Follow Saya Di Google Plus

Thursday, December 31, 2015

Empat Hari Saja Di Kedah

Teks dan foto: Netty Ah Hiyer

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Wefie dengan en suami dan anak-anak; Mirza, Zarif, Qaseh di Menara Alor Setar


Catatan ini saya rangkumkan dalam perjalanan selama 4 hari kami sekeluarga berkelana di Alor Setar Kedah. Jangan kata kelakar. Walaupun cuma trip dalam negara, tanpa persediaan semuanya akan jadi huru-hara.

Kami sekeluarga merancang mahu bertolak ke Kedah pada hari Sabtu. Demi meraikan sepupu en suami yang bersanding. Malam Jumaat, maksu hubungi en suami maklumkan, jika kami bertolak hari Sabtu, jam berapa hendak sampai ke Kedah?

Betul juga tu... Sungguh, kesibukan bekerja membuatkan kami lupa tentang masa dan waktu.

Lalu, malam itu, kami 'packing' mana yang perlu. Berehat seketika dan kira-kira jam 12 kami bergerak menuju ke Utara.

Dalam hati tertanya-tanya, di mana kami akan menginap sepanjang di Kedah? Dalam perjalanan, saya buka Agoda, Trivago dan sebagainya. Mencari penginapan murah dan berbaloi melalui tempahan online.

En suami kata, jangan tempah dulu kita tengok esok macam mana.

Fine! Saya dan en suami memang begini. Tidak pernah ada planning-planning dalam urusan berjalan-jalan. Jenis redah dan tempuh.

Berehat beberapa kali di hentian. Sejam dua, masing-masing tidur-tidur ayam. Baik en suami mahupun anak-anak semua tak dapat lena. Letih betul perjalanan hening pagi itu.

Kira-kira, jam 6 kami tiba di hentian R&R terakhir. Lelap seketika dan bersolat Subuh. Mahu kejut anak-anak bangun sarapan pun tidak sampai hati. Sudahnya perjalanan diteruskan saja. Kami rancang mahu bersarapan di Kedah saja.

Jam 11 sampailah kami di rumah maksu. Benarlah kata en suami, rupa-rupanya maksu sudah sediakan penginapan untuk kami di sana. Duduk seketika di rumah sewa maksu. Dalam jam 12 tengahari kami raikan sepupu di hari bahagianya.

Selesai acara bersanding, kami jalan di kawasan sekitar dan terjumpa dengan gerai laksa ikan sekor. Lepak seketika di situ dengan anak-anak. Konon mahu nikmati udara di laluan tanpa bumbung. Sekali, hujan turun. Mujurlah dah sampai ke sisa-sisa terakhir menjamah laksa.

Ikan Bakar Kuala Kedah

Alang-alang sudah sampai Kedah, kami rancang mahu makan ikan bakar di Kuala Kedah. Saya buka waze dan cari ikan bakar kuala kedah. Baiklah, waze sudah menunjukkan laluannya. Malangnya, paparan skrin destinasi tidak sama dengan realiti. Destinasi yang dimaksudkan hanyalah sebatang jambatan.

Pening seketika, mulut terus membebel marahkan waze. Kami berjalan sampailah ke penghujung laluan. Tatkala menukar arah itulah, kami bertemu dengan restoran ikan bakar yang dicari. Sayangnya, panas badan Zarif pula yang naik mendadak. Tiba-tiba dia alami hidung berdarah.

Langsung, kami pilih saja membeli makanan di gerai dan bawa pulang. Rancangan mahu bertemu kawan en suami juga terpaksa di tunda.

Sekali lagi, kami gunakan khidmat waze untuk pulang ke rumah sewa maksu. Dan sekali lagi, kami disesatkan oleh waze. Ini kesimpulan saya. Jangan sesekali buka waze ketika berjalan dengan en suami. Ia akan membawa kepada perbalahan kecil yang tak masuk dek akal.

Esoknya, kami sudah merancang mahu pulang saja ke Meru. Frust juga, banyak sekali rancangan on the spot yang tidak menjadi. Singgah sebentar di rumah maksu dan borak-borak dengan mereka. Paksu beri kami tips menggoreng ikan untuk resipi tiga rasa.

Kata paksu yang berniaga sup enak berherba di gerai bawah pokok dekat rumah sewanya itu, jika mahu ikan jadi rangup. Sebelum goreng lumur ikan dengan kaya. Kemudian, goreng dan lihatlah hasilnya.

Selesai di rumah paksu, kami sudah mahu bergegas pulang. Singgah sebentar ke Menara Alor Star, konon mahu buat lawatan sambil belajar untuk anak-anak. Seketika di atas menara yang mewah dengan tiupan angin membuatkan kami terfikir mahu duduk sehari lagi di sini.

Rupa-rupanya aktiviti meneropong di atas menara, membolehkan en suami melihat hotel terdekat dari menara.

Nanti kita tengok Hotel Samila ni. Kata en suami yakin. Pergi ke sana untuk bertanyakan kekosongan bilik. Tapi baru jam 12, kekosongan bilik tidak boleh ditentukan. Kami ambil nombor telefon dan maklumkan akan membuat tempahan.

Sementara menunggu, kami redah ke Tunjang mahu bertemu teman penulis yang dikenali di Facebook. Ramah sekali Tunku Zarita melayan kami dengan air tangan di gerai makanannya. Makan-rehat-berbual tentang cerpen- langsung bergerak ke destinasi seterusnya di Jitra.

En suami mahu bertemu kenalan yang tidak sempat kami temui malam sebelumnya. Baiklah, cara kami, jika sudah sampai ke Kedah carilah kenalan-kenalan lama. Saya juga mencari kenalan waktu di UiTM. Syukurlah saya lanjutkan tempoh penginapan di Kedah, dapatlah bertemu dengan Fizat yang lama dirindui. Rancangan bertemu Fizat, kami aturkan keesokan hari.

Sebelum ke Jitra, saya up status tentang lawatan di Kedah. Ramai rakan Facebook mencadangkan bawa anak-anak melawat Muzium Padi. Jadi, jika berjalan-jalan ke sana, rajin-rajinlah up status di Facebook.

Pasti rakan-rakan Facebook dari negeri Kedah akan mencadangkan tempat-tempat menarik untuk dilawati. Memandangkan saya sedang perang dingin dengan waze, aplikasi itu hanya saya buka bila terlalu terdesak sahaja.

Sampai malam hari, kami berehat-rehat di rumah teman en suami. Sempat mempromosikan Mingguan Wanita pada orang rumah temannya. Malam itu ada perlawanan bolasepak di Stadium Alor Setar. Mirza yang gila bola cukup teruja. Seronok walaupun cuma dapat lihat deretan kenderaan di luar stadium. Saya? Macam biasa, siapa lawan siapa pun saya tak pernah hendak ambil tahu. 

Jumpa Fizat 

Esok paginya kami chek out siap-siap. Terus bergegas beli cenderemata sikit langsung ke Muzium Padi Kedah. Cantiknya kawasan itu, sampai saya minta en suami berhenti di tepi sawah untuk saya feeling-feeling ambil gambar. 
Ajak anak-anak tak ada sorang pun mahu ikut. Mungkin masing-masing dah keletihan. Sebab pagi itu kami berjalan merata mencari barang. Tengok jam sudah melepasi waktu tengah hari. Saya set mahu berjumpa Fizat. Call tak angkat, Whats App tak berbalas. Agak-agaknya Fizat tidur lagi sebab keletihan baru balik dari KL malam tadi.

Barangkali pertemuan yang kami rancang ini tidak jadi. Hampa sedikit. Lalu beritahu pada en suami. Kita pulang sajalah ke KL. Whats App pada Fizat, maklumkan kami sudah mahu gerak ke KL. 

Phone berdering-dering, Fizat hubungi dan kami menetapkan lokasi pertemuan di pekan Tunjang. Tak lama kemudian, Fizat bawa saya ke Restoran Dato' Keramat. Besar restorannya. Kalau di KL tempat makan begitu mahu ratus-ratus kalau jumlah pemakannya macam kami ini.

Sayangnya kami sampai sudah lewat sedikit. Banyak lauk dah habis. Ambil mana yang ada tapi banyak jugalah jumlahnya. Dengan coconut shakenya 7 cawan, dengan makanan laut dan daging bagai. Totalnya tak sampai pun RM50.

Paling terkejut bila secawan air kopi en suami cuma bernilai 20 sen. 

Ini memang betul-betul meniaga kerana sedekah ni. Apa pun restoran ini terlihat begitu maju. Di sudut ada surau mini. Anak-anak selesa berlari ke sana sini. Sebelum pulang saya dengan ada suara orang mengaji. 

Syukur, di Kedah ini kos makannya memang jauh murah berbanding di KL dan Shah Alam. Area Meru pun saya masih boleh kata murah lagi.

Jadi soal murah atau mahal sebenarnya penjual itu sendiri yang tentukan. Bagaimana niatnya mahu mencari rezeki melalui perniagaan. 

Adakah fast track atau biar perlahan asal konsisten. 

Apa pun tepuk dada tanya selesa




Tuesday, November 3, 2015

Travelog Ramadhan: #misi30harimencaricintaNya no.1

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Internet

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Di kampung suami saya ada pemandangan secantik ini. Malaysia tercinta tetap di hati.



Sepatutnya entri ini dimuatkan awal bulan Ramadan yang lalu. Bermula 1 Ramadan ada catatan tentang perjalanan mencari cinta Ilahi buat diri sendiri.

Sememangnya setiap kali tiba Ramadan akan ada satu sentuhan jiwa yang sukar dimengertikan. Dan setiap kali Ramadan itulah (kali ini sudah masuk 3 Ramadan) saya akan berjumpa kak Nuri sembang dari hati ke hati.

Menyatakan keinginan mahu berhenti kerja dan buat saja sendiri apa yang kononnya saya suka. Selalunya, panjang jugalah khutbah kak Nuri. Minta saya fikir semula, pro dan kontra tindakan saya itu.

Setiap kali saya 'down' kak Nurilah orang pertama dan orang paling saya percaya untuk 'curhat'. Saya pula bukanlah orang yang senang mahu berkongsi hati. Kalau cerita biasa-biasa itu ada jugalah sesetengah kawan yang saya ajak menyembang.

Bab-bab 'curhat' ini ada orang-orangnya. Di rumah, en suamilah yang paling setia mendengar. Tapi orang yang paling memahami saya tentu-tentulah mak sendiri. Dia tak pernah bangkang, tapi terus menjadi pendengar yang paling baik. Tak pernah sekali mak bangkang, dia terus-terusan menyokong saya dari belakang.

Kecuali bab yang satu itu... berhenti kerja.

Abah orang yang paling bimbang. Dia akan momok-momokkan saya dengan macam-macam cerita sampai akhirnya saya pun seram sendiri. 

Entahlah, walaupun sudah jadi isteri dan mak pada tiga orang anak... tapi kalau membuat keputusan sebegini saya masih mahukan restu mak abah. Selagi belum ada 'green light' selagi itu belum berani melangkah.. ececeh.. macam kisah selangkah ke alam misteri pula.

Sepanjang Ramadan lalu, ujian kerjaya sememangnya cukup menekan mental. Tapi itulah yang menjadi kekuatan dan sandaran untuk saya menjadi lebih baik. 

Rupa-rupanya setiap kejadian itu ada hikmah yang besar. Banyak perkara dapat saya explore sepanjang setahun yang lalu. Misi mencari cinta Nya juga saya teruskan tanpa ragu-ragu. Tapi saya juga manusia, ada ketikanya kecundang.

Tapi Allah sentiasa tahu apa yang terbaik untuk saya. Dia akan hantarkan pelbagai signal hidayah agar saya sedar diri bahawa saya ini bukanlah siapa-siapa melainkan hamba Nya yang diciptakan dari seketul tanah.

Hari ini sembang merapu saja. 

Oh ya, saya pun sudah kembali ke majalah paling sibuk di Malaysia. Dan saya kembali mengelola ruangan cerpen.

Ada juga beberapa ruangan baru di bawah kendalian saya iaitu Cerita Ngaji dan Ilham Bisnes. Jika anda membaca catatan saya ini, saya mohon anda hubungi saya di alamat email ini:

nettyahhiyer@gmail.com

Kenapa saya beri emel luar bukan ofis, kerana emel ofis saya terhad. Nanti kalau inbox dah penuh tak lepas pula.

Kriteria yang saya cari


1. Penulis cerpen ---> walaupun masih baru menulis, boleh saja hantarkan mana tahu cerpen anda saya pilih. Ada saguhati jika tersiar. Dan saya tak akan maklumkan pada penulis cerita yang tersiar. Follow di Instagram Mingguan Wanita. Saya maklumkan dalam itu. 

2. Individu ---> yang alami perubahan diri menerusi hidayah dari al Quran. Bagaimana al Quran menjadikan anda individu yang lebih baik lagi. 

3. Bisnes yang 'rare' ---> dalam bentuk makanan. Dan usahawan ini perlulah bermurah hati untuk berkongsi idea bisnes yang mereka lakukan. Contohnya, pengusaha tempe. usahawan tak kisah jika saya mahu shoot step by step buat tempe, korek rahsia berniaga dan tip berniaga. 

Kalau ada kesemua ciri-ciri ini cepat-cepat emelkan kategori anda pada saya.

Friday, July 31, 2015

Cerita #kimchi Yang Mengujakan

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Koleksi peribadiku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani




Pertama kali posting saya berkaitan #kimchi di facebook peribadi bermula beberapa hari sebelum menyambut Ramadan. Rupa-rupanya perkongsian suka-suka itu mengundang keinginan di kalangan teman-teman facebook.

Teman sekampung, Taty mula membuat tempahan. Saya pun iakan sajalah. Teman sudah mengharap, hendak kata tidak... kasihan pula. Maka, antara yakin dan tidak saya pun memproses kimchi seperti yang saya pelajari di internet.

Pulang dari tempat kerja saya pun menghantar kimchi ke rumahnya. Saya pesan padanya, kimchi boleh dimakan begitu saja, boleh juga jika mahu dimasukkan ke dalam masakan lain. Kebetulan dia yang sedang berbuka puasa ganti ada hidangan bihun. Kimchi saya itu pun menjadi hidangan tambahan tanpa disangka-sangka.

Selesai menikmati, Taty kongsikan testimoni dan 'tagged' saya di facebook. Siapa pun tak menyangka yang #kimchi saya itu mula menyentuh hati, mendesak-desak mereka mahu mencuba. Tempahan baru mula saya terima. Entah kenapa, saya terima saja dan buatkan kimchi baru untuk mereka yang menempah.

Bulan Ramadhan ini saya gigih membuat tempahan kimchi. Dalam pada itu, saya sentiasa 'upgrade' dan lakukan R & D dengan projek kimchi ini. Cari apakah formula terbaik agar ia boleh menepati citarasa orang kita. Alhamdulillah, setiap adunan cuma bertahan 1 malam. Kerana, teman-teman sudah menempahnya. Saya congak kembali sudah lebih 50 bekas saya hasilkan kimchi untuk kawan-kawan yang mahu mencuba. Dan jumlah itu terus bertambah sepanjang Ramadhan yang lalu.

#sayasukabuatkimchi

Sebenarnya apa yang mahu saya sampaikan ini?

Cerita #kimchi ini biasa-biasa saja. Tapi pelajaran di sebalik idea menghasilkan kimchi ini membuatkan saya belajar memahami apa itu bisnes.

1. Jika mahu berniaga jangan pernah fikir, saya tiada modal. Tanpa modal saya tidak boleh berniaga.
2. Saya tiada produk jadi macam mana hendak berniaga.
3. Saya tidak tahu macamana hendak cari pelanggan.

Sememangnya itulah antara persoalan yang selalu saya fikirkan dulu.

Nah! Saya sudah membuktikan tak perlu modal besarpun jika mahu berbisnes. Namun saya tak nafikan 'networking' itu amat penting sekali.

Menerusi grup Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR), geng Karangkraf, geng facebook saya membina jaringan kenalan. Kenalan yang dekat di hati. Mereka inilah yang sentiasa memberi sokongan pada saya. Syukur sekali.

Saya pelajari juga tentang hal ini sepanjang Ramadhan ini. Jika mahu berjaya:

1. Jangan sesekali fikir mahu bermula dengan yang besar, bermulalah dari kecil dan jadikan ia besar di kemudian hari.
2. Sabar... sabar... sabar...
3. Jaga hubungan dengan Allah, hubungan dengan ibu bapa, mentua, suami, anak-anak, adik-beradik dan orang sekeliling. Pendek kata selagi namanya manusia kena berbaik-baiklah dengan mereka.
4. Kuat semangat. Tak payah patah semangat sangat! Kalau hendak mengadu pun adulah pada Dia Yang Menciptakan kita sebagai hambaNya.  

Posting di atas, catatan saya sebelum Syawal.

Saya sambung semula agar ia tidak tergantung. Ya, hendak berjaya tiada jalan singkat. Jika mahu laju, teruslah berlari. Jika memilih untuk bertatih, teruslah berjalan penuh konsisten. Jangan pernah berhenti.

Dengan ABDR saya telah bermula sejak tiga tahun lalu. Walaupun ianya serba sederhana namun jalinan ukhwah antara ahli ABDR cukup akrab sekali. Ramai sekali saya bertemu dengan rakan-rakan suri yang gigih dan hebat-hebat belaka.

Rupanya #networking ini begitu mengujakan. Memudahkan kerja-kerja harian saya sebagai wartawan yang sentiasa mahukan info-info menarik untuk dikongsi dengan pembaca majalah. Saya kira, anda juga perlu tahu betapa istimewanya ABDR. Ianya grup sokongan untuk suri yang bekerja di rumah mahupun suri yang berkerjaya seperti saya. 


Belajar Asas Bina Blog dan Penulisan di:


Wednesday, June 3, 2015

8 Idea Kreatif Suri Kerjaya Hadapi GST

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Google

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Tenang itu lebih baik. Daripada kelam-kabut, akhirnya satu apa pun tidak menjadi menjadi.

Suri baik bekerjaya mahupun di rumah perlu jadi lebih praktikal kala GST.

Jangan asyik merungut saja, tapi kaki masih lagi melangkah ke gedung-gedung membeli belah, masih bawa anak-anak makan mewah di restoran-restoran makanan segera.

Apalah daya kita untuk berkata tidak pada GST. Tapi kita sebenarnya ada kekuatan untuk bertindak bijak sepanjang era GST ini.

Saya sendiri sebelum kerajaan umumkan GST sudah pegang beberapa prinsip penting tentang kewangan peribadi. Saya pegang kata-kata pakar kewangan Islam, Puan Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir agar menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan kita.

Saya kira, itu adalah gaji yang saya berikan untuk diri sendiri. Saya juga percaya bahawa mimpi raja Mesir yang ditafsirkan oleh Nabi Yusuf a.s itu bukan saja-saja. Ia ada indikator yang perlu saya jadikan sempadan untuk meneladani kewangan peribadi.


"Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata; "Sesungguhnya aku bermimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai mentafsir mimpi". - Surah Yusuf Ayat: 43

Tafsiran mimpi Raja Mesir itu dijawab oleh Nabi Yusuf,

"Yusuf menjawab: Hendaklah kami menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan".

"Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kamarauan yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)".

"Kemudian akan datang pula sesudah itu yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)". - Surah Yusuf Ayat; 47-49.

Maka, perkiraan saya bermula dari tahun 1997 iaitu tahun Malaysia mengalami kegawatan ekonomi paling meruncing. Bermakna tujuh tahun itu, perlu berjimat-cermat. Tujuh tahun seterusnya, bolehlah saya bersenang sedikit membeli kehendak yang diinginkan. Dan seterusnya.

Sebab itulah, memasuki tahun 2015 ini saya perlu akur dengan apa juga keadaan yang terjadi. Tapi akur tidak bermakna menyerah begitu saja. Perlu ada usaha bagi membolehkan saya terus 'survival' dalam masa yang sama tenang hadapi ekonomi bak tujuh ekor lembu yang kurus seperti dalam mimpi Raja Mesir itu.

Sebenarnya saya tidak sendirian. Dalam melengkapkan perkongsian idea kreatif suri kerjaya hadapi GST ini saya minta juga pandangan beberapa rakan suri kerjaya dan WAHM.

#Mari Ke Pasar

Pasar borong paling menjimatkan. Pergi seawal pagi dalam jam 3 - 5 pagi. Pada waktu ini harga 'seafood' jauh lebih murah dan lebih segar. Waktu saya mahu adakan majlis kenduri di rumah, berpagi-pagi saya ke pasar borong Klang. Harga barang juga masih boleh ditawar-menawar.

Cuma usaha ini perlukan sedikit kesungguhan untuk bangun seawal pagi dan tahan mengantuk. Mahu senang itu pun sebenarnya bukan senang. Tapi bila sudah mula, ia jadi seronok. Jika mahu lebih jimat masa dan tenaga, rancang perjalanan anda.

Sebelum pergi, buat senarai dan sebolehnya lakukan belian untuk seminggu. Jadi tak perlulah hari-hari ke pasar borong. Kemudian, balut sayur-sayuran yang belum mahu dimasak di dalam kertas surat khabar yang tebal dan simpan dalam peti sejuk. Renjis-renjiskan dahulu sayuran tadi dengan sedikit air. Teknik sebegini boleh dipraktikkan jika mahu sayur sentiasa segar ketika di simpan di dalam peti sejuk.

Ikan pula boleh disimpan dalam bekas plastik di tempat beku. Pastikan anda bersihkan dahulu ikan, udang ataupun sotong sebelum menyimpannya di bahagian peti beku. Menyimpan 'seafood' yang tidak disiang akan membuatkan ia hilang kesegarannya dan jadi kurang elok.

#Memasak Pun Ada Tekniknya

Saya kira ramai suri akan memasak untuk anak-anak mahupun suami tersayang. Saya pernah menonton satu rancangan masakan yang dikendalikan Chef Wan. Beliau berkongsi cara mudah dan praktikal untuk suri jimatkan masa memasak.

Kupas bahan utama masakan secara pukal, kisar dan simpan. Misalnya, kupas bawang merah, kisar dan simpan dalam plastik penyimpan. Lakukan hal yang sama pada bawang putih, halia, serai, mahupun cili kering. Dalam setiap masakan Melayu, inilah antara bahan wajib yang perlu ada.

Masa sebenarnya cukup cemburukan suri bekerja. Mahu memasak untuk anak-anak sepulang dari kerja pun terkejar-kejar dibuatnya. WAHM Zaila Mohamad berkongsi idea memasak dengan kuantiti yang banyak.

"Tak perlu ke dapur berulang kali. Selalunya saya masak sup ayam kerana anak-anak sukakan makanan berkuah. Padankan pula dengan ayam goreng. Gulai ikan pula, padankan dengan ikan goreng. Lauk Paprik, padankan dengan telur dadar.

"Saya juga ada gadget periuk ajaib Noxxa yang ambil masa sekejap untuk memasak, sup, rendang malah nasi arab. Cuma ambil masa 8 minit dan ia boleh masak dalam kuantiti yang banyak.  Apabila dah siap memasak, boleh terus simpan dalam periuk dan buat mod panaskan.

"Pelaburan membeli Noxxa rupanya lebih berbaloi apabila saya mula merancang untuk mengambil tempahan masakan pada hujung minggu untuk tambah pendapatan saya. Zaila juga berkongsi idea memasak di blog miliknya; www.zailabinimdae.blogspot.com.
 
#Berkebun Bukan Sekadar Terapi

Sejak GST ini makin ramai suri kembali menanam sayuran sendiri. Lebih jimat dan tak perlu habiskan banyak wang di pasar. Hanya membeli makanan tertentu saja.

Tanaman praktikal adalah pokok cili, serai, daun kunyit dan sayuran lain. Boleh juga gunakan kaedah hidroponik. Boleh juga belikan pasu saiz sederhana untuk ditempatkan di halaman rumah. Salah seorang ahli grup Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri, Fadzillah Haryati jadikan hobi menanam sebagai salah satu punca pendapatan keluarganya.

Di sekeliling rumahnya cukup banyak buah mulberi. Baru-baru ini, ia berbuah lebat dan teman-teman mula membuat tempahan. Selain menanam untuk kegunaan sendiri, cubalah menanam tanaman yang kreatif dan boleh mendatangkan wang seperti buah mulberi.
Suri boleh juga mencuba menanam pokok bunga kantan, lagipun harga bunga kantan semakin mahal. Satu batang boleh mencecah RM4. Siapa tahu tumbuhan 'rare' ini nanti boleh jadi pendapatan lumayan buat suri sekeluarga. Menanam ini sebenarnya boleh saja dilakukan pada hujung minggu.
 



Grup ini membantu anda mendapatkan idea, tip dan panduan berkebun.
#Tabungan & Pelaburan

Nampak pelikkan? Sudahlah harga barang naik. Cukai GST lagi, saya pula beri saranan agar buat tabungan dan pelaburan. Macam yang saya terangkan sebelum ini, tahun 2015 adalah tahun lembu kurus. Jadi tahun ini tidak boleh berbelanja sakan.

Jika tidak boleh, belajarlah membuat simpanan sesedikit mungkin. Kemudian, tambah sedikit demi sedikit. Saya dulu juga seperti anda, buat-buat tidak pandai menyimpan. Hujung bulan saja kering-kontang. Beri alasan konon harga barang mahallah, mahu beli keperluan anaklah. Cuba fikir sejenak. Sejak bila harga barang tak naik?

Dari zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman lagi, tiada harga barang yang turun mendadak. Jadi, diri kita sendirilah yang perlu bijak membuat penilaian.

Kira-kiranya begini. Katakan pendapatan sebulan RM1000 ambillah RM100 dan simpan di tabungan yang susah keluarkan. Kemudian, buat-buat tidak tahu. Jika masih susah mahu keluarkan 10 peratus simpanan, simpan saja RM20. Cuba kalikan dengan 3 tahun. Nilaiannya sudah bertambah RM720. Jangan kata nampak sedikit. Bayangkan ini adalah 'tabungan ghaib' yang anda tidak perasanpun selama ini. Wang selebihnya boleh simpan untuk pelaburan, sama ada emas, perak, saham, insurans dan sebagainya.

#Bento Untuk Anak

Menyediakan sarapan untuk anak-anak cukup mudah buat suri yang berada di rumah. Ia akan jadi tugas yang super sukar buat ibu yang bekerja. Pertama, perlu berperang dengan kepenatan fizikal akibat seharian melayan stress di pejabat.

Tak ramai sebenarnya ibu-ibu bekerja yang dapat menyediakan bekal untuk anak-anaknya. Apa kata, suri bekerja gunakan teknik ini untuk buatkan anak bekalan dengan cara yang paling kreatif.

Buatlah persediaan makanan yang tahan sehari dua dan simpan di dalam peti sejuk. Letakkan siap-siap makanan itu di dalam bekas plastik kedap udara. Apabila mahu digunakan boleh dipanaskan di pagi hari.

Contoh makanan yang boleh disimpan seperti sup ayam ataupun kari daging. Elakkan makanan jenis bersantan kerana ia mudah menjadi basi.

#Nilai Semula Pakej Astro

Ramai yang marah-mara dengan caj GST 6% yang dikenakan Astro. Marah-marah saja tidak berguna jika tikdak membuat tindakan segera. Sekarang ini sudah ada pakej Astro NJOI yang free untuk setiap bulan. Bayar harga decoder dan pemasangan, anda sudah jimatkan bayaran bulanan Astro anda.

Jika masih mahu nikmati rancangan di Astro, cuba down grade kan pakej anda seminimum mungkin. Lebihan duit itu nanti boleh disimpan untuk rancangan masa hadapan.

#Berniaga Online

Saya kira, menambah pendapatan keluarga adalah cara paling mudah dan praktikal untuk menghadapi bebanan GST. Sekarang ini banyak cara untuk melaksanakannya. Tapi tak perlu terburu-buru dalam membuat keputusan.

Berniaga boleh dilakukan tanpa sebarang kos pun sebenarnya. Mulakan dengan menjual secara ‘dropship’ iaitu agen promosi untuk sesetengah produk atau syarikat. Tak perlu keluarkan modal yang besar, malah sesetengahya tidak memelukan anda mengeluarkan wang sekalipun.

Gunakan medium social yang ada; facebook, instagram, blog, website dan sebagainya. Pastinya, medium ini ‘FREE’ semuanya. Asalkan anda bijak mencari dan ‘explore’ di carian google.


#Dhuha & Sedekah

Saya letakkan info ini paling akhir sekali, walau bagaimanapun, inilah teknik paling berkesan dan ‘power tool’ dalam anda berhadapan dengan situasi GST yang amat meresahkan hati.

Dalam buku Mudahnya Menjemput Rezeki memberikan formula sedekah begini: Sedekah 1; anda peroleh 10 pulangan. Itulah janji Allah pada individu yang bersedekah dengan ikhlas.

Seorang teman pula mencadangkan pada saya, agar niatkan juga sedekah itu pada ibu-bapa, ibu bapa mentua, anak-anak mahupun sesiapa sahaja yang dekat dengan kita.

Cerita teman tentang kisah kucing dan hati orang suci juga menarik untuk diteladani. Katanya, kucing adalah agen pengesan rezeki yang terbaik. Kucing tidak akan mendekati seseorang andai dia tahu dirinya tidak akan dipedulikan.

Jika di kedai makan, kucing akan mendekati orang-orang yang akan memberinya makanan waima seketul ikan bilis. Dan biasanya, orang yang didekati itulah orang yang akan memberinya makan. Oleh itu, berasa beruntunglah apabila anda didekati oleh kucing yang meminta makanan kerana kucing juga tahu mengesan orang-orang yang suci hatinya.

Dhuha itu pembuka rezeki di awal pagi. Hayati bacaan doa dhuha:

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya waktu dhuha adalah waktu dhuha-Mu, keagungan adalah keagungan-Mu, keindahan adalah keindahan-Mu, kekuatan adalah kekuatan-Mu, penjagaan adalah penjagaan-Mu, Wahai Tuhanku, apabila rezekiku berada di atas langit maka turunkanlah, apabila berada di dalam bumi, maka keluarkanlah, apabila sukar mudahkanlah, apabila haram sucikanlah, apabila jauh dekatkanlah dengan kebenaran dhuha-Mu, kekuasaan-Mu (Wahai Tuhanku), datangkanlah padaku apa yang Engkau datangkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.”

Ada rintihan seorang hamba yang mengharapkan Allah membukakan pintu rahmat dan kemudahan untuk dirinya. Dalam tak sedar juga, dhuha ini menjaga hati kita agar sentiasa akur bahawa Allah itu Maha Pemberi Rezeki.

Semoga 8 idea praktikal ini berguna buat suri berhadapan GST. Selamat mencuba!


Saturday, May 9, 2015

The Power Of Sedekah

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Koleksi peribadiku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


travelogwartawan
Ok, saya mengaku gambar ini tak nampak pun kaitannya dengan entri kali ini. Memang pun saja letak, sebab nak 'bagitau' inilah muka-muka 'hepi'. Cuba saya lebih ikhlas waktu bersedekah mesti saya lebih 'hepi' kan? Tapi ikhlas itu pun bukan kita boleh ukur, Allah jugalah sebaik-baik penjaga hati.



Dari hari ke hari saya semakin memahami makna 'The Power Of Sedekah'.

Berkongsi rezeki itu sebenarnya amat mudah pada sebutan. Namun, mahu menjadikannya benar amat sukar dilakukan. Terutama buat 'mereka' yang belum celik iman.

Perbandingannya mudah; cuba berikan sebiji gula-gula kepada salah seorang anak kecil kita. Kemudian, minta mereka membahagikan gula-gula yang sudah di tangan. Apa reaksi spontan anak kecil kita. Geleng kepala tidak mahu, buat muka bengang, tantrum sebab bahagian dah makin mengecil. Paling ganas terus lari dengan gula-gula di tangan.

Saya juga pernah jadi sebegitu. Sangat sukar mahu mengeluarkan sebahagian 'besar' RM yang Allah pinjamkan. Mungkin juga disebabkan saya ini dibesarkan dalam keadaan 'wang' itu amat penting untuk survival.

Jelas terlihat betapa susahnya emak dan abah mahu mencari rezeki. Jadi, bila ada RM saya amat menghargainya dan 'jatuh' sayang. Kalau boleh simpan saja diam-diam.

Suatu hari, sekitar tiga tahun lalu saya ke tugasan menemuramah seorang remaja perempuan yang terlantar di hospital. Kisahnya, remaja ini mahu pulang ke institusi pengajian yang tak jauh dari rumahnya di Sabak Bernam. Tiba di satu simpang, sebuah kereta telah melanggar motosikal yang dipandu sehingga adik ini melambung menghentam tiang elektrik.

Itu tragedi langgar lari. Akhirnya, adik itu 'paralyse'. Hendak menggenggam bola pun nampak seksanya adik ini berusaha. Apatah lagi mahu mengenal ibu, ayah dan abang-abang yang amat menyayanginya. Dan, jangan mimpi pemandu itu mahu menjenguk, mengenang tentang kejadian langgar lari itu pun belum tentu dia mahu fikirkan. 

Apa dia ingat dia langgar nyamuk?

Walaupun cuma seketika saya melawat adik itu di hospital cum menemuramah ahli keluarganya, perasaan sayu tetap berbekas di hati. Adik itu anak kesayangan keluarga, sentiasa dijaga baik oleh abang-abang dan ibu ayahnya. Bila sudah begitu takdirnya, apa lagi yang dapat dikisahkan oleh keluarga itu. Hanya berserah pada Yang Esa, moga diberikan petunjuk yang sebenar-benar petunjuk.

Bak kata kawan saya, Anies Suzana yang juga berhadapan musibah sebegitu. Barangkali kemalangan itu adalah asbab Allah mahu memanggil hambanya yang terpilih untuk pulang ke kampung Akhirat.

Tetapi yang melanggar itu, jangan sampai Allah hilang dalam hatinya. 

Dan sebelum pulang, saya masuk ke bilik air membelek dompet. Yang ada cuma RM20 dan RM50. Hati ini benar-benar mahu meringankan beban ahli keluarga ini. Tapi dalam masa yang sama, saya masih berkira-kira.

Mahu beri yang kecil atau yang besar. Kalau beri yang besar, bulan gaji masih di tengah-tengah. Boleh sesak, kalau keputusan bekalan. Hati saya masih juga begitu. Terus berkira-kira. "Tak pernah-pernah aku derma sampai RM50. Isk!" Itulah yang sesekali terdetik di hati saya.

Rupa-rupanya, proses mendidik hati agar berani berkongsi rezeki ini telah mengubah persepsi saya bahawa konsep 'menderma itu tidak membuatkan saya bertambah miskin'. 

Sebaliknya, kata-kata nakal saya itu telah Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih besar. Bukan sahaja soal RM tetapi tentang hadiah rezeki itu sendiri.

Bila Hati Tenang, Segalanya Jadi Mudah


Dan ada satu ketika, dalam tempoh setengah bulan, saya pernah mencatatkan aliran keluar masuk wang saya setiap hari. Setiap apa yang saya dapat, saya catat. Begitu juga bila wang yang saya keluarkan. Hatta memberikan 10 sen kepada anak-anak pun saya tandakan dalam buku biru itu.

Tapi cukup setengah bulan saja sebelum saya ambil keputusan berhenti mencatat. Kenapa? Sebabnya saya nampak aliran itu lebih banyak keluar dari yang disimpan. Tapi keluar bukan dalam konteks 'shopping'. Lalu saya fikir tidaklah perlu saya terlalu berkira-kira dengan Allah.

Syukurlah, sampai hari ini saya masih jelas tentang The Power Of Sedekah. Ia mengundang; ketenangan hati; tidaklah menjadikan saya kaya raya (walaupun dalam hati kata Nak Kaya!) tapi tidaklah sampai kesempitan.

P/S: Pemahaman ini saya kaitkan untuk diri saya sendiri ya. Orang lain saya tak tahu.

Hakikatnya, rezeki itu bukan saja ada RM yang banyak. Tapi segala aspek yang berkaitan ketenangan hati. Suami yang amat-amat memahami. Anak-anak yang manja-manja nakal saja. Urusan kerja yang akhirnya dipermudahkanNya (walaupun stressnya nauzubillah). 

Berkongsi Lagi

Hari ini, saya berkongsi rezeki dengan insan kesayangan 'hamba'. Rupa-rupanya membuatkan insan kesayangan gembira, akan Allah gantikan dengan kegembiraan yang berganda. Tak semena-mena, malam ini, ramai pula yang whatsapp bertanyakan tentang serbuk cheese yang sudah seminggu saya kepamkan jualannya.

Ada juga perkhabaran mendebarkan. Namun, akhirnya Allah hadirkan ketenangan apabila adik yang saya temuramah berpihak kepada saya. Sampailah hari ini, sudah tiga hari saya mencari kereta mainan elektrik untuk shooting hari Isnin yang bakal menjelang. Puas saya bertanya ke sana ke mari. Malam ini juga, saya telah jumpa kereta itu. Dan kata anak buah saya, Tasha Emaliza yang baik hatinya, kereta itu boleh diambil esok hari.

Zarif yang kebiasaannya sedikit manja dan nakal, malam ini baik-baik saja. Boleh pula cari roti sendiri dan makan 'maggie' dengan tenang. Ok, saya tahu maggie itu tidak bagus. Tapi sesekali makan, nikmatnya pemakan maggie saja yang tahu. 

Sedikit perkongsian saya tentang konsep rezeki di facebook peribadi.

Travelog Wartawan
Travelog Wartawan


 P/S: Mood selepas separuh membaca buku Mudahnya Menjemput Rezeki. Al Fatihah. Semoga kita dapat memanfaatkan idea 'The Power Of Sedekah' ini,


Tuesday, April 28, 2015

5 Tip Menulis Entri Blog Mesra Pembaca

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Google


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,



Pilihan isi blog yang tepat membantu pembaca memahami laman blog anda dengan lebih mudah.


Anda menulis bagai nak rak. Cerita pengalaman konon menarik. Kongsi kisah kehidupan yang difikirkan super hebat. Sayangnya cuma seorang dua yang membaca entri anda. Apa yang anda rasa? Frust! Tertekan sampai rasa nak terjun longkang? (Pilih saja lokasi selamat. lokasi lain bahaya, boleh undang kecederaan).

Salah satu cara menulis entri blog yang mesra pembaca adalah 'content' atau pengisian artikel yang bermanfaat pada pembaca. Dengan cara itu anda mampu kuasai trafik blog anda. Salah satu cara lain untuk meningkatkan aliran trafik blog adalah menerusi sokongan backlink.

Di Akademi Bekerja Dari Rumah kerja berjemaah memudahkan kerja-kerja menaikkan trafik blog kalian sekaligus membuatkan ia mesra pengunjung. Dalam website success.com, ada 5 tips penulisan blog yang membuatkan pengunjung suka baca. 

Saya ringkaskan ikut style penulisan saya ya. Bagi anda lebih mudah memahami. 

1. Kenali audien anda


Siapa audien? Mereka adalah individu yang membaca blog anda. Macamana mahu tahu latar belakang mereka? Tanyakan soalan ini.

  • Siapa mereka? (jantina - umur)
  • Pekerjaan mereka?
  • Apakah minat mereka?

Semakin anda kenali pembaca blog anda, semakin mudah anda membina jalinan emosi antara anda dan pembaca. Tulislah informasi tentang apa yang pembaca anda benar-benar inginkan. 

Saya beri contoh blog saya ini. Bukan sekadar perkongsian tentang dunia kewartawanan, saya juga berikan beberapa tips penulisan. Bukan semua orang dilahirkan berbakat menulis. Itu yang pernah beberapa orang berkongsi pengalaman dengan saya. Tetapi, menulis ini adalah satu kemahiran. Ia sebenarnya boleh diasah. 

2. Tajuk yang anda gemari


Sebelum membuatkan pembaca tertarik dengan tajuk yang bakal anda pilih. Anda perlu bertanya dahulu kepada diri sendiri. Adakah anda suka dengan tajuk yang bakal anda kupas?

Jika hati anda menafikan, mengapa membazir masa mahu berkongsi cerita yang bukan-bukan dan membuang masa di entri blog anda yang cukup berharga itu. 

Bagaimana mahu memilih tajuk yang anda juga gemari? Tak perlu mencari tajuk yang terlalu bombastik sehingga pembaca pun pening kepala mahu memahami. Cukuplah dengan pemilihan 'keyword' yang mudah dan akhirnya berpotensi untuk dikembangkan.

Misalnya dengan bermula menulis entri blog yang mesra pembaca, anda boleh menimbulkan persoalan lain seperti panduan berblogging mahupun bagaimana mahu menghasilkan penulisan yang bagus untuk entri blog? 

Carilah pelbagai idea yang boleh difikirkan tentang topik yang mahu dibincangkan. Buka luas minda dan fahami maksud 'berfikir di luar kotak'.

3. Gaya penulisan tersendiri.


Setiap orang tuhan berikan mereka identiti yang berbeza-beza. Begitu juga dengan penulisan. Kenali diri anda dan carilah gaya penulisan anda. Jangan sesekali meniru orang lain. Kalaupun anda berjaya, ia tidak akan bertahan lama.

Akhirnya sampai satu tahap, anda sendiri sudah tidak larat lagi mahu meniru dan idea buntu. Ok, sebenarnya anda sedang membunuh penulisan anda sedikit demi sedikit. Fahamkan adakah anda seorang blogger yang suka menulis menggunakan ayat yang panjang-berjela atau jenis yang 'keep it short and simple'. Anda gemar menulis gaya bahasa berbunga-bunga atau lebih gemar menulis terus kepada fakta.

Saya kira, menulis dengan menyelitkan pengalaman peribadi sebenarnya membantu anda menjadi unik dalam laman maya. Tidak salah berkongsi apa yang anda alami dan saya kira, pelawat anda juga mahu tahu serba sedikit ilmu dan tips daripada anda.

Paling penting, biarkan penulisan anda menembusi jiwa pembaca secara semulajadi. Mereka baca, mereka faham dan akhirnya mereka praktikkan.

 Sebab itulah, perlu jadi diri sendiri.

Tips menarik pembaca:
  • Masukkan quote ; kata-kata sendalan yang menarik untuk dibaca. Pastikan ia tidak mengganggu mata mahupun keseronokan pembaca blog anda.
  • Berikan list dan subhead (tajuk kecil) untuk menarik pandangan mata pembaca.
  • Para yang pendek dan ringkas.

4. Intro yang memberi impak


Bukan mudah sebenarnya. Saya sendiri akui proses mahu mendapatkan intro yang benar-benar 'catchy' dan memukau tidak mengambil masa yang singkat. Ia perlukan kesabaran untuk anda memahami, memilih kata yang benar-benar tepat, padat dan 'menangkap'.

Ada beberapa tips yang boleh dikongsi:

  • Mulakan dengan persoalan. Misalnya, Bimbang facebook anda diceroboh? Idea di sini adalah untuk mengundang perasaan ingin tahu pembaca untuk mengetahui apakah artikel yang mahu anda kongsikan itu.
  • Boleh mulakan dengan fakta atau pengakuan. Misalnya, Semua orang tahu bagaimana mahu merakam gambar selfie. 

Pastikan intro anda ada kaitan dengan artikel. Atau pembaca anda bukan sahaja keluar dari blog anda dengan perasaan hampa malah meninggalkan jejak kemarahan yang sukar dipadamkan. 

Sekali nama anda tercalar di laman sosial, susah sebenarnya mahu naik kembali. Jika bernasib baik, sekejap sahaja kesilapan boleh dibetulkan. Jika hukuman masih belum berakhir, bertahun-tahun lamanya anda terpaksa menanggung susu sebelangan yang telah rosak hanya diakibatkan oleh nila yang setitik itu. Fikir-fikirkan.

5. Pilih tajuk yang super-catchy


Maksudnya di sini, tajuk perlu memukau tahap super. Baca tajuk saja pembaca terus mahu buka laman blog anda dan tak berganjak membaca artikel yang anda kongsikan. Silap hari bulan, mereka share pula tips yang anda tulis. Wah! Bukankah itu bonus untuk anda.

Tips pilihan tajuk

  • Bagaimana untuk ....
  • Faktor X untuk .....
  • Siapa lagi mahu ... ?
  • Panduan mudah dan ringkas untuk ...
  • Rahsia .... 
  • Perkara yang semua perlu tahu tentang ....
  • Anda berharap anda ...
  • Cara paling efektif untuk ...

Semoga perkongsian ini bermanfaat.


Belajar Asas Bina Blog dan Penulisan di:
Beli produk kecantikan NourAin Skincare dengan saya: 
Jadi Rakan Niaga Akademi Bekerja Dari Rumah:




        

Entri Santai Hujung Minggu (Posting Yang Tertangguh)

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Samsung NX3

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Gambar ini tak ada kena mengena dengan entri saya. Emak dan Qaseh waktu menghantar adik lelaki saya, Yanto bernikah dengan pasangannya, Erin. Dah selamat pun kedua-duanya. Moga berbahagia till Jannah ya adik-adikku.


Sudah dua malam saya beremosi. Banyak berfikir tentang masa depan dan apa yang saya cari sebenarnya selepas ini. Memandang anak-anak pun boleh buat hati jadi sayu.

Peluk Zarif ketat-ketat sambil minta maaf dengan dia sebab banyak abaikan Zarif dan kurang berikan kasih sayang padanya. Barangkali sebab itulah, Zarif sedikit 'keras' sifatnya. Rupa-rupanya, Mirza juga begitu. Dalam diam memprotes ibu.

Jadi, sejak akhir-akhir ini saya lebih banyak berlembut dan berikan anak-anak pelukan. 

Jauh beza daripada saya yang dulu. Garang tak bertempat dan sesuka hati marah anak-anak. Mungkin juga saya stress dengan kerjaya saya waktu itu.

Benar menjadi wartawan Mingguan Wanita adalah pekerjaan paling mencabar sekali. Dengan deadline setiap minggu dan perlu menyiapkan sekurang-kurangnya 8 artikel berbentuk temubual sememangnya memeritkan jiwa.

Jangan ada anak-anak yang tersilap kata, rotan habuan mereka. Owh! Saya banyak tersilap langkah.

Bertukar majalah bulanan membuatkan saya lebih mesra anak-anak. Setiap kali pulang ke rumah, saya ada masa untuk memasak. Walaupun balik jam 8 malam, anak-anak setia menanti dan kami akan mula makan jam 9 lebih.

Kadangkala anak-anak sudah makan pun di rumah nenek, tapi mereka suka jika dapat makan air tangan ibu.

Kata Mirza, ibu masak apa pun sedap. 

Ibu, kembang semangkuk. Rasa tak jejak di bumi. 

Rupa-rupanya, bila hati ibu tenang dan lembut, jiwa anak-anak pun akan terkesan sama. Mereka lebih relaks dan mendengar kata. 

Jadi, apa sebenarnya yang mahu dikongsi? Cerita tentang seorang ibu yang entah apa-apa menjadi lebih apa-apa.

Memasak untuk anak-anak lebih-lebih lagi pada malam hari tak boleh ambil masa yang lama. Balik rumah sinsing lengan terus sediakan lauk mudah sedia yang tak perlu berlama-lama. 

Janji anak dapat makan dengan senang hati. Telur dadar dengan kicap pun sedap jugakan. Yang penting tahu bagaimana hendak memasak cepat.

Caranya gunakan bahan paling ringkas dan tak cerewet. Kadangkala cuma bawang merah dan cili pun kalau kena gayanya boleh jadikan masakan tu enak. 

Paling penting adalah air tangan ibu. Memasaklah untuk anak-anak supaya kasih kita tumpah di jiwa mereka.

Thursday, April 9, 2015

Inspirasi WAHM #zailamohamad

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Koleksi blog Zaila Mohamad

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Kenali Guru Online ABDR, Zaila Mohamad



Saya sering memasang impian mahu menjadi ibu yang mengatur hidup anak-anak dengan sepenuh masa. Anganan itu menjadi semakin kuat apabila memasuki tahun 2015. Tetapi halangan kebimbangan sentiasa bertapak kecil di sudut hati saya.

Selepas majlis kahwin adik lelaki saya yang berlangsung baru-baru ini, emak dan abah sering saja tidak sihat. Dalam masa yang sama, Mirza, Zarif dan Qaseh saya letakkan di bawah jagaan emak.

Pernah saya tanyakan pada emak adakah saya ini membebankan dengan meletakkan anak-anak di bawah jagaan emak? Emak kata 'tidak'. Tapi hati saya tetap bimbang, takut ibu saya jadi 'ibu yang melahirkan tuan'.

Bermula saat itu, saya selalu berdoa moga Allah bukakan jalan. Permudahkan saya untuk menyelesaikan masalah yang satu ini. Dan sejak akhir-akhir ini ia sering saja bermain di lubuk hati. Insyaallah ia tidak akan lama, sebab itu saya perlu gerak laju-laju.

Dan salah satu cara untuk saya membina kekuatan dan keyakinan hati saya bahawa ada hikmah besar apabila bergelar WAHM, saya mahu kongsikan kisah-kisah WAHM yang saya kenali. Semoga ia akan menjadi kekuatan untuk saya.

Saya tahu cerita-cerita WAHM ini banyak sekali terhimpun di dalam ABDR.

Mari saya kongsikan satu kisah inspirasi yang dapat menyuntik kekuatan diri untuk menggapai impian yang satu ini. Bukan mudah sebenarnya, apatah lagi saya ini hidup bermajikan sejak tahun 2002 lagi.



Zaila Kuasai Blog Sebelum Berhenti


Zaila Mohamad antara guru online dalam Grup Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR). Ketika ini dia bekerja dari rumah di samping mengendalikan 5 orang anak (3 lelaki dan 2 perempuan). Suatu ketika dahulu Zaila pernah berkhidmat dalam bidang tender di sebuah syarikat pembinaan di Shah Alam.

Lima tahun memegang amanah kerjaya, akhirnya Zaila ambil keputusan melepaskan demi keluarga tercinta. Walaupun Zaila miliki Ijazah Kejuruteraan Proses & Makanan dari UPM, dia tidak pernah bekerja dalam bidang berkaitan.

"Bagusnya saya suka memasak dan menjual produk makanan. Rasanya makanan begitu dekat dengan hati saya," tutur Zaila yang begitu giat menjual produk makanan secara online.

Zaila blogger yang aktif. Tahun 2009, Zaila membaca blog teman lalu timbul keinginan mahu berblogging. Waktu itu, trend berblog baru bermula.

"Saya main redah saja dan bahasa pun banyak bahasa rojak. Cerita saya pun cerita syok sendiri. Saya juga bergaul dengan rakan-rakan blogger kerana dalam kehidupan sebenar saya tidak ramai kawan kecuali suami dan kawan saya yang sudah meninggal pada tahun 2011.

"Saya bermula dengan mengenali puan Masayu di mana saya mula menjadi rapat dengannya apabila saya tidak lagi bekerja. Selepas melahirkan anak ke empat, beliau menawarkan saya menjadi pembantu kelasnya. Kemudian saya diangkat menjadi guru online selepas melepasi syarat-syarat yang dikenakan oleh puan Masayu."

Zaila berhenti dari pekerjaannya dan semakin aktif bergelar blogger. Bukan mudah untuknya mengekalkan trafik blog dan momentum menulis. Dan bukan senang untuknya menaikkan trafik blog. Walaupun cuma bergelar suri, Zaila dapat mengekalkan konsistensi 1700 pengunjung sehari dengan kadar entri 2 kali sehari.

"Itulah mungkin saya bukannya lifestyle blogger yang terkenal, blog saya cuma suam-suam kuku sahaja. Tapi saya tak pentingkan sangat hal itu. Bagi saya, blog saya adalah tempat untuk saya meluahkan segala penat lelah setelah seharian menjaga anak.

"Saya sebenarnya ada banyak blog. Jadi ada blog dikhaskan untuk menjual dan ada untuk memberi tips dan panduan tentang bagaimana untuk bekerja dari rumah macam yang saya lakukan sekarang. Satu hal yang saya perasan, blog-blog yang santai penulisan memang akan mendapat sambutan. Jadi sebolehnya saya akan 'mantain' satu blog sebagai diari surirumah yang bekerja dari rumah dan di sini saya kongsikan aktiviti saya sekeluarga dan perkara yang saya lakukan. Selain itu, saya juga menulis di blog mengenai maklumat untuk memulakan kerja dari rumah."

Bergelar suri usahawan rupanya tidak membebankan. Zaila tahu bagaimana mahu membahagikan masa. Sejak anak-anaknya semakin membesar, dia boleh fokus dengan jadual harian. Sekarang ini pun dia sudah ada pembantu. Sebab itulah, Zaila akan pastikan blognya berupdate sekali sehari dan dia menjalankan promosi produk.


Menu ringkas akan disediakan untuk keluarga tapi masih memenuhi citarasa anak-anak. Yang penting adanya gadget yang memudahkan suri memasak atau melakukan kerja rumah. Misalnya mesin basuh automatik, periuk noxxa dan semua itu memudahkan kerjanya.

Akuinya pengurusan masa paling utama. Dia tidak banyak menonton TV kerana itu akan membuatkan kerja rumah tergendala. Kadangkala juga dia akan melakukan banyak perkara dalam satu masa misalnya sambil menonton dia memasak. (Mata tidak melihat hanya telinga yang mendengar). Kala ini masa begitu berharga.

"Saya perasan dari sehari ke sehari ramai pembaca yang menghubungi saya melalui emel ataupun Whats App untuk bertanyakan bagaimana untuk memulakan kerja dari rumah. Dari situ saya akan perkenalkan dengan ABDR," ujar penulis ebook Suri Rumah Juga Boleh Berbisnes.

Pengalaman Menarik Bergelar Blogger 

  1. Zaila pernah dibayar oleh Nuffnang dengan cek bernilai RM400 sebanyak 2 kali. 
  2. Dapat menghadirkan diri ke majlis dan peroleh banyak free gift serta dapat meningkatkan trafik blog. Namun kekangan masa membuatkan dia lebih selesa duduk di rumah dengan anak-anak.
  3. Zaila belajar berniaga online juga melalui blog dari situ dia berkembang ke jualan offline.
  4. Saat dia sudah berhenti kerja dia masih lagi terus menulis blog malah menggandakan entri untuk menarik trafik yang tinggi. 
  5. Saya sentiasa berfikiran positif, kalau dulu sedih juga bila kerja bukan dalam bidang pengajian, temuduga guru tak pernah lulus tapi lama-lama bila saya banyak membaca blog ibu-ibu yang bekerja dari rumah, saya rasa it's ok untuk jadi surirumah. Tapi saya ini WAHM (Working At Home Mom) tau!

Blog Zaila: 


http://zailabinimdae.blogspot.com/
http://zailamohamad.blogspot.com

Wednesday, April 8, 2015

Panduan Bawa Anak Ke Pusat Membeli Belah #majalahkeluarga

-->
Teks kelolaan: Netty Ah Hiyer
Foto: Koleksi peribadi Puan Siti Fatimah Abdul Ghani dan Google

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,


Bawa anak membeli belah pun ada caranya. Nak tahu, teruslah membaca entri di bawah.



Entri kali ini saya berkaitan panduan keselamatan untuk anak-anak kecil. Ia sebenarnya adalah artikel yang dimuatkan di dalam majalah Keluarga keluaran Mac 2015. Namun, ruang mukasurat yang terhad membuatan tidak semua input dapat dikongsi di dalam majalah.

Semoga soal jawab saya dengan Puan Siti Fatimah Abdul Ghani K.B.;P.A, Kaunselor Berdaftar/Perunding Psikologi dari Universiti Putra Malaysia ini dapat memberi manfaat untuk kita bersama.

Ini edisi uncut ya! 


KESELAMATAN MEMBAWA ANAK-ANAK DI PUSAT MEMBELI BELAH. PANDUAN IKUT PERINGKAT UMUR.


Disediakan oleh:
SITI FATIMAH ABDUL GHANI 
KAUNSELOR BERDAFTAR/PERUNDING PSIKOLOGI 
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

Semasa membawa anak ke pusat membeli belah, apakah perkara utama yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa. 
 Perkara utama yang perlu ditekankan ialah seperti:
  • Keperluan dan kelengkapan anak-anak seperti pampers, susu, pakaian persalinan, topi, tuala kecil atau sapu tangan, makanan dan juga peralatan lain seperti kereta sorong, bekas berisi air masak, bekas berisi air panas (untuk penyediaan susu formula) beg galas berisi keperluan anak-anak, dan sebagainya.
  • Kondisi kesihatan anak-anak.
  • Lokasi dan kesesuaian pusat membeli belah seperti pengetahuan tentang kemudahan yang disediakan
  • Kesesuaian pakaian anak-anak mengikut tempat yang dilawati. Dielakkan mengenakan pakaian tebal kepada anak-anak jika mengunjungi tempat yang sesak dengan orang ramai, panas dans ebagainya kerana dikhuatiri menimbulkan kesan tidak selesa serta jangkitan lain terhadap badan anak.
  • Pakaian ibu bapa juga harus sesuai dan selesa. Tidak terlalu sarat dengan perhiasan diri (brooch yang sarat jika bertudung, barang kemas yang sarat, pakaian yang terlalu ketat atau terlalu labuh, kasut yang bertumit atau licin). Pemakaian ibu bapa mempengaruhi keselesaan kepada anak-anak juga. Silap haribulan, pemakaian ibu bapa yang tidak sesuai menyebabkan kecederaan pada ibu bapa dan kesannya juga kepada anak-anak.
  • Persediaan perjalanan jauh memerlukan persediaan yang lengkap untuk keperluan kanak-kanak. Perlu diingatkan bahawa penyediaan bekalan makanan untuk kanak-kanak terutamanya bayi amatlah penting keranan makanan kanak-kanak tidak terdapat di pusat membeli belah. Sebaik-baiknya minuman mereka seperti air kosong/ mineral dan susu serta bekalan air panas perlu dibawa dalam bekas khas untuk kemudahan apabila diperlukan.
  • Keselematan dan keselesaan bayi perlu diutamakan. Bayi sememangnya lebih selesa untuk tidur dalam dakapan orang dewasa. Pun begitu, jika ibu merasa penat untuk mendukung bayi, maka dinasihatkan untuk meletakkan bayi di dalam kereta sorong bagi tidur yang lebih lena dan selesa.


Bagaimana mendidik/mengajar/menunjukkan cara yang betul kepada anak-anak tentang bahaya yang ada di pusat membeli belah. 
 
0 – 1 tahun  
  • Masih awal untuk mendidik/mengajar/menunjukkan cara yang betul tentang bahaya yang ada di pusat membeli belah.Yang paling praktikal boleh dilakukan ialah dengan kawalan sepenuhnya oleh ibu bapa sepanjang berada di luar. Ibu bapa perlu peka tentang kebarangkalian risioko dan bahaya yang ada supaya langkah berjaga-jaga diambil terlebih dahulu iaitu pencegahan.

2 – 4 tahun 
  • Bermula usia seawal 2-4 tahun, ibu bapa sudah boleh bercakap dengan anak-anak berkenaan bahaya sekeliling. Cara penyampaian perlulah bersahaja dan boleh difahami oleh anak-anak.
  • Paling ketara jika menggunakan medium komunikasi yang lain seperti buku, rancangan televisyen atau gambarajah bergambar untuk memudahkan pemahaman.

5 – 6 tahun
  • Pada peringkat usia ini, anak-anak boleh dilatih untuk bertanggungjawab dengan membawa beg milik sendiri yang mengandungi barang keperluan ketika keluar bersama keluarga. Kanak-kanak tidak perlu meminta ibu bapa jika dahaga dan lapar kerana mereka boleh mendapatkannnya dari beg yang dibawanya sendiri. Pun begitu, ibu bapa perlu menyediakan keperluan itu sebelum bersedia untuk keluar bersiar-siar.
  • Bergurau senda dan bersembang bersama anak boleh merapatkan lagi hubungan antara ibu bapa dan anak. Selain itu, ia melatih daya tindak dan kognitif anak-anak untuk berkongsi dengan ibu bapa atas apa jua perkara yang difikirkan perlu. Tanpa komunikasi dan gurau senda dalam keluarga, hubungan menjadi dingin dan tidak mesra. Kesannya, proses mendidik anak juga terhenti.

Apakah keperluan  keselamatan yang perlu ibu bapa perhatikan semasa membawa anak ke pusat membeli belah?
 
Selain pemilihan kasut yang sesuai, beg tangan ibu juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan keselamatan diri dan anak-anak ketika berada di tempat awam terutamanya pusat membeli belah yang dipenuhi orang ramai. Pemilihan beg sandang/ galas yang tidak sesuai membuka peluang kepada penjenayah yang berkeliaran untuk meragut, selain juga dikhuatiri tercicir jika terlalu kecil dan tidak mempunyai tali sandang yang bersesuaian. Jika situasi ini berlalu (diragut) misalnya, ianya membahayakan keselamatan si ibu malah lebih teruk jika dikendong bayi bersama-sama.
Kasut yang tidak sesuai mendedahkan diri kepada masalah kesihatan/ lenguh/tergelincir/terseliuh dalam kalangan ibu bapa serta anak. Kesesuaian kasut untuk anak-anak amat penting bagi mengelakkan kemalangan yang di luar jangkaan.
Pakaian anak-anak juga perlu bersesuaian bagi memberikan keselesaan kepada anak-anak serta membantu mereka bergerak lebih bebsa tanpa merasa melekit/terlalu labuh dan sarat ketika berada di pusat membeli belah. Material fabric juga perlu sesuai agar anak selesa dalam berfesyen.
Kesilapan yang sering dilihat ialah dengan mengenakan telekung kepada bayi yang masih kecil. Tidak dinafikan, amalan ini merupakan satu inisiatif dari ibu bapa untuk membiasakan anak-anak menutup aurat ketika di peringkat awal lagi. Pun begitu, saya tidak bersetuju jika pemakaian tudung dalam kalangan bayi atau kanak-kanak yang masih tidak mengerti apa-apa kerana ianya ternyata tidak selesa melainkan dipakaikan kepada anak-anak yang sudah mampu menjaga pemakaian mereka sendiri. 

Bayangkan, jika seorang bayi dipakaikan tudung dalanm situasi pusat membeli belah yang penuh dengan orang ramai, bersesak-sesak dan panas. Akhirnya apa yang ingin dipraktikkan itu tidak mencapai maksud. Selain itu, ada juga yang mengenakan pemakaian shawl yang penuh dengan pin tudung sana sini, sehingga menutupi mata dan adakalanya terlihat agak sarat pada anak-anak. Justeru, jikalaupun ingin mendidik anak-anak menutup aurat, maka pilihan peringkat usia itu amat penting serta jenis material dan bentuk tudung itu sendiri perlu diperhalusi.
Selain itu, ada juga yang mengenakan hiasan kepala yang terlalu sarat kepada anak-anak. Tidak kurang juga perhiasan lain seperti barang kemas yang mendedahkan mereka kepada bahaya peragut atau penyelup poket. Jika benar ingin menghiaskan anak-anak, maka biarlah ianya ringkas, selamat dan selesa buat mereka. 
Bilakah waktu yang sesuai untuk membawa anak-anak ke pusat membeli belah. 

Waktu yang paling sesuai untuk membawa anak-anak ke pusat membeli belah adalah bergantung juga kepada kelapangan masa ibu bapa. Sebaiknya, elakkan membawa anak-anak di waktu puncak ataupun ketika tiba sesuatu musim perayaan. Situasi ini menyebabkan susasana agak sesak dan penuh dengan ramai orang sehingga membahayakan keselamatan anak. Pilihlah waktu di mana kurangnya orang berkunjung ketika itu seperti hari biasa selepas waktu persekolahan dimana ibu bapa berkemungkinan perlu mengambil cuti atas desakan membeli barang-barang keperluan anak-anak seperti baju raya, baju sekolah dan kelengkapan yang lain. Uruslah masa yang sebaiknya.   

Selain mengelakkan dari berlakunya kemalangan, atau kecederaan yang lain, ia juga mengelakkan perasaan amarah dan emosi dalam kalangan ibu bapa jika sukar mendapatkan tempat letak kenderaan. Perkara ini dikhuatiri menimbulkan satu gerak rasa yang negatif bagi ibu bapa sebelum meneruskan niat membeli belah. Asasnya, perkara sebegini boleh dielakkan dan bergantung kepada kebijaksanaan menetapkan keutamaan masa untuk membeli belah.
Ada sesetengah ibu bapa yang membawa anak2 ke tempat begini semasa jualan murah dan ramai orang. Jika ibu bapa terpaksa, apakah saranan yang puan boleh berikan. 

0– 1 tahun                 
  • Sebaiknya bawalah bersama pembantu (jika ada) ataupun saudara yang boleh bergilir-gilir menjaga bayi ketika ibu bapa sedang asyik membeli belah.
  • Jika tiada pembantu, maka perlulah peranan menjaga anak diagihkan antara ibu dan bapa. Contoh jika ibu sibuk memilih barangan keperluannya, maka bapa boleh mengambil alih peranan untuk menjaga anak. Begitulah sebaliknya.
  • Memastikan keperluan bayi disediakan seperti susu suam dan jika bayi masih menyusu badan, maka pastikan bayi sudah diberikan susu (sebelum bertolak ataupun di tempat yang disediakan) sebelum meneruskan  niat untuk membeli belah.
  • Memastikan kondisi bayi selesa dan lampin juga bersih dan tidak sarat samaada buang air besar ataupun air kecil. Ini penting bagi mengelakkan bayi meragam dan pastinya menimbulkan emosi yang tidak tenteram juga bagi ibu bapa jika bayi meragam. Justeru, untuk mengelakkan emosi ibu bapa terganggung, terlebih dahulu sempurnakanlah keperluan anak-anak terutama bayi.
  • Membawa peralatan yang sesuai seperti stroller atau beg sandang bayi yang sesuai, iaitu tidak terlalu besar atau kecil dan mudah dibawa.

2 – 4 tahun
-->
  • Seperti juga bayi, anak-anak dalam lingkungan 2 – 4 tahun juga perlu diperhatikan sepenuhnya oleh ibu bapa. Giliran memilih pakaian atau baranga keperluan perlu dilakukan oleh ibu dan bapa supaya sentiasa ada orang dewasa yang mengawal anak-anak.
  • Sekiranya mempunyai pembantu atau saudara maka sebaiknya dibawa bersama bagi menjaga anak-anak ketika ibu bapa sibuk memilih.
  • Jika anak-anak merupakan seorang yang hiperaktif atau tidak duduk diam, maka sebaiknya bawa bersama beg sandang anak-anak yang mempunyai tali supaya sentiasa dekat dan terkawal pergerakkannnya oleh ibu bapa. Alat ini telah digunakan secara meluas di kebayakan Negara luar sebagai satu langkah pencegahan anak-anak berkeliaran ke tempat lain tanpa kawalan ibu bapa.
  • Pimpin tangan anak-anak kuat-kuat bagi mengelakkan mereka hilang atau sesat dalam limpahan orang ramai.

5 – 6 tahun
  • Bagi anak-anak dalam lingkungan usia ini, kebanyakan mereka telah mula faham akan arahan dan keselamatan. Maka sebaiknya, sebelum keluar rumah, perlu diberi peringatan kepada anak-anak supaya berkelakuan baik dan sentiasa berada bersama ibu dan ayah. Jadikan peringatan itu sebagai kebiasaan sebelum keluar ke mana-mana terutama tempat yang ramai orang.
  • Anak-anak juga perlu diberitahu akan cara terbaik jika dalam situasi tersesat atau hilang dari kawalan ibu bapa iaitu untuk pergi ke mana-mana kaunter di pusat membeli belah itu untuk memberitahu bahawa mereka hilang dari ibu bapa.
  • Pastikan anak-anak mengetahui nama penuh ibu bapa dan namanya sendiri jika merujuk ke kaunter di pusat membeli belah. Lebih elok sekiranya anak-anak diberitahu tempat untuk meminta tolong di bahagian keselamatan yang tersedia (namun agak sukar untuk melakukan perkara ini melainkan pusat membeli belah itu sememangnya sering dikunjungi bersama anak-anak)
  • Memberikan kad nama berserta no. telefon kepada anak-anak sekiranya berlaku kes kehilangan atau sesat. Langkah ini juga telah digunakan secara meluasnya di Negara-negara luar. Selain nama dan nombor telefon ibu bapa, nametag juga boleh disediakan kepada anak-anak bagi memudahkan urusan bantuan dan pertolongan yang lain.


Bagaimana mahu memastikan yang ibu bapa tidak lepas pandang anak-anak mereka semasa ber’shopping’.

Tanggungjawab dan kepekaan ibu bapa adalah syarat utama untuk memastikan anak-anak selamat. Selain itu, ibu bapa perlu jelas tentang keperluan mereka membeli belah dari segi barangan yang ingin dibeli, bahagian mana yang ingin dilewati, jangkaan masa dan juga kebersamaan bersama anak-anak. Tidak dinafikan ada segelintir ibu bapa yang terlalu leka memilih sehingga lupa yang mereka hadir bersama anak-anak yang belum mengerti tentang apa-apa. Perlu diketahui bahawa anak-anak ini adalah batasan atau had masanya untuk berkeadaan baik dan tenang. Maka ibu bapa perlu peka tentang jangka masa yang perlu dihabiskan di sesuatu tempat membeli belah itu supaya anak-anak tidak terabai dan amsih terkawal. Jika anak-anak mulai bosan dan penat, situasi sebeginilah yang mungkin mendedahkan mereka kepada bahaya yang lain.
Selain itu, ibu bapa juga perlu bijak mengatur masa dan pemilihan lokasi membeli belah. Pastikan pemilihan tempat yang sesuai, masa dan keadaan juga sesuai. Jika perkara ini diberi perhatian, maka sudah pasti suasana membeli belah itu menjadi sesuatu yang seronok dan bukan tragedi hitam.
Jika anak letih semasa keluar membeli belah dinasihatkan berhenti seketika berehat di tempat yang menyediakan minuman dan makanan. Sekirannya kanak-kanak terlena biarkan lena di pangkuan orang dewasa sambil menjamu selera. Sekiranya orang dewasa ingin meneruskan membeli belah dalam keadaan anak keletihan tingkahlaku negetif akan ditunjukkan oleh anak dengan pelbagai ragam.
Mendukung kanak-kanak boleh meletihkan sekiranya sebelah tangan dan sebelah lagi memilih barang yang ingin dibeli. Kedaan menjadi bertambah sukar sekiranya situasi persekitaran sesak dan padat dengan ramai orang. Penggunaan kereta sorong yang sederhana saiznya adalah yang terbaik dalam menghadapi situasi sebegini.
Pimpin tangan anak sepanjang berada di pusat membeli belah akan menimbulkan perasaan selamat dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, keselematan mereka juga terjamin.
Sementara menunggu isteri membeli belah peranan bapa adalah menjaga anak kecil. Kanak-kanak kecil merasa lebih selamat bersama orang yang terdekat iaitu bapa.Kemesraan antara orang yang terdekat dapat merapatkan hubungan dan memberi kesan kepada perkembangan diri kanak-kanak terutama perkembangan emosi dan tingkahlaku. Semasa mendokong bapa hendaklah berkomunikasi dengan anak tentang hal di persekitaran biarpun tidak difahami tetapi didengar dan dilihat.
Jangan biarkan anak merasa bosan tanpa mendapat perhatian. Kelekaan orang dewasa menumpukan perhatian terhadap anak-anak memberi kesan negative kepada anak selain membahayakan keselamatan mereka sekiranya terabai dan hilang dari kawalan ketika berada di persekitaran ramai orang.


Panduan berhadapan dengan orang asing (yang ditemui semasa di shopping kompleks) bagaimana mahu ajar anak2 agar lebih berhati-hati dengan orang asing yang ditemui di pusat membeli belah. 
  • Wujudkan komunikasi 2 hala antara ibu bapa dan anak-anak bagi mengeratkan hubungan interpersonal dalam kalangan ahli keluarga. Jika komunikasi ini sering dipraktikkan, maka adalah lebih mudah untuk ibu bapa menyampaikan sesuatu maklumat dan ajaran kepada anak-anak.
  • Memberitahu anak-anak tentang pantang larang ketika berhadapan dengan orang asing seperti apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Sebagai contoh, jika orang asing memberikan sesuatu, apa yang boleh diambil, apa yang tidak boleh diambil dan perlu dinyatakan sebab sesuatu tingkah laku itu.
  • Berikan juga tips-tips keselamatan kepada anak-anak menerusi perkongsian secara langsung ataupun menerusi penggunaan media massa sama ada elektronik ataupun media cetak. Berkemungkinan besar, langkah-langkah keselamatan diri ini boleh difahami dengan lebih mudah jika dipelajari menerusi surat khabar, majalah ataupun rancangan televisyen.
  • Didiklah anak-anak untuk bijak berkelakuan ketika berhadapan dengan orang asing. Jika merasai keselamatannya tergugat, maka ajarlah anak-anak untuk meminta tolong ataupun berlalri ke tempat yang ramai orang. Paling mudah, ajar anak-anak untuk terus berlari ke kaunter pembayaran ataupun tempat yang meriah dan bukan di tempat sunyi.
  • Sentiasa mengingatkan anak-anak supaya berada di sisi ibu bapa sepanjang berada di tempat awam.
  • Didik anak-anak untuk meminta kebenaran untuk pergi ke sesuatu tempat yang lain kepada ibu bapa sebelum bertindak beredar ke tempat selain dari kawalan ibu bapa.
  • Ingatkan anak-anak untuk tidak keseorangan dan sentiasa berteman ketika berada di tempat awam.
  • Nyatakan juga bahaya yang ada jika tersilap pilih orang.
  • Ibu bapa digalakkan bercakap dengan anak kecil walau pun ditempat membeli belah dengan menyatakan sesuatu yang diminati. Sebenarnya kanak-kanak mendengar dan menyimpan perkataan di mindanya. Perkataan yang didengar akan terkeluar secara semulajadi apabila dewasa dan memahaminya dengan sendiri.
#kelasasasblogdanpenulisan
#guruonlinenettyahhiyer
Related Posts with Thumbnails