sudah masuk darjah satu, dia masih belum tahu membaca. Akhirnya, petang itu saya pun membeli tiga buah koleksi buku cerita kanak-kanak (rajawali) berkaitan bola sepak dari penerbit Ana Muslim.

Selepas solat maghrib di rumah mak, saya serahkan pada Zarif dan Mirza. Zarif cepat bosan dengan buku. Baru baca isi kandungan saja, matanya sudah melilau ke sana-ke mari. Saya pula tak ada skill mengajar anak-anak yang begini. Memang macam langit dan bumilah. Tak bersatu. Nasib baik tak jadi seteru.

Tak lama kemudian, mak bawa sepinggan nasi dan telur goreng. Suapkan Qaseh. Tak lama kemudian, mak suapkan pula Mirza. Saya tunggu suapan seterusnya, mak masih tak berikan pada Zarif. Mak kata, 'Pergi bawa anak makan kat dapur" Tiba-tiba saya jadi sayu. Saya tak mahu 'syaitannirajim' pengaruhi hati saya. Cepat-cepat saya bawa Zarif ke dapur. Beri dia makan dan cakap "Zarif ni budak hebat tau! Abang dengan Qaseh nenek suap. Tengok... Zarif hebat makan sendiri. Zarif memang hebat." Tiba-tiba mak lalu sebelah saya. 

'Aiyo! mak dengar ke apa aku merepek kat anak aku ni?' Bimbang mak terasa hati saya cepat-cepat ubah topik perbualan. Cerita pasal kenduri kendara pula.

Zarif barangkali nakal budaknya. Tak mahu dengar kata dan sedikit kepala angin. Alhamdulillah, sejak akhir-akhir ini dia boleh saya percayai. Ada yang istimewa dalam dirinya. Tapi walaupun dia 'special' saya tetap garang dengan dia. Sebabnya, anak kedua ini kena pandai 'handle' hatinya supaya bila dia besar, dia akan menawan hati kita pula.

Bak kata en suami. Kalau anak-anak degil, ibulah yang kena kontrol emosi. Bila pemikiran ibu stabil, anak-anak pun jadi seimbang. Alhamdulillah, ada perubahan yang baik pada mereka berdua. Walau bagaimanapun kami ini serba kekurangan di mana-mana sudut sekalipun kerana kami ini lemah dan sentiasa mengharap pertolongan dariNya.

Aksi-aksi Zarif yang saya sempat rakam baru-baru ini:

Zarif ada tulisannya yang tersendiri. Bila datang 'mood'nya keluarlah tulisan yang macam orang Eskimo tu.

Masa ini kenduri rumah Cik Nok. Baru sudah makan aiskrim yang atuk belanja.




Lepas makan tembikai, Zarif makan pula kerepek. Dia memang kuat makan. Walau dah kenyang, lima minit lepas itu dia akan kata 'lapar'.


Macam-macam perkara bermain-main di fikiran Zarif. Super bikin 'perkara baru' ikut selera sendiri. Hehehe...

Thursday, April 24, 2014

Nurul Syuhada Hamil @ Mingguan Wanita @ Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 (PBAKL)

Teks: Netty Ah Hiyer

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,



Malam kian larut, anak-anak dan en suami masing-masing sudah lama lena diulit mimpi. Itupun kalau mimpi sudi mengulit kalian. Saya pula perlu gigihkan diri 'update' blog ini. Kalau tidak sia-sia sahaja memahamkan 'update' entri 40 hari tanpa culas' sebagai panduan tingkatkan trafik blog. 

Pengambaran saya bersama Nurul Syuhada sudah laman berlalu. Kali ini saya promosi saja keluarannya yang masih panas lagi di pasaran. Cepatlah dapatkan sebelum edisi ini kehabisan di pasaran. Apa yang menarik adalah bagaimana tugasan ilmiahnya membantu proses kehamilan Nurul, petua Nurul pikat hati mentua dan dedikasi Nurul sebagai duta sebuah badan biasiswa.

Di sini saya selitkan artikel edisi 'uncut'. Mahu tengok gambar Nurul yang sudah berbadan dua, carilah majalah Mingguan Wanita di Pesta Buku Antarabangsa yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dari 24 April - 4 Mei ini. Kata orang Korea, Palli... Palli...

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 
-->
Cerita muka depan

Penyelaras dan teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Tuan Azman Tuan Muda
Solekan: Saidatulnisa
Busana: Butik Saidatulnisa, 21, Jalan Plumbum P7/P, Seksyen 7 Shah Alam
Tudung: Ariani Galeri Skaf & Selendang, No. 135 & 137, Jalan Bunus Off Jalan Masjid India, Kuala Lumpur

H:

Penantian Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain, 30 dan suami, Raja Amir Syah Raja Azwa, 32 mahu menimang cahayamata telah Allah makbulkan apabila pengacara cantik manis ini disahkan hamil tiga bulan. Pagi itu, Nurul hadir ke studio Kumpulan Media Karangkraf dengan riak wajah yang berseri-seri. Tanda hatinya, sedang menanti kehadiran ‘bunga hati’ yang telah lama diidamkan sejak hampir lima tahun bergelar seorang isteri.

Siapa yang tidak terasa apabila diri dibanding-bandingkan dengan wanita-wanita lain yang telah melalui proses kehamilan dan kelahiran. Nurul Syuhada juga pernah melalui situasi yang sama. Sayu hatinya setiap kali ada yang bertanya tentang perihal ‘anak’. Yang mana semua itu, bukan di bawah kawalannya. Bukankah rezeki, jodoh mahupun persoalan anak itu adalah ketentuanNya.

“Dalam tempoh setahun perkahwinan, saya dan suami masih memikirkan biarlah kami bertenang dahulu. Lagipun, masih awal lagi. Masuk tahun kedua, kami mula merasakan sebaik-baiknya membuat pemeriksaan kesuburan. Dalam tempoh itulah saya mula membuat pemeriksaan dalam masa yang sama menjaga pemakanan dan bersenam kerana ia ada kaitan dengan kesuburan seseorang.

“Apabila ada orang sekeliling mula bertanya tentang ‘tidak mahukah menimang cahayamata’, saya jadi tertekan. Apabila dibanding-bandingkan saya lebih merasai tekanannya. Walhal semua itu kerja tuhan. Sebelum doktor sahkan saya buat juga ujian kehamilan di rumah. Masa mula-mula tengok keputusan itu rasa tak percaya. Betul ke? Saya terus tertanya-tanya sampailah saya membuat pemeriksaan dan doktor sahkan yang saya benar-benar mengandung,” ceritanya yang kini sudahkan memasuki trimester yang kedua.

Cerita kehamilan Nurul sebenarnya bermula sejak setahun yang lalu. Selepas menamatkan perkhidmatan dengan stesyen televisyen terkemuka, Nurul langsung menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap pengajian Sarjana di Universiti Malaya dalam bidang Teknologi Sains dan Kelestarian.

Setahun yang lalu, Nurul membuat kajian dan pembentangan untuk salah satu kertas pengajiannya. Ketika itu juga dirinya sedang mencari tajuk untuk kajian kertas Sarjananya dan dalam masa yang sama, Nurul sedang melalui proses pemeriksaan kesuburan. Tiba-tiba timbul pemerhatian di dalam diri berkaitan pasangan muda yang sukar memperoleh cahayamata. Secara taboo, masyarakat sering beranggapan apabila terjadinya masalah kesuburan, mereka mula menuding jari pada wanita. Walhal ianya hanyalah satu andaian.

“Lalu saya berbincang dengan penyelia untuk membuat kertas kajian Sarjana berkaitan ‘Kesedaran awam tentang kesuburan’. Apatah lagi, ketika ini negara kita sedang berhadapan kadar kelahiran yang menurun. Di Kuala Lumpur sahaja peratusannya menurun sebanyak 1.4 peratus. Saya mula melihat ini sebagai satu isu yang menarik dan mencabar. Dari situlah saya mula bekerjasama dengan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan badan-badan berkaitan.

“Saya juga perlu menemuramah beberapa pasangan baik muda mahupun berusia. Ada wanita berusia 40-an yang saya temui cukup teruja mahu menimang cahayamata. Dia sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mengandung. Ternyata lebih mudah berbual dengan wanita-wanita yang berhadapan dengan masalah kesuburan ini kerana saya juga memahami apa yang mereka alami. Malah kami juga ada komuniti untuk meluahkan pandangan, pendapat malah sokongan sesama ahli,” luahnya yang kelihatan cantik dirias jurusolek terkemuka, Saidatulnisa.

Sedikit demi sedikit, kajian dan penyelidikan yang dilakukan itu telah mengubah konsepnya berfikir. Jika sebelum ini, Nurul akan terasa hati apabila ada pandangan negatif dilemparkan kepadanya. Kini, setelah menyelidik, memahami dan menyelami jiwa-jiwa wanita ini, Nurul semakin positif. Fikirnya setiap komen negatif itu bermakna individu yang bertanya itu belum memahami. Tiada lagi istilah ‘makan dalam’ terhadap kata-kata negatif yang diterima. Rupa-rupanya, fikiran positif itu juga turut memberi kesan yang baik kepada dirinya terutama dalam soal rezeki cahaya mata.

Sh: Telur dadar tawan hati ibu mentua

Walaupun ketika ini jadualnya sibuk dengan pengajian, Nurul masih mengisi waktu untuknya bersiaran dalam rancangan Malaysia Hari Ini. Kesibukan ternyata tidak menghalang dirinya menjadi isteri yang setia kepada suami malah menantu yang menghormati mentuanya.

“Sekarang ini Nurul tinggal bersama ibu mentua. Dia wanita Inggeris yang telah memeluk agama Islam. Selepas ayah mentua meninggal dunia, ibu ambil keputusan menetap di Malaysia kerana mahu anak-anaknya terdedah dengan suasana Islam masyarakat di sini.

“Yang menarik tentangnya, dia tidak meminta saya melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatiannya. Katanya, biarlah saya jadi diri saya sendiri. Kalau saya masak telur dadar sekalipun, ibu mentua saya cukup menggemarinya. Katanya sedap sekali.

“Setiap pagi dia akan ketuk pintu bilik kami untuk kami solat jemaah bersama-sama. Setiap hari Ahad pula, ibu akan adakan kelas pengajian tafsir al-Quran di rumahnya. Kelas ini terbuka kepada kenalannya dan ada juga sukarelawan dari masjid negara datang untuk menimba pengetahuan agama di kediamannya,” tutur Nurul lagi.

Nurul juga membahagikan waktu untuknya pulang ke rumah ibunya di Shah Alam. Selalunya dia akan mengambil salah satu dari hari bekerja itu untuk menziarahi ibu.

Sh:

Keputusannya menyambung pengajian di universiti juga sebenarnya membuka peluang kepada Nurul untuk aktif bersama kerja-kerja sukarela dengan ‘Program Biasiswa MyBrain15’. Dirinya dilantik menjadi ikon ‘My Master’ yang akan mempromosikan program biasiswa yang ditawarkan. Yang mana, dalam kerja-kerja sukarela ini Nurul perlu menjelajah dari satu universiti ke satu universiti yang lain untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang program biasiswa itu.

“Ianya satu program yang bagus kerana bukan setakat menawarkan biasiswa, malah turut membolehkan peserta mengikuti kursus jangka pendek mengikut kursus yang ditawarkan. Penglibatan saya ini sekurang-kurangnya boleh membuka minda para pelajar sekolah tentang kepentingan belajar ke peringkat yang lebih tinggi.

“Misalnya di negara luar, walaupun mereka telah bekerja. Para pekerjanya walaupun yang telah bertaraf profesianal tetap meluangkan sedikit waktu yang mereka ada untuk mendalami ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam kursus jangka pendek. Dan hal inilah yang cuba diwar-warkan oleh program ini,” ulasnya bersungguh-sunggh.

Walaupun sentiasa sibuk dengan kerja-kerja pengacaraan, penyelidikan dan sukarelawan, Nurul sebenarnya cukup mementingkan penjagaan kesihatan dan kecantikan.

Sh:

Pastinya dalam keadaan berbadan dua ini, dirinya perlu menjaga kesihatan diri dengan lebih baik lagi. Selain mengamalkan pemakanan tambahan yang dibekalkan oleh doktor. Nurul juga sentiasa ingat pesanan ibunya agar mengambil susu. Walaupun hakikatnya, dia bukanlah seorang yang gemar meminum susu.

“Andai saya tidak bergelar pengacara, saya sentiasa menyimpan impian untuk menjadi pensayarah. Andai impian ini jadi kenyataan, saya lebih senang memilih universiti tempatan yang berteraskan Islam untuk membolehkan saya mengajar para mahasiswa di negara ini.

“Sebenarnya niat untuk menyambung pengajian sudah terdetik lama. Tapi saya pendamkan dahulu memandangkan ketika itu sibuk dengan kerjaya pengacaraan. Saya fikir, sempat lagi ini memandangkan usia saya masih lagi muda. Namun, tahun 2012 saya fikir menyambung pengajian adalah yang terbaik untuk diri saya dan tahun itulah saya melepaskan jawatan saya sebagai pengacara,” tuturnya yang turut mengakui suaminya seorang yang bertanggungjawab dan begitu memahami dirinya.


Monday, April 21, 2014

Nostalgia Rumah Kayu Berdindingkan Papan Lapis

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Samsung NX300ku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani


Abah melepaskan lelah selepas memesin rumput di kebun.

Abah saya sudah pun memasuki usia 65 tahun. Fizikal abah kecil sahaja, tinggi sedikit daripada saya dan kurus tubuh badannya. Tidak pernah sekalipun abah mencapai berat badan berlebihan macam saya. Walaupun kecil, abah seorang yang kuat bekerja tapi tidak masa zaman mudanya.

Seingat saya, abah pernah bekerja di kilang alat permainan. Dulu keadaan rumah saya hanyalah sebuah rumah kayu berdindingkan papan lapis bertindan kepingan kayu second hand. Bilik airnya pula cuma kepingan kayu bersusun bak pelantar dengan dilindungi guni plastik gula bersaiz pukal. 

Waktu itu, kesusahan mencengkam keluarga kami. Saya masih ingat pada malam hari raya (tak silap saya dalam darjah 2 @ 3), kami sekadar menikmati hidangan biskut kering yang kemudiannya disediakan untuk juadah keesokan hari. Tiada istilah baju cantik, melainkan pemberian orang semuanya.

Ada satu perkara yang saya belajar daripada emak iaitu kami tidak meminta-minta. Bantuan pelajaran pertama yang saya terima ketika itupun selepas saya naik tingkatan tiga.

Kekurangan tak menghalang saya bergembira. Masa saya banyak dihabiskan dengan kawan-kawan sekampung; mandi sungai, mencari udang kecil di parit hujung kampung, berbasikal dari satu kampung ke satu kampung, bermain 'rondez', konda-kondi, gelang getah, galah panjang, polis entri, peluk tiang, guli, baling selipar dan lain-lain permainan yang agak ganas. Saya juga aktif dengan aktiviti keramaian di kampung. (Ketika itupun pemimpin kami dekat dengan masyarakat. Cuma suasana politik sekarang sudah berubah dan ia sedikit sebanyak 'mengganggu' keharmonian kampung saya. Hmmm...)

Cerita saya yang seterusnya, seakan kisah dongeng terhebat. Tak perlu buat muka, kerana inilah realiti yang berlaku dan pengalaman hidup itulah yang menjadikan saya seperti hari ini.

Selepas berhenti dari kilang permainan, abah bekerja pula di ladang kelapa sawit. Sebelum abah bekerja di ladang kelapa sawit itu, mak pernah berhadapan dengan peristiwa yang menguji hatinya sebagai seorang isteri.

Kelahiran adik kedua, menambah beban kewangan keluarga kami. Pasti abahlah yang paling terhimpit. Apalah sangat dengan pendapatan bekerja di kilang ketika itu. Tak lama abah mengalami sakit yang kronik. Kadangkala abah bekerja, kadangkala abah diam-diam saha di rumah. Silapnya, abah tak berkongsi kesakitan itu dengan mak. Sudahnya mak membuat kesimpulan, abah tidak mahu menjalankan tanggungjawab mencari nafkah.

Cerita mak, pernah dia tidak makan selama 6 bulan dan hanya bergantung dengan air kerana susahnya ketika itu. Saya juga masih teringat satu peristiwa yang mana abah keluar rumah dari pagi sampai ke malam dan tidak pulang-pulang ke rumah. Malam itu pula, hujan lebat beserta angin kencang.

Mak buntu, walau di tanya pada adik-beradik terdekat mereka tidak tahu ke mana abah menghilang. Menjelang malam pekat, abah pulang dengan muka lelah. Rupa-rupanya, dari petang sampailah ke malam itu abah ambil upah menyimen. Duit itu kemudiannya digunakan untuk membeli keperluan dapur kami anak beranak.

Kenapa saya ceritakan semua ini. Banyak pelajaran yang dapat saya ambil ikhtibar dari kisah mak dan abah ini. Walau sehebat manapun badai yang melanda rumahtangga mak ketika itu. Tidak sekalipun mak minta jalan perpisahan. Rahsia orang dulu-dulu, mereka berfikir panjang, redha dan sabar. Dan mak saya lihat walau penat macam mana sekalipun dia tak pernah gagal memasakkan untuk abah. (Hebatnya mak saya!)

Tak lama kemudian, mak mula bekerja di kilang kayu. Abah pula bekerja di ladang kelapa sawit dekat belakang rumah kami. Kesusahan juga menyebabkan adik lelaki saya terpaksa berhenti sekolah. Tanpa sijil SRP, dia bekerja di kilang air mineral. Basikal menjadi tunggang utamanya ke tempat kerja. Dia tidak merungut kerana faham situasi mak dan abah. Walaupun adik kedua saya itu ganas mukanya, tapi hatinya penuh kelembutan.

Mak dan baby Akira yang comel.

Kilang Haram Yang Membebankan Kami Sekeluarga

Di kilang tempat mak bekerja, mereka memerlukan seorang tukang kebun. Mak 'rekemen', abah dapat jawatan itu. Bermulalah kehidupan abah sebagai tukang kebun. Sejak itu, rumah kami penuh dengan pokok bonsai, bunga kacukan kertas dan sebagainya. Gara-gara pekerjaan baru abah.

Suatu hari yang suram, mak ditimpa kemalangan di tempat kerja. Sayangnya, kilang mak bekerja itu bertaraf 'illegal' (Dan saya amat-amat yakin rata-rata kilang-kilang di Meru statusnya adalah 'illegal'). Cemas sekali waktu dimaklumkan kaki mak dihempap kayu besar yang digunakan sebagai pasak rumah. 

Akibat pendaftaran kilang haram itulah mak terpaksa naik-turun bangunan PERKESO demi menuntut haknya. Malangnya perjalanan mak saya bukan mudah. Kebenaran lain yang lebih menyakitkan pula mak ketahui. Nama telah didaftarkan bekerja di Petaling Jaya walhal selama itu mak bekerja di Meru. Kemalangan pula berlaku di kilang Meru iaitu kilang haram itu. Pasti ia lebih menyulitkan proses menuntut haknya sebagai pekerja di tanahair sendiri.

Perjalanan mak itu meyakinkan saya betapa amanah yang tidak dijalankan dengan betul akan menyebabkan bencana kepada orang lain. Tahun demi tahun, luka parah yang menyelubungi emosi kami beransur hilang. Tiada lagi keinginan keinginan menuntut hak yang sepatutnya. Akhirnya mak ambil keputusan menjadi suri rumah kembali.

Abah pula mengambil upah membuat rumah. Bermula dengan rumah kayu, akhirnya abah semakin pakar membuat rumah batu. Bukan sebiji dua, tapi lebih dari itu. Bakti abah terpasak indah di beberapa kediaman di kampung saya. Upah membuat rumah yang abah ambil pun bukannya mahal, lebih kepada membantu sesama insan.

Membina rumah ini ibarat hobi abah. Sepatutnya dalam usia 65 ini abah rehat sahaja memandangkan asma teruk yang abah hadapi. Tapi tidak buat abah. Dalam usia ini abah seakan mahu menebus setiap masa yang telah terbuang sewaktu usia mudanya.

Hasil kerja tangan abah teliti dan berseni. Cuma kudrat abah yang semakin berkurangan kadangkala membuatkan kerja-kerja membuat rumah tidak selaju dulu. Tapi saya kira abah masih hebat. Bayangkan sebiji rumah bersaiz 30 x 40 abah boleh siapkan dalam masa 3 bulan. Dan abah buat sendiri ya! Tapi dedikasi abah terhadap kerja-kerja pertukangan tak berbelah bagi. Kalau boleh mahu tidur, makan baring juga di situ. Dalam usia sebegitu, akhirnya abah temui 'keistimewaan' yang ada dalam dirinya. Kelebihan itu terus berkembang dan menjadikan abah pakar dalam bidangnya.

Saya juga selalu berdoa, semoga saya temui 'keistimewaan' yang Allah berikan dalam diri saya. Semoga tidak terlewat untuk saya temui.

Mak Juara Pidato Di Rumah Sendiri

Satu perkara yang saya perasan tentang mak sejak akhir-akhir ini; Mak telah menjadi seorang isteri yang rajin bercakap. Non Stop! 

Kata abah, dari mula abah bersarapan di meja sampailah abah berjalan ke kebun, suara mak bercakap sendirian masih jelas kedengaran. Dan ini memang kelakar!

Andai mak kuar bercakap waktu muda-muda dulu, pasti awal-awal lagi abah dah cabut lari. Tapi saya tahu sayangnya abah dekat mak, tak pernah berbelah bagi. Teguh dan utuh. Dengan anak-anak pun abah tak pernah sekali berkasar kecuali satu peristiwa. Waktu itu, abah marah betul dengan adik lelaki saya yang sedang belajar menjadi dewasa. Dan disebabkan kesilapan adik, dia telah diikat dan direndam di dalam kolah oleh abah. (Kalau di Sweeden sudah lama abah saya masuk penjara!).

Walhal, abah susah sekali mahu memarahi kami adik beradik. Paling kuat denda abah dekat saya berdiri di tepi dinding sampai akhirnya saya tertidur sendiri. Itupun sebab saya degil tak mahu dengar kata. Cuma sejak akhir-akhir ini abah semakin sensitif. Kalau saya marahkan anak-anak, abah pula yang terasa hati. Kadangkala saya bergurau kasar sedikit dengan en suami pun abah ambil peduli. Huhu...

Malam ini memang saya merapu saja. Cerita tentang abah dan mak memang takkan habis. Saya mahu abadikan cerita-cerita ini, sementara semuanya masih segar diingatan. Semoga saya terus menjadi anak yang tidak sekalipun mendabik dada dengan apa yang Allah pinjamkan untuk saya. 

Saya doakan mak dan abah diberikan kesihatan yang baik dan dirahmatiNya dalam apa juga perkara yang mereka usahakan. Sesungguhnya tidak mungkin terbalas pengorbanan mereka yang begitu besar dan tidak ternilai harganya itu. Tidak mungkin wang ringgit dapat menggantikan kebahagiaan mak dan abah tapi nilai seorang anak yang sejati dan prihatin itulah yang diharapkan oleh mana-mana ibu dan ayah di dunia ini. Amin.

Friday, April 11, 2014

Tanah Aina Farrah Soraya Yang Kaya Oksigen

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Asril Aswandi

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Rombongan media yang mengikuti trip ke Tanah Aina Farrah Soraya merakam kenangan bersama Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Cerita Tanah Aina bermula ketika saya menghadiri majlis pelancaran pembukaan butik baru Alfio Raldo di Cyberjaya. Bertemu Lenny selaku pengendali majlis dan bertukar-tukar kad dengan tetamu kehormat yang dijemput untuk merasmikan majlis pada hari itu, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Selang beberapa minggu, emel jemputan ke Tanah Aina Farrah Soraya di Raub, Pahang memasuki mailbox outlook saya. Rakan wartawan dari majalah Keluarga, Zaiton Abdul Manaf (Eton) dan majalah Midi, Khairunnisa juga bakal turut serta. Membayangkan keseronokan yang bakal dilalui, kami saling berbalas-balasan emel. Seakan tidak sabar mahu terjun di anak sungai dan sebagainya.

Saya yang ketika itu dihambat deadline yang menggila tidak ketinggalan meluahkan keterujaan dalam emel yang akhirnya berlarutan menjadi panjang. TAPI! Entah macamana saya boleh tidak membayangkan bahawa perjalanan ke Tanah Aina itu ibarat menempuh trek laluan yang mencabar diri dan dekat dengan alam semulajadi.

PAGI ITU! Ya PAGI ITU! Saya telah ke pejabat dengan membawa beg luggage dan berskirt bagai! 

"Kak Net, kau ingat kita nak ke USS ke? Awat hang pakai skirt?" Teguran Eton mengejutkan saya di pagi hari.

"Alahai kenapa kak Net boleh tak perasan ni? Aku kasut ngan seluar pun tak ada ni. Skirt adalah," Ok... saya masih mahu menegakkan benang yang basah.

"Kau dah kenapa? Bukan ke kita dah iya-iya chat dalam emel nak terjun sungai bagai. Gitulah kak Net." Mulalah saya gelabah gila mencari kasut di bawah meja Suzie (pinjam dahulu, beritahu kemudian) dan pinjam seluar trek Eton.

Benda sudah jadi, hendak tak hendak tempuh saja. Skirt pun skirtlah. Sepanjang perjalanan memang seronoklah adik-adik ni mem'bahan'kan saya. Tak mengapa, yang penting tak bosan dalam kereta itu. Asril, jurufoto saya yang turut serta itu pun bukan main seronok menyakat saya ya... Dan sampai hari ini dia masih memanggil saya dengan panggilan 'Expo Jihan'.

Kira-kira dua jam perjalanan, akhirnya kami sampai ke sebuah kawasan lapang. Lori (muatan sederhana) pengangkut barang plus orang sudah tersedia menanti kedatangan kami. Rakan-rakan wartawan dari penerbitan media cetak dan elektronik ada yang sudah siap-siap berada di dalam lori.

Dan dengan gaya yang cukup anggun, hari itu saya menaiki lori meredah belantara dan bukit bukau untuk membolehkan kami sampai ke resort Tanah Aina Farrah Soraya. Bagaikan berada di syurga dunia. Hutan yang masih menghijau, oksigen pastinya bersepah-sepah di kiri, kanan, atas dan bawah kami. Damai sekali, tenang emosi sebaik sahaja menjejakkan kaki di tanah nan permai ini.

Wajah-wajah ceria selepas membuat terjunan pada ketinggian 20 meter. (Saya terkecuali)

Hidangan teh halia dan tuala basah menyambut kehadiran kami. Kata penganjur, petang nanti kami akan menempuh jungle tracking dan perlu bersedia sepenuhnya; kasut bersesuaian, pakaian sukan, tudung yang ketat (kenapa perlu ketat? Anda akan tahu sekejap lagi).

Memandangkan kasut pinjam saya itu kurang sesuai (dah nama pun kasut pinjam, sudah tentu ia agak longgar), jadi saya pun melaburkan kira-kira RM12 membeli kasut getah hitam di kedai mini yang ada di situ. Bukan sekadar kasut, dalam kedai itu ada baju-baju yang cantik, t-shirt, tudung, skaf, aksesori malah produk penjagaan kecantikan. 

Selesai memasukkan pakaian ke dorm masing-masing, kami bersiap sedia mahu ke acara jungle tracking. Tidak sabar!

"Tak boleh pakai tudung macam ini. Kamu kena terjun dalam air dengan ketinggian 20 meter. Nanti boleh tertanggal." Pesan PA Puan Sri, Kak Yati.

'TERJUN?'
'20 METER?'
'TERTANGGAL TUDUNG?'

Aduhai! Jungle tracking apakah ini?

"Kak tak terjun tak boleh ke?" Tanya saya cuak. Oh, saya memang cuak kali ini. Sebabnya, saya gayat.

Edisi menjelajah hutan belantara itu pun bermula. Kami dibekalkan dengan jaket keselamatan dan perlu merentasi anak sungai. Naik bukit, meredah akar banir, menuruni lereng bukit, sesekali tergelincir manja apabila kaki tiba-tiba terasa begitu longlai dan lelah (inilah kesan akibat kurang senaman) dan akhirnya setelah berjalan kira-kira 20 minit, kami perlu menempuh laluan anak sungai yang dalam.

Ada tali yang menyokong langsung membuatkan saya seronok berpaut pada tali sambil membuat aksi berenang-renang (walhal tak tahu berenang pun). Selesai merentasi anak sungai kami daki batuan sungai bersaiz gergasi. Dan akhirnya, sampailah kami ke kawasan air terjun yang masih terpelihara, bersih dan cukup mengasyikkan.

Di situ ada binaan pelantar kayu di atas sebatang pokok bagi membolehkan peserta membuat terjunan ke dalam jeram. Dan itulah maksud kak Yati, kalau tak pakai tudung ketat waktu melakukan terjunan pasti ada tudung yang akan tertanggal. Dan hari itu, Leny pulang dengan memakai topi (kerana anak tudungnya hilang dibawa air sewaktu melakukan terjunan dengan ketinggian kira-kira 20 meter).

Dari Karangkraf, Eton dan Nisa menjadi srikandi yang berani. Nisa terjun sampai dua kali. 
Fuh! Saya pula hanya mampu berdiri di atas pelantar-mundar-mandir dua tiga kali sambil Asril tekun mengambil gambar saya dari bawah.

"Bang kenapa tak ketatkan 'life jacket' saya ini?" Tanya saya pada lifeguard di atas pelantar.

"Saya tahu awak tak berani terjun." Dan kata-kata itu akhirnya menjadi satu doa yang makbul. Tanpa membuat terjunan, saya pun menuruni tangga pelantar itu dengan jayanya!


Mendaki bukit, meredah akar banir.

Menuruni laluan licin di kaki bukit

Merentasi anak sungai yang dalam dengan bantuan tali.


Kerakusan Manusia Undang Musibah

Malam itu, kami ada sesi brainstorming dengan Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil. Slide bergambar dimulakan dengan rakaman gambar aktiviti kami sewaktu jungle tracking. Entah bila krew resort ini mengambil gambar kami pun tidak kami sedari. Barangkali terlalu seronok meredah hutan, terjun sungai malah berenang di air sungai yang jernih membuatkan kami terlupa dengan apa yang jadi di persekitaran kami. Masing-masing teruja dengan muka sendiri. Setiap kali wajah teman terpapar di skrin, kami mula bersorak gembira. 

Selesai berseronok, Puan Sri menayangkan pula slide kesan kerakusan manusia. Petang itu sewaktu kami diberi kesempatan menemuramahnya, Puan Sri kuat menekankan antara cabarannya mempertahankan kehijauan bumi tuhan adalah 'manusia'. Saya tidak begitu faham sebenarnya, sampailah saya melihat sendiri slide yang beliau paparkan.

Sebagai individu yang diberi kelebihan oleh tuhan dari segi wang ringgit dan kemewahan, beliau menggunakan kelebihan itu dengan penuh bermanfaat. Helikopter peribadi menjadi rakan baiknya untuk merakam kesan ketamakan dan kerakusan manusia. Bagaimana air terjun yang dahulunya dialiri air sungai yang jernih, kini hanya tinggal batu-batuan sahaja. Pembinaan lebuhraya merentasi hutan yang kononnya akan menyenangkan manusia, akhirnya terbengkalai tidak diteruskan. Walhal sebahagian besar ekosistem alam telah dimusnahkan demi projek yang tidak berbaloi itu.

Begitu juga hutan belantara yang dulunya menghijau, hanya hijau di luaran. Walhal di tengah-tengahnya telah gondol akibat pembalakan haram. Jadi, apabila kemarau melanda negara waima hujan tidak turun dengan konsisten di Semenanjung ini, apakah ini disebabkan tuhan? Sebenarnya, tangan-tangan manusia sendirilah yang telah merosakkan alam yang Allah ciptakan.

Justeru apa usaha kita? Menerusi PEKA (Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam), Puan Sri menggembleng usaha menanam semula pokok di hutan-hutan. Mana-mana hutan yang dipacakkan papan tanda PEKA, ia terlindung dari kerakusan manusia. Siapa yang menceroboh akan di'tembak' oleh renjer-renjer hutan yang bekerjasama erat dengan pertubuhan ini.

Tapi banyak mana hutan yang mampu dipelihara? Jumlahnya tentulah tidak banyak andai tiada kesedaran di kalangan masyarakat Malaysia sendiri tentang pentingnya menjaga alam sekitar, memelihara kehijauan bumi tuhan, memastikan setiap pokok tidak ditebang dan sebagainya.  

Kononnya selesai sesi brainstorming, kami-kami mahu berkaraoke. Apabila di'hidang'kan dengan gambar-gambar yang menyayat hati itu. Langsung kami hilang selera. Bagaimana mahu bergembira, sedangkan keadaan bumi kita kian parah. 


Leny membuat terjunan dan akhirnya pulang dengan bertopi.

'Dorm' kami yang luas dan selesa. Melihat saja gambar ini bagaikan dapat merasai kesegaran udara di persekitaran tanah aina ini.


Berembun Bersama Teman

Keesokan harinya, tepat jam 6.30 pagi kami sudah terpacak di laman asrama. Cuma ada penjaga dorm dan Rosli (RTM). Rancangannya, pagi itu kami akan memanjat bukit di belakang asrama ini untuk menyaksikan matahari terbit. Perlahan-lahan kami mendaki bukit yang agak tinggi itu.

Lelah jugalah, dan akhirnya kami pun sampai ke puncak. Lama kami menanti, sayangnya pagi itu hujan rintik-rintik. Punahlah harapan kami mahu menyaksikan matahari terbit dari puncak bukit itu. Bagi tak menghampakan diri masing-masing yang kepenatan mendaki, kami pun rakam pelbagai aksi 'terlampau' di atas bangku batu. 

Sebenarnya tak ramai pun yang 'join' kami pagi itu. Saya,  Nisa, Eton, Rosli, 2 orang wartawan sinar dan seorang wartawan media elektronik (terlupa pula dia dari mana). Bila cuaca semakin cerah, kami dapat menyaksikan betapa indahnya sekeliling Tanah Aina Farraf Soraya ini. Dan waktu saya menaip kisah ini, perasaan saya bagai digamit untuk ke sana lagi.

Wednesday, April 2, 2014

Syukur Itu Nikmat

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsung NX300

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Qaseh jalan-jalan di kebun atuk.


Alhamdulillah, 
Alhamdulillah,
Alhamdulillah,
Alhamdulillah,
Alhamdulillah, 
Alhamdulillah,
Alhamdulillah,

Pesan abah, sebelum masuk ke pejabat zikirkan puji-pujian pada Ilahi dan mohon keberkatan rezeki. Sekali nafas dan pasakkan di dada dalam-dalam. Walau, sesewel manapun perasaan ketika diserang godaan syaitonnirajim, hati masih mampu bertabah dan cekal hadapi rintangan.

Syukur padaNya malam ini saya kembali bersemangat berjuang konon habis-habisan menulis di 'belog' yang semakin bersawang. Esok hari saya perlu bersiap-siap untuk tugasan pengambaran bersama seorang selebriti. Tak boleh nak sebut lagi sebab saya hendak cerita serba sedikit tentang satu kisah kelakar plus entah apa-apa ini.

Tentang kerja kahwinnya yang pernah membuatkan kak Nuri pun pening kepala. Mahu cerita ke tidak ya. Bagi saya fikir dua ke tiga minit. Baik atau tidak kalau saya kongsi di sini. Ermmm... ermmm... tak apalah biarkan dahulu. Selesai tugasan saya esok, kemungkinan besar akan saya kongsikan juga. Semoga esok mendatangkan lebih banyak ion-ion positif sepanjang saya bersamanya. Ya Allah tolong cas kami-kami yang akan saling bekerjasama di esok hari. Saya mahu membayangkan yang indah-indah saja buat masa sekarang. Amin.

Lalu, apa modal saya tengah-tengah malam buta ini? 

Cerita tentang anak pun bagus jugakan? Macam tak menarik saja. Perjalanan harian saya hari ini pun biasa-biasa saja. Ambil baju untuk pengambaran di Butik Ariani dan Butik kak Saidatulnisa. Itu semua rutin yang hampir sama sejak berbelas tahun saya bergelar wartawan majalah Mingguan Wanita.

Yalah, diam tak diam saya sudah melewati 9 tahun mengarang di situ. Lamanya.... dan sudah bermacam-macam perkara yang saya tempuh. Jumpa orang susah, menemuramah wanita-wanita hebat, masuk ke rumah orang-orang berada. Walhal semua itu tidak pernah terbayang lansung di fikiran.

Saya ini hanyalah anak kampung dari tanah kelahiran Kampung Budiman, Meru. Abah saya hanyalah seorang tukang kayu yang sesekali membuat kerja-kerja kampung. Mak saya pula bekerja kilang sebelum mengambil keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa. 

Dahulu hendak beli buku sekolah pun kami terpaksa berkira. Di sebabkan kesusahan, abah tak mampu pun hendak belikan saya buku matematik. Ya, saya bersyukur kerana ketiadaan buku itu, akhirnya saya terjerumus ke dunia karang mengarang ini. Dan jangan berani-berani tanya saya tentang nombor. Rahsia besar orang suratkhabar ini, mereka bukannya pandai sangat tentang nombor!

Sampailah saya masuk universiti, segalanya perlu dicatu. Mujurlah yuran belajar di UiTM itu bukannya mahal mana. Semester akhir, yurannya cuma RM400 lebih (waktu itu). Sekarang tentu sudah berbeza. Tapi waktu itu, harga sebegitu cukup mahal bagi saya. Atas alasan itulah, waktu di kolej saya tekad kuat-kuat mahu dapatkan subsidi duduk di asrama. Sebab saya tahu abah bukannya orang senang yang boleh berikan saya belanja bulanan untuk sewa mahupun makan harian. 

Jadi dari semester satu sampai enam, saya berjaya duduk di kolej. Makan pun subsidi juga di dewan makan Seroja 3. Waktu itu, saya sudah belajar erti survival. Padahal, dulu saya ini hendak ke bandar Klang menaiki bas pun terketar-ketar. Pernah juga sepupu saya sinis memperli bila saya maklumkan tidak berani menaiki bas sendirian ke bandar Klang nan permai (ketika itu).

Syukur alhamdulillah, walaupun orang kata wartawan itu mesti berani sendiri-sendiri cari berita tapi kebanyakan tugasan saya ada saja yang turut serta. Kalau tidak teman wartawan dari majalah lain, pasti ada jurugambar di sebelah. Langkah berjaga-jaga pun masih perlu kita amalkan. Jangan terover 'confidence'. Bahaya untuk kesihatan emosi. Segalanya perlu dilaksanakan dengan besederhana dan penuh hemah.

Cerita saya mula-mula bergelar pelajar praktikal di 'Busines Times' tak kurang kelakarnya. Waktu itu editor tugaskan saya ke satu tugasan yang saya pun sudah lupa nama lokasinya. Tempatnya dekat-dekat dengan Mandarin Oriental Hotel. Saya ke sana dengan menaiki teksi. Ok, teksi pun berlalu meninggalkan saya di pintu masuk bangunan itu. Belumpun sempat saya melangkah mahu menaiki tangga, saya jatuh terjelepuk di hadapan sekumpulan wartawan dan jurugambar senior. Oh... alangkah malunya. Rasa macam mahu lari pulang ke rumah. Tapi apakan daya, terpaksalah saya meneruskan saja emosi malu yang berpanjangan. 

Kisah saya jatuh terkelempap itu bukan setakat itu. Ada bermacam siri cerita jatuh yang membuatkan saya gelihati sendiri. Pernah juga saya jatuh di hadapan Datin Pearl yang manis dan baik hati. Mujurlah waktu itu, saya sudah selesai menemuramahnya. Jurugambar saya pula hanya sempat memanggil lembut nama saya dan memandang saya yang sudahpun bersimpuh sopan di atas lantai. Rupa-rupanya peristiwa saya jatuh itu dah meninggalkan kesan yang mendalam pada Datin Pearl. Setelah bertahun-tahun saya tidak menghubunginya, baru-baru ini teman wartawan sempat bersembang dengannya di satu majlis rasmi. Dalam elok berbual itu, dia bertanya sama ada saya masih ada lagi di Mingguan Wanita atau tidak? Tiba-tiba, saya rasa cukup terharu. Sebak, barangkali kenangan saya jatuh di hadapannya yang membuatkan dia tidak boleh lupa dengan wartawan yang satu ini. Wink! Wink!

Kita rehatkan mata dengan gambar-gambar Samsung NX300 ya! Maaflah kalau saya masih ter'poyo' a.k.a syok sendiri dengan 'anak angkat' saya ini.

Bermain kayu di kebuh abah. Syok ya Qaseh!

Saya minta Qaseh lompat tinggi-tinggi. Tapi sampai takat itu saja pun dia boleh pergi.

Abah yang lelah selepas memesin rumput seluas padang bola di kebun pisangnya. Abah saya kuat! Semoga abah sihat dan diringankanNya berhadapan penyakit semputnya. Amin.

Ultraboy ibu yang manja dan gedik.



Pokok bunga orkid ini mak yang tanam. Tangan mak memang menjadi tanam pokok spesies ini.

Kata Qaseh, kasutnya kotor dibaluti selut. Cepat-cepat dia buang jauh-jauh dari pandangan.

Salah satu 'game' tradisi yang Mirza cukup suka mainkan bersama kawan baiknya, Salim.

Bunga apa ini ya. Lebat dan cantik bunganya. Semut api pun suka bertenggek di dahan dan daun pokok bunga ini.

Tuesday, April 1, 2014

Berakhir Sudah Hikayat Lady of Leisure

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsung NX300

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Pokok bunga siantan di halaman rumah ibuku.



Diam tak diam sudah dua bulan saya menjadi lady of leisure. Selesai karnival, berlanjutan dengan deadline yang tak putus-putus dan akhirnya bermulalah siri honeymoon yang amat panjang. Bermacam-macam perkara yang terjadi dalam tempoh dua bulan saya menghilangkan diri dalam dunia 'berbelog' ini.

Kononnya tidak mahu saratkan fikiran dengan kehilangan MH370, pembunuhan kejam penyokong Dr Morsi, pejuang Ikhwanul Muslimin, jalan pembebasan Palestin yang semakin buntu sampailah keganasan Israel yang semakin menjadi-jadi, sayangnya saya kalah. Saya terus memikirkannya sehinggalah ia semakin menghimpit perasaan. Sungguh ia mengganggu pemikiran saya yang cukup dangkal.

Terasa semuanya cukup dekat sekali. Maka, peristiwa-peristiwa itu akhirnya berjaya menggerakkan musim honeymoon saya panjang. Akhirnya saya perlu kembali ke alam maya ini. Mungkin usaha kecil ini dapat membuka mata dan pintu hati saya sendiri untuk lebih sedar dan tidak terlalu alpa.

Lewat awal bulan lalu, saya mengalami sakit mata yang panjang. Dari satu hari MC membawa sampai ke empat hari. Dalam tempoh itu, saya bertenang dari memikirkan kerja-kerja yang mengganas di meja Mingguan Wanita. Dan dalam tempoh bertenang itu jugalah saya lebih relaks menerima setiap ujian dan dugaan hidup bekerjaya.

Hampir sembuh mata itu, saya dikejutkan dengan berita kehilangan pesawat dan bermacam-macam perkara itu langsung menyedarkan saya betapa singkat sebenarnya kehidupan ini. Hari ini entah kenapa sejak dari pagi, saya diserang keserabutan fikiran yang sukar ditafsirkan. Tubuh saya telah memberi signal bahawa saya sebenarnya bakal berhadapan stress deadline yang bertubi-tubi.

Setiap tahun saya akan melalui fasa ini. Dan saya kira setiap warga kerja di Mingguan Wanita akan melaluinya. Itu yang paling 'istimewa', dan itu jugalah yang membuatkan saya seakan mahu hantar saja surat 'resign' pada ketua... hehe.. Dan inilah lawak bodoh yang selalu menjadi jenaka kami setiap kali menjelang deadline yang menyakitkan. Perasaannya sama sakit dengan berhadapan kekejaman Israel yang menggila. (Keterlaluankah perumpamaan saya ini? Terserahlah.)

Cukup sudah luahan hati tentang deadline yang saya rangkumkan menjadi 6 para di atas. 

Dalam pahit pasti ada manisnya. Saya kira, jika mengambil pendekatan yang lebih positif sudah pasti manisnya akan lebih terasa. Saya bersyukur kerana kesibukan itu memberi erti yang saya sebenarnya masih punya pekerjaan. Dapatlah hasil titik peluh itu dikongsi bersama emak, ayah, adik-adik, suami, anak-anak dan sesiapa sahaja. 

Kegembiraan itu juga dapat saya abadikan dengan foto-foto yang saya rakam sendiri dengan 'toys' baru saya. Awalnya saya mahu kongsikan saja gambar anak-anak di kebun abah. Sayangnya kad kamera itu telah hilang dan tak sanggup pula hendak mengejutkan suami semata-mata mahu bertanya di mana dia meletakkan kad kecil itu.

Esok-esok sajalah saya tanyakan padanya. Saya kongsikan saya gambar yang mana ada. Haishlah! Dalam pada saya menaip-naip ini, ada bermacam-macam bunyian dia atas bumbung rumah saya. Ok! Jam pun dah masuk 1. 28 pagi. Tak mahu saya menegur-negur lagi. Fokus saja di sini.

Perkongsian saya kali ini ala-ala mahu memanaskan enjin yang sudah lama terendam dalam air. Lembap dan basah. Jadi biarlah gaya pendekatannya lebih santai. Santaikah? Awal-awal lagi sudah cerita perihal dunia. Tapi saya tak sampaikan sampai pening kepalakan? Kira masih ok lagikan? 

Jom layan gambar-gambar yang saya ambil sendiri dengan Samsung NX300. Oh! Kamera ini memang super hebat! Bagi yang mahu berbisnes, tak salah memilikinya. Bermacam-macam perkara menarik yang akan anda temui dengan NX300 ini. Satu kewajipan saya, setiap malam, pulang saja dari tempat kerja saya akan bermain-main dengan 'anak angkat' saya ini. Nah! inilah antara hasil tangkapan saya. Dah macam bunyi menjala ikan... :)


Bunga siantan ini ada di laman rumah mak. Tak banyak tapi cukup menarik untuk diabadikan sebagai kenangan.


Pokok setawar. Masa zaman sekolah dulu saya suka simpan daunnya dalam buku. Seronok tengok dia keluar akar dan membiak. Tapi yang ini versi lain. Tak silap saya dulu, daun yang saya simpan itu lebih lebar.

Dalam pada saya sibuk mengambil gambar alam semulajadi ini, Qaseh melayan blues sendiri. Petik daun-daun kecil di laman rumah neneknya.

Petang hari, Qaseh bermain dengan kakak Najihah. Saya guna teknik pegun yang ada dalam kamera. Kalau tidak jangan haraplah dapat tangkap bola tu terang dan jelas.

Ini dekat dengan pasaraya Meru. Kawasan ini pernah masuk dalam drama Melayu tak ingat cerita apa. Tapi gambar ini mengingatkan saya kenangan percutian bersama team Mingguan Wanita ke Beijing, China.

Pokok bunga kertas rumah mak memang bersepah-sepah. Suatu ketika dulu, mak minat sangat dengan pokok-pokok ini sampai suka-suki mengkacukkan pelbagai warna bunga. Pokoknya pun masih ada cuma musim dia berbunga serentak berwarna warni dah jarang-jarang terlihat.

Antara koleksi fridge magnet di rumah. Ini pun testing 123...

Sedang belajar-belajar mengambil gambar produk. Manalah tahu suatu hari nanti....

Selesai melayan blues di laman nenek, Qaseh melayan pula seluar yang disinggahi pokok kemuncup. Tekun bebenor kamu Qaseh, sampai tak sedar ibu ambil gambar kamu!



Related Posts with Thumbnails