Follow Saya Di Google Plus

Tuesday, September 10, 2013

Sehari nan indah bersama wartawan veteran, Dato' Jamelah A Bakar

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Pustaka Desktop Saya & Kamera Hebat Cik Non

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Dari kiri: Cik Non yang ramah dan 'sporting' (jurusolek yang mencantikkan Dato' untuk sesi pengambaran kali ini), saya, Dato' Jamelah A. Bakar dan Vel yang tersenyum sokmo.

Mata saya sebenarnya sudah sampai ke tahap mahu lelap. Namun perlu digagahkan demi tanggungjawab yang satu ini. Hari ini letihnya lain macam. Dari pagi sudah berhempas pulas memikirkan artikel yang masih belum selesai. Dalam masa yang sama, jiwa saya meronta-ronta setiap kali mengenangkan tugasan penuh debaran yang bakal dilalui sebentar nanti. Menemuramah Dato' Jamelah A Bakar, wartawan veteran tanahair bukannya satu kerja mudah untuk wartawan muda seperti saya. Peluh seramnya samalah ketika diminta editor menemuramah Pak Menteri. Bagaikan ada kupu-kupu berterbangan dan berputar-putar di perut saya.

Sebelum pergi, sempat membuat 'homework' tentang wanita hebat yang bakal saya temui. Bukan calang-calang orangnya; perniagaannya berkembang satu persatu. Daripada pemilikan syarikat perodua sampailah perihal niaga borong dan peruncitan. Itu belum cerita tentang hebatnya penulisan beliau dalam dunia politik mahupun ekonomi negara. Besar jasa dan sumbangannya. 

Sempat juga meminta pandangan teman-teman wartawan yang lain tentang pertanyaan sampingan yang boleh saya ajukan kelak. Bimbang ada soalan-soalan yang tidak saya tanyakan nanti. Namun, jauh di lubuk hati saya memanjatkan doa penuh pengharapan agar saya dapat mencari sesuatu yang 'hebat' tentang wanita ini. Dalam apa juga situasi temuramah, memang itulah saya saya cari. Agar saya dapat pulang ke meja dan memberikan satu cerita inspirasi kepada pembaca di luar sana.

Sesuai dengan status terkini beliau sebagai Pengerusi Hotel Singgahsana, maka pertemuan diaturkan di hotel berkenaan. Syukurlah segalanya berjalan lancar, barangkali dengan keperibadian beliau yang merendah diri dan cukup berhemah tutur katanya membuatkan temuramah berjalan mudah. Beliau juga sudi berkongsi apa sahaja pengalaman baik dalam dunia kewartawanan, mahupun soal tips cemerlang berniaga untuk wanita. Mahu tahu lebih lanjut tentang berkongsian ini, pembaca bolehlah membeli majalah Mingguan Wanita bilangan 1559, keluaran 4 Oktober nanti. Langsung belek ruangan Bicara Tokoh jika mahu mencari tips yang saya maklumkan tadi.

Kata beliau, sepanjang bergelar wartawan, tidak pernah sekalipun beliau melihat masa untuk pulang awal. Selagi kerja-kerja penulisan belum selesai, beliau akan tunggu di pejabat. Hendak pastikan suratkhabarnya tidak kena 'scoop', beliau menghubungi rakan media dari akhbar Cina. Bimbang andai ada berita yang mereka (akhbar Cina) dapat, tapi akhbar yang diwakilinya ketika itu, Utusan tidak dapat berita. 

"Pernah terjadi waktu saya bertugas di meja am, saya telefon kawan media dari Nan Yang. Tanya apa yang akhbar kamu peroleh, katanya, ada beberapa orang komunis mati kena tembak di Kulim. Waktu itu, wartawan jenayah sudah pulang. Tanpa berlengah, saya bergegas ke Kulim. Ambil berita, pulang dan taip artikel. Saya hantar berita dan akhirnya ia jadi cerita muka depan."

Itu antara cerita menarik yang boleh wartawan muda, terutamanya saya jadikan panduan berguna. Tidak pernah berkira dalam soal kerja. Semangat berpasukan sentiasa jadi keutamaan. Sebenarnya ceritanya panjang lagi. Andai sudah bercerita lebih-lebih di sini, siapa pula yang mahu membaca tulisan saya di ruangan Bicara Tokoh itu nanti. Sebab itu saya beri cerita yang ala-ala bunga-bunga cinta sahaja. 

Sungguhpun sudah bergelar orang hebat, Dato Jamelah cukup bersederhana dan sentiasa meletakkan hatinya di genggaman Yang Maha Esa. Tuturnya, doa adalah senjata yang paling hebat. Kejayaannya hari ini adalah berkat doanya dan doa orang-orang yang pernah dibantu. Namun, perlu ada usaha dan kerja keras. Tidak boleh berdoa semata-mata. Matlamat perlu jelas dan konsep perlaksanaannya di landasan yang betul. Sokongan teman-teman di sekeliling juga amat penting sekali. Sebab itulah, tidak boleh mendabik dada mengatakan diri hebat sepenuhnya tanpa bantuan.  Itu antara tips hebat yang telah dikongsikan dengan kami tengahari itu.

Doa si anak kecil

Waktu kecil, beliau sentiasa berdoa agar Allah memberinya rumah besar, kereta yang ada pemandu malah menjadi kaya adalah doanya yang paling utama. Sampaikan adik-beradiknya yang lain pernah menggelarnya 'tidak betul' setiap kali mengenangkan doanya itu. Sungguh, hari ini Allah memakbulkan doanya. Dan pemberian itu sebenarnya beserta dengan satu tanggungjawab dan amanah yang pelu dilaksanakan dengan sepenuh jiwa.

Sentiasa memberi juga menjadi kebiasaannya. Dulu waktu beliau kecil, seringkali beliau mempertikaikan tindakan ibu yang gemar memberi barangan dan pinjaman wang kepada orang-orang yang datang ke rumahnya. Katanya, tentulah nanti hidupnya akan susah, lebih-lebih lagi peminjam jarang sekali memulangkan wang yang diberikan. 

Tapi ibunya tidak sekalipun menganggap pemberiannya itu sebagai sesuatu yang perlu dipulangkan dengan balasan. Pesannya, jika ada orang datang kepadanya meminta bantuan, bantulah semampunya. Jika tidak besar, sekurang-kurangnya jangan sampai orang itu pulang dengan perasaan hampa. Kerana jika perasaan itu mereka rasai, Allah akan memulangkan kehampaan itu kepada kamu. Pesanan itu tersemat kemas di sanubarinya sampai hari ini.

Dan yang seronoknya, tengahari itu, kami bukan saja dapat menikmati juadah tengahari yang enak di restoran dekat Hotel singgahsana. Indahnya, setiap daripada kami, pulang dengan pelbagai hadiah yang dibelinya dari Makkah. Apatah lagi, melalui doa yang tidak pernah terhenti, tahun itu beliau dapat ke tanah suci pada bulan Ramadan. Semoga keberkatan itu dapatlah serba sedikit tertumpah ke atas diri kami yang turut berimpian mahu menjadi kaya. (mood: senyum sendiri).


Dari kiri: saya, Cik Non, Dato' Hajah Jamelah A Bakar dan Vel, pembikin kek yang sedap.





















Jurufoto saya hari itu, Shafuan. Gigih sekali mengambil gambar Dato' untuk pose terbaik di ruangan Bicara Tokoh Mingguan Wanita. Kami-kami pun gigih juga pose sendiri-sendiri. Cik Non, jurusolek yang sentiasa ceria dan tak kurang hebatnya.


No comments:

Related Posts with Thumbnails