Follow Saya Di Google Plus

Monday, June 23, 2014

Sepetang Ku Mengejar Sutradara Mamat Khalid

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Lumix En Suami

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

ini gambar tahun 2011, sejahtera sungguh saya waktu ini. Tapi saya seronok dapat menemuramah abang Mamat Khalid. Cabaran mahu mendapatkan abang Mamat pun boleh tahan juga.

Cerita ini barangkali sudah terlalu lama untuk dikisahkan di ruangan maya ini. Mungkin juga sudah basi. Namun, ia satu kenangan yang cukup eksklusif buat diri saya yang serba kekurangan ini. Catatan lama ini juga satu perkongsian susah senangnya melangsaikan dua muka surat kosong yang tersedia.

Saya kira, di mana-mana majalah sekalipun pengalamannya lebih kurang serupa. Mahu mengisi satu-satu bahan berita atau artikel dalam satu-satu ruangan yang dipertanggungjawabkan kepada seorang wartawan bukan semudah ABC. 

Kalau ada yang kata mudah, barangkali hari itu rezeki dia mendapat kemudahan bahan berita. Tapi, bukan selalu ya. Ada onak dan duri yang perlu ditempuh. Namun, selepas menempuh badai penuh liku itu, kemanisannya hanya seorang wartawan itulah yang dapat merasainya. Tidak terkata indahnya dan walau sampai bila-bila ingatan itu akan terus kekal di kotak ingatan. Yang akhirnya menjadi pemangkin untuk wartawan itu bergerak dan terus bergerak menjadi lebih baik lagi dalam berhadapan kerenah kerjayanya. Seharusnya begitulah rentetannya...

Kisah aku dan sutradara terkenal abang Mamat Khalid ini berlaku sekitar tahun 2011. Ini memang cerita lama. Sememangnya saya cukup 'mengidam' mahu menemuramahnya. Ini semua penangan cerita 'Rock', 'Zombi Kampung Pisang' dan pukauan tutur katanya sebagai juri jemputan di Akademi Fantasia. Lalu saya menetapkan janji temu mahu menemubualnya untuk ruangan 'Cinta Orang Popular'.

Beberapa hari sebelum menetapkan temujanji saya menghubungi beliau. Syukur beliau sudi ditemuramah di kediamannya di Ipoh. Kebetulan saya pulang ke kampung en suami, jadi dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur saya akan singgah ke rumahnya untuk sesi temuramah itu.

Tahu apa yang berlaku? Bukan mudah rupanya mahu mendapatkan sutradara terkenal ini. Dan bukan mudah juga untuk wartawan cabuk ini berputus asa dari menemuramah sutradara ini. 

Sepatutnya, saya ke rumah abang Mamat pada sebelah pagi. Abang mamat hubungi minta saya tangguhkan ke tengahari. Baiklah, saya akur. Tidak lama kemudian, sebelum saya bertolak, abang Mamat minta pula saya temuramah sebelah petang. Tapi bukan di rumahnya, lokasi bertukar di sebuah pusat membeli belah yakni tempat beliau dan krew-krewnya sedang berbincang tentang perjalanan filem terbarunya. Sebenarnya itu adalah 'hint-hint' manja agar saya berputus asa saja. 

Tuhan saja yang tahu perasaan saya waktu itu. Sekejap-sekejap saya meluahkan pada en suami. Dia tidak pernah jemu dan beri cadangan untuk memudahkan segalanya. Saya diam berdoa moga dipermudahkan segalanya. Minta dibukakan pintu hati abang Mamat agar sudi menemui saya.

Dalam pada itu saya tidak juga mahu mengalah. Dengan 'skill' kewartawanan yang saya ada dan kata-kata semangat dari tulang belakang saya (siapa lagi kalau bukan en suami), saya pun terus memujuk, merayu domba malah sedikit memaksa (huhu...) minta benarkan saya menemuramahnya walaupun seketika. Barangkali kasihan dengan wartawan yang satu ini, akhirnya saya memperoleh satu temujanji baru yang benar-benar 'confirm'.

Yeay! Tips kewartawanan yang saya pelajari hari itu. Jangan mudah putus asa, cuba selagi boleh dan doa pada Ilahi kerana Dialah yang menggenggam hati manusia.

Petang itu, en suami dan anak-anak menemani saya. Memandangkan anak-anak sudahpun tidur dalam kereta, saya turun sendirian. Menemuramah kira-kira satu jam, mengorek tentang kisah cinta abang Mamat Khalid yang saya kagumi ini. 

Sememangnya adik Datuk Lat ini kaya dengan humor. Baik di kalangan anak-anak mahupun orang luar, beliau berbual dengan cara tersendiri; serius cum santai. Walaupun ketika itu sedang membicarakan isu yang berat-berat, otak tidak terasa sarat. 


Anak-anak abang Mamat Khalid yang menemaninya petang itu.

Petang itu juga ada anak perempan dan anak lelakinya menemani. Cuma saya tidak boleh tunggu lama untuk menanti ketibaan isteri abang Mamat. Saya minta saja abang Mamat emelkan gambar keluarga kemudiannya. Selain cerita cinta, ada juga beberapa perkara yang sempat saya tanya. Terutama tentang isu kontroversi dengan KRU. Tapi blog saya bukan ruangan gosip, jadi tak perlulah dibincangkan dalam ruangan ini.

Saya masih ingat; kata abang Mamat, sebelum satu-satu filem dihasilkan, beliau merujuk dahulu perkara itu kepada mufti (terutama genre filem seram). Waktu itu, beliau merujuk kemusykilannya dengan Tan Sri Harussani Zakaria, mufti Perak. 

Masa itu abang mamat Khalid maklumkan dia bakal bikin satu filem tak silap 'Lebuhraya ke neraka' (Saya tak berapa ingat tajuk sebenarnya.. tapi lebih kurang ada perkataan lebuhraya).

Begitulah kalau mahu melakukan sesuatu, tidak boleh main semberono sahaja. Perlu ada ilmu dan bersandar usaha tanpa jemu. Tapi perlu berani dan jangan malu-malu ya. Sebelum bertemu abang Mamat banyak sekali perkara yang bermain di minda. Mahu tanya macam-macam terutama sekali rahsianya menjadi orang berjaya. 

Pastilah kejayaan abang Mamat ini tak lain tak bukan disebabkan ikhlasnya kala berkarya. Semoga abang Mamat akan terus menghasilkan filem-filem komedi-seram yang mampu menguji kebijaksanaan rakyat Malaysia berfikir. Chaiyok abang Mamat!


Thursday, June 19, 2014

Cerita Abah dan Suami Penyayang

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsung NX300 ku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Abah dan kebun pisangnya. Mak dengan Qaseh pun ikut sama ke kebun.


Buat pertama kalinya saya menaip blog ini dengan menggunakan ipad ( pinjam en suami) sementara menanti lappy tersayang diformat oleh en suami. Mentang-mentang en suami kerja bahagian teknikal IT, saya pun ambil kesempatan. tapi bukan mudah perlu tunggu lama baru dapat khidmatnya.

En suami ini pakar dalam kerja- kerja membaiki perkakasan dan perisian komputer terutamanya dari jenis Macintosh. Nampaknya macam ayat masuk bakul dan angkat sendiri...

Kenapa tergantung ayat di atas? Sebab 'intro' itu saya buat tiga hari sudah. Tak kekal lama menaip di atas Ipad. Perasaannya tak sama dengan menaip di atas lappy kesayangan. Sememangnya mood penulis ini cukup dipengaruhi oleh gadget-gadget yang ada di persekitarannya. 

Konon minggu lepas saya mahu menulis dan dedikasikan cerita untuk hari bapa. Kisah en suami yang tak pernah berkira dengan saya. Rajin membasuh dan menyidai pakaian. Sampaikan baju yang saya pakai waktu pulang kerja pun dia paksa buka segera. Mahu masuk dalam mesin katanya. 

Dengan terpaksa rela, saya pun bergegas-lekas mandi semata-mata mahu memberikan pakaian yang ada di badan. Tapi itulah istimewanya tentang si jantung hati saya. Rajin membantu tanpa paksaan. Katanya, saya ini kuat berangan. Tangan tak bergerak, berangan saja. Barangkali ada benarnya. Dan akhirnya saya cuma mampu katakan, itulah hasilnya kalau kahwin dengan penulis. Kalau tak kuat berangan bukan penulis sejati. Dia cuma mampu mencebik manja. 

Rasanya masih belum terlewat menghargai pengorbanan seorang bapa. Abah saya orangnya pandai bertukang. Dia juga kawan penyimpan mohor-mohor besar tentang isi hati saya semasa saya belajar di UiTM. 

Kalau ada sesuatu yang saya mahu kongsi dengan keluarga, abah orang pertama tahu. Sebabnya, emak saya ini agak emosi orangnya. Ada beberapa perkara yang tidak boleh sampai dahulu ke pengetahuan emak. Selepas minta pandangan abah, barulah boleh kongsi isu panas dengan emak. Mungkin kerana saya satu-satunya anak perempuan membuatkan saya dekat dengan abah. Cuma sejak akhir-akhir ini abah jadi lebih sensitif. 

Dulu dia jarang sekali menegur saya. Lewat-lewat usia ini saya tidak boleh tinggi suara dengan anak-anak. Abah akan terasa. Sememangnya sejak dari dulu abah tak suka marah budak-budak. Anak-anak kampung di kawasan rumah abah cukup mesra dengan abah. 

Abah dan Anak Kecil

Dulu waktu mereka kecil, abah sanggup layan anak-anak ini dengan memasakkan maggi satu periuk besar. Pecahkan telur, kacau-kacau mesra dan makan sama-sama di bawah pokok rambutan yang sudah puluhan tahun usianya. 

Sayangnya kenangan sebegitu sudah tiada lagi. Mungkin juga masing-masing sudah semakin sibuk dengan urusan peribadi mereka. Tak silap saya pernah cerita dalam entri terdahulu kisah abah dan anak-anak kecil yang mesra memanggilnya atok.

Saya masih ingat bila abah mengunci anak-anak kecil ini yang cukup girang bermain air paip di rumah abah. Sekali dua menasihati masih juga tidak mahu dengar kata. Sampai akhirnya abah kunci seorang dua anak kecil ini dalam bilik air.

Yang kelakarnya, beberapa orang anak kecil yang berjaya melepaskan diri telah memanggil kuncu-kuncunya. Konon mahu selamatkan kawan yang terkurung dalam bilik air abah yang ada di luar rumah.

"Kawan-kawan! Jom selamatkan, atuk kurung kawan dalam bilik air." Jerit salah seorang ketua yang saiz tubuhnya paling besar antara mereka.

"Ha! Nak selamatkan sapa? Main lagi air paip rumah atuk?" Sergah abah. Dalam hati abah ketawa terkekek-kekek dengar dua orang anak kecil ini merayu minta tolong dilepaskan.

Kenangan itu cukup lucu. Sampai hari ini cerita atuk kurung anak-anak kecil ini terus segar di kotak ingatan saya. 

Saya Kecewa

Kawasan rumah abah masih lagi bersisa suasana kampung. Cuma sejak akhir-akhir ini saya kurang setuju dengan pembangunan jalan raya yang melampau di kawasan jalan utama rumah abah.

Sepanjang laluan kampung budiman menuju ke jirat Cina Fairy park sudah dibangunkan sebatang jalan yang lebih lebar. Seharusnya saya bersyukur bukan? Bukan saya tidak bersyukur, tapi kerja-kerja penurapannya yang sekadar melepaskan batuk di tangga bukanlah satu perkara yang harus saya banggakan sebagai anak jati Kampung Budiman.

Saya tidak nampak untungnya kepada masyarakat di Kampung saya. Selain melebarkan jalan dan menyusahkan orang kampung hendak keluar ke rumah jiran-jiran yang berdekatan, ia juga menyesakkan pandangan kami dengan deretan kereta yang tidak putus-putus.

Kalaupun mahu membina sebuah perumahan, sediakanlah sekali jalan utama yang tidak menyusahkan orang kampung saya yang tercinta, Kampung Budiman. Seronok andai rintihan kecil ini dapat didengari oleh orang yang berwajib. Doa saya ianya sampai kepada mereka. Biar mereka tahu bahawa membuat kerja tidak sepenuh hati akan mengakibatkan derita kepada orang lain. 

PS: Saya akan gigih mengambil jalan raya yang teruk kerja-kerja penurapannya kelak. Kalau saya tidak mampu berjuang terang-terangan. Sekurang-kurangnya saya ada blog untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. 


Tuesday, June 10, 2014

Merebut Amalan Bulan Sya'ban

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsung NX300

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Ini bukti saya dapat CD dari Hafiz Hamidun.. :) Entah apa-apa saya ini.

Menghampiri bulan Ramadan, pengisiannya perlu yang baik-baik sahaja. Bagi yang belum selesai mengganti puasa, cepat-cepat selesaikan. Pesanan ini saya tujukan untuk diri sendiri sebenarnya. Bulan Sya'ban ini digalakkan melakukan puasa sunat. Tapi selepas 15 Sya'ban haram berpuasa ya melainkan puasa ganti atau nazar. Boleh baca rujukan tentang kelebihan bulan Sya'ban di facebook ini ya.

Kelebihan bulan Sya'ban  (mudah untuk difahami)

Malam ini agak hangat. Petang tadi pun teman wartawan dari majalah Keluarga, kak Mirie maklumkan yang catuan air akan dibuat kali kedua. Empangan air sedia ada sudah semakin menyusut. Ambil langkah berjaga-jaga dan mohon perlindunganNya moga dipermudahkan dan diberi ketabahan untuk mengharungi ujianNya ini.

Baru-baru ini, ketika saya sedang leka menaip artikel, seseorang menghulurkan CD terbarunya. Oh, kalau bab artis ini saya memang sedih sedikit. Kalau tidak menatap kulit CD itu, tidaklah saya tahu bahawa seseorang yang menghulurkan CD itu adalah Hafiz Hamidun. Sedih!

Apa-apalah saya ini. Jangan tanya saya tentang nama-nama artis, kadangkala entah siapa-siapa yang saya sebutkan. Buat gelak kawan-kawan saja. 

Hm.. tak nampak sangatkan nama-nama lagu dalam foto saya ini. Ampun, saya manusia yang penuh kekhilafan. Allah jua yang Maha Sempurna.

 CD Zikir Terapi Hati Vol 3 yang ada di tangan langsung cepat-cepat saya masukkan ke dalam perakam CD dalam kereta. Lagu-lagunya memang tenang menusuk ke kalbu dan boleh dilayan bila hati sedang gundah gulana. Tak rugi ya memilikinya. Kali ini rasanya lebih lembut dan padu muzik malah sentuhan suara Hafiz. (Ini bukan ayat bodek sebab dapat CD ya.)
  
Sememangnya ia terapi buat hati. Saya paling suka lagu Ya Allah (track no. 1). Kalau kurang yakin dan masih juga tak mahu percaya kata-kata saya. Anda dipersilakan mendengar
teaser lagu-lagu dalam CD ini boleh klik laman web di bawah ini.


Saya juga sempat rakam kenangan bersama Hafiz sambil ditemani assistant editor saya, Kak Pah (Siti Arfah Abdul).

 
Hari itu, Kak Pah pun dapat CD juga. Senyum lebar kakak saya itu.

Tuesday, June 3, 2014

Penyatuan Umat Islam Ke Arah Jalan Pembebasan Palestin

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kredit foto Karangkraf/ Mohd Helmi Baharuddin

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Ketika sidang media bersama Delegasi Tokoh Palestin dari Baitul Maqdis bersama beberapa wartawan dari majalah dan Sinar Harian.

Tugasan ini merupakan kali yang kedua saya berpeluang menemuramah delegasi Palestin. Penghujung Mei lalu, lima orang tokoh Palestin dari Baitul Maqdis tiba di premis editorial Kumpulan Media Karangkraf. Aman Palestin membawa mereka ke tempat kami. Kali ini, misi mereka membawa satu usaha ke arah menggerakkan negara-negara Islam agar bersatu dan bersama-sama mereka mempertahankan bumi suci Palestin.

Di Palestin, mereka sanggup bergadai nyawa mempertahankan bumi para anbia ini. Sayangnya, peralatan, kuasa politik malah ekonomi mereka amat lemah akibat tekanan rejim zionis Israel. Dunia perlu sedar dan membuka mata tentang apa yang sedang dilakukan oleh rejim Israel di bumi Palestin. Bagaimana mereka secara perlahan-lahan dan kejam membuang identiti Palestin yakni Islam di negara itu. Ikrar delegasi ini, selagi mereka masih ada mereka akan mempertahankan Masjid Al Aqsa dan Palestin yang merupakan hak mereka sepenuhnya.

Manakala ikrar bos kami, Dato' Hussamuddin Haji Yaacub akan turut serta membantu mereka dan mewar-warkan tentang Palestin dengan kekuatan media yang beliau miliki. 

Namun, jika umat Islam tidak bersatu. Apakah mungkin mereka mampu mempertahankan Masjidil Aqsa secara sendirian? Hakikatnya,  mereka memerlukan bantuan kita. Tidak semestinya kita perlu pergi berperang demi memenuhi konsep membantu itu. Sebenarnya, sokongan kewangan untuk menggerakkan ekonomi malah sistem pengajian mereka juga sudah dianggap  membantu mempertahankan Masjidil Al Aqsa dan persekitarannya. 

Secara perlahan-lahan Yahudi telahpun mengorek bahagian bawah masjid itu dengan menggunakan bahan kimia. Alangkah ruginya jika kita masih alpa dan tidak menyedarinya. Sungguh, pemuda Palestin begitu teguh jihad mereka terhadap jalan pembebasan Palestin. Bagaimana pemuda Palestin boleh seteguh itu imannya? Kupasan itu akan saya kongsikan dalam ruangan Bicara Tokoh di majalah Mingguan Wanita keluaran pertengahan Jun ini. 

Kejamnya Israel ini apabila mereka sesuka hati memenjarakan pemuda-pemuda Palestin yang berjuang demi menuntut hak atau negara mereka sendiri. Tanpa belas kasihan, mereka membunuh wanita-wanita yang sama berjuang mempertahankan kesucian tanahair mereka. 

Betapa kejamnya rejim zionis Israel apabila memusnahkan kubur-kubur dan mengubah masjid-masjid lalu dijadikan pusat keseronokan kaum yahudi laknatullah. Ternyata semua rancangan mereka itu tidak sedikitpun menggugat keimanan penduduk Palestin. Betapa kuatnya pergantungan hidup mereka kepada Allah akhirnya menjadikan semua rancangan jahat Israel tidak berjalan seperti yang mereka mahukan.

Mereka menutup, menyekat ekonomi Palestin namun di dalam Palestin itu sendiri haiwan ternakannya malah kebun sayurannya hidup subur. Allah merahmati bumi itu. Semoga saya dapat sampai ke sana. (Cerita ini dikhabarkan oleh sahabat saya yang berpelung menjejaki bumi Gaza tidak lama dulu). Anda akan menikmati satu perasaan yang sukar digambarkan sebaik sahaja sampai di tanah itu. Allahuakhbar.

Apabila membicarakan soal negara yang satu ini, hati saya benar-benar terusik. Setiap derita mereka adalah derita kita, kegembiraan mereka adalah kegembiraan kita. Itulah juga yang diharapkan oleh delegasi tokoh Palestin yang datang ke KMK. 

Bagi pembaca blog saya yang mahu turut serta dan memperoleh pahala membantu Palestin, ikhlaskan derma anda seberapa yang mampu ke Aman Palestin: 

BIslam:12029010047880
Maybank:562263010787
CIMB: 8600460353
BMuamalat:12070005133717 - Akaun Syria
RHB Bank:21245760004907
Bank Rakyat: 220806195922

Walaupun jasad kita di sini, doa pembebasan Palestin dan masjid Al Aqsa sentiasa terdetik di hati.

Delegasi tokoh Palestin bersama wakil media Kumpulan Media Karangkraf, Saharom Abdul Aziz (Editor E baca) dan Almaswa Haji Che Ros (Ketua Wartawan majalah Mingguan Wanita)

Saya merakam kenangan bersama Dr Najeh Bkerat, mantan Pengarah Masjid Al Aqsa merangkap Ketua Bahagian Pengajian Masjid Al Aqsa.  

Nantikan Bicara Tokoh dari Palestin ini dalam majalah Mingguan Wanita keluaran bilangan 1596 yang akan berada di pasaran pertengahan Jun ini.  

Sunday, June 1, 2014

Cerita Jiran Sebelah. Ada yang Perlu Diinsafi

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Google Image

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


-->
Ini gambar hiasan saja. 

Cerita ini saya ambil dari artikel yang pernah saya siarkan dalam majalah Mingguan Wanita beberapa bulan lalu. Ini kisah jiran selang sebuah rumah saya. Tentang anak kecilnya yang berhadapan komplikasi jantung. Bagi yang mahu menghulurkan bantuan, saya sertakan sekali nombor akaun miliknya.  


Kehadiran si kecil yang telah sembilan bulan membesar di dalam kantung rahim Siti Ronah Alias, 36 di nanti dengan penuh debaran. Tambahan pula, lagi beberapa hari rakyat Malaysia bakal menyambut Hari Kemerdekaan negara. Sudah tentu, ia memberi jangkaan yang lebih menarik mengenai kelahiran anak bongsunya kelak.

Tanggal 31 Ogos tahun 2011, anak kecilnya itu selamat dilahirkan dengan berat 3.5 kilogram di hospital kerajaan. Bayi kecil itu kemudiannya diberi nama Nur Alya Qaisara. Alya lahir secara normal tetapi apa yang membingungkan ibu muda ini, sebaik sahaja Alya dilahirkan dia tidak terus di bawa ke katilnya.

“Saya tunggu-tunggu juga, tetapi kemudian doktor memaklumkan anak saya berhadapan dengan masalah jantung berlubang dan saluran pernafasan yang sempit,” akuinya dia tidak dapat menerima penjelasan doktor dan hanya mampu menangis sepanjang menjaga anak kecilnya itu.

“Anak-anak yang lahir sebelum ini, tak pernah lagi jadi macam ini. Baik yang sulung sampailah yang nombor empat, semuanya lahir normal dan sihat. Tapi Alya benar-benar menguji kekuatan hati saya,” luah ibu kepada Muhammad Khairul Ikhwan, 15, Fatin Fatini, 14, Nurul Asyikin, 1 dan Muhammad Alif Aiman, 9 tahun.

Keadaan Alya yang kurang stabil sebaik sahaja dilahirkan membuatkan dia diwadkan di wad kanak-kanak untuk tempoh lapan hari. Selepas itu, dia dibenarkan pulang. Sememangnya jelas kelihatan keadaan Alya yang tidak selesa semasa dia cuba bernafas. Dia juga lebih kerap menangis.

Sampailah pada hari ke 13, Na dan suami, Yuseri Yusof, 39 membawa anaknya ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk membuat pemeriksaan lanjut. Pasangan suami isteri ini bersyukur kerana keadaan anaknya belum dikategorikan sebagai kritikal.

Walau bagaimanapun Alya masih perlu menjalani pemeriksaan rutin untuk memastikan keadaan kesihatannya dalam keadaan yang baik. Sebelum pulang ke rumah, doktor di IJN sempat memberi pesanan.

‘Jika bibir, kuku atau kulitnya bertukar biru, cepat-cepat angkat kakinya ke dada. Jika cara itu tak berkesan, segera ke hospital’. Ingatan itu tidak pernah Na lupakan dari ingatan. Setiap saat dia akan pastikan Alya tidak berhadapan dengan apa-apa kompilkasi yang lebih kronik.

Kira-kira tiga bulan selepas pemeriksaan itu, bibir Alya tiba-tiba berubah biru. Kulitnya juga tidak merah seperti selalu. Na semakin bimbang, cepat-cepat dia angkat kaki Alya ke dada. Malam semakin pekat, hati Na semakin gelisah. Selepas beberapa ketika tubuh Alya kembali merona merah.

“Sekarang ini Alya akan ke IJN setiap 4 bulan sekali. Baru ini doktor maklumkan yang bulan September tahun ini Alya akan menjalani pembedahan menutup jantungnya yang berlubang. Kos pembedahan itu kira-kira RM35 ribu.

“Saya tahu bukan mudah untuk mengumpulkan wang sebanyak itu. Tapi ada beberapa pihak tertentu yang sarankan agar saya minta bantuan dari pihak hospital iaitu tempat Alya dilahirkan dulu. Ada juga yang sarankan saya minta bantuan Pusat Zakat. Saya sendiri pun tak pasti hendak mula dari mana,” ujar Na ketika ditemui dirumahnya.

Walaupun Alya tidak dikategorikan sebagai pesakit jantung yang kritikal namun Na sentiasa berjaga-jaga memantau tahap kesihatan anaknya itu. Apatah lagi, Alya tidak boleh terlalu terdedah dengan orang demam. Dia pasti akan turut demam sama.

“Alya ini aktif budaknya. Tapi saya tak biarkan dia main sesuka hati di luar rumah. Cuma apabila dia letih, kulit, bibir sampailah ke kuku-kuku jadi biru. Hari ini merah pula pipi dia. Barangkali dia tahu mahu diambil gambar,” cerita ibunya berseloroh.

Kos Rawatan Yang Tinggi

Sememangnya kos rawatan bulanan Alya juga sedikit sebanyak memberi cabaran yang cukup besar buat keluarga ini. Apatah lagi, suaminya hanya bekerja sendiri yang pendapatannya tidak menentu.

“Setiap kali ke IJN saya pasti akan belanja sampai RM400 untuk bayaran perubatan, duit minyak, ‘parking’ dan sebagainya. Sebab itulah kami anak beranak ikat perut. Kadangkala saya sekat makan anak-anak. Tak bolehlah bermewah-mewah, makan sekadar yang perlu sahaja.

“Belanja sekolah anak juga cukup seadanya. Duit yuran anak-anak pun ada yang tak selesai bayar lagi. Disebabkan masalah kewangan ini juga, anak-anak saya tidak dapat saya hantar ke sekolah agama. Mereka hanya bersekolah rendah sahaja,” tambahnya sayu.

Walaupun diuji dengan anak sakit, Na tidak sesekali putus harapan. Selagi ada usaha dia akan bergerak mencari cara untuk merawat anaknya. Tidak hanya bergantung kepada rawatan di IJN, Na turut membawa anaknya mencuba rawatan alternatif.

“Ada perubahan pada keadaan Alya bila saya cuba pil untuk merawat Alya. Malah pemeriksaan baru ini doktor maklumkan yang lubang pada jantungnya juga telah tertutup sedikit. Namun, ubat itu terlalu mahal, akhirnya saya terpaksa menghentikan bekalan ubatan untuknya,” jelasnya lagi.

Bagi menampung beban kewangan, Na perlu membantu suami. Sebab itulah, kini dia menjaga anak-anak jiran yang telah bersekolah. Dia akan menghantar anak-anaknya dan anak-anak jirannya ke sekolah. Jadualnya cukup padat. Bermula dari jam 11 pagi sampailah jam 5 petang, baru Na selesai menghantar anak-anak ini ke sekolah. Kadangkala dia terpaksa membuat lebih 3 trip perjalanan untuk membawa anak-anak ini dengan motosikal. Dia juga membawa sekali Alya dan diletakkan di dalam bakul motosikalnya.

“Kalau ikutkan memanglah ujian ini berat untuk saya pikul. Satu ketika saya memang sering bertanya kenapa Allah uji saya begini. Setiap petang Khamis saya akan ikuti kelas pengajian agama, dari situlah saya dapat jawapan tentangnya dan saya redha. Pasti ada hikmah disebaliknya yang tidak saya ketahui,” ujarnya menutup bicara.

Jika pembaca bermurah hati mahu menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke:

Siti Ronah binti Alias di nombor akaun 1277-0000588-20-8 CIMB Islamic Bank Berhad.
Related Posts with Thumbnails