Follow Saya Di Google Plus

Tuesday, September 30, 2014

Bau Anak Syurga Itu

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsung NX300ku

Dengan Nama Alah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Qaseh Zahirah saya.


Sebetulnya saya diburu waktu. Entah mengapa dalam tempoh yang singkat ini begitu banyak perkara mahu saya lakukan. Minda bawah sedar saya seolah-olah memaksa diri saya untuk bertindak di luar batasan. Terus bergerak dan jangan sekali-kali menoleh kebelakang.

Namun, tanpa sedar tindakan saya itu rupa-rupanya sudah mengabaikan 'amanah' Allah yang perlu saya pelihara dengan sebaik-baiknya. Dari sehari ke sehari, ada saja yang membuatkan anak-anak kecil ini merajuk dengan ibunya yang sibuk entah apa-apa ini.

Merajuk tidak mahu kawanlah. Mengungkit dengan kata-kata 'ibu gemuklah'. Dan yang paling tragis bila Zarif tidak lagi mahu mendekati saya setiap kali saya pulang dari tempat kerja. Ironinya saya biarkan saja emosi luka mereka. Konon buat-buat tak faham, dengan harapan mereka akan pulih kemudian hari.

Saya tahu itu satu tindakan yang paling silap yang telah saya lakukan. Anak-anak ini menyimpan marah yang panjang. Tapi mereka juga perlu meluahkan marah. Biarkan ia terluah semoga ia tidak menjadi nanah. Cuma kalau melampau sangat memang 'hanger' menyinggah ke mana-mana. Oh! saya juga manusia biasa...

Ahad lepas waktu bawa Zarif dan Qaseh meronda-ronda Setia City Mall saya terperasan sesuatu. Zarif berjalan tak seperti selalu. Sekejap-sekejap kakinya diherotkan ke tepi. Itu belum aksi muka yang memelikkan. Waktu melepaskannya ke sekolah pada hari Isnin. Dia lakukan aksi yang sama. 

Sudah kenapa dengan Zarif? Saya adukan hal itu pada mak. Mak pesan balik nanti bawa dia pergi berurut. 'Dia sakit belakang dah lama, dah lama mak suruh bawa pergi berurut. Tak bawa-bawa juga. Balik nanti pergi rumah wak."

Saya angguk setuju. Dan hari itu saya menghitung waktu mahu membawa dia sesegera mungkin. Syukur sampai di rumah wak tak ramai orang yang mahu berurut. Selepas seorang pesakit, Zarif masuk ke bilik urut dan wak urut Zarif satu persatu. Mula dari kaki sampailah ke dahi. 

Rupanya Zarif bukan sakit biasa. Syukurlah cepat saya membawanya. Alhamdulillah, hari ini aksi herot-herot yang dia selalu buat tak lagi kelihatan. Degilnya pun makin berkurang. Rupanya selama beberapa hari itu yang dia asyik merentan-rentan, dia itu dalam kesakitan. Saya saja yang buat-buat tak faham. 

Dan malam ini sebelum menidurkan anak-anak saya cium Qaseh berkali-kali. Sungguh enak baunya. Anak-anak kecil yang tiada dosa ini memang berbau harum mewangi. Ya, ibunyalah yang mencorakkannya. Kasihan anak-anak saya. Dapat ibu yang sibuk luar biasa dan entah apa-apa ini. Syukur alhamdulillah, saya ada emak dan adik-adik yang baik hati dan sentiasa ada di sisi saya. Semoga emak dan adik-adik saya serta suami saya dimurahkan rezeki olehNya. Amin Ya Allah.


Thursday, September 25, 2014

Seronoknya Belajar Matematik! #giveaway


Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Iphoneku yang berjasa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Pengasas, Karen Kwan dan Dr Tay Choo Chuan bergambar bersama tenaga pengajar MathBrain




Saya dan rakan wartawan dari majalah Pa & Ma, Azma yang manis.


Saat paling mendebarkan, bila para wartawan diminta menjawab 12 soalan 'ganas' berkaitan dengan nombor.


Ruang kelas yang selesa.

Okay, saya mengaku. Tajuk dekat atas tu macam tak boleh percaya. Lebih-lebih lagi, bila seorang wartawan sejati macam saya ini yang menuturkannya. Eceh! Satu rahsia yang ramai wajib tahu, wartawan memang tak suka dan tak sukalah dengan subjek Matematik.

Kalau ada pun, tak ramai jumlahnya. Kami-kami ini cuma handal dalam bab-bab kira diskaun waktu jualan murah. Itu memang kepakaran yang tiba-tiba berkembang semasa menghadiri majlis pelancaran yang rata-ratanya diadakan di pusat membeli belah.

Hari ini, editor saya Kak Mashi minta saya 'cover event' 'MathBrain' kendalian Math Monkey Malaysia. Silibus ini dicipta di Hong Kong. Ia berkembang dan akhirnya di bawa ke Malaysia. Hari itu, barisan meja dan kerusi di Waroeng Iga dekat The Strand di susun bagaikan dalam kelas. 

Para wartawan mengambil tempat duduk dan sesi pengenalan pun bermula. Saat MC memperkenalkan para panel, saya dan teman di sebelah bagaikan cacing kepanasan. Apalah maknanya 'Seronok belajar Matematik ni.' Bak kata saya pada rakan wartawan yang lain. Hari itu, 'Algebra' akan menjadi 'Algabra'.

Tapi, bila mendengar penerangan daripada panel Karen Kwan (Pengasas MathBrain) dan Associate Professor Dr Tay Choo Chuan (Universiti Teknikal Malaysia, Melaka), persepsi saya berubah. Ternyata, Matematik itu memang menyeronokkan. Terutama pada kanak-kanak yang sedang berkembang otaknya. Dari umur 3 tahun mereka sudah berkembang sepenuhnya 'eksplorasi bahasa' dalam minda mereka. Bagaimana pula dengan otak kanan? Dalam MathBrain, mereka mengkaji tentang lima konsep perkembangan otak kanak-kanak terutama dalam matematik.

Ia bukan sekadar nombor tetapi melihat nombor dalam bentuk yang berbeza. Mencari jawapan pada setiap persoalan dengan pelbagai cara. Bukan satu kaedah semata-mata, Asalkan jawapannya sama, apa kaedah yang digunakan sekalipun, ianya tetap betul. Matematik itu ada alasannya, mengapa ia begini, mengapa ia begitu. Inilah yang tidak diajar di dalam kelas semasa di sekolah. 

Matematik itu hanya satu konsep semata-mata. Mungkin sebab itu, sukar untuk pelajar-pelajar 'sastera' seperti saya ini menangkap rasional di sebalik satu-satu persoalan. Apapun, saya percaya Matematik itu tetap memerlukan latihan berterusan. Samalah halnya dengan membentuk kemahiran menulis. Ia memerlukan latih tubi yang tidak henti-henti. Rangsang otak kiri dan paksa otak berfikir luar dari kebiasaan. 

Apa pun saya akui dari dulu sampailah sekarang ini, persoalan yang sering bermain di minda pastinya berkaitan tentang 'Penyelesaian Masalah'. Seringkali saya berfikir, 

  • bagaimana orang-orang hebat ini mencipta kejayaan
  • bagaimana mereka menyelesaikan masalah harian mereka
  • bagaimana masalah, menjadi peluang.
  • bagaimana mereka mampu menjadi kaya dan berjaya

Kadangkala jawapannya ada di depan mata, tapi saya sendiri gagal menemuinya. Uniknya, menerusi subjek, kaedah dan teknik MathBrain, mereka berupaya melahirkan kanak-kanak yang pandai menyelesaikan masalah baik dalam dunia matematik mahupun kehidupan seharian. 

Saya bukanlah mahu promosikan MathBrain ini kepada ibu bapa, tetapi jika ada yang berminat mahu tahu selepas membaca catatan ringkas saya ini. Anda boleh layari Math Monkey Malaysia.

Saya juga akan kongsikan artikel tentang 'Seronoknya Belajar Matematik' dengan lebih terperinci di ruangan Psikologi majalah Keluarga keluaran Disember nanti. Tunggu!

PS: Saya ada  1voucher percuma untuk 1 sesi kelas MathBrain bernilai RM300. Saya buka pada ibu bapa yang berminat. Anda cuma perlu kongsikan pendapat tentang 'Seronoknya Belajar Matematik' di blog anda dan backlink blog saya. Pendapat paling best akan saya pilih untuk menerima hadiah ini.

Syarat:
  • Terbuka pada ibu bapa yang ada anak berumur 4 hingga 12 tahun sahaja. 
  • 1 voucher untuk seorang anak
  • Kongsikan pendapat/pengalaman di blog anda tentang 'Seronoknya Belajar Matematik'.
  • Backlink blog saya 
  • Tinggalkan jejak di ruangan komen pada entri ini.
  • Giveaway berakhir 31 November 2014
  • Voucher hanya sah di Pusat MathBrain Kota Damansara.
 Mudahkan. Selamat mencuba!


Belajar Asas Bina Blog dan Penulisan di:

http://netty-ahhiyer.blogspot.com/p/kelas-belajar-asas-blog-sertai-kami-di.html

Beli produk kecantikan NourAin Skincare dengan saya: 

https://www.facebook.com/kedaikaknetty

Jadi Rakan Niaga Akademi Bekerja Dari Rumah:

http://netty-ahhiyer.blogspot.com/p/blog-page_10.html



Thursday, September 11, 2014

Jangan Berhenti Berlari, Kejar Impianmu

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsungku NX300

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Zarif (baju merah), Mirza (tengah) dan Qaseh.

Nampak tak sel-sel otak anak-anak saya sedang berhubung!

Ya, jangan pernah berhenti berlari dalam mengejar impian. Setiap orang mesti ada impian. Dari kecil orang dewasa suka bertanya, 'Bila besar hendak jadi apa?' Malah saya sendiri suka desak anak-anak dengan soalan-soalan melemaskan itu.

Masih terlalu awal rasanya mahu fikir besar nanti mahu jadi apa? Dan waktu itu yang terlintas cuma kerjaya guru, doktor, askar. Sekarang cuba tanya anak-anak kita. Jawapannya tentu berbeza. Mirza sendiri dek terlalu sukakan rancangan comot-comot dan kapten Boleh, dia memasang impian mahu menjadi saintis. Dari kecil dia gemar merekacipta kertas menjadi kapal dan sebagainya. 

Zarif pula minat sekali dengan berniaga. Malam tadi, emak maklumkan dia berjaya menjual lebihan sepit-sepit rambut yang nenek beli untuk hadiah tetamu cilik yang datang beraya pada Hari Raya lalu. Cuma, pesan nenek jual harga 40 sen. Zarif yang lurus dan pemurah itu menjual dengan harga 10 sen saja. Duit jualan juga tak kelihatan. Sebabnya awal-awal lagi dia sudah habiskan pula di kedai Cik Ipah. Ya, itulah Zarif pandai cari dan habiskan duit. 

Cerita Qaseh lebih istimewa. Cuma saya masih berkira-kira mahu luluskan atau tidak impian si kecil saya itu. Waktu lepak santai dengan Qaseh, abah soal satu-satu cucu perempuannya. "Bila besar mahu jadi apa? Jadi cikgu ke?" "Jadi model." Jawab Qaseh terus pose manja depan atuk. Atuk sengih lebar. Menampakkan tiga batang gigi atuk yang masih utuh.

Itulah hakikatnya, impian dicipta sejak kita masih kecil lagi. Saya dulu suka benar berangan-angan mahu baca berita. Konon mahu jadi pengacara. Akhirnya saya sendiri dipertemukan dengan salah seorang idola dalam dunia kewartawanan penyiaran selepas berpuluh tahun menanam impian itu. Baca kisah saya dan Nurfarahin Jamsari di sini.

Waktu tingkatan lima, emak belikan saya mesin taip. Masa itu saya mahu menyiapkan tugasan kerja folio yang diwajibkan untuk pelajar tingkatan lima. Saya masih ingat bagaimana saya menangis tidak henti-henti kerana kertas kerja yang saya usahakan itu terkoyak dan tidak kemas. Menangis sungguh-sungguh sampai pasrah dan tidak mahu hantar tugasan. Apabila markah dikeluarkan, kerja folio saya itu mendapat markah yang tinggi kerana memenuhi ekspektasi dan tidak lari dari kehendak soalan.

Mesin taip itu kemudiannya terbiar begitu sahaja. Sesekali bila saya kebosanan, saya akan mula mengarang puisi. Tulis sahaja apa yang terlintas. Ada juga cerpen satu muka ke dua, saya ketuk-ketuk tetapi tidak sanggup mahu diterbitkan. Lagipun waktu itu saya terlalu dangkal dalam bab-bab penerbitan ini. 

Surat khabar di rumah saya pun sebulan sekali belum tentu ada. Waktu itu, duit untuk beli makanan dan keperluan dapur lebih mendesak lagi. Saya bukannya lahir-lahir di atas dulang emas. Semuanya perlukan kegigihan dan ketabahan dan survival. Sesekali, ibu rajin juga membeli majalah. Saya masih ingat, adik saya ketika itu, cukup rajin membeli majalah Media Hiburan. Nampaklah juga nama-nama Intan Zabidin, Emma Hussin, tak sangka akhirnya saya satu pejabat dengan kak Intan.

Oh, mesin taip itu. Ia terus berguna kepada saya. Sampailah saya belajar di UiTM, saya masih menggunakannya untuk membuat tugasan yang diberikan pensyarah. Cuma bila terlalu terdesak mahu menghantar tugasan, saya pinjam sahaja mesin taip elektrik teman sebilik.

Dulu saya bukannya pelajar yang pandai matematik. Tapi subjek Bahasa Melayu dan Inggeris saya bolehlah tahan. (Tak boleh angkat bakul lebih-lebih). Sampai saya terfikir, apalah nak jadi dengan masa depan saya. Asyik gagal matematik sahaja. Bagi membolehkan saya pandai Matematik, cikgu Rosmawati minta saya mengambil dan menghantar bukunya ke biliknya setiap kali kelasnya mahu bermula. Berkat membantu guru ketika itu barangkali, saya lulus juga subjek Matematik waktu SPM. Tapi cukup-cukup makan.

Saya sendiri tak menyangka akan ada di bidang penulisan ini. Cuma dulu saya suka berangan-angan pergi ke luar negara, bercinta dengan Mat Salleh. Kononlah! Syukur Alhamdulillah, Allah benarkan juga saya menjejaki beberapa tempat di luar Malaysia. Berjalan ke sana ke mari. 

Namun, saya percaya setiap kejadian itu telah Allah tetapkan aturannya. Begitu juga dengan apa yang kita impikan. Usahakanlah dengan sedaya upaya, semoga Allah mendengar rintihan hati kita ini. Seperti juga ketika ini, walau sudah bergelar wartawan, masih ada lagi impian besar yang mahu saya laksanakan. 

Saya tahu jalannya tidak mudah. Berliku-liku, kadangkala gembira lebih banyak pedihnya. Jangan sesekali mengalah. Semoga saya terus konsisten dan kuat. Oh mahu cerita panjang lagi. Tapi mata dah mengantuk dan saya sudah melalut-lalut. Esok sajalah saya sambung kisah bagaimana desakan emak membawa saya ke bidang ini.

PS: Cerita ini amat berterabur.. endingnya pun ke laut.. layan sajalah ya.. :)



Sunday, September 7, 2014

Hatiku Bersamamu Intan #hatikubersamamuintan

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsungku NX300

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,

Hari lahir Zarif yang sama tarikh dengan Acik Intan.

Tujuh tahun lalu, ketika saya berperang dengan emosi berpantang selepas melahirkan anak kedua, sahabat saya Intan Jastina sentiasa ada memberikan kata-kata semangat. Dia sentiasa ceria dan dialah juga sumber rujukan saya setiap kali saya 'frust' tak boleh terima masakan pantang yang emak sediakan.

Perkara yang paling saya tidak selesa adalah melalui tempoh berpantang yang memerlukan saya berparam, berpilis malah menelan hidangan yang sama dan 'zuhud' selama 60 hari. Waktu anak pertama, saya terima sahaja. Setiap pagi cuma minum secawan kopi dan dua ketiga keping biskut kering. Tengaharinya makan separas senduk nasi sahaja dengan lauk ikan bilis dengan sedikit kicap. 

Sesekali, mak sediakan sup sayur atau orang jawa panggil 'sayur bening'. Sekali dua saya makan ikan keli yang dipancing anak-anak kecil di kampung saya. Itu pun mak yang minta mereka cari, buat merawat luka pembedahan. Biar cepat sembuh luka dalaman. Sekali lagi... waktu itu saya terima saja.

Masuk anak kedua, saya terlebih cerewet. Entah menggedik apa, saya tak sanggup makan lauk pantang yang emak sediakan. Sebenarnya itu alasan saja, yang sebenar-benarnya saya kasihan dengan emak. Usia emak pun bukan muda, kena bangun seawal pagi mahu masakkan lauk pantang saya. Bila sudah terhidang, saya pula buat-buat merungut konon 'bosan' dengan lauk pantang itu. Selepas dua minggu saya pulang ke rumah sendiri.

Waktu itu, mana ada wifi apatah lagi facebook. Jadi majalahlah sumber rujukan saya. Itupun majalah yang saya kirim daripada en suami. Beli saja di Karangkraf lebih menjimatkan. Tapi tak semua masakan berpantang ada dalam keluaran terkini majalah. Hendak tak hendak, kenalah cari sumber asal rujukannya. Waktu itu, Intanlah penulis di majalah Pa & Ma yang mengendalikan ruangan ibu dan anak malah resipi berpantang. Dia juga cukup gigih dengan penyusuan ibu. 

Setiap kali saya dilanda masalah memikirkan resipi berpantang atau perihal Zarif yang masih merah itu, dialah yang akan saya hubungi. Saya juga tidak jemu-jemu mengganggunya dengan rungutan masakan berpantang yang tidak enak itu. Barangkali bosan atau mungkin Intan kasihan, akhirnya dia mencarikan menu-menu masakan berpantang dan membuat fotokopi untuk saya. Seronok sungguh saya ketika itu. Dari lauk-pauk yang sama, saya boleh bereksperimen dengan bermacam lauk berpantang berdasarkan resipi yang Intan berikan. 

Intan baik hati orangnya. Begitu juga arwah suaminya. Setiap kali mereka singgah beraya di kampung Lenggong pasti kesemua anak buah kami yang ramai itu akan mendapat duit raya. Malam ini ingatan untuknya terus menerjah perasaan saya. Sepanjang mengandungkan Mirza, Zarif malah Qaseh, Intan sentiasa ada di sisi kami. Ketika saya memerlukan 'breast pump' disebabkan Qaseh di tahan di wad kanak-kanak akibat demam kuning. Intan sedia meminjamkan 'breast pump' miliknya. Saya masih ingat dengan jelas arwah Ameen laju berjalan sambil menjinjit 'breast pump' yang amat saya perlukan ketika itu. Bukan sekadar memberikan pinjam begitu sahaja. Lengkap pula penerangannya. Ya, dia dan arwah Ameen sentiasa ada di hati kami.

Awal tahun lalu, Intan sertai kelas penulisan blog bersama saya. Katanya, Ameen yang minta dia menulis di blog. Cuma kesibukan kerjaya dan menguruskan anak-anak intan tidak sempat menulis di laman penyusuannya. Tidak tahu kelak, Intan akan kembali menulis atau tidak. Sesungguhnya, Allah itu sebaik-baik perancang.

Esok Intan akan melalui proses kelahiran secara pembedahan. Malam ini, hati saya terlalu sayu terkenangkan dia. Suaminya, Ameen baru tiga hari menemui Allah Yang Maha Esa. Tidak tahu bagaimana dapat saya gambarkan kekuatan diri Intan ketika ini. Sememangnya Intan kuat orangnya. Saya sendiri tidak pasti dapat menjadi sekuat dia atau sebaliknya jika diujiNya sedemikian rupa. Sesungguhnya Allah menguji orang-orang yang mampu melalui ujianNya itu. 

Intan sama tarikh lahir dengan Zarif, 10 November. Setiap kali terpandang Zarif, akan terbayang muka Intan. Zarif pun walaupun kuat menangis tapi dia juga mewarisi sifat budak yang tabah. Sejak dia tinggal dengan neneknya, dia jadi budak yang cekal hatinya. Pandai membawa diri di rumah nenek. Walaupun nakalnya jangan cerita, tapi dialah yang rajin mengemas rumah nenek. Kadangkala membasuh pinggan nenek. Semoga Zarif sekuat acik Intan. 

Doa saya sentiasa mengiringi Intan, anak-anaknya dan keluarganya. Moga perjalanan Intan dipermudahkan dan Allah menggantikan kesedihan Intan dengan 'hadiah' yang lebih baik lagi. Amin.

PS: Kalau Intan terbaca coretan ini, Intan perlu tahu yang kami sayangkan Intan. Dan mahu Intan kembali ceria. Kalau Intan perlukan apa-apa, kak Net dan Abang Yem sentiasa ada.
Related Posts with Thumbnails