Follow Saya Di Google Plus

Monday, June 23, 2014

Sepetang Ku Mengejar Sutradara Mamat Khalid

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Lumix En Suami

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

ini gambar tahun 2011, sejahtera sungguh saya waktu ini. Tapi saya seronok dapat menemuramah abang Mamat Khalid. Cabaran mahu mendapatkan abang Mamat pun boleh tahan juga.

Cerita ini barangkali sudah terlalu lama untuk dikisahkan di ruangan maya ini. Mungkin juga sudah basi. Namun, ia satu kenangan yang cukup eksklusif buat diri saya yang serba kekurangan ini. Catatan lama ini juga satu perkongsian susah senangnya melangsaikan dua muka surat kosong yang tersedia.

Saya kira, di mana-mana majalah sekalipun pengalamannya lebih kurang serupa. Mahu mengisi satu-satu bahan berita atau artikel dalam satu-satu ruangan yang dipertanggungjawabkan kepada seorang wartawan bukan semudah ABC. 

Kalau ada yang kata mudah, barangkali hari itu rezeki dia mendapat kemudahan bahan berita. Tapi, bukan selalu ya. Ada onak dan duri yang perlu ditempuh. Namun, selepas menempuh badai penuh liku itu, kemanisannya hanya seorang wartawan itulah yang dapat merasainya. Tidak terkata indahnya dan walau sampai bila-bila ingatan itu akan terus kekal di kotak ingatan. Yang akhirnya menjadi pemangkin untuk wartawan itu bergerak dan terus bergerak menjadi lebih baik lagi dalam berhadapan kerenah kerjayanya. Seharusnya begitulah rentetannya...

Kisah aku dan sutradara terkenal abang Mamat Khalid ini berlaku sekitar tahun 2011. Ini memang cerita lama. Sememangnya saya cukup 'mengidam' mahu menemuramahnya. Ini semua penangan cerita 'Rock', 'Zombi Kampung Pisang' dan pukauan tutur katanya sebagai juri jemputan di Akademi Fantasia. Lalu saya menetapkan janji temu mahu menemubualnya untuk ruangan 'Cinta Orang Popular'.

Beberapa hari sebelum menetapkan temujanji saya menghubungi beliau. Syukur beliau sudi ditemuramah di kediamannya di Ipoh. Kebetulan saya pulang ke kampung en suami, jadi dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur saya akan singgah ke rumahnya untuk sesi temuramah itu.

Tahu apa yang berlaku? Bukan mudah rupanya mahu mendapatkan sutradara terkenal ini. Dan bukan mudah juga untuk wartawan cabuk ini berputus asa dari menemuramah sutradara ini. 

Sepatutnya, saya ke rumah abang Mamat pada sebelah pagi. Abang mamat hubungi minta saya tangguhkan ke tengahari. Baiklah, saya akur. Tidak lama kemudian, sebelum saya bertolak, abang Mamat minta pula saya temuramah sebelah petang. Tapi bukan di rumahnya, lokasi bertukar di sebuah pusat membeli belah yakni tempat beliau dan krew-krewnya sedang berbincang tentang perjalanan filem terbarunya. Sebenarnya itu adalah 'hint-hint' manja agar saya berputus asa saja. 

Tuhan saja yang tahu perasaan saya waktu itu. Sekejap-sekejap saya meluahkan pada en suami. Dia tidak pernah jemu dan beri cadangan untuk memudahkan segalanya. Saya diam berdoa moga dipermudahkan segalanya. Minta dibukakan pintu hati abang Mamat agar sudi menemui saya.

Dalam pada itu saya tidak juga mahu mengalah. Dengan 'skill' kewartawanan yang saya ada dan kata-kata semangat dari tulang belakang saya (siapa lagi kalau bukan en suami), saya pun terus memujuk, merayu domba malah sedikit memaksa (huhu...) minta benarkan saya menemuramahnya walaupun seketika. Barangkali kasihan dengan wartawan yang satu ini, akhirnya saya memperoleh satu temujanji baru yang benar-benar 'confirm'.

Yeay! Tips kewartawanan yang saya pelajari hari itu. Jangan mudah putus asa, cuba selagi boleh dan doa pada Ilahi kerana Dialah yang menggenggam hati manusia.

Petang itu, en suami dan anak-anak menemani saya. Memandangkan anak-anak sudahpun tidur dalam kereta, saya turun sendirian. Menemuramah kira-kira satu jam, mengorek tentang kisah cinta abang Mamat Khalid yang saya kagumi ini. 

Sememangnya adik Datuk Lat ini kaya dengan humor. Baik di kalangan anak-anak mahupun orang luar, beliau berbual dengan cara tersendiri; serius cum santai. Walaupun ketika itu sedang membicarakan isu yang berat-berat, otak tidak terasa sarat. 


Anak-anak abang Mamat Khalid yang menemaninya petang itu.

Petang itu juga ada anak perempan dan anak lelakinya menemani. Cuma saya tidak boleh tunggu lama untuk menanti ketibaan isteri abang Mamat. Saya minta saja abang Mamat emelkan gambar keluarga kemudiannya. Selain cerita cinta, ada juga beberapa perkara yang sempat saya tanya. Terutama tentang isu kontroversi dengan KRU. Tapi blog saya bukan ruangan gosip, jadi tak perlulah dibincangkan dalam ruangan ini.

Saya masih ingat; kata abang Mamat, sebelum satu-satu filem dihasilkan, beliau merujuk dahulu perkara itu kepada mufti (terutama genre filem seram). Waktu itu, beliau merujuk kemusykilannya dengan Tan Sri Harussani Zakaria, mufti Perak. 

Masa itu abang mamat Khalid maklumkan dia bakal bikin satu filem tak silap 'Lebuhraya ke neraka' (Saya tak berapa ingat tajuk sebenarnya.. tapi lebih kurang ada perkataan lebuhraya).

Begitulah kalau mahu melakukan sesuatu, tidak boleh main semberono sahaja. Perlu ada ilmu dan bersandar usaha tanpa jemu. Tapi perlu berani dan jangan malu-malu ya. Sebelum bertemu abang Mamat banyak sekali perkara yang bermain di minda. Mahu tanya macam-macam terutama sekali rahsianya menjadi orang berjaya. 

Pastilah kejayaan abang Mamat ini tak lain tak bukan disebabkan ikhlasnya kala berkarya. Semoga abang Mamat akan terus menghasilkan filem-filem komedi-seram yang mampu menguji kebijaksanaan rakyat Malaysia berfikir. Chaiyok abang Mamat!


No comments:

Related Posts with Thumbnails