Follow Saya Di Google Plus

Monday, May 8, 2017

Pantai Remis Bukan Lagi Syurga Kerang-kerangan!

Teks/Foto: Netty Ah Hiyer

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Sepetang menikmati angin sepoi-sepoi di tepian pantai.

Sekitar tahun 2014, saya pernah ke Pantai Remis bersama team foto dan stylish untuk shooting fesyen di pesisir pantainya. Waktu itu pokok bakau masih banyak merimbun di sepanjang laluan pantai. Tak berjaga dan liar membesar.

Laluan berpasir yang pecah akibat hentaman ombak membuatkan kenderaan terpaksa di letak jauh dari pinggiran pokok bakau. Kami shooting sejam dua di situ. Sesekali ternampak seorang dua lelaki ditemani anak kecil membawa guni. Mengutip kerang barangkali.

Waktu itu harga sepinggan kerang bakar cuma RM5. Walaupun masih dikategori mahal pada zaman itu, tapi ia masih berbaloi untuk dinikmati.

Lama sudah saya tak dapat berkunjung ke sana, sehinggalah baru ini terlihat posting kepah dan lala dalam wall rakan Facebook yang harganya sekitar RM4 sebungkus. Murah! Setelah pasti lokasi gambar di Pantai Remis, teringin pula menyinggah ke sana.

Kerang Hampir Pupus


Benar Pantai Remis sekarang ini jauh berubah. Tiada lagi jalan pecah yang menyukarkan laluan, tiada lagi pokok bakau di pesisir pantai tempat saya shooting dulu. Sebabnya ia sudah serba membangun.

Happening! Meriah dengan jualan makanan laut mentah. Sepinggan kerang bakar tak lagi harga lama, sudah mencecah RM12. 

Waktu berjalan-jalan ke pasarnya saya semata-mata mencari kerang. Lama betul tak menikmati kerang bakar atau kerang tumis serai dari air tangan sendiri.

"Kak, sekarang ini susah nak dapat kerang. Yang ada ini pun ambil daripada cina. Dekat pantai ini tak ada dah. Kalau nak pun kena tabur benihnya." Kata adik penjual kerang.

Mungkin disebabkan mereka terpaksa menggunakan khidmat orang tengah, harga kerang tak lagi semurah dulu. Sekilo kerang saiz sederhana harganya RM9. Besar sedikit RM10 sekilo. Yang mana, dulu saya boleh membeli dengan bahagia pada harga sekilo RM7 untuk saiz besar.

Saya beli saja memandangkan, kerang itu masih tercungap-cungap bernafas. Bermakna itu kerang segar. Bila kerang segar, nak memasaknya pun kena ada caranya barulah kerang gebu gebas.

Resipi Kerang Bakar Gebu


Paling simple, saya bakar saja. Sediakan kuali leper, masukkan kerang separas, tabur garam banyak dan bakar. Sekejap saja. Tandanya boleh tengok garam tu jadi mengeras kat permukaan kulit kerang dan kuali.

Jangan sampai kering. Tak perlu pun tunggu kerang itu terbuka kulit. Kalau dah terbuka maknanya dah terlebih masaklah tu. 

Nanti kerang yang gebu gebas tu cicah dengan sambal Perak yang sedap. Bawang merah, tomato potong dadu. Gaulkan air asam, masukkan belacan bakar dan sedikit garam. 

Bila dah selesai jalan-jalan di Pantai Remis, boleh singgah makan set asam pedas dekat warung tepi jalan yang menghala jalan keluar dari The Cabin. Cendolnya memang menggamit rasa. Tak manis, tak tawar, sedang-sedang saja. Menyelerakan!

Belajar Asas Blog Dan Penulisan di:
https://netty-ahhiyer.blogspot.my/p/kelas-belajar-asas-blog-sertai-kami-di.html

2 comments:

Zaila Hafni said...

Best sangat tips kerang bakar gebu gebas tu Kak Netty. Baru tahu, selama ni tahu makan je. Hehe

Netty said...

Hihi.. sebelum dpt resipi tu try n error kat diri sendiri.. dah dua kali cuba dan memang kerang gebu.. jimat pun jimat.. nanti try ya zaila..

Related Posts with Thumbnails