Follow Saya Di Google Plus

Tuesday, May 27, 2014

Sinar Kasih Ibu dan Ayah Yang Ditinggalkan

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: http://al-ikhlashomecare.blogspot.com/


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Sayu hati sampai terlupa mahu merakam kenangan di rumah ini. Saya ambil gambar ini dari laman web rumah jagaan dan rawatan al-ikhlas (sumber: http://al-ikhlashomecare.blogspot.com/)


Pulang dari pejabat, singgah sebentar menikmati roti canai dan roti potong cicah sup kambing (yang ini en. suami punya) di kedai mamak U10. Itu restoran kegemaran kami bila pulang dari kerja. Ada juga meja kegemaran kami. Sayangnya malam ini, meja itu sudah diambil orang. 

Selesai makan, cepat-cepat pulang ke rumah mak. Bila pintu dibuka, anak-anak elok saja makan semeja dengan atuk dan nenek mereka. Gembira tak terkata. 

Selesai berdoa, ada rintik air mata bergenang di pipi. Terkenang tugasan petang tadi. Sepetang di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua al-Ikhlas. Cepat-cepat berlari mendapatkan emak dan kongsi kesedihan. Saya bersyukur kerana masih ada emak dan abah di sisi.

"Emak, sedihnya. Tadi pergi rumah orang-orang tua. Tengok orang-orang tua yang tinggal dekat rumah itu. Tak nak mak jadi macam tu," kata saya yang masih bersisa air mata.

Emak buat-buat tak layan saya. Tidak mahu sama-sama terjerumus dalam emosi sedih. Langsung, saya yang sudah kenyang itupun kembali hanyut dengan masakan emak yang enak. Seperti selalu saya sentiasa menikmati masakan emak dengan bersungguh-sungguh. 

Kenapa? Sebab saya selalu terkenang. Bagaimana kalau ini lauk terakhir emak yang mungkin dapat saya nikmati. 

Dan seperti selalu, saya tidak pernah katakan tidak sedap pada makanan. Kata abah pula. Komen tidak sedap itu sebenarnya di tujukan pada siapa? 

"Tukang masak? tukang masak itu siapa yang cipta? Maknanya, saya sedang komplen pada siapa makanan tidak sedap itu." Abah selalu mengajar saya agar berfikir secara luas dan berpandangan jauh. Walaupun abah tak bersekolah dan tidak tahu membaca. Abah selalu ajar saya tentang prinsip kerohanian yang cukup tinggi.

Ya, saya tahu dari mana datangnya sikap positif saya itu.

Nenek Yang Kesepian


Saya dan jurugambar saya, Mohd Jazlan Nangar melangkah perlahan ke rumah itu. Seorang lelaki berbaju kuning dalam lingkungan usia 50 an membuka pintu dan benarkan kami masuk. Ini pertama kali saya sampai ke rumah sebegini. 

Bukan tidak pernah membuat liputan di rumah-rumah amal. Biasanya rumah anak yatim, anak-anak kurang upaya antara lokasi yang saya jelajahi. Tapi rumah orang-orang tua ini berbeza sekali emosinya. Perasaan sayu itu tidak datang terus pada masa itu. 

Selepas saya pulang ke pejabat, saya berkongsi kisah itu dengan rakan-rakan dan editor, saya jadi hiba sendiri. Malam ini sebaknya terus menyesakkan dada saya. Saya terfikir mengapa perlu sampai jadi begini. Ujian itu juga saya lalui. Pasti suatu hari nanti akan saya lalui. 

"Dari mana?" Tegur seorang nenek separuh usia.

"Majalah Mingguan Wanita makcik. Dah lama makcik tinggal sini?," sapa saya sebak.

"Baru dua bulan. Saya sakit. Harap cepatlah saya sembuh. Tak sabar rasanya mahu pulang." Ujar nenek tadi penuh pengharapan.

Dan dari perbualan saya dengan penjaga di rumah ini. Rata-rata yang dihantar ke situ, jarang sekali akan pulang ke rumah. Tidak pula saya bertanya adakah kerana mereka lebih selesa tinggal di situ atau anak-anak yang terlebih selesa membiarkan mereka di situ.

Lalu, ingatan saya jauh menerawang. Suatu hari nanti, emak saya pun akan menjadi tidak berdaya. Begitu juga ayah saya malah ibu mentua saya. Kisah ini terlalu sayu. Barangkali mereka mempunyai alasan tersendiri sehingga terpaksa meletakkan ibu mereka di rumah itu. Apa pun warga tua ini juga ujian untuk kita. Bagaimana kita meletakkan hati kita apabila berhadapan ujian sehebat ini. 

Mohon Allah berikan saya dan suami kekuatan untuk terus berbakti kepada orang tua kami dengan penuh keikhlasan. Mohon Allah berikan saya pilihan yang terbaik untuk mencari jalan penyelesaian.

Tiba-tiba saya merasakan tulisan malam ini semakin berat, sarat dan sayu. Titik.

Nota hati: Cerita pusat jagaan dan rawatan warga tua al ikhlas ini akan saya muatkan dalam Bumper Mingguan Wanita Edisi Aidilfitri. Nantikan ya! Ada gambar-gambar eksklusif yang boleh dijadikan sempadan dan panduan kita bersama.





Friday, May 23, 2014

Kalau Sudah Jodoh, Nurfarahin Jamsari Kutemui Jua

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Iphoneku Yang Berjasa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Selesai sudah sesi temuramah dan pengambaran bersama kak Nurfarahin Jamsari di penthouse TV3

Esok kami satu team Mingguan Wanita akan berperang habis-habisan menyudahkan artikel edisi Khas Aidilfitri/ Bumper MW yang masih tertangguh. Kami sebenarnya berperang dengan dua deadline sekaligus. Deadline mingguan dan juga bumper. Bukan calang-calang wartawan boleh tempuh kedua-dua deadline sebegitu. Segalanya perlu dilakukan serentak dalam satu minggu. 

Kalau tak kuat emosi boleh 'mental' dibuatnya. Jadi dalam tempoh rakan-rakan wartawan MW mengejar deadline bumper dan mingguan serentak ini, jangan ada yang berani-berani mahu kacau. 'Singa betina' pun boleh lari andai kami semua sudah mengaum. Dahsyat sungguh perumpamaan saya!

Selesai deadline ini, kami akan berperang sekali lagi dengan deadline advance untuk cuti Hari Raya. Setiap minggu menjadi dua deadline yang perlu kami sudahkan. Bermakna kami cuma ada kira-kira tiga ke empat hari untuk menaip bahan yang biasa kami selesaikan secara mingguan. Ok! Ada berani jadi wartawan Mingguan Wanita? 

Tapi semua itu alah bisa tegal biasa. Sudah menjadi darah daging sejak saya dipindahkan ke meja ini. Dalam menempuh saat yang penuh cabaran ini, segalanya perlu diserahkan pada Yang Esa. Dialah yang mentadbir setiap perjalanan alam ini. Pasti ada kemudahan untuk kami semua. Yang penting berdoa penuh pengharapan dan bersungguh-sungguh semoga Allah memudahkan segalanya.

Memberikan kami ilham yang indah-indah dan lindungi kami semua dari keburukan baik yang kami ketahui mahupun tidak ketahui. Saya amat percaya pada kuasa doa. Jadi saya juga mohon doa dari pembaca blog ini agar mendoakan team MW menghadapi peperangan deadline. Biar lancar dan mencurah-curah idea yang boleh memberi inspirasi kepada pembaca majalah kami kelak.

#kuasadoa
#mohondoakalian

Terima kasih jurugambar saya, Baidiuzzaman Ab Malek yang sudi melayan kerenah saya yang 'macam-macam' untuk hari itu.

Nurfarahin semakin bahagia?

Pertemuan saya dengan kakak Nurfarahin Jamsari ini barangkali sudah ditentukan olehNya. Saat Kak Nuri meluluskan saya menemuramah ikon tv ini, langsung saya minta jasa baik rakan PR, Chai Yin dari syarikat televisyen swasta itu. Saya tahu bukan mudah untuk mendapatkan personaliti tv yang cukup disegani ini.

Tambahan pula, kak Farah jarang sekali kelihatan muncul di televisyen. Saya kira peluang saya cukup tipis sekali. Tapi siapa tahu dengan rezeki yang Allah mahu berikan pada saya. Waktu saya ke majlis pelancaran perasmian butik Women of Jannah di The Curve, saya terpandang kelibat wanita yang begitu saya kehendaki ketika itu.

Memandangkan majlis sedang berlangsung, saya hanya tanam niat dalam hati. 'Selesai acara, saya akan mencari kak Farah'.

Tiba-tiba kak Farah yang saya kehendaki itu tiada di tempat duduknya. Saya tanyakan pada teman di sebelah. Jawabnya kemungkinan kak Farah sudah pulang. Woah! Saya menyesal tak sudah. Kalau saya tidak tunggu majlis selesai mungkin saya sudah berjaya 'menangkapnya'.

Dan saya benar-benar menanti sehingga majlis selesai. Lagipun, hari itu saya sudah berjanji dengan kak Awin dari butik Najjah yang saya mahu meminjam koleksi busana itu untuk pengambaran 'cover'. Dalam pada saya mundar-mandir mencari tudung yang sesuai, saya nampak kak Farah sedang bercerita dengan kak Awin.

'Oh! Ini peluang yang tak boleh saya lepaskan'. Tanpa malu (Malu sebenarnya!) saya tanyakan hajat saya pada kak Farah. Walau pertanyaan sudah disampaikan, hati saya masih bimbang. Kalau-kalau kak Farah hanya mahu menjaga hati saya ketika itu.

Saya usulkan semula pada Chai Yin. Alhamdulillah, Allah bukakan hati kak Farah. Saya dapat bertemunya seorang pengacara yang berkaliber dan cukup disegani sekitar tahun 90-an itu. Saya membesar dengan wanita-wanita hebat ini. Siapa yang tidak kenal Wan Zaleha Radzi, Ras Adiba Radzi, Ezzah Aziz Fauzi (sekadar menyebut beberapa nama). Itu antara 'achor' tv yang sukar digugat kredibiliti mereka dalam penyampaian berita, rancangan majalah mahupun siaran langsung. Kuatnya aura mereka membuatkan saya sering berangan-angan mahu menjadi pengacara. :)

Dan hari itu, sesi fotografi berjalan dengan lancar sekali. Temuramah juga berjalan dengan baik. Banyak cerita-cerita inspirasi yang kak Farah kongsikan untuk pembaca MW. Cerita tentang kehidupannya selepas pulang dari haji ternyata cukup indah untuk dihayati.

Pastinya Allah telah mengatur pertemuan ini dengan sempurna sekali. Tika saya sudah benar-benar bersedia untuk mengutip cerita-cerita inspirasi itu Allah menetapkan sesuatu yang perlu saya kongsikan kepada ramai orang. 

Kata kak Farah, di zamannya dahulu dia dilatih dengan cukup tegas dan garang membuatkan personaliti di zamannya cukup berhati-hati dalam soal penampilan diri. Sekarang kak Farah lebih bahagia. Apa yang membuatkan kak Farah lebih bahagia? Semuanya akan terjawab dalam artikel saya di ruangan 'Santai Bersama Icon' dalam edisi Khas Aidilfitri nanti. 

#teaserbumperMingguanWanita

Wednesday, May 21, 2014

Call Man Di Lebuhraya

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Facebook Makeup Artis Cik Non

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,


Seronok bukan main Cik Non hari itu. Saya pun ambil kesempatan curi gambar di belakang Cik Non.

Saya sudah berjanji sebelum ini mahu berkongsi kisah tugasan saya di tepi lebuhraya. Tentang kerjaya 'Call Man' yang serba mencabar. Ada sesuatu yang positif yang perlu dilihat tentang kerjaya ini. Sebelum itu, anda tahu apa itu 'Call Man'? Mereka adalah individu yang membantu pemilik kenderaan yang berhadapan dengan musibah. Baik ketika kemalangan, banjir, kerosakan dan sebagainya. 

Hari itu saya bersama jurugambar, Nurulniza ke kawasan Hospital Ampang. Tidak jauh dari situ letaknya bangunan pejabat team LDT Rescue yang miliki kira-kira 200 orang Call Man. Apa yang menariknya tentang mereka? Bagaimana mahu tahu ciri-ciri Call Man yang sebenar? Apakah nilai di sebalik kerjaya ini? Semua itu akan saya huraikan dalam majalah Mingguan Wanita bilangan 1594 yang akan berada di pasaran dua minggu dari sekarang.

Memandangkan awan semakin gelap, saya bimbang hujan akan turun dengan lebat. Nanti membantutkan usaha saya mahu merakam aksi pemilik rescue team ini di lebuhraya. Sungguh mencabar hari itu. Tiga biji kereta dibawa ke pembahagi jalan di lebuhraya dengan sebiji trak tunda mengepalai tiga kenderaan tadi.

Situasinya sama seperti sudah terjadinya kemalangan di jalanraya. Tak sampai lima minit, jalan raya mula menjadi sesak. Bukan disebabkan kemalangan tapi kerana kami merakam senario konon-konon kemalangan itu. Seronok! Kerana ini kali pertama saya merasainya.

Saya pesan pada Cik Non, jangan lupa whatsapp gambar. Mahu masukkan dalam blog dan berkongsi keseronokan 'behind the scene' kisah Call Man ini untuk ruangan Kisah Masyarakat saya kelak. Pengalaman ini cukup berharga dan akan saya kenang sampai bila-bila. Tapi jauh di sudut hati saya berdoa tidak mahu terlibat dalam situasi begini dalam realiti sebenar.

Untuk berlakon konon-konon tidak mengapa. Seronoknya lain macam. Cabarannya pun sedikit berbeza dari tugasan saya yang biasa-biasa itu. Hari itu juga saya banyak belajar tentang banyak istilah. Antaranya, longkai, buka ekor dan terbaru teman jurugambar, Bad ajar saya tentang 'incong' yang bermaksud kemalangan.

Mahu jadi wartawan yang baik apatah lagi penulis yang berjiwa perlu masuk ke segenap lapisan masyarakat. Dari pemimpin paling atas sampailah golongan marhaen. Tanpa siapa pun dapat menebak bahawa insan marhaen ini juga ada sesuatu yang hebat yang tidak ditonjolkan kepada masyarakat tentang kehebatan mereka. Jangan memilih bulu untuk berkawan. Siapa sahaja boleh menjadi kawan. Andai tidak dapat bertahan maka senyaplah sahaja. Lama-kelamaan, andai mereka kurang sesuai untuk kita, mereka akan menjauh dengan sendirinya. Tapi untuk mencipta musuh jangan sesekali detikkan ia dalam sanubari. 

 

Tuesday, May 13, 2014

Ada Apa Ramadan Ini? Nantikan Program CSR Mingguan Wanita - Pusat Latihan Kraftangan Epal

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Canon Orang Punya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Madam Fully Chye Goet Lee, saya dan Faridah di bilik mesyuarat Pusat Epal selepas selesai sesi temuramah. Terima kasih kak Maswa sporting 'snap'kan gambar ini.

Baiklah saya sebenarnya cuma ada satu jam untuk menaip entri kali ini. Kenapalah sejak akhir-akhir ini mood menaip datang di tengah-tengah malam. Sambil melayan mata mengantuk, tangan terus laju mengetuk. Fikiran pun bukannya fokus betul, mana yang terlintas di hati itulah yang keluar di laman blog ini.

Minggu lepas saya menyambut tugasan yang diberikan oleh Ketua Wartawan MW, Puan Almaswa Che Ros. Kak Maswa minta saya temuramah pengasas merangkap Pengarah Urusan Pusat Latihan Kraftangan Epal, Madan Fully Chye Goet Lee. 

Bersempena projek CSR pertama Mingguan Wanita bersama Pusat Epal. Pastinya ada sesuatu yang cukup istimewa sedang kami usahakan demi pembaca majalah kami yang penuh setia. Ada kaitan dengan kemahiran jahitan yang pasti akan memberi manfaat untuk pembaca sepanjang Ramadan nanti.

Pastinya Aidilfitri pembaca akan lebih bermakna apabila program yang kami aturkan bersama Epal ini diketahui pembaca majalah Mingguan Wanita. Apa yang istimewa tentang pertemuan dan isi kandungan temuramah saya itu nanti? Dapatkan majalah Mingguan Wanita keluaran 30 Mei - 7 Jun yang bakal berada di pasaran pada keluaran hadapan.

Hari itu amat bermakna sekali, Madam yang baik hati itu bukan sahaja sudi berkongsi ilmu jahitan malah turut berkongsi sejarah terciptanya Pusat Epal. Kenapa Epal? Dari kejauhan adik Megat (pegawai promosi MW) menimbulkan persoalan. 

"Nama syarikat ini Mostwell Grup Sdn Bhd. Waktu kami mahu mencipta logo syarikat, huruf M itu disusun atas dan bawah sehingga membentuk sebiji epal. Apabila saya terfikir pepatah 'An Apple a day keeps the doctor away' saya melihat betapa bagusnya 'epal' itu. Ia memberi simbol yang baik untuk pusat ini." Ceritanya ketika kami bersembang santai sementara menunggu waktu makan tengahari.

Sememangnya wanita kecil molek ini kaya dengan pepatah lama yang sentiasa memberi semangat dan dorongan untuknya berjaya. Saya kira kejayaan Pusat Epal itu bukan sahaja terletak pada modul yang bagus dan kesungguhan kakitangannya tetapi Madam sendiri adalah rahsia kejayaan syarikatnya.

Waktu kami makan tengahari bersama, terserlah sikap 'baik hati' wanita ini. Bayangkan seorang pemilik syarikat yang miliki 16 buah cawangan pusat latihan di seluruh negara dengan senang hati mengusap mesra kepala pekerjanya itu sambil memaklumkan tanpa mereka dia tidak akan berada di tempatnya sekarang.

Saya kira inilah contoh majikan terbaik dan berjiwa besar. Sikap rendah dirinya bukan dibuat-buat tetapi ikhlas lahir dari hati. Walaupun berbangsa Cina, Madam sentiasa mengucapkan apa yang dilakukan adalah untuk memperoleh pahala. Dia tahu tentang perbuatan baik akan dibalas dengan pahala yang banyak. 

Saya mahu menulis lebih panjang, tetapi mata ini sudah terlalu berat. Mahu bersedia untuk peperangan keesokan hari. Mahu rehat dan tenangkan minda seketika. Esok ada deadline bumper raya yang perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. 

Memasuki bulan Rejab, saya akan semakin gila bekerja. Semoga kegilaan ini memberi kebaikan kepada ramai orang termasuk diri saya sendiri. Bulan Rejab ini saya mahu muhasabah diri. Jauhkan dari sikap merungut yang panjang. Oh mampukah? 

Bulan ini sungguh indah. Mohon Allah berikan hidayah untuk saya melayari bulan Rejab ini dengan penuh kesyukuran agar saya menjadi hambaNya yang tenang dan mudah mengharungi perjalanan kerjaya dan penghidupan penuh pancaroba di dunia ini.

Selesai temuramah, Madam belanja makan. Macam-macam cerita kami bualkan sampai Madam pun susah nak bangun dengar cerita kak Maswa. Ada program 'best' menanti pembaca majalah Mingguan Wanita. Jom pakat-pakat cari majalah Mingguan Wanita keluaran 1593 30 Mei - 7 Jun ini.









Antara produk jahitan yang dihasilkan dari banner terpakai. Dijahit oleh guru-guru di Pusat Epal berdasarkan idea yang digarap oleh Madam sendiri.

Friday, May 9, 2014

November Itu, Aku dan Pak Aziz Sattar

Teks: Netty Ah Hiyer 
Foto: Mohd Halim Abdul Wahid

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Tanggal 30 November 2011, pertemuan saya dengan arwah Pak Aziz di Kompleks Media Karangkraf. Saya mengandungkan anak ketiga, Qaseh Zahirah waktu ini. Mungkin sebab inikah Qaseh ada sikit elemen 'gedik-gedik' mahu jadi artis. ;)

Telah dua hari allahyarham Datuk Aziz Sattar yang lebih senang membahasakan dirinya 'bapak' meninggalkan kita semua. Ternyata Allah lebih sayangkan seniman terakhir 'Bujang Lapok' ini dan memanggil beliau pulang kepangkuanNya pada usia 89 tahun. 

Walaupun pertemuan saya bersama Pak Aziz ini sekali cuma, namun ia sentiasa meninggalkan kesan yang cukup dekat di jiwa saya. Penghujung tahun 2011, Kak Nuri (kini Editor Pengurusan Kanan) merancang memberi nafas baru untuk kolum hiburan yang semakin tepu. Hasil penelitiannya, Kak Nuri mahu adakan sebuah ruangan berjudul 'Minda Artis'. 

Ia berbentuk Q&A (Soal Jawab) antara wartawan dan artis. Isunya boleh berkaitan apa sahaja termasuklah soal dunia hiburan, isu semasa malah perihal dunia sekalipun boleh diajukan pertanyaan pada artis. Falsafah disebalik pembikinan ruangan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pembaca bahawa artis Malaysia itu berpengetahuan bukan sahaja dalam bidangnya malah apa sahaja isu yang berlaku di persekitarannya.

Orang pertama yang diberikan tanggungjawab itu adalah saya. (Sebenarnya kebetulan waktu itu di jadual kerja nama saya yang tertera). Tidak boleh mencari sebarangan artis. Perlukan seseorang yang benar-benar 'otai' dalam industri. Saya mencari diinternet nombor telefon artis yang begitu ingin saya temui. Siapa lagi kalau bukan Pak Aziz.

Lalu, saya menghubungi beliau dan menetapkan temujanji. Awalnya saya mahu menemuramah di rumahnya tapi Pak Aziz dengan rendah hati memaklumkan rumahnya kecil dan tidak sesuai untuk ditemubual. Ada cucu-cucu dan bimbang membuatkan temubual menjadi tidak selesa. 

"Saya akan ke karangkraf," ujarnya membuatkan saya semakin berdebar-debar.

Rakan-rakan wartawan yang lain, masing-masing sudah memerli. Tidak patut kata mereka, minta seniman sehebat itu datang ke pejabat kami di Shah Alam. 

"Saya tak paksa, Pak Aziz sendiri yang mahu datang." Jawab saya mempertahankan

Hari yang dinanti tiba juga. Tanggal 30 November 2011, lelaki berkemeja batik abstrak bertubuh sederhana itu meredah lebuhraya Persekutuan, berpusing di bulatan seksyen 15 dan akhirnya memberhentikan kenderaan yang dipandu sendiri di perkarangan Kompleks Media Karangkraf. 

Langkah penuh cermat di atur dan kami membawanya ke kafeteria. Pak Aziz  belum sarapan ketika itu. Pesanan Pak Aziz masuk buku saya. Saya gembira kerana dapat berbuat sesuatu untuk orang yang saya hormati. Bukan sahaja saya, sesiapa yang menemuinya pasti menyapa. Malah hari itu, En Nasir yang juga 'Board of Director' kami tak melepaskan peluang merakam kenangan bersama. 

Sungguh pertemuan itu benar-benar terkesan di hati. Menerusi beliau seolah-olah saya mengenali selebih dua orang seniman Bujang Lapok yang telah tiada. Ia membuatkan minda saya menerawang jauh membayangkan seolah-olah berada di studio Jalan Ampas bersama insan yang sudah melekat disanubari sejak saya kecil lagi.

Saya membesar dengan cerita layar hitam-putih itu. Dendangan lagu allahyarham Tan Sri P Ramlee adalah lagu kegemaran saya. Muzik klasik itu sentiasa mententeramkan jiwa kala dihimpit bahang strees bergelar pelajar.

Lalu apakah yang paling istimewa tentang pertemuan itu? Ia menemukan saya tentang sesuatu yang indah tentang allahyarham. Pak Aziz ini cukup aktif orangnya. Aktivitinya sentiasa padat dengan pelbagai jemputan ceramah di sekolah mahupun universiti. Tapi satu pesanan Pak Aziz yang masih melekat di hati adalah tentang menjaga solat. Dan amalan itulah yang membuatkan tubuhnya sentiasa sihat dan cergas.

Situasi yang sama pernah saya temukan ketika menemuramah Dato' Hattan. Itulah yang beliau kongsikan. "Selama ini saya mencari ke sana ke mari. Rupa-rupanya rahsia itu hanyalah menjaga solat."

Hari itu, Pak Aziz kongsikan cerita yang sama ditambah cerita jenaka tentang banjir. Katanya, waktu itu berlaku banjir di set pengambaran. Pak Sudin dengan cemas berlari-lari sambil minta kawan-kawan selamatkan diri sebab banjir sudah sampai ke paras pinggang Ibrahim Pendek. Kawan-kawan yang dengar kelam kabut mahu berlari. Kemudian mereka terfikir,  bukankah paras pinggang Ibrahim Pendek cuma separas lutut mereka saja? Itulah yang menimbulkan kelucuan dan cerita itu langsung di bawa ke atas pentas. 

Ya, cerita itu membuatkan kami (saya dan jurugambar) berasa senang sekali. Tidak mahu rasanya bangun dari kerusi dan mahu terus mendengar cerita-cerita 'behind the scene' industri perfileman dahulu. Setiap tutur kata Pak Aziz pasti ada humornya. Lelaki ini sememangnya 'comedian' sejati. 

Ya Allah tempatkan roh Pak Aziz di kalangan orang-orang beriman dan dirahmatiNya. Amin.

Sebelum mengakhiri bicara, saya kongsi di laman ini artikel 'Minda Artis' yang pertama kali di siarkan di Mingguan Wanita tidak lama dahulu. Yang saya kongsikan ini edisi 'uncut'. Maksudnya tidak diedit akibat kekurangan ruang di majalah atau hal-hal lain yang berkaitan dengan dunia penerbitan.

 
Minda artis



Oleh: Netty Ah Hiyer

Foto: Mohd Halim Abdul Wahid



H:



Studio Jalan Ampas dan filem-filem arahan Tan Sri P Ramlee begitu sinonim dengan nama seniman negara Datuk Aziz Sattar. Menerusi lontaran dialog dan watak lakonan yang dimainkan membuatkan namanya terus meniti di bibir rakyat Malaysia sehingga 6 dekad lamanya. Pastinya tidak ramai pelakon seumpamanya yang mampu menghasilkan lakonan hebat sekaligus meninggalkan kesan di jiwa para penonton untuk satu-satu tempoh yang panjang. Datuk Aziz Sattar atau lebih mesra dengan panggilan Pak Aziz ini telah membuktikan apa yang diusahakan oleh artis-artis terdahulu mampu dijiwai peminat sekaligus menjadi panduan kepada generasi akan datang. Pertemuan singkat yang berlangsung antara Datuk Aziz Sattar dengan Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf menjawab beberapa persoalan mengenai industri seni tanahair, pengiktirafan seseorang artis dan perjuangan Datuk Aziz Sattar terhadap nasib artis-artis veteran di negara ini.



Soalan: Bagaimana Pak Aziz melihat senario sesetengah artis yang masih perlu berlakon pada usia emas?



Setiap manusia akan meningkat usianya. Tetapi itu tidak bermakna umur tua seseorang itu tidak boleh berbuat apa-apa hanya menunggu anak-anak menyara hidup kita. Saya melihat konsep usia panjang sebagai satu anugerah daripada Allah. Bermakna saya masih boleh bekerja dan diberikan kesihatan yang baik membuatkan saya masih boleh berusaha sampai sekarang. Saya tak pernah minta apa-apa, tetapi bila saya sakit anak-anak pasti akan mengambil berat. Apabila kita terlalu memikirkan soal malas, esok lusa ia akan menjadi satu hobi yang akan merosakkan tenaga. Kita perlu sentiasa berusaha dan bergerak agar dimurahkan rezeki.



Sememangnya artis-artis kita tidak mempunyai simpanan hari tua kerana kerja mereka dibayar secara kontrak. Di Singapura (dahulu) juga begitu, gaji artis sahaja dipotong tetapi bonusnya tidak. Jadi bila sudah meningkat usia, pendapatan kami tidak dapat seperti orang lain. Saya amat berharap kiranya, penerbit-penerbit menyediakan kemudahan simpanan hari tua untuk para pelakon mereka. Yang mana, buat masa sekarang kemudahan sebegini belum ada lagi.



Soalan: Pak Aziz sendiri masih sedia bekerja sampai hari ini? Tidak letihkah?



Sekarang ini orang masih panggil berlakon. Kalau tak ada kerja lain, saya pergi berceramah di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Saya tak minta apa-apapun, orang beri saya ambil, kalau tidak, tak mengapa. Tujuan saya hendak beramal kepada masyarakat. 


Walaupun saya berlakon, tapi saya tak tinggal solat lima waktu. Kerana ibadah itulah yang membantu kita. Insyaallah, ada bekalan untuk kita disana. Mudah-mudahan amalan terbaik yang kita buat itu diterima Allah.



Soalan: Adakah itu juga bermakna artis sendiri perlu bijak merancang kewangan mereka?



Itu terserah pada diri masing-masing. Saya paling takut berhutang. Orang tua saya pernah bertanya, siapakah orang yang paling senang hidupnya. Saya bilang, orang kaya. Bapa saya pula bilang, bukan orang kaya yang paling senang, tapi orang yang tak ada hutang yang paling senang dalam hidupnya. Jadi saya pegang kata-kata itu. Lagipun, seorang ulama juga pernah berkata hutang sudah termasuk dalam satu penyakit yang terbesar dalam dunia.



Umpamanya, apabila kita dapat seringgit, belanjakan 50sen dan selebihnya disimpan. Alhamdulillah, sampai hari ini saya dapat kumpul wang dan membeli kereta dan rumah PPR secara tunai. Bukan soal rumah flat, tapi saya fikir rumah yang saya duduk selesa untuk kami berdua itu sudah mencukupi. Saya juga tidak perlu bimbang dengan ketukan pintu dari orang-orang yang menuntut hutang. Kalau rumah besar, tetapi berhutang bukankah itu akan lebih menyusahkan. Kalau tak terdaya, mengapa kita hendak tonjol-tonjolkan. Itu pada saya, orang lain saya tak tahu masing-masing ada cara hidup sendiri.



Soalan: Bagaimana dengan filem-filem Pak Aziz yang ditayangkan di televisyen? Tidakkah mendapat bayaran royalti darinya.



Saya tidak dapat royalty dari filem yang saya lakonkan dengan P Ramlee di Jalan Ampas. Sampai sekarang ia ditayangkan, saya tidak merasa duit satu sen itu dibelah empat. Sedangkan di pihak yang satu lagi sudah merasainya. Saya pernah mengemukakan perkara ini kepada pihak penerbit di Singapura dulu. Dalam perjanjian ia mengatakan yang saya tidak dibenarkan berlakon dengan syarikat lain selama lima tahun dan saya tidak dibenarkan ke luar negeri. Tapi perjanjian itu tidak termasuk soal tayangan filem di televisyen. Apa yang saya tuntut adalah tayangan di televisyen. Lalu dia jawab, filem itu hak mereka. Benar saya akui itu, tapi dia lupa yang ‘talent’ itu hak siapa? Tanpa ‘talent’ dapatkan filem itu ditayangkan?



Saya berharap pihak kerajaan dapat membantu kami mengemukakan perkara ini kepada pihak tertentu supaya yang masih hidup ini dapat merasa sedikit. Tak banyak, sedikitpun jadilah. Mungkin itu akan menjadi ubat buat kami selama kita berkorban menjayakan usaha mereka.



Soalan: Bagaimana Pak Aziz melihat hasil kerja Tan Sri P Ramlee?



Orang selalu bertanya, filem P Ramlee boleh tengok berkali-kali. Mengapa? Kerana keikhlasannya. Sewaktu mengarah, P Ramlee akan didik orang lain sampai jadi bagus. Dia tidak mahu bagus seorang diri. Lihat sahaja dalam ‘title’ nama pelakon, dia boleh dahulukan namanya tapi dia letakkan nama saya dan Sudin di atas namanya. Lihat juga tiada seorang pun pelakon perempuan yang gagal masa zamannya. Ini yang menjadikan orang sukakan dia.



Sh: Mengapa bayaran artis veteran dan artis baru dibeza-bezakan? Sedangkan artis veteran itu jauh lebih berpengalaman dalam bidang lakonan?



Persoalannya mengapa ia boleh jadi begitu? Kalau sesetengah pihak boleh menghargai saya, mengapa tidak di pihak yang lain. Tidakkah mereka fikir apa yang saya rasa? Saya pernah ditawarkan dengan bayaran yang tidak setimpal. Yang sebelum itu, tawaran yang sama pernah diberikan kepada rakan baik saya dalam industri ini. Kalau saya terima tawaran itu, apa perasaan kawan saya. Saya tidak mahu mengkhianatinya. Mungkin inilah sifat orang kita. Waktu di Jalan Ampas dahulu pun tidak begitu. Contohnya seniman Ahmad Nisfu, satu hari ‘shooting’ dia dibayar RM75 jika sekarang menyamai RM800. Tapi P Ramlee sanggup ‘shooting’ sampai 3 ke 4 hari kerana nawaitu mahu bantu kawan dapatkan bayaran yang setimpal.



Soalan: Adakah gosip artis pada zaman Pak Aziz?



Kalau tengok majalah dulu-dulu, tak keluar cerita-cerita gosip. Dulu saya boleh tengok wayang berdua dengan Saadiah selama seminggu. Tak adapun gosip kerana nawaitu masing-masing. Allah lindungi. Dulu minum di warung kopi pun boleh. Sekarang? Coffe house…



Lagipun, dahulu kami tak mengejar glamour. Hari ini, banyak dipengaruhi oleh kemewahan sehingga melihat dunia seolah-olah syurga. Waktu zaman kami, orang tengah susah. Hendak membeli tiket berharga 30 sen pun orang tak mampu. Sanggup mereka duduk di luar. Sangat susah waktu itu. Kerana melihat keadaan itulah, P Ramlee rasa insaf dan timbul satu pendapat bahawa ‘Seni bukan untuk wang, tapi seni untuk masyarakat’. Itulah perjuangan kami dahulu, Alhamdulillah, mungkin kerana nawaitu itulah kami disanjung sampai sekarang. Walaupun sudah 39 tahun P Ramlee dah meninggalkan kita, jasanya masih dikenang sampai hari ini.



Sh: Komen Pak Aziz mengenai pelawak sejati.



Saya sendiri tidak berani bilang diri sebagai pelawak kerana saya tidak tahu sejauh mana kebolehan saya. Dahulu, saya ada pakai kostum, tapi bila saya pulang malam hari saya terfikir yang saya perlu betulkan kembali konsep lawak itu. Orang ketawa bukan kerana pakaian kita tetapi gerak geri dan penyampaian kita. Jadi saya pesan pada P Ramlee yang malam itu kami akan melawak di sekolah orang putih. 

Saya gunakan ‘broken English’ tapi orang ketawa terbahak-bahak. Bila balik saya faham yang lawak itu bukan kerana baju, topi atau misai tapi apa yang kita sampaikan. Sebab itulah dalam filem Bujang Lapok, ia tidak dilakukan sampai berlebihan. Itulah ilmu yang mula-mula kita dapat dan disampaikan sampai hari ini. Lawak sebenarnya adalah cerita yang disampaikan dan bagaimana hendak membuatkan orang ketawa dengan cerita itu. Komedi tidak perlu mencarut. Ia perlu disampaikan dengan cara memberi ilmu kepada penonton. 


Pelawak perlu mencari satu bahan yang boleh memberi kesan atau ikutan kepada anak muda supaya generasi akan datang boleh melakukan seperti kita, Bukannya meniru tetapi untuk dijadikan contoh.



Soalan: Relevankah persatuan artis



Saya tubuhkan Kebajikan Artis-artis Veteran untuk membantu artis kita bukan bayaran bulanan tetapi bantuan jika sakit di hospital kerajaan mahupun soal kematian. Untuk taja bulanan kami belum mampu. Ini kerana, kami prihatin dengan nasib para pelakon kita. Kebanyakan artis bila disuruh masuk persatuan akan kata apa persatuan boleh beri? Tapi dia lupa, biasanya kita bekerja dapat gaji dahulu atau gaji dapat dahulu? Tidak ada satu majikan yang ambil orang bekerja dengan memberi gaji dahulu. Itulah satu masalah yang paling berat sekali untuk kita fikirkan. Walaupun begitu,kita akan terus berusaha dan teruskan usaha ini. Semoga Allah membantu kita. Lagipun segalanya datang dariNya dan ia memerlukan juga kerjasama semua.





Wednesday, May 7, 2014

Semoga Bahagia Itu Menjadi Milik Kita

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Petikan dari facebook Netty Ah Hiyer

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani








 Perkongsian teman-teman FB saya tentang Makna Bahagia. Terima kasih kepada teman-teman yang sudi memberikan sumbangan buah fikiran anda. Saya amat menghargainya

Semalam, saya minta teman-teman bantu saya untuk berkongsi rasa hati mereka tentang 'Makna Bahagia'. Bermacam pengertian bahagia telah saya terima dan dapat saya himpunkan dalam entri kali ini. Ternyata saya juga bahagia kerana mempunyai rakan-rakan facebook yang baik hati dan sudi bersama-sama saya mencari makna sebuah kebahagiaan.

Masing-masing mempunyai pengertian bahagia yang tersendiri. Ada yang bahagia bila dapat makan coklat (Adik saya la tu!), ada juga yang bahagia bila dapat membahagiakan orang lain malah ada juga yang bahagia bila dapat bersama insan tercinta seperti keluarga dan anak-anak. 

Pastinya rasa bahagia itu, mereka sendirilah yang dapat merasai keindahannya. Saya tidak boleh memaksa anda untuk menjadi bahagia. Malah Mark Zuckerberg sekalipun belum tentu boleh membahagiakan anda yang kala itu dilanda gundah gulana. Rumah besar, barang kemas yang menimbum barangkali seronok anda miliki. Namun bahagiakah anda? Atau ianya hanya kegembiraan yang bersifat sementara? Selepas rumah besar menjadi usang, barang kemas menjadi pudar rasa bahagia juga semakin berkurangan. Lalu inikah bahagia yang dimaksudkan? Bahagia yang bagaimanakah yang kita mahukan?

Nikmat bahagia itu terlahir apabila hati seseorang dalam keadaan tenang, redha, syukur dan sabar. Syukur dengan apa yang ada, sabar menerima apa yang tiada. Hm.. dah macam ustazah pula malam-malam begini. Hakikatnya itulah nikmat bahagia. Tidak ada salah mahupun betul tentang pengertian bahagia yang teman-teman saya coretkan.

Ianya saling berkaitrapat antara hubungan kita dengan Yang Maha Esa, hubungan kita sesama manusia mahupun makhluk yang ada di persekitaran kita. Sepanjang saya mengelolakan ruangan 'Di bawah lembayung Kaabah' dengan kerjasama ustaz Dato' Daud Che Ngah saya banyak belajar tentang 'sesuatu' iaitu bersangka baik dengan Allah.

Begitulah hakikat hablum minallah, hablum minannas ini yang jarang diperhalusi dengan baik oleh kita malah saya sendiri. Bahawa setiap sesuatu yang terjadi itu sudahpun tertulis untuk kita. Hatta, ketika saya menulis ini pun, ilham itu adalah bersumberkan daripadaNya. 

Sesungguhnya syaitonirajim itu sentiasa membisikkan kejahatan di hati manusia melalui jin dan manusia. Ini antara ayat yang disebut oleh Allah dalam surah An Nas. 

Mereka tidak mahu manusia bahagia. Dan itulah ikrar mereka yang mahu menyesatkan anak-anak Adam.  Biar sama-sama masuk ke neraka jahanam menemani mereka yang enggan tunduk kepada nabi Adam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Doa Ketenangan Hati

Banyak sekali doa-doa yang Allah ajarkan kepada hambanya untuk mengembalikan kekuatan hati. Antara doa yang rasulullah SAW amalkan di waktu pagi dan petang adalah doa yang terkandung di dalam al Mathurat.

“Allahumma inni a’uzubika minal hammi walhazan. Wa’a’uzubika minal ‘ajzi wal kasal wa’a’uzubika minal jubni wal bukhli, wa ‘a’uzubika min ghalabatid daini waqahrir rijaal.
bermaksud:
Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada rundungan sedih dan duka. Aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Aku berlindung kepada-Mu dari beban hutang dan penindasan orang).”

Hati yang tenang dan kuat, pasti tidak akan mudah tergoda mahupun goyah dengan kekalutan yang berlaku di persekitarannya. 

Semoga pembaca budiman memperoleh nikmat kebahagiaan yang dicari dalam kehidupan ini.

PS: Sebuah entri ringkas dan tidak seberapa dari saya.

Sunday, May 4, 2014

Hikayat Menara Sakti Dan Kerbau Bala Ibu Mentuaku

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsung NX300

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Pokok kaktus ini ada di halaman rumah ibu mentua saya di Lenggong. Kecil molek sahaja saiznya.

Tak selalu saya dapat pulang ke kampung Sira Putih, Lenggong. Paling tidak sebulan sekali barulah saya berpeluang menjengah keluarga mentua. Ikrar saya pada en suami, sebulan sekali kita wajib pulang ke kampung halamannya. Sebabnya, hampir setiap hari 'kita' akan pulang ke rumah mak saya. Anak-anak saya pun mak saya yang tolong jagakan. Sebab itulah, ikrar sebegitu terlafaz.

Rutin itu menjadi perkara wajib untuk kami berdua. Dari kami berkereta Wira Sedan 1.3 warna 'Perawan Yellow' sampailah ke kereta yang kami naiki sekarang, tidak pernah sekali saya gagal pulang ke kampung en suami setiap bulan. 

Cuma seingat saya sekali sahaja saya gagal untuk pulang, itupun disebabkan deadline bumper Hari Raya dan ianya telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat kami berdua. Sungguh terkilan rasa di hati.

Namun, apakan daya Allah juga Maha Menentu Segalanya. Dialah yang mentadbir hati, Dia jualah pemegang hati setiap manusia. Tidak boleh sesiapa pun menidakkan soal kekuasaanNya itu.

Biarlah kerja berat menimbun, belanja pulang tidak berapa nak ada, hatta anak cedera di tangan sekalipun, saya tetap akan pulang melihat mentua di kampung. Saya percaya kasih ibu mentua sama sahaja dengan kasih ibu sendiri.

Syukur Alhamdulillah, saya masih ada ibu mentua. Doa darinya memberi kebahagiaan buat kami berdua. Ibu mentua saya kadangkala sihat kadangkala tidak. Umurnya pun sudah melewati 86 tahun. Itu angka di dalam kad pengenalannya. Kata ibu mentua saya, usia sebenarnya lebih dari itu. Orang dulu-dulu, manalah daftarkan anak segera di balai polis.

Dia pun kadangkala ingat, kadangkala tidak. Ingatannya tidak lagi sekuat dulu. Tapi cerita-cerita tentang susur galur keturunannya tersimpan kemas di ingatannya. Setiap kali pulang, itulah dendangannya untuk saya. Barangkali saya ini menantu hantu. Sukar benar, ceritanya itu mahu melekat di jiwa saya. Walaupun dari dulu dia ceritakan pada saya, mungkin cuma 30 peratus yang benar-benar saya ingati.

Tentang pahlawan 'Tok Pendek', 'Timbulan', 'Menara Sakti', 'Kerbau Bala' semua itu ada kaitan dengan susur galur keluarga suami. Yang saya pasti arwah datuk suami saya dulu seorang guru yang cukup dihormati di kampungnya. Orang memanggilnya 'Cikgu Mat Ayib'. Arwah nenek suami saya pula handal menenun dan tekad benang emas.

Ibu mentua saya bangga sekali setiap kali menunjukkan hasil kerja tangan orang tuanya dan moyangnya itu. Memang halus seni buatannya. Ada kesempatan nanti saya rakamkan khazanah yang cukup bernilai itu.

"Ti, nak tengok tak kerja tangan orang dulu-dulu," itulah kata-kata ibu mentua saya setiap kali saya pulang ke kampung dua tiga menjak ini.

Dia mesti menunjukkan hasil seni itu kepada saya. Walaupun sudah berkali-kali saya melihatnya, saya tidak pernah mengatakan tidak. Tak sampai hati.

Saya tengok dan belek dengan hati yang sayu. "Mak simpan elok-elok." Itulah pesan saya dan suami setiap kali ibu mentua saya bentangkan satu persatu khazanah berharga miliknya itu.

Selepas beberapa hari meluangkan waktu di kampung encik suami, mahu meninggalkan rumah pusaka beserta penghuninya membuatkan saya cukup sayu dan hiba. Kadangkala saya utarakan juga pada en suami.

"Tak mahukah dia pulang ke kampung halaman. Jaga mak sementara usianya masih ada?" Setiap kali itulah pertanyaan saya tergantung tanpa jawapan. Tidak tahu bagaimana Allah mahu memimpin hati kami berdua.

Kami serah kembali kepadaNya. Setiap sesuatu yang terjadi kami tempuh dengan penuh sabar dan tabah. Antara sedar mahupun tidak, itulah teladan yang en suami ajarkan sepanjang saya bergelar isterinya. 



Koleksi gambar terkini yang saya ambil waktu pulang ke rumah ibu mentua saya awal bulan Mei ini.


Balik kampung, wajib mandi sungai.

Qaseh pun dah macam ikan duyung tiap kali cecah badan dalam air sungai yang sejuk tahap maksima ni.

Mandi sungai je pun. Mirza siap bawa peralatan snorkeling bagai.

Qaseh dan kasut memang tak boleh dipisahkan.

Ini masjid baru. Snap dalam kereta ketika menghala ke sungai.

En suami dengan gadjet baru. Mirza dengan sepupu pose ala-ala 'Kwang Soo'.

Pokok bunga raya yang belum berbunga. Buaian belakang tu tempat lepak anak-anak dan sepupu-sepupunya setiap kali balik kampung.

Leka sampai tak perasan ibu snap gambar dia.

Budak berdua ni dekat mana-mana pun nak tunjuk Hero. Biasa dia ni!

Kata ibu mentua saya, sejak akhir-akhir ini banyak sungguh kucing tak bertuan di buang di kawasan rumahnya. Saya cuma dapat snap seekor kucing. Sebenarnya ada lebih tiga ekor tapi semua dah main 'hide n seek' sebaik saja nampak kamera di hala ke arah mereka.

Gambar lama ini paling mahal sekali. Anak-anak tak ada pun yang ikut muka ayahnya. Hmmm...

Hari itu mak minta abang O tebang pokok betik. Banyak sungguh buahnya, Sayangnya, saya boleh tertinggal buah betik yang konon-kononnya mahu saya jadikan jeruk ini. Ikan masin belanak yang sedap itupun saya tertinggal di kampung. Sigh!


Related Posts with Thumbnails