Follow Saya Di Google Plus

Monday, November 24, 2014

Masih Ada Harapan #MH370

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera iPhoneku

Dengan Nama Allah Yang Mana Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Perkongsian Intan Maizura Othaman MH370 dalam majalah Keluarga keluaran November 2014


Anda masih boleh mengikuti cerita Intan & harapannya pada MH470 dengan mencari majalah backdated di Kedai Buku Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.




Hilangnya MH370 terus menjadi tanda tanya. Sebagaimana waris-waris mangsa MH370 yang sentiasa mencari jawapan ke mana destinasi akhir MH370, begitulah harapan rakyat Malaysia yang sentiasa mengharapkan kepulangan kapal terbang boeng ini kembali ke landasan permulaan penerbangannya.

Cerita Intan Maizura ini cukup dekat dengan saya rupanya. Tanpa saya sedari, dan mengapa saya tidak sedari bahawa Intan ini pernah saya temuramah sebelum ini. Sekitar tahun 2013, saya bersama jurugambar ketika itu, Mohd Jazlan Nangar datang ke rumah Intan dan suaminya, Rain di Subang Jaya.

Kami rakam gambar rumah mereka untuk dimuatkan dalam ruangan dekorasi di majalah Mingguan Wanita. Selesai shooting, panjang kami berbual. Tentang kisah anak-anak kapal MAS, tentang Karangkraf dan bermacam lagi.

Pasangan ini cukup mesra orangnya. Suami Intan, Rain cukup romantis orangnya. Hampir setiap hiasan dalaman rumah mereka ada kisah cinta antara mereka berdua. Dari soal potret di dinding sampailah fridge magnet yang melekat di peti ais. Segalanya ada cerita di sebaliknya.

Waktu itu, Intan juga menjual pakaian kanak-kanak. Tertarik dengan pakaian itu, saya membeli sehelai untuk Qaseh Zahirah. Waktu itu, Zahirah nak masuk satu tahun. Cadangnya saya mahu membeli lagi pakaian daripada Intan. Tapi asyik tertangguh-tangguh mahu bertemunya.

Waktu, Intan postkan kisah ketabahannya di facebook, malah ketika media arus perdana bermain tentang emosi ibu yang sarat mengandung dan kehilangan suami dalam pesawat MH370, saya masih belum menyedari itulah Intan yang pernah saya temui sekitar tahun lalu. 

Sehinggalah saya diminta membuat artikel mengenai isteri mangsa MH370 yang baru sahaja melahirkan anak keduanya, baru saya menyedari tentang nombor telefon yang tertera di telefon bimbit saya. 

Ketika saya mendail nombor itu keluar nama 'Intan Baju Budak' dan alangkah terkejutnya saya kerana selama ini tidak menyedari bahawa Intan itulah yang pernah saya temui sebelum ini. Dan waktu tugasan ke rumahnya tidak lama dulu, saya dapat berbual dari hati ke hati dengannya. Serba sedikit saya kongsikan dalam artikel di majalah Keluarga ini.

Semoga harapan masih ada untuk MH370 kembali ke pangkuan Malaysia! Intan Maizura Othaman, semoga dikau kembali tersenyum ceria.

Thursday, November 20, 2014

Istimewanya Akademi Bekerja Di Rumah


Teks: Netty Ah Hiyer

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Gapai kebebasan dalam dunia pengkaryaan menerusi ABDR.

Apa itu Akademi Bekerja Di Rumah:


Dari kacamata pengasas Akademi Bekerja Di Rumah, Puan Masayu Ahmad.


Bermula sebagai suri bekerja dari rumah, penghujung 2008. Sebelum ini pernah bekerja di luar rumah kemudian menukar status bekerja di rumah. Ketika itu, tak banyak sumber dan buku sebagai panduan. Membuatkan saya memulakan blog pertama, masayuahmad.blogspot dan catatan harian di naufalsayang.blogspot. Ia catatan awal bekerja dari rumah dan mula berkongsi tentang panduan bekerja dari rumah.

Penulisan adalah fokus utama dan sudah tentu pencarian bahan penulisan sangat berkaitan dengan bisnes dari rumah, bisnes skala kecil juga motivasi wanita. Ini tema utama dalam buku, ebook dan manuskrip yang saya hasilkan.


Dua sumber utama pendapatan adalah pendapatan aktif dan pendapatan pasif. Segalanya bermula dari blog. Sejak itu juga blog saya selalu disinggah pembaca dari kalangan suri rumah, suri berkerjaya juga sesiapa yang mencari peluang bekerja dari rumah.


Mulakan dengan apa yang ada:


Saya selalu berkongsi konsep mulakan dengan apa yang ada atau menggunakan modal minima. Mulakan dengan secara sambilan sebelum mengambil keputusan bekerja sepenuh masa. Atas usaha inilah saya kumpulkan majlumat, bahan dan kisah wanita yang sudah berjaya, wanita bergelar suri rumah, wanita yang sudah pun bersatus usahawan dari rumah.


Kelas kami bersiaran secara online, dua kelas berikut:

1. Kelas asas blog dan penulisan.

Memberi pendedahan dan panduan membina blog yang disukai pembaca, membina networking dan pengaruh penulisan blog serta penjenamaan dalam carian google. Mahu miliki follower tegar? Tiada yang mustahil kerana setiap individu itu unik dan tersendiri. Kami gilap potensi anda. Usah bimbang tentang penulisan, kami ada untuk menunjukkan cara penulisan blog berkualiti dan berkesan.


2. Kelas asas blog dan fanpage (khusus untuk bisnes)


Khusus buat mereka yang 'zero' tentang urusniaga online. Langkah awal untuk anda membina kedai online dan latihan urus niaga. Pelajari teknik urusniaga berkesan dari pakar pemasaran yang ada dalam akademi. Pelajari juga teknik membina rangkaian bisnes sendiri.

Apalagi yang istimewa dalam kelas ini?

Info tambahan kelas asas blog dan penulisan.



a. Menulis cara santai, tetapi masih lagi mengekalkan Bahasa Melayu formal. Ini salah satu cara menarik minat pembaca suka dan datang lagi ke blog.

b. Bina tapak awal memperkenalkan diri kepada pembaca/bakal pelanggan.

c. Belajar menulis dan latihan menulis untuk dapatkan momentum. 

d. Teknik tulisan yang mempengaruhi pembaca datang dan datang lagi.

e. Bergabung dengan lebih rami blogger-lebih 120 blog dalam akademi, untuk membantu aliran trafik ke blog.

f. Ramai yang mahu bermula tetapi tidak tahu cara, menulis boleh dilatih jika tahu teknik yang betul.

g. Mengetahui teknik yang betul, apa yang kita suka tulis dan cara konsisten untuk terus aktif menulis di blog.

h. Sudah ada blog, tetapi sudah tidak ada idea untuk meneruskan usaha berblog.

Jika kalian berada dalam salah satu kategori di atas, boleh sertai kami dalam kelas asas blog dan penulisan. Analisa dahulu sebelum masuk kelas. Boleh pm atau mesej inbox apabila sudah bersedia.


Info tambahan kelas asas blog dan fan page (mula bisnes)


a. Kelas ini khusus bagi suri rumah yang benar-benar zero tentang urus niaga secara online.

b. Mahu mula tetapi tidak tahu cara.

c. Mahu mula tetapi tidak ada produk. Kami menyediakan beberapa produk pilihan, produk sunnah, buku, pakej ebook, ruang periklanan. Juga peluang sebagai pembantu kelas di akademi bekerja di rumah.

d. Kelas ini sesuai untuk belajar menjana pendapatan awal RM10, kemudian tingkatkan lagi, RM20, RM50, RM100 begitulah seterusnya (ini adlaah tertakluk kepada usaha yang konsisten daripada peserta.

e. Kelas ini juga sesuai untuk suri yang sibuk, surirumah sepenuh masa, suri bekerjayaa yang mahu buat secara sambilan. Ini adalah langkah awal, kami sediakan berdasarkan permintaan demi permintaan.

f. Apabila sudah pandai, boleh belajar lagi dengan otai-otai pemasaran yang lain. juga bina jaringan bisnes secara online.

g. Apa yang kita belajar di dalam kelas ini. Analisa dahulu untuk kenalpasti apa produk yang sesuai/minat/pengalaman. Belajar buat blog kedai online, belajar menulis konsisten, belajar buat borang tempahan, jenis-jenis entri, belajar buat pan page, belajar buat pautan, belajar buat pautan antara blog untuk aliran trafik.

h. Untuk mula, kita analisa dahulu, pm saya sekarang atau mesej di inbox. Pendaftaran adalah setiap hari.

Ini pula pakej mula bisnes online


Tak punya masa ikuti kelas Online mahupun Offline. Anda masih boleh miliki BLOG dan FANPAGE untuk memulakan perniagaan atau perkhidmatan online.


Guru online ABDR akan bangunkan perniagaan atau perkhidmatan online anda. Kemudian, perniagaan dan perkhidmatan online anda akan diiklankan di http://sohodirectory.blogspot.com selama 1 tahun. 


BONUS!


Anda akan miliki 2 ebook untuk bacaan dan rujukan;

1) Ebook bernilai RM50 boleh pilih satu antara 3 di bawah:

-ebook Belajar Asas Blog

-ebook Mula Bisnes Butik Online/Offline

-ebook 101 Idea Home Based Bisnes


2. DAN Ebook bernilai RM25

-ebook Superwahm Supermom

Untuk makluman, SOHO DIRECTORY diiklankan oleh lebih 900 buah blog yang terhasil dari akademi bekerja di rumah. Ini bermakna iklan anda boleh dapatkan trafik pengunjung dari 900 buah blog ini di bawah Akademi Bekerja Di Rumah.


Tuesday, November 18, 2014

Seni Dalam Penulisan Berjiwa

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: http://www.dreamstime.com

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


http://netty-ahhiyer.blogspot.com
Seni dalam penulisan berjiwa itu samalah dengan meletakkan emosi dalam penulisan kita.


Bagaimana mahu menzahirkan seni dalam penulisan berjiwa? Dalam penulisan pun perlu ada jiwakah? Maksud mudah di sini adalah penulis perlu bijak meletakkan emosi mahupun bermain emosi dalam sesebuah karya yang dihasilkan. 

Mengapa emosi penting? Ia membantu pembaca menghayati, memahami malah merasai 'subjek' yang sedang anda kongsikan bersama mereka. 'Subjek' boleh jadi kisah tentang seseorang mahupun situasi mengenai seseorang.

Bagaimana melahirkan seni dalam sebuah penulisan berjiwa? Aa... aa,,, jangan pening-pening kepala? Menulis itukan perlu tenang, relaks dan selesa. Tak perlu tergopoh-gapah. Penulisan yang baik tidak dibina dalam sehari. Saya pernah katakan sebelum ini bukan? Dalam entri 5 Sebab gagal Menulis Dengan Baik saya berikan tips bagaimana mahu menulis bak pakar.

Kali ini saya kongsikan pula pengalaman peribadi bagaimana saya menulis artikel-artikel kewanitaan mahupun kisah masyarakat selama mencurah karya di meja Mingguan Wanita mahupun majalah Keluarga. Fahamkan betul-betul dan hadam lumat-lumat ya. 

1. Baca karya-karya penulis hebat.

Saya akui, saya ini sedikit kurang rajin bila sampai bab membaca karya-karya terutama novel-novel. Tetapi saya berani akui bahawa dengan membaca karya-karya penulis hebat inilah lahirnya idea untuk menulis dengan berjiwa. 

Antara karya hebat dari Indonesia yang pernah singgah di hati saya adalah Andrea Hirata dan Habiburrahman El Shirazy. Dua nama besar ini amat mempengaruhi penghasilan penulisan yang berjiwa. Andrea dengan unsur humornya manakala Pak Habiburrahman sarat dengan karya yang membangunkan jiwa. 

Anda juga boleh memilih karya hebat manakah yang anda gemari dengan hati dan emosi anda. Jika gemar membaca buku-buku jenis 'self help' a.k.a motivasi, boleh saja anda hayati dan fahami gaya dan rentak penulisannya. 

2. Meniru idea tidak salah asal jangan hilang identiti

Andaikan anda terlalu sukar mahu mencari perkataan. Boleh saja ambil idea penulisan orang lain untuk dijadikan panduan. Tetapi olahannya adalah dengan gaya bahasa anda sendiri. Jika anda tiru bulat-bulat dan tidak diubah langsung perkataannya itu sudah dikira plagiat atau penculik karya orang lain.

Seperti yang saya tegaskan, setiap orang ada identiti dalam penulisannya. Ada yang bersifat keras dan tegas, ada pula yang lembut dalam menyampaikan kata-kata, ada juga yang sukakan perumpamaan dalam mencurahkan idea mereka. Itu terpulang pada minat dan gaya penulisan anda. 

Jangan cuba menjadi orang lain. Jadilah diri sendiri semasa berkarya. Kelak, bila sudah mahir anda akan memperoleh momentum dalam penulisan dan tidak lagi bimbang untuk menulis karya-karya yang berat. 

3. Masuk ke dunia mereka

Cuba letakkan diri anda dalam situasi yang mahu anda kongsikan. Misalnya mahu bercerita tentang anak kecil anda yang enggan makan hidangan yang anda sediakan. Tentu bosan andai memulakan entri yang stereotaip. Mengapa tidak mulakan dengan 'gambaran letihnya anda mahu memujuk si kecil itu makan'.

Penulisan yang baik dan menarik minat pembaca untuk meneruskan pembacaan adalah dengan terhasilnya 'intro' yang menyengat.

Contoh:
Isi cerita: Anak kecil tidak mahu makan, anda keletihan, pinggan plastik warna hijau ditolak ke tepi, anda pujuk anak, anak menolak, nama anak Haris, bib putih ada kartun lembu, sayuran hijau dan bubur nasi.

Intro 'seni dalam penulisan berjiwa:

Haris meronta lagi. Pinggan plastik warna hijau ditolak ke tepi, tanda protes tidak mahu makan sayuran hijau dan bubur nasi yang saya sediakan. Kali ini saya tidak mahu mengalah, biar berperang emosi keletihan mahupun baju dibasahi keringat. Misi menyuapkan Haris perlu diteruskan. 

Intro di atas mengundang keinginan pembaca mahu mengetahui dengan lebih lanjut, apakah anda berjaya melaksanakan misi menyuap anak kecil bernama Haris? Bagaimana nanti anda akan melakukan misi anda itu? Tanda tanya sebegini bagus untuk penulisan anda. 

Sentiasa wujudkan tanda tanya pada pembaca. Bila mereka mula tertanya-tanya, bermakna mereka mahukan tips daripada anda. Jadi, sampaikanlah tips itu. Jangan pula lokek berkongsi ilmu. Dalam menzahirkan seni dalam penulisan berjiwa, anda juga perlu bijak bermain dengan emosi pembaca.

Cukup dahulu entri tentang seni dalam penulisan berjiwa. Insyaallah, akan saya kongsikan juga tentang panduan penulisan yang lain dalam entri akan datang. Semoga anda beroleh manfaat menerusi perkongsian ini dan berjaya melahirkan karya mahupun penulisan berjiwa. 

Chaiyok!

Sunday, November 16, 2014

5 Sebab Gagal Menulis Dengan Baik

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Samsung NX300ku


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Menulislah dengan sepenuh jiwa, semoga khalayak pembaca mendapat manfaatnya. Tersenyum ceria bagaikan anak sulung saya ini, Mirza Yadiy... eh... eh!

Suka saya berkongsi topik 'Gagal Menulis Dengan Baik' kerana saya juga pernah mengalaminya. Terutama apabila saya berada dalam keadaan huru-hara dan kelam kabut yang teramat. Perkongsian ini berdasarkan pengamalan peribadi yang mungkin boleh dijadikan panduan untuk anda yang sedang berusaha menjadi penulis yang 'berjiwa'.

1. Anda gagal bersihkan hati daripada prejudis diri sendiri

Baik mahu menulis cerita peribadi, artikel mahupun cerpen anda perlu membuang jauh prasangka-prasangka buruk yang berlegar-legar di dalam minda. Misalnya, aku tak pandai menulis, macam mana nanti kalau aku tulis tapi akhirnya di tong sampahkan. 

Abaikan semua kata-kata jahat dalam hati itu. Sebaliknya, sentiasa bersangka positif dan percayalah setiap orang itu boleh menulis. Sampaikan sahaja apa yang mahu anda tuliskan itu dengan hati yang tulus ikhlas. Anda adalah kekuatan diri anda. Jika anda sendiri sudah menemui siapa diri anda, penulisan akan menjadi mudah dan lancar. 

2. Gagal menulis seperti yang pembaca mahu a.k.a syok sendiri

Penulis yang baik adalah penulis yang memahami khalayak pembacanya. Jika anda menulis untuk blog peribadi, ceritalah sahaja tentang diri anda dengan gaya penulisan anda. Jangan cuba-cuba mahu meniru orang lain. 

Percaya atau tidak, menulis dengan gaya bahasa, tatabahasa yang betul akan menonjolkan kelebihan dan kematangan anda dalam penulisan. Penulis yang matang, adalah penulis yang boleh berfikir dengan baik dan sentiasa mendorong pembacanya ke arah sikap positif. 

Oleh itu, sentiasalah berfikir dengan positif terlebih dahulu. Apa yang saya maksudkan dengan syok sendiri. Anda menulis tanpa memikirkan apa kehendak pembaca. Contohnya anda sedang menerangkan cerita tentang 'Panduan memasak hidangan asam pedas ikan parang' tetapi anda hanya bercerita tentang bahan-bahan masakan tetapi tidak pula dikongsikan cara memasak  asam pedas tersebut.

3. Anda rasa bagus dan lupa diri

Perlu difahami, setiap idea, ilham mahupun kata-kata yang sedang dikongsikan dalam penulisan semuanya adalah hak Yang Maha Menciptakan diri kita ini. Oleh sebab itu, janganlah ada riak atau sombong dalam penulisan anda.

Kerana nanti akhirnya, semua akan dikembalikan kepadaNya. Kita ini hanyalah khalifah yang menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan melalui perjanjian yang telah kita termeterai denganNya semasa di dalam perut ibu kita lagi.

Oleh itu, sebelum mula menulis, sentiasa bermohon padanya diberikan ilham yang baik-baik. Kelancaran kata-kata sehingga tidak mengguris hati sesiapa dan yang paling penting sekali mulakan setiap perkara dengan memohon pengampunan dan rahmat dariNya.

4. Kenapa gagal menulis? Sebab anda sendiri tidak tenang

Sebelum menulis, pastikan diri anda dalam keadaan tenang. Bukannya dalam keadaan marah yang meluap-luap atau sedang dilanda keserabutan fikiran. Bukannya tulisan itu tidak boleh disiapkan, tetapi nanti akhirnya anda akan gagal menulis dengan baik. Ia samalah kaedahnya dengan memasak. Memasak perlukan ketenangan untuk menghasilkan masakan yang digemari anak-anak, suami malah keluarga mentua.

Cuba sebaiknya letakkan diri anda dalam keadaan gelombang alpha, yang mana anda boleh bawa diri anda jauh ke alam penulisan walaupun ketika itu ada gangguan di sekeliling anda. Untuk mencapai tahap ini anda perlu belajar-praktis-praktis-praktis dan akhirnya pengalaman itu akan membentuk kemahiran yang diinginkan.

5. Tiada catatan nota boleh sebabkan anda gagal menulis dengan baik

Malah wartawan yang bertahun-tahun menulis sekalipun masih malah wajib sebenarnya mempunyai buku nota di sampingnya. Dalam dunia kewartawanan, buku nota adalah nyawa yang paling berharga. Hilang buku nota boleh menyebabkan diri mereka meroyan bagaikan anak kecil kehilangan ibu. Hmm... perumpamaan ini agak keterlaluan sedikit.

Catatlah apa sahaja yang mahu anda tulis dan luahkan semula semasa menekan papan kekunci. Catatkan tarikh, nama-nama penting supaya anda tidak lupa dengan data yang anda peroleh pada hari itu. 

Inilah serba sedikit maklumat yang saya harapkan berguna untuk anda yang rajin melayari blog saya ini. Paling penting sekali, mahu jadi penulis yang baik adalah 'menulislah dan teruslah menulis. Lebih baik anda mula sekarang daripada tiada langsung. Semoga panduan berdasarkan pengalaman diri ini mampu merungkaikan persoalan mengapa kita gagal menulis dengan baik.
Related Posts with Thumbnails