Follow Saya Di Google Plus

Tuesday, April 28, 2015

5 Tip Menulis Entri Blog Mesra Pembaca

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Google


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,



Pilihan isi blog yang tepat membantu pembaca memahami laman blog anda dengan lebih mudah.


Anda menulis bagai nak rak. Cerita pengalaman konon menarik. Kongsi kisah kehidupan yang difikirkan super hebat. Sayangnya cuma seorang dua yang membaca entri anda. Apa yang anda rasa? Frust! Tertekan sampai rasa nak terjun longkang? (Pilih saja lokasi selamat. lokasi lain bahaya, boleh undang kecederaan).

Salah satu cara menulis entri blog yang mesra pembaca adalah 'content' atau pengisian artikel yang bermanfaat pada pembaca. Dengan cara itu anda mampu kuasai trafik blog anda. Salah satu cara lain untuk meningkatkan aliran trafik blog adalah menerusi sokongan backlink.

Di Akademi Bekerja Dari Rumah kerja berjemaah memudahkan kerja-kerja menaikkan trafik blog kalian sekaligus membuatkan ia mesra pengunjung. Dalam website success.com, ada 5 tips penulisan blog yang membuatkan pengunjung suka baca. 

Saya ringkaskan ikut style penulisan saya ya. Bagi anda lebih mudah memahami. 

1. Kenali audien anda


Siapa audien? Mereka adalah individu yang membaca blog anda. Macamana mahu tahu latar belakang mereka? Tanyakan soalan ini.

  • Siapa mereka? (jantina - umur)
  • Pekerjaan mereka?
  • Apakah minat mereka?

Semakin anda kenali pembaca blog anda, semakin mudah anda membina jalinan emosi antara anda dan pembaca. Tulislah informasi tentang apa yang pembaca anda benar-benar inginkan. 

Saya beri contoh blog saya ini. Bukan sekadar perkongsian tentang dunia kewartawanan, saya juga berikan beberapa tips penulisan. Bukan semua orang dilahirkan berbakat menulis. Itu yang pernah beberapa orang berkongsi pengalaman dengan saya. Tetapi, menulis ini adalah satu kemahiran. Ia sebenarnya boleh diasah. 

2. Tajuk yang anda gemari


Sebelum membuatkan pembaca tertarik dengan tajuk yang bakal anda pilih. Anda perlu bertanya dahulu kepada diri sendiri. Adakah anda suka dengan tajuk yang bakal anda kupas?

Jika hati anda menafikan, mengapa membazir masa mahu berkongsi cerita yang bukan-bukan dan membuang masa di entri blog anda yang cukup berharga itu. 

Bagaimana mahu memilih tajuk yang anda juga gemari? Tak perlu mencari tajuk yang terlalu bombastik sehingga pembaca pun pening kepala mahu memahami. Cukuplah dengan pemilihan 'keyword' yang mudah dan akhirnya berpotensi untuk dikembangkan.

Misalnya dengan bermula menulis entri blog yang mesra pembaca, anda boleh menimbulkan persoalan lain seperti panduan berblogging mahupun bagaimana mahu menghasilkan penulisan yang bagus untuk entri blog? 

Carilah pelbagai idea yang boleh difikirkan tentang topik yang mahu dibincangkan. Buka luas minda dan fahami maksud 'berfikir di luar kotak'.

3. Gaya penulisan tersendiri.


Setiap orang tuhan berikan mereka identiti yang berbeza-beza. Begitu juga dengan penulisan. Kenali diri anda dan carilah gaya penulisan anda. Jangan sesekali meniru orang lain. Kalaupun anda berjaya, ia tidak akan bertahan lama.

Akhirnya sampai satu tahap, anda sendiri sudah tidak larat lagi mahu meniru dan idea buntu. Ok, sebenarnya anda sedang membunuh penulisan anda sedikit demi sedikit. Fahamkan adakah anda seorang blogger yang suka menulis menggunakan ayat yang panjang-berjela atau jenis yang 'keep it short and simple'. Anda gemar menulis gaya bahasa berbunga-bunga atau lebih gemar menulis terus kepada fakta.

Saya kira, menulis dengan menyelitkan pengalaman peribadi sebenarnya membantu anda menjadi unik dalam laman maya. Tidak salah berkongsi apa yang anda alami dan saya kira, pelawat anda juga mahu tahu serba sedikit ilmu dan tips daripada anda.

Paling penting, biarkan penulisan anda menembusi jiwa pembaca secara semulajadi. Mereka baca, mereka faham dan akhirnya mereka praktikkan.

 Sebab itulah, perlu jadi diri sendiri.

Tips menarik pembaca:
  • Masukkan quote ; kata-kata sendalan yang menarik untuk dibaca. Pastikan ia tidak mengganggu mata mahupun keseronokan pembaca blog anda.
  • Berikan list dan subhead (tajuk kecil) untuk menarik pandangan mata pembaca.
  • Para yang pendek dan ringkas.

4. Intro yang memberi impak


Bukan mudah sebenarnya. Saya sendiri akui proses mahu mendapatkan intro yang benar-benar 'catchy' dan memukau tidak mengambil masa yang singkat. Ia perlukan kesabaran untuk anda memahami, memilih kata yang benar-benar tepat, padat dan 'menangkap'.

Ada beberapa tips yang boleh dikongsi:

  • Mulakan dengan persoalan. Misalnya, Bimbang facebook anda diceroboh? Idea di sini adalah untuk mengundang perasaan ingin tahu pembaca untuk mengetahui apakah artikel yang mahu anda kongsikan itu.
  • Boleh mulakan dengan fakta atau pengakuan. Misalnya, Semua orang tahu bagaimana mahu merakam gambar selfie. 

Pastikan intro anda ada kaitan dengan artikel. Atau pembaca anda bukan sahaja keluar dari blog anda dengan perasaan hampa malah meninggalkan jejak kemarahan yang sukar dipadamkan. 

Sekali nama anda tercalar di laman sosial, susah sebenarnya mahu naik kembali. Jika bernasib baik, sekejap sahaja kesilapan boleh dibetulkan. Jika hukuman masih belum berakhir, bertahun-tahun lamanya anda terpaksa menanggung susu sebelangan yang telah rosak hanya diakibatkan oleh nila yang setitik itu. Fikir-fikirkan.

5. Pilih tajuk yang super-catchy


Maksudnya di sini, tajuk perlu memukau tahap super. Baca tajuk saja pembaca terus mahu buka laman blog anda dan tak berganjak membaca artikel yang anda kongsikan. Silap hari bulan, mereka share pula tips yang anda tulis. Wah! Bukankah itu bonus untuk anda.

Tips pilihan tajuk

  • Bagaimana untuk ....
  • Faktor X untuk .....
  • Siapa lagi mahu ... ?
  • Panduan mudah dan ringkas untuk ...
  • Rahsia .... 
  • Perkara yang semua perlu tahu tentang ....
  • Anda berharap anda ...
  • Cara paling efektif untuk ...

Semoga perkongsian ini bermanfaat.


Belajar Asas Bina Blog dan Penulisan di:
Beli produk kecantikan NourAin Skincare dengan saya: 
Jadi Rakan Niaga Akademi Bekerja Dari Rumah:




        

Entri Santai Hujung Minggu (Posting Yang Tertangguh)

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Samsung NX3

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Gambar ini tak ada kena mengena dengan entri saya. Emak dan Qaseh waktu menghantar adik lelaki saya, Yanto bernikah dengan pasangannya, Erin. Dah selamat pun kedua-duanya. Moga berbahagia till Jannah ya adik-adikku.


Sudah dua malam saya beremosi. Banyak berfikir tentang masa depan dan apa yang saya cari sebenarnya selepas ini. Memandang anak-anak pun boleh buat hati jadi sayu.

Peluk Zarif ketat-ketat sambil minta maaf dengan dia sebab banyak abaikan Zarif dan kurang berikan kasih sayang padanya. Barangkali sebab itulah, Zarif sedikit 'keras' sifatnya. Rupa-rupanya, Mirza juga begitu. Dalam diam memprotes ibu.

Jadi, sejak akhir-akhir ini saya lebih banyak berlembut dan berikan anak-anak pelukan. 

Jauh beza daripada saya yang dulu. Garang tak bertempat dan sesuka hati marah anak-anak. Mungkin juga saya stress dengan kerjaya saya waktu itu.

Benar menjadi wartawan Mingguan Wanita adalah pekerjaan paling mencabar sekali. Dengan deadline setiap minggu dan perlu menyiapkan sekurang-kurangnya 8 artikel berbentuk temubual sememangnya memeritkan jiwa.

Jangan ada anak-anak yang tersilap kata, rotan habuan mereka. Owh! Saya banyak tersilap langkah.

Bertukar majalah bulanan membuatkan saya lebih mesra anak-anak. Setiap kali pulang ke rumah, saya ada masa untuk memasak. Walaupun balik jam 8 malam, anak-anak setia menanti dan kami akan mula makan jam 9 lebih.

Kadangkala anak-anak sudah makan pun di rumah nenek, tapi mereka suka jika dapat makan air tangan ibu.

Kata Mirza, ibu masak apa pun sedap. 

Ibu, kembang semangkuk. Rasa tak jejak di bumi. 

Rupa-rupanya, bila hati ibu tenang dan lembut, jiwa anak-anak pun akan terkesan sama. Mereka lebih relaks dan mendengar kata. 

Jadi, apa sebenarnya yang mahu dikongsi? Cerita tentang seorang ibu yang entah apa-apa menjadi lebih apa-apa.

Memasak untuk anak-anak lebih-lebih lagi pada malam hari tak boleh ambil masa yang lama. Balik rumah sinsing lengan terus sediakan lauk mudah sedia yang tak perlu berlama-lama. 

Janji anak dapat makan dengan senang hati. Telur dadar dengan kicap pun sedap jugakan. Yang penting tahu bagaimana hendak memasak cepat.

Caranya gunakan bahan paling ringkas dan tak cerewet. Kadangkala cuma bawang merah dan cili pun kalau kena gayanya boleh jadikan masakan tu enak. 

Paling penting adalah air tangan ibu. Memasaklah untuk anak-anak supaya kasih kita tumpah di jiwa mereka.

Thursday, April 9, 2015

Inspirasi WAHM #zailamohamad

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Koleksi blog Zaila Mohamad

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Kenali Guru Online ABDR, Zaila Mohamad



Saya sering memasang impian mahu menjadi ibu yang mengatur hidup anak-anak dengan sepenuh masa. Anganan itu menjadi semakin kuat apabila memasuki tahun 2015. Tetapi halangan kebimbangan sentiasa bertapak kecil di sudut hati saya.

Selepas majlis kahwin adik lelaki saya yang berlangsung baru-baru ini, emak dan abah sering saja tidak sihat. Dalam masa yang sama, Mirza, Zarif dan Qaseh saya letakkan di bawah jagaan emak.

Pernah saya tanyakan pada emak adakah saya ini membebankan dengan meletakkan anak-anak di bawah jagaan emak? Emak kata 'tidak'. Tapi hati saya tetap bimbang, takut ibu saya jadi 'ibu yang melahirkan tuan'.

Bermula saat itu, saya selalu berdoa moga Allah bukakan jalan. Permudahkan saya untuk menyelesaikan masalah yang satu ini. Dan sejak akhir-akhir ini ia sering saja bermain di lubuk hati. Insyaallah ia tidak akan lama, sebab itu saya perlu gerak laju-laju.

Dan salah satu cara untuk saya membina kekuatan dan keyakinan hati saya bahawa ada hikmah besar apabila bergelar WAHM, saya mahu kongsikan kisah-kisah WAHM yang saya kenali. Semoga ia akan menjadi kekuatan untuk saya.

Saya tahu cerita-cerita WAHM ini banyak sekali terhimpun di dalam ABDR.

Mari saya kongsikan satu kisah inspirasi yang dapat menyuntik kekuatan diri untuk menggapai impian yang satu ini. Bukan mudah sebenarnya, apatah lagi saya ini hidup bermajikan sejak tahun 2002 lagi.



Zaila Kuasai Blog Sebelum Berhenti


Zaila Mohamad antara guru online dalam Grup Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR). Ketika ini dia bekerja dari rumah di samping mengendalikan 5 orang anak (3 lelaki dan 2 perempuan). Suatu ketika dahulu Zaila pernah berkhidmat dalam bidang tender di sebuah syarikat pembinaan di Shah Alam.

Lima tahun memegang amanah kerjaya, akhirnya Zaila ambil keputusan melepaskan demi keluarga tercinta. Walaupun Zaila miliki Ijazah Kejuruteraan Proses & Makanan dari UPM, dia tidak pernah bekerja dalam bidang berkaitan.

"Bagusnya saya suka memasak dan menjual produk makanan. Rasanya makanan begitu dekat dengan hati saya," tutur Zaila yang begitu giat menjual produk makanan secara online.

Zaila blogger yang aktif. Tahun 2009, Zaila membaca blog teman lalu timbul keinginan mahu berblogging. Waktu itu, trend berblog baru bermula.

"Saya main redah saja dan bahasa pun banyak bahasa rojak. Cerita saya pun cerita syok sendiri. Saya juga bergaul dengan rakan-rakan blogger kerana dalam kehidupan sebenar saya tidak ramai kawan kecuali suami dan kawan saya yang sudah meninggal pada tahun 2011.

"Saya bermula dengan mengenali puan Masayu di mana saya mula menjadi rapat dengannya apabila saya tidak lagi bekerja. Selepas melahirkan anak ke empat, beliau menawarkan saya menjadi pembantu kelasnya. Kemudian saya diangkat menjadi guru online selepas melepasi syarat-syarat yang dikenakan oleh puan Masayu."

Zaila berhenti dari pekerjaannya dan semakin aktif bergelar blogger. Bukan mudah untuknya mengekalkan trafik blog dan momentum menulis. Dan bukan senang untuknya menaikkan trafik blog. Walaupun cuma bergelar suri, Zaila dapat mengekalkan konsistensi 1700 pengunjung sehari dengan kadar entri 2 kali sehari.

"Itulah mungkin saya bukannya lifestyle blogger yang terkenal, blog saya cuma suam-suam kuku sahaja. Tapi saya tak pentingkan sangat hal itu. Bagi saya, blog saya adalah tempat untuk saya meluahkan segala penat lelah setelah seharian menjaga anak.

"Saya sebenarnya ada banyak blog. Jadi ada blog dikhaskan untuk menjual dan ada untuk memberi tips dan panduan tentang bagaimana untuk bekerja dari rumah macam yang saya lakukan sekarang. Satu hal yang saya perasan, blog-blog yang santai penulisan memang akan mendapat sambutan. Jadi sebolehnya saya akan 'mantain' satu blog sebagai diari surirumah yang bekerja dari rumah dan di sini saya kongsikan aktiviti saya sekeluarga dan perkara yang saya lakukan. Selain itu, saya juga menulis di blog mengenai maklumat untuk memulakan kerja dari rumah."

Bergelar suri usahawan rupanya tidak membebankan. Zaila tahu bagaimana mahu membahagikan masa. Sejak anak-anaknya semakin membesar, dia boleh fokus dengan jadual harian. Sekarang ini pun dia sudah ada pembantu. Sebab itulah, Zaila akan pastikan blognya berupdate sekali sehari dan dia menjalankan promosi produk.


Menu ringkas akan disediakan untuk keluarga tapi masih memenuhi citarasa anak-anak. Yang penting adanya gadget yang memudahkan suri memasak atau melakukan kerja rumah. Misalnya mesin basuh automatik, periuk noxxa dan semua itu memudahkan kerjanya.

Akuinya pengurusan masa paling utama. Dia tidak banyak menonton TV kerana itu akan membuatkan kerja rumah tergendala. Kadangkala juga dia akan melakukan banyak perkara dalam satu masa misalnya sambil menonton dia memasak. (Mata tidak melihat hanya telinga yang mendengar). Kala ini masa begitu berharga.

"Saya perasan dari sehari ke sehari ramai pembaca yang menghubungi saya melalui emel ataupun Whats App untuk bertanyakan bagaimana untuk memulakan kerja dari rumah. Dari situ saya akan perkenalkan dengan ABDR," ujar penulis ebook Suri Rumah Juga Boleh Berbisnes.

Pengalaman Menarik Bergelar Blogger 

  1. Zaila pernah dibayar oleh Nuffnang dengan cek bernilai RM400 sebanyak 2 kali. 
  2. Dapat menghadirkan diri ke majlis dan peroleh banyak free gift serta dapat meningkatkan trafik blog. Namun kekangan masa membuatkan dia lebih selesa duduk di rumah dengan anak-anak.
  3. Zaila belajar berniaga online juga melalui blog dari situ dia berkembang ke jualan offline.
  4. Saat dia sudah berhenti kerja dia masih lagi terus menulis blog malah menggandakan entri untuk menarik trafik yang tinggi. 
  5. Saya sentiasa berfikiran positif, kalau dulu sedih juga bila kerja bukan dalam bidang pengajian, temuduga guru tak pernah lulus tapi lama-lama bila saya banyak membaca blog ibu-ibu yang bekerja dari rumah, saya rasa it's ok untuk jadi surirumah. Tapi saya ini WAHM (Working At Home Mom) tau!

Blog Zaila: 


http://zailabinimdae.blogspot.com/
http://zailamohamad.blogspot.com

Wednesday, April 8, 2015

Panduan Bawa Anak Ke Pusat Membeli Belah #majalahkeluarga

-->
Teks kelolaan: Netty Ah Hiyer
Foto: Koleksi peribadi Puan Siti Fatimah Abdul Ghani dan Google

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,


Bawa anak membeli belah pun ada caranya. Nak tahu, teruslah membaca entri di bawah.



Entri kali ini saya berkaitan panduan keselamatan untuk anak-anak kecil. Ia sebenarnya adalah artikel yang dimuatkan di dalam majalah Keluarga keluaran Mac 2015. Namun, ruang mukasurat yang terhad membuatan tidak semua input dapat dikongsi di dalam majalah.

Semoga soal jawab saya dengan Puan Siti Fatimah Abdul Ghani K.B.;P.A, Kaunselor Berdaftar/Perunding Psikologi dari Universiti Putra Malaysia ini dapat memberi manfaat untuk kita bersama.

Ini edisi uncut ya! 


KESELAMATAN MEMBAWA ANAK-ANAK DI PUSAT MEMBELI BELAH. PANDUAN IKUT PERINGKAT UMUR.


Disediakan oleh:
SITI FATIMAH ABDUL GHANI 
KAUNSELOR BERDAFTAR/PERUNDING PSIKOLOGI 
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

Semasa membawa anak ke pusat membeli belah, apakah perkara utama yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa. 
 Perkara utama yang perlu ditekankan ialah seperti:
  • Keperluan dan kelengkapan anak-anak seperti pampers, susu, pakaian persalinan, topi, tuala kecil atau sapu tangan, makanan dan juga peralatan lain seperti kereta sorong, bekas berisi air masak, bekas berisi air panas (untuk penyediaan susu formula) beg galas berisi keperluan anak-anak, dan sebagainya.
  • Kondisi kesihatan anak-anak.
  • Lokasi dan kesesuaian pusat membeli belah seperti pengetahuan tentang kemudahan yang disediakan
  • Kesesuaian pakaian anak-anak mengikut tempat yang dilawati. Dielakkan mengenakan pakaian tebal kepada anak-anak jika mengunjungi tempat yang sesak dengan orang ramai, panas dans ebagainya kerana dikhuatiri menimbulkan kesan tidak selesa serta jangkitan lain terhadap badan anak.
  • Pakaian ibu bapa juga harus sesuai dan selesa. Tidak terlalu sarat dengan perhiasan diri (brooch yang sarat jika bertudung, barang kemas yang sarat, pakaian yang terlalu ketat atau terlalu labuh, kasut yang bertumit atau licin). Pemakaian ibu bapa mempengaruhi keselesaan kepada anak-anak juga. Silap haribulan, pemakaian ibu bapa yang tidak sesuai menyebabkan kecederaan pada ibu bapa dan kesannya juga kepada anak-anak.
  • Persediaan perjalanan jauh memerlukan persediaan yang lengkap untuk keperluan kanak-kanak. Perlu diingatkan bahawa penyediaan bekalan makanan untuk kanak-kanak terutamanya bayi amatlah penting keranan makanan kanak-kanak tidak terdapat di pusat membeli belah. Sebaik-baiknya minuman mereka seperti air kosong/ mineral dan susu serta bekalan air panas perlu dibawa dalam bekas khas untuk kemudahan apabila diperlukan.
  • Keselematan dan keselesaan bayi perlu diutamakan. Bayi sememangnya lebih selesa untuk tidur dalam dakapan orang dewasa. Pun begitu, jika ibu merasa penat untuk mendukung bayi, maka dinasihatkan untuk meletakkan bayi di dalam kereta sorong bagi tidur yang lebih lena dan selesa.


Bagaimana mendidik/mengajar/menunjukkan cara yang betul kepada anak-anak tentang bahaya yang ada di pusat membeli belah. 
 
0 – 1 tahun  
  • Masih awal untuk mendidik/mengajar/menunjukkan cara yang betul tentang bahaya yang ada di pusat membeli belah.Yang paling praktikal boleh dilakukan ialah dengan kawalan sepenuhnya oleh ibu bapa sepanjang berada di luar. Ibu bapa perlu peka tentang kebarangkalian risioko dan bahaya yang ada supaya langkah berjaga-jaga diambil terlebih dahulu iaitu pencegahan.

2 – 4 tahun 
  • Bermula usia seawal 2-4 tahun, ibu bapa sudah boleh bercakap dengan anak-anak berkenaan bahaya sekeliling. Cara penyampaian perlulah bersahaja dan boleh difahami oleh anak-anak.
  • Paling ketara jika menggunakan medium komunikasi yang lain seperti buku, rancangan televisyen atau gambarajah bergambar untuk memudahkan pemahaman.

5 – 6 tahun
  • Pada peringkat usia ini, anak-anak boleh dilatih untuk bertanggungjawab dengan membawa beg milik sendiri yang mengandungi barang keperluan ketika keluar bersama keluarga. Kanak-kanak tidak perlu meminta ibu bapa jika dahaga dan lapar kerana mereka boleh mendapatkannnya dari beg yang dibawanya sendiri. Pun begitu, ibu bapa perlu menyediakan keperluan itu sebelum bersedia untuk keluar bersiar-siar.
  • Bergurau senda dan bersembang bersama anak boleh merapatkan lagi hubungan antara ibu bapa dan anak. Selain itu, ia melatih daya tindak dan kognitif anak-anak untuk berkongsi dengan ibu bapa atas apa jua perkara yang difikirkan perlu. Tanpa komunikasi dan gurau senda dalam keluarga, hubungan menjadi dingin dan tidak mesra. Kesannya, proses mendidik anak juga terhenti.

Apakah keperluan  keselamatan yang perlu ibu bapa perhatikan semasa membawa anak ke pusat membeli belah?
 
Selain pemilihan kasut yang sesuai, beg tangan ibu juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan keselamatan diri dan anak-anak ketika berada di tempat awam terutamanya pusat membeli belah yang dipenuhi orang ramai. Pemilihan beg sandang/ galas yang tidak sesuai membuka peluang kepada penjenayah yang berkeliaran untuk meragut, selain juga dikhuatiri tercicir jika terlalu kecil dan tidak mempunyai tali sandang yang bersesuaian. Jika situasi ini berlalu (diragut) misalnya, ianya membahayakan keselamatan si ibu malah lebih teruk jika dikendong bayi bersama-sama.
Kasut yang tidak sesuai mendedahkan diri kepada masalah kesihatan/ lenguh/tergelincir/terseliuh dalam kalangan ibu bapa serta anak. Kesesuaian kasut untuk anak-anak amat penting bagi mengelakkan kemalangan yang di luar jangkaan.
Pakaian anak-anak juga perlu bersesuaian bagi memberikan keselesaan kepada anak-anak serta membantu mereka bergerak lebih bebsa tanpa merasa melekit/terlalu labuh dan sarat ketika berada di pusat membeli belah. Material fabric juga perlu sesuai agar anak selesa dalam berfesyen.
Kesilapan yang sering dilihat ialah dengan mengenakan telekung kepada bayi yang masih kecil. Tidak dinafikan, amalan ini merupakan satu inisiatif dari ibu bapa untuk membiasakan anak-anak menutup aurat ketika di peringkat awal lagi. Pun begitu, saya tidak bersetuju jika pemakaian tudung dalam kalangan bayi atau kanak-kanak yang masih tidak mengerti apa-apa kerana ianya ternyata tidak selesa melainkan dipakaikan kepada anak-anak yang sudah mampu menjaga pemakaian mereka sendiri. 

Bayangkan, jika seorang bayi dipakaikan tudung dalanm situasi pusat membeli belah yang penuh dengan orang ramai, bersesak-sesak dan panas. Akhirnya apa yang ingin dipraktikkan itu tidak mencapai maksud. Selain itu, ada juga yang mengenakan pemakaian shawl yang penuh dengan pin tudung sana sini, sehingga menutupi mata dan adakalanya terlihat agak sarat pada anak-anak. Justeru, jikalaupun ingin mendidik anak-anak menutup aurat, maka pilihan peringkat usia itu amat penting serta jenis material dan bentuk tudung itu sendiri perlu diperhalusi.
Selain itu, ada juga yang mengenakan hiasan kepala yang terlalu sarat kepada anak-anak. Tidak kurang juga perhiasan lain seperti barang kemas yang mendedahkan mereka kepada bahaya peragut atau penyelup poket. Jika benar ingin menghiaskan anak-anak, maka biarlah ianya ringkas, selamat dan selesa buat mereka. 
Bilakah waktu yang sesuai untuk membawa anak-anak ke pusat membeli belah. 

Waktu yang paling sesuai untuk membawa anak-anak ke pusat membeli belah adalah bergantung juga kepada kelapangan masa ibu bapa. Sebaiknya, elakkan membawa anak-anak di waktu puncak ataupun ketika tiba sesuatu musim perayaan. Situasi ini menyebabkan susasana agak sesak dan penuh dengan ramai orang sehingga membahayakan keselamatan anak. Pilihlah waktu di mana kurangnya orang berkunjung ketika itu seperti hari biasa selepas waktu persekolahan dimana ibu bapa berkemungkinan perlu mengambil cuti atas desakan membeli barang-barang keperluan anak-anak seperti baju raya, baju sekolah dan kelengkapan yang lain. Uruslah masa yang sebaiknya.   

Selain mengelakkan dari berlakunya kemalangan, atau kecederaan yang lain, ia juga mengelakkan perasaan amarah dan emosi dalam kalangan ibu bapa jika sukar mendapatkan tempat letak kenderaan. Perkara ini dikhuatiri menimbulkan satu gerak rasa yang negatif bagi ibu bapa sebelum meneruskan niat membeli belah. Asasnya, perkara sebegini boleh dielakkan dan bergantung kepada kebijaksanaan menetapkan keutamaan masa untuk membeli belah.
Ada sesetengah ibu bapa yang membawa anak2 ke tempat begini semasa jualan murah dan ramai orang. Jika ibu bapa terpaksa, apakah saranan yang puan boleh berikan. 

0– 1 tahun                 
  • Sebaiknya bawalah bersama pembantu (jika ada) ataupun saudara yang boleh bergilir-gilir menjaga bayi ketika ibu bapa sedang asyik membeli belah.
  • Jika tiada pembantu, maka perlulah peranan menjaga anak diagihkan antara ibu dan bapa. Contoh jika ibu sibuk memilih barangan keperluannya, maka bapa boleh mengambil alih peranan untuk menjaga anak. Begitulah sebaliknya.
  • Memastikan keperluan bayi disediakan seperti susu suam dan jika bayi masih menyusu badan, maka pastikan bayi sudah diberikan susu (sebelum bertolak ataupun di tempat yang disediakan) sebelum meneruskan  niat untuk membeli belah.
  • Memastikan kondisi bayi selesa dan lampin juga bersih dan tidak sarat samaada buang air besar ataupun air kecil. Ini penting bagi mengelakkan bayi meragam dan pastinya menimbulkan emosi yang tidak tenteram juga bagi ibu bapa jika bayi meragam. Justeru, untuk mengelakkan emosi ibu bapa terganggung, terlebih dahulu sempurnakanlah keperluan anak-anak terutama bayi.
  • Membawa peralatan yang sesuai seperti stroller atau beg sandang bayi yang sesuai, iaitu tidak terlalu besar atau kecil dan mudah dibawa.

2 – 4 tahun
-->
  • Seperti juga bayi, anak-anak dalam lingkungan 2 – 4 tahun juga perlu diperhatikan sepenuhnya oleh ibu bapa. Giliran memilih pakaian atau baranga keperluan perlu dilakukan oleh ibu dan bapa supaya sentiasa ada orang dewasa yang mengawal anak-anak.
  • Sekiranya mempunyai pembantu atau saudara maka sebaiknya dibawa bersama bagi menjaga anak-anak ketika ibu bapa sibuk memilih.
  • Jika anak-anak merupakan seorang yang hiperaktif atau tidak duduk diam, maka sebaiknya bawa bersama beg sandang anak-anak yang mempunyai tali supaya sentiasa dekat dan terkawal pergerakkannnya oleh ibu bapa. Alat ini telah digunakan secara meluas di kebayakan Negara luar sebagai satu langkah pencegahan anak-anak berkeliaran ke tempat lain tanpa kawalan ibu bapa.
  • Pimpin tangan anak-anak kuat-kuat bagi mengelakkan mereka hilang atau sesat dalam limpahan orang ramai.

5 – 6 tahun
  • Bagi anak-anak dalam lingkungan usia ini, kebanyakan mereka telah mula faham akan arahan dan keselamatan. Maka sebaiknya, sebelum keluar rumah, perlu diberi peringatan kepada anak-anak supaya berkelakuan baik dan sentiasa berada bersama ibu dan ayah. Jadikan peringatan itu sebagai kebiasaan sebelum keluar ke mana-mana terutama tempat yang ramai orang.
  • Anak-anak juga perlu diberitahu akan cara terbaik jika dalam situasi tersesat atau hilang dari kawalan ibu bapa iaitu untuk pergi ke mana-mana kaunter di pusat membeli belah itu untuk memberitahu bahawa mereka hilang dari ibu bapa.
  • Pastikan anak-anak mengetahui nama penuh ibu bapa dan namanya sendiri jika merujuk ke kaunter di pusat membeli belah. Lebih elok sekiranya anak-anak diberitahu tempat untuk meminta tolong di bahagian keselamatan yang tersedia (namun agak sukar untuk melakukan perkara ini melainkan pusat membeli belah itu sememangnya sering dikunjungi bersama anak-anak)
  • Memberikan kad nama berserta no. telefon kepada anak-anak sekiranya berlaku kes kehilangan atau sesat. Langkah ini juga telah digunakan secara meluasnya di Negara-negara luar. Selain nama dan nombor telefon ibu bapa, nametag juga boleh disediakan kepada anak-anak bagi memudahkan urusan bantuan dan pertolongan yang lain.


Bagaimana mahu memastikan yang ibu bapa tidak lepas pandang anak-anak mereka semasa ber’shopping’.

Tanggungjawab dan kepekaan ibu bapa adalah syarat utama untuk memastikan anak-anak selamat. Selain itu, ibu bapa perlu jelas tentang keperluan mereka membeli belah dari segi barangan yang ingin dibeli, bahagian mana yang ingin dilewati, jangkaan masa dan juga kebersamaan bersama anak-anak. Tidak dinafikan ada segelintir ibu bapa yang terlalu leka memilih sehingga lupa yang mereka hadir bersama anak-anak yang belum mengerti tentang apa-apa. Perlu diketahui bahawa anak-anak ini adalah batasan atau had masanya untuk berkeadaan baik dan tenang. Maka ibu bapa perlu peka tentang jangka masa yang perlu dihabiskan di sesuatu tempat membeli belah itu supaya anak-anak tidak terabai dan amsih terkawal. Jika anak-anak mulai bosan dan penat, situasi sebeginilah yang mungkin mendedahkan mereka kepada bahaya yang lain.
Selain itu, ibu bapa juga perlu bijak mengatur masa dan pemilihan lokasi membeli belah. Pastikan pemilihan tempat yang sesuai, masa dan keadaan juga sesuai. Jika perkara ini diberi perhatian, maka sudah pasti suasana membeli belah itu menjadi sesuatu yang seronok dan bukan tragedi hitam.
Jika anak letih semasa keluar membeli belah dinasihatkan berhenti seketika berehat di tempat yang menyediakan minuman dan makanan. Sekirannya kanak-kanak terlena biarkan lena di pangkuan orang dewasa sambil menjamu selera. Sekiranya orang dewasa ingin meneruskan membeli belah dalam keadaan anak keletihan tingkahlaku negetif akan ditunjukkan oleh anak dengan pelbagai ragam.
Mendukung kanak-kanak boleh meletihkan sekiranya sebelah tangan dan sebelah lagi memilih barang yang ingin dibeli. Kedaan menjadi bertambah sukar sekiranya situasi persekitaran sesak dan padat dengan ramai orang. Penggunaan kereta sorong yang sederhana saiznya adalah yang terbaik dalam menghadapi situasi sebegini.
Pimpin tangan anak sepanjang berada di pusat membeli belah akan menimbulkan perasaan selamat dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, keselematan mereka juga terjamin.
Sementara menunggu isteri membeli belah peranan bapa adalah menjaga anak kecil. Kanak-kanak kecil merasa lebih selamat bersama orang yang terdekat iaitu bapa.Kemesraan antara orang yang terdekat dapat merapatkan hubungan dan memberi kesan kepada perkembangan diri kanak-kanak terutama perkembangan emosi dan tingkahlaku. Semasa mendokong bapa hendaklah berkomunikasi dengan anak tentang hal di persekitaran biarpun tidak difahami tetapi didengar dan dilihat.
Jangan biarkan anak merasa bosan tanpa mendapat perhatian. Kelekaan orang dewasa menumpukan perhatian terhadap anak-anak memberi kesan negative kepada anak selain membahayakan keselamatan mereka sekiranya terabai dan hilang dari kawalan ketika berada di persekitaran ramai orang.


Panduan berhadapan dengan orang asing (yang ditemui semasa di shopping kompleks) bagaimana mahu ajar anak2 agar lebih berhati-hati dengan orang asing yang ditemui di pusat membeli belah. 
  • Wujudkan komunikasi 2 hala antara ibu bapa dan anak-anak bagi mengeratkan hubungan interpersonal dalam kalangan ahli keluarga. Jika komunikasi ini sering dipraktikkan, maka adalah lebih mudah untuk ibu bapa menyampaikan sesuatu maklumat dan ajaran kepada anak-anak.
  • Memberitahu anak-anak tentang pantang larang ketika berhadapan dengan orang asing seperti apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Sebagai contoh, jika orang asing memberikan sesuatu, apa yang boleh diambil, apa yang tidak boleh diambil dan perlu dinyatakan sebab sesuatu tingkah laku itu.
  • Berikan juga tips-tips keselamatan kepada anak-anak menerusi perkongsian secara langsung ataupun menerusi penggunaan media massa sama ada elektronik ataupun media cetak. Berkemungkinan besar, langkah-langkah keselamatan diri ini boleh difahami dengan lebih mudah jika dipelajari menerusi surat khabar, majalah ataupun rancangan televisyen.
  • Didiklah anak-anak untuk bijak berkelakuan ketika berhadapan dengan orang asing. Jika merasai keselamatannya tergugat, maka ajarlah anak-anak untuk meminta tolong ataupun berlalri ke tempat yang ramai orang. Paling mudah, ajar anak-anak untuk terus berlari ke kaunter pembayaran ataupun tempat yang meriah dan bukan di tempat sunyi.
  • Sentiasa mengingatkan anak-anak supaya berada di sisi ibu bapa sepanjang berada di tempat awam.
  • Didik anak-anak untuk meminta kebenaran untuk pergi ke sesuatu tempat yang lain kepada ibu bapa sebelum bertindak beredar ke tempat selain dari kawalan ibu bapa.
  • Ingatkan anak-anak untuk tidak keseorangan dan sentiasa berteman ketika berada di tempat awam.
  • Nyatakan juga bahaya yang ada jika tersilap pilih orang.
  • Ibu bapa digalakkan bercakap dengan anak kecil walau pun ditempat membeli belah dengan menyatakan sesuatu yang diminati. Sebenarnya kanak-kanak mendengar dan menyimpan perkataan di mindanya. Perkataan yang didengar akan terkeluar secara semulajadi apabila dewasa dan memahaminya dengan sendiri.
#kelasasasblogdanpenulisan
#guruonlinenettyahhiyer

Monday, April 6, 2015

Bagaimana Akhirnya Blog Travelog Wartawan Menjana Wang

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Koleksi whatsap saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,


Ini pelanggan Cheeza Cheese saya. Dia buka bisnes Grill dan jualan kek di Bandar Bukit Raja. Semoga perniagaannya maju dan sukses. Insyaallah, ada kelapangan boleh kak Net singgah ke sana.



Asalnya saya mahu jadikan ini update status di fanpage dan facebook personal. Tapi saya mahu ia jadi satu perkongsian yang memberi manfaat kepada ramai orang. Saya mahu berkongsi cerita tentang 'screenshot' whatsapp saya ini yang bermula dari blog dan kemudian ia mampu menjana wang.

Bagaimana produk cheeza's cheese saya ini sampai ke pengetahuan pelanggan saya. Sebelum itu, saya mahu tekankan sekali lagi, perkongsian ini adalah untuk tujuan pembelajaran. Sama-sama peroleh manfaat terutama orang yang baru bermula berniaga seperti saya.

Saya ini nama sahaja wartawan, tapi bila sampai ke soal mahu berkongsi jualan dengan sesiapa, mula jadi kaku dan 'kasihan' dengan diri sendiri. Jika saya imbas cerita lama, sangatlah kelakarnya waktu itu. Pernah juga berkali-kali suami saya memberi galakan dalam paksaan agar saya menggunakan sahaja kelebihan yang saya miliki.

Sungguh saya tak nampak pun apa kelebihan itu melainkan menemuramah 'individu' dan jadikan cerita untuk memenuhkan ruangan putih di majalah. Hampir setiap masa juga saya 'dibasuh' dengan suami sendiri. Mujurlah saya ini jenis 'cakaplah apa pun, selagi belum nak mula, saya takkan gerak'. 

Betapa degilnya saya waktu itu, Sampailah satu ketika saya mula kenal tentang dunia perniagaan melalui usahawan-usahawan hebat yang saya temuramah dalam kolum 'wanita dan niaga'. Sungguh, setiap kali pulang dari menemuramah mereka, aura positif itu cukup hebat sekali.

Tapi cuma aura semata-matalah. Tak ada pun gerakan mahu mencuba-cuba belajar berjualan. Dan setiap kali itulah, saya suka memerhati cara-cara orang bisnes ini. Bagaimana mereka boleh menjadi sebegitu hebat, bagaimana mereka boleh mengumpul jutaan ringgit dengan mudah (dari cara mereka ceritalah nampak macam mudah. Bila dah terjun dalam dunia ini baru tahu langit tinggi ke rendah).

Ilmu dan pengalaman itu. saya kumpul, serap dan belum lagi hadam habis. Cuma terserap sahaja yang lebihnya. :)

Kemudian, saya kembali aktif berblogging. Dalam masa sebulan lebih, saya usahakan 'update' entri 44 hari. Waktu itu, entrinya sudah mula fokus dan gaya penulisan juga sudah berbeza. Tak lagi 'hanki-pengki' seperti sebelumnya. Bila saya mula fokus menulis, saya juga sedang melatih minda saya untuk mencari apakah sebenarnya fokus blog saya ini.

Saya pernah berangan-angan suatu hari nanti blog Travelog Wartawan ini boleh menjadi sehebat Mingguan Wanita. Eceh! Itu berangan tahap tak ingat namanya. Sebab waktu itu, saya masih lagi menjadi penulis di majalah kesayangan ramai.

Lalu, saya terus tekun berusaha menjadikan blog ini seakan hub untuk semua produk jualan yang saya cuba-cuba berjinak menjual. Saya tak pernah menjangkakan yang blog ini boleh menjadi satu medan sampingan untuk saya.

Ada yang kata boleh jana wang dengan Nuffnang. Betul memang boleh jana wang tapi hendak tunggu selama mana. Wang dari Nuffnang tidak turun bergolek kepada anda. Mahu dapat wang yang 'lebat' blog perlu ada jumlah pengunjung yang ramai.

Jadi, Nuffnang itu ibarat, jika ada.. adalah. Namun, di blog Travelog Wartawan juga saya pasakkan blog cheeza's cheese, jualan ebook dan kelas ABDR. Rupanya hari ini, saya faham bahawa blog juga boleh menjual. Inilah kuasa blog, menukar pembaca menjadi pelanggan.

Bagaimana jika tiada produk? Kenapa mahu pening kepala. Allah beri kita tulang empat kerat. Jadi sentiasa belajar untuk melihat masalah sebagai peluang. Jika anda dapat memahami hal itu, insyaallah rezeki Allah bertebaran di muka bumi ini.

Namun, saya percaya, setiap sesuatu itu adalah gerakan daripada Dia. Dialah yang menggerakkan hati para pembaca blog ini untuk menghubungi dan sebagai makhluknya kita kena percaya dengan konsep rezeki dariNya.

Cuma apabila adanya blog capaian pembeli lebih luas. Ditambah pula dengan adanya fanpage mahupun instagram yang membantu proses pemasaran. 



Zaila adalah ejen dropship Cheeza's Cheese di kawasan Kota Kemuning. Boleh juga hubungi Zaila jika mahu order serbuk cheese di kawasan sekitarnya.



Cerita Pelanggan Cheeza's

Alhamdulillah, hari ini, saya dapat berkongsi kebaikan cheeza's dengan pelanggan saya yang baru membuka perniagaan grill di Bandar Bukit Raja. Saya doakan semoga perniagaannya berkembang dengan baik. 

Ada juga pelanggan cheeza's cheese saya yang mahu berjualan kentang di karnival. Saya berkongsi dengannya cheeza's cheese ini amat sesuai untuk kentang dan produk seumpamanya. Enaknya hampir menyamai cheezy wedges KFC. 

Tapi ada juga yang tidak sesuai. Adik saya, Azwan Ah Hiyer berniaga burger. Saya berikan padanya supaya cheeza's menjadi sos sampingan untuk produk burgernya. Kata adik, ia tak sesuai untuk daging burger. Rasanya kurang enak. Baiklah, saya akur. Dalam berniaga ini perlu ada 'try n error' dan terus belajar. 

Di blog cheezameru.blogspot.com saya cuma fokuskan pada jualan produk serbuk cheese. Di blog soho cuma fokuskan pada promosi iklan usahawan yang mahu turut serta dalam pemasaran blog ini. Samalah halnya dengan blog kelasasasblogdanpenulisan.com yang telah saya fokuskan dengan penerangan kelas. Untuk jualan produk Nour Ain, saya fokuskan saja di fanpage

Saya kira ini juga salah satu cara untuk meletakkan jenama 'Netty Ah Hiyer' di internet. Sayangnya dalam banyak-banyak perkara yang telah saya cuba ini, ada satu lagi impian yang belum saya tunaikan. Saya mahu menghasilkan Ebook. Mahu berangan menulis buku seperti jauh lagi. Walhal banyak sungguh kenangan dan perkongsian menarik yang boleh diterjemahkan menjadi kata-kata tentang dunia penerbitan yang saya ceburi. Agaknya, entah ada entah tidak yang mahu membacanya.

Tapi selagi belum cuba tak siapa yang tahukan. Jadi, dengan kekuatan 'spiritual' yang kadang stabil kadang tidak ini, saya mahu usahakan satu ebook yang telahpun saya sampaikan proposalnya pada Puan Masayu Ahmad. Semoga, dalam tempoh terdekat ini saya dapat menyudahkannya. 

Sungguh saya tak sangka, rupanya dengan blog Travelog Wartawan ini juga saya boleh merancang untuk menghasilkan Ebook. Itulah istimewanya ABDR yang sudah saya kenali sejak tiga tahun yang lalu. Bagaimana menghasilkan Ebook menerusi kegiatan berblogging ini. Insyaallah dari semasa ke semasa saya update ya.

Semoga perkongsian tentang bagaimana akhirnya Travelog Wartawan ini dapat menjana wang dapat memberi manfaat dan idea untuk pembaca menerokai pemasaran menerusi blog.


Belajar Asas Bina Blog dan Penulisan di:
Beli produk kecantikan NourAin Skincare dengan saya: 
Jadi Rakan Niaga Akademi Bekerja Dari Rumah:


Wednesday, April 1, 2015

Rezeki Bekerja & Berniaga

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Buku 'selfhelp' Bekerja & Berniaga, Panduan Kejayaan Untuk Suri

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,



Buku kak Zura ini bernilai RM39.90. Memandangkan saya berkongsi cerita di dalam buku comel ini, kak Zura hadiahkannya pada saya. Sebagai tanda terima kasih, saya hadiahkan pula review buku comel kak Zura yang sarat manfaat.

Seronoknya, bila Travelog Wartawan pun menyumbang sama dalam naskah 'Bekerja & Berniaga: Panduan Kejayaan Untuk Suri'

Dulu waktu saya kecil, kerap juga saya lihat emak berjualan dari rumah. Kadangkala emak buat 'party tupperware' di rumah kami. Apabila saya tingkatan enam, emak kembali bekerja. Dalam masa yang sama saya perhatikan emak rajin membuat jualan langsung.

Emak jadi stokis dan banyak edarkan barang jualan dengan pelanggannya. Paling saya ingat waktu emak berjualan kasut 'keras' untuk industri (entah apalah nama kasut tu). Margin untungnya tinggi barangkali, sebab saya perhatikan adalah sedikit 'kesenangan' untuk kami adik-beradik.

Tak lama kemudian, emak berjualan pasu bunga pula. Dalam masa yang sama, abah pula baru saja menjadi tukang kebun di kilang kayu tempat emak bekerja. Sama-sama tunggang motor vespa pemberian Cik Otol untuk ke tempat kerja. 

Waktu ini, kehidupan kami sudah semakin baik. Emak dan abah bekerja dalam masa yang sama emak rajin berniaga. Dapatlah kami membeli peti sejuk, televisyen dan paling seronok tak terkira, rumah kami ada talian telefon.

Tak tahu macam mana hendak gambarkan seronoknya bila ada telefon di rumah. Pantang bunyi berdering, kami adik beradik akan berlari bagai tak cukup nafas semata-mata mahu ucap 'hello!'. Akhirnya panggilan itu bukan untuk kami pun. 

Tak lama kemudian, emak ditimpa musibah. Kaki emak dihempap kayu di tempat kerjanya. Kaki emak patah dan terpaksalah emak berehat di rumah saja. Lebih malang, tempat kerja emak itu rupanya kilang yang beroperasi secara 'haram'. Penat emak turun naik ke bangunan PERKESO Klang demi mendapatkan haknya sebagai pekerja.

Dengan bantuan arwah pak cik Zakaria, emak dapatlah juga pampasan yang langsung tidak setimpal. Sepanjang tempoh itu, saya kenal keazaman dan semangat juang emak yang cukup saya kagumi sampai hari ini. Paling malang sekali, sampai hari ini kilang 'haram' itu masih lagi beroperasi di tempat emak bekerja dahulu. 

Baiklah, tutup buku kisah emak dianiaya oleh pemilik kilang 'haram' itu. 

Bila Kemahiran Jadi Sumber Pendapatan Tetap & Sampingan.

Agaknya juga, inilah asbabnya saya kini menjadi wartawan. Moga suatu hari nanti kisah emak ini boleh menjadi nota inspirasi buat diri saya mahupun orang lain. Dalam pada bergelar wartawan, saya warisi juga satu lagi sifat emak yang satu itu.

Iaitu bekerja dan berniaga. Barangkali juga darah keturunan berniaga ini sudah ada dalam diri saya. Arwah datuk saya juga seorang peniaga, begitu juga makcik-makcik sebelah emak. Walaupun cuma berjualan produk kampung mereka berjaya dalam dunia niaga mereka.

Memandangkan skill saya ini lebih kepada bidang penulisan, jadi apa lagi kemahiran lain yang boleh saya manipulasi sehingga ia mampu menjana pendapatan sampingan. Sudah tentulah melalui penulisan juga.

Akhirnya, dengan kemahiran yang telah dibina sejak tahun 2002, ia dapat dikembangkan dan insyaallah nota inspirasi ini akan terus saya sebarkan kepada sesiapa sahaja yang sudi mendengarnya. 

Pelawaan daripada penulis buku kak Azura Abdullah untuk berkongsi cerita bekerja dan berniaga di dalam projek buku terbarunya membuatkan saya terharu. Terasa tidak layak untuk berkongsi cerita. Lebih-lebih lagi, saya masih terlalu baru berbisnes. Saya sendiri segan mahu mengakui yang itu adalah bisnes.

Tapi saya kira, jika sudah boleh buat keuntungan RM1 untuk satu jualan, bukankah itu sudah dikira pandai berbisnes. Lalu, dengan keuntungan yang sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit itulah menjadi pendorong untuk saya bergerak lebih laju.

Berhenti kerja itu sentiasa saya sematkan sebagai impian dalam diri. Masalahnya mahu berhenti yang bagaimana? Senang di kemudian hari atau 'struggle' berhadapan masalah kewangan. Demi impian yang sudah dipasakkan dalam diri itulah terus menabahkan hati (walaupun kerapkali juga goyah) dan membuatkan saya positif dan terus positif.

Grup sokongan ABDR sentiasa menguatkan saya untuk berada dalam momentum yang sama. Kadangkala lemas, kawan-kawan tarik kembali ke atas. Kadangkala di atas, kawan-kawan tarik semula turun ke bawah. Sebenarnya berada dalam kesederhanaan itu adalah lebih baik lagi.

Begitulah ABDR, grup sokongan yang serba sederhana namun begitu besar manfaatnya kepada saya. Ia membuka ruang dan peluang untuk saya memahami asas dan menggali kemahiran yang saya miliki ini menjadi sumber rezeki sampingan. 

Review Buku Kak Zura

Saya sudah khatam buku kak Zura 'Bekerja & Berniaga: Panduan Kejayaan Untuk Suri'. Bagi anda yang memasang impian mahu berhenti kerja, cubalah baca buku ini. Ia akan memberi panduan kepada anda untuk membuat keputusan.

Bagaimana bekerja dan berniaga itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Namun, ada syarat-syaratnya. Semua itu diterangkan oleh kak Zura dalam buku comel ini. 

Bagaimana mahu bermula juga dikongsikan bersama pembaca. Penulisan kak Zura ringkas dan santai. Dalam tempoh yang singkat saya boleh menghabiskan pembacaan buku ini. (walhal hendak habiskan novel satu buku bencinta sungguh!). Jadi, cubalah membacanya ia tidak akan mengambil masa yang lama.

Yang paling mengujakan, apabila kak Zura berkongsi tentang 'branding' dan 'positioning'. Bagaimana blog memainkan peranan untuk dua elemen penting ini. Tertanya-tanyakan rahsianya. Buku kak Zura ini ada jawapannya.  

Jika mahu dapatkan ilmu berguna, boleh buat catatan nota. Simpan dan hadamkan baik-baik. Saya juga bersyukur sebab kak Zura sudi menemuramah saya dan menjadikan Travelog Wartawan sebagai testimoni 'bekerja & berniaga'. 

Semoga ianya boleh menjadi manfaat untuk pembaca buku 'Bekerja & Berniaga' tulisan Azura Abdullah ini. Kak Zura ini boleh dikesan (wah! macam ayat inspector gadget) melalui www.azuraabdullah.com
Related Posts with Thumbnails