Follow Saya Di Google Plus

Thursday, September 5, 2013

Sup Ayam Mak Jemah, Ringkas Tapi Signifikan

Teks: Netty Ah Hiyer | nettyahhiyer@gmail.com
Foto: Pustaka Desktop Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani



Pinggan klasik ini cukup mengiurkan dan meruntun jiwa saya yang gemarkan barangan lama. Kalau ada yang berminat boleh saja hubungi saya untuk mendapatkannya. Alamat emel sayakan saya sertakan sekali. :) 

Sudah dua malam minda tidak begitu kuat untuk menulis entri. Konon, berazam mahu istiqomah menyahut cabaran sifu, menulis 44 entri tanpa henti. Sayangnya, semalam mata terlalu berat mahu meneruskan niat. Sudahnya azam, tinggal anganan sahaja.

Kiranya malam ini paksa diri untuk berkongsi sesuatu di sini. Memandangkan, minda tak begitu memberangsangkan untuk menulis panjang-panjang. Saya sekadar mahu berkongsi resipi yang diambil dari internet lalu saya mencubanya sendiri di rumah. 

Sayangnya saya sendiri dah tak ingat dari mana saya ceduk resipinya. Barangkali resipi.net (huhu... ingat-ingat lupa) Banyak sangatkan blog resipi dan masakan sekarang ini. Sejarah saya dengan dunia masakan, memang haru biru sebenarnya. Sejak saya kecil sampailah memasuki alam sekolah menengah tinggi, mak tak sekali pun menggalakkan saya ke dapur. 

Katanya, dia mahu saya fokus belajar. Bila mak bagi greenlight, saya yang serba pemalas ini pun mula ambil kesempatan. Tapi bila mak mula bekerja, ketika itu saya baru tamat SPM dan ada pula adik seusia 3 tahun yang perlu dijaga, saya mula belajar memasak secara diam-diam. Tumis terung eksperimen pertama saya. Satu persatu saya reka tapi akhirnya lauk itu ke tanah jua; minyaknya selambak tak boleh dimakan.

Sampailah saya dah bergelar isteri orang pun, bab memasak tidak pernah saya kuasai. Setiap kali masuk ke dapur mak mentua, dialah yang ajarkan saya cara-cara memasak lemak cili api ikan sungai, ikan masak taucu dan sebagainya. Mak mentua pun 'sporting' orangnya, boleh terima menantu yang 'buta' perihal dapur tapi terang hati bila sampai bab makan.

Namun, saya bersyukur kerana dihantar ke meja Mingguan Wanita. Selain belajar ilmu lanjutan memasak dengan mak mentua, kerjaya ini jadi kelas kedua untuk saya mendalami ilmu masakan. Bukankah dalam Mingguan Wanita ada ruangan resipi. Kadangkala ada juga teknik / langkah demi langkah untuk membuat sesuatu resipi. 

Berbelas tahun menaip resipi untuk dikongsi dengan pembaca, akhirnya saya menerima berkatnya. Walaupun tidak bertaraf masterchef, syukur alhamdulillah en suami dan anak-anak suka. Tapi ada juga resipi yang kurang menjadi. Terutama bila hati sedang membara dan paksa diri ke dapur. Memang masakan jadi kurang enak. Hilang aura sedapnya. Sebab itulah, sebelum pegang senduk dan kuali, bersihkan hati dan ikhlaskan diri. Bukankah beri orang makan juga sedekah peribadi. 

Eh! Macam mana ni, konon tak ada idea dan kekuatan untuk menulis tapi dah jadi panjang berjela pula. Aduh! Kalau dah wartawan memang ginilah gayanya. Okaylah, tak nak membebel lebih panjang, saya kongsi resipi sup ayam yang selalu dimasak untuk keluarga. Kalau nampak tak berapa nak sedap, siapa-siapa yang pakar ubah-ubahlah resipi tu sendiri. Namanya pun tukang masak amatur. 



Inilah hasil resipi yang 'biasa-biasa' saja setiapkali saya memasak sup untuk en suami dan anak-anak.

Sup Ayam Mak Jemah

1 ekor ayam } dipotong kecil ikut citarasa
1 biji bawang besar }
6 biji bawang merah } ditumbuk
3 ulas bawang putih }
2 inci halia } dihiris nipis
1 batang serai } diketuk
1 bungkus sup bunjut adabi
Buah pelaga, kayu manis, bunga lawang } ikut citarasa - sebab saya main campak-campak saja.
1 mangkuk air panas
Daun sup
Sedikit gula dan garam
Kentang } kupas dan potong kecil
1 biji tomato

Cara membuat:
  1. Rendam buah pelaga, kayu manis dan bunga lawang dalam air panas selama lima minit. (Tujuannya, nak bagi aroma merebak ke dalam air panas)
  2. Tumiskan buah pelaga, kayu manis dan bunga lawang yang telah direndam untuk seketika.
  3. Kemudian, tumiskan pula bawang merah, putih, halia dan serai yang telah ditumbuk sampai naik bau. 
  4. Lalu, masukkan ayam dan kentang. Tumis sampai adunan meresap dan empuk (kira-kira 10 minit). Masa ini saya masukkan sedikit gula.
  5. Selepas itu, masukkan air suam dari rendaman rempah tadi ke dalam ayam. Tambahkan juga dengan sedikit air dan masukkan sup bunjut. 
  6. Perasakan dengan garam dan masukkan pula tomato yang dibelah empat. 
  7. Bila tomato dah empuk dan rasa pun dah sedap, tutuplah api.
  8. Sedia untuk dimakan bersama seisi keluarga. 

Inilah resipi ringkas tapi signifikan dari Mak Jemah!



2 comments:

Naros said...

Cerita ini sangat menarik. Hehehe...

netty-ahhiyer said...

kak naros terima kasih untuk komen. buat kita lagi bersemangat menulis cerita yang poyo2 gini.

Related Posts with Thumbnails